" Alhamdulillah hidup akak diberkati Allah swt, mungkin kerana akak selalu positif."
" Macam manalah nak baik sakit, asyik fikir negatif sahaja."
" Kita kena positif, baharulah benda baik menghampiri."
-image google- |
Selepas didera emosi dan fizikal, diduga bertubi-tubi tetapi gigih bangun berkali-kali. Itu baru positif namanya.
Jika hidup selurus lebuh raya utara selatan; keperluan disediakan, kemahuan ditimang-timang, tidak perlulah mengnegatifkan orang lain. Belum tentu kita akan kekal positif apabila dibebani cabaran sepertimana mereka yang digelarkan itu.
Contoh terdekat ibu saya, beliau diduga dengan penyakit makhluk halus bersilih ganti. Dari usia lewat remaja hingga meniti senja, tidak putus-putus dan tidak tahu ke mana penghujungnya. Apabila ada makhluk istimewa mengatakan ibu saya negatif, seperti mahu simbah asid ke muka mereka.
Batu besar tepi di laut pun boleh terhakis dek geseran angin dan air. Bertahun-tahun lamanya digesel tanpa ada penamat. Akhirnya tetap berlekuk dan berkeluk dek angin yang menganggu. Bayangkan keadaan ibu, lebih empat puluh tahun usia kehidupannya dibuli oleh kehadiran jin-jin. Tidakkah terkesan emosi dan jasad ibu dek gangguan makhluk halus itu? Jangankan ibu, orang kalis peluru pun boleh gantung diri jika tidak kuat emosi bergantung pada Allah swt.
Sejujurnya saya tidak kagum pada mereka yang biadap mengnegatifkan orang lain. Hanya kerana hidup kita lancar tidak beronak bukan bermaksud kita mengamalkan pemikiran positif. Ia bermaksud, kita belum diuji tuhan. Jadi bercakaplah dengan alasa yang sepadan. Kita yang belum diuji belum tentu sekuat yang sudah atau sedang diuji.
Kita yang belum faham maksud ujian, belum tentu boleh bangun dan membawa sepanduk positif berbanding mereka yang gigih bangun berkali-kali selepas diasak bertubi-tubi. Kita belum tentu mampu mengangkat muka dan tersenyum sepertimana ibu yang berusaha menyelesaikan tuntutan hidupnya sebagai seorang hamba. Dan tidurnya bertemankan jin pada setiap malam. Kata ibu pada saya, jika tidak mampu mengasihani cukupkan berdiam diri tanpa menyakiti orang lain.
Kesempatan bersahabat dengan orang positif selama ini. Hidupnya lurus, rezekinya murah, anak-anak berjaya dan suaminya contoh suami mithali. Tidak ada yang kurang. Beliau mentafsirkan hidupnya anugerah tuhan yang memberkati. Tertanya-tanya pada saya, adakah nasib mereka ditimpa musibah akibat perbuatan diri atau ujian mendekatkan diri pada tuhan. Di manakah kita berbanding mereka itu? Adakah tuhan tidak menyayangi atau kesenangan ini juga berupa ujian yang kita tidak sedar?
Telahan kami tepat, kita belum diuji. Kita belum tahu, bila tuhan akan menguji. Di uji dalam kesenangan, kita rasa bangga dan yakin positif diri. Ketika diuji dalam kesakitan dan kesusahan, kita kembali merangkak kembali pada Nya. Kali ini bunyi 'positif' berlainan sama sekali, mungkin kerana kita lebih memahami.
Masanya akan tiba, kita semua akan diuji. Sebelum waktunya tiba, berusahalah untuk tidak mengnegatifkan orang lain. Kita tidak lalui jalan simpang-siur mereka. Kita belum ditusuk duri, digores dan ditoreh sembilu. Saya yakin bunyi alunan positif akan lebih sedap didengari apabila kita sudah melalui dan memahaminya.
Kekal dan yakin positif. Masanya akan tiba.
No comments:
Post a Comment