Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Sunday, 22 February 2015

Kita dan Hobi

Salam

" Saya tidak ada hobi." Terpancul kata-kata itu dari mulut adik.

"Apa, tidak ada hobi? Jadi apa awak buat jika bosan dengan kerja yang sedia ada?" Duga saya ingin tahu.

" Entah, jalan-jalan dan bawa anak keluarga makan-makan. Tidak sempat berhobi, mungkin." Adik terus menjawab tanpa berfikir.
-image google-

Betul juga kata adik, pra-syarat berhobi adalah masa lapang. Jika tidak punya masa, masakan boleh berhobi. Jadi pada mereka yang mempunyai hobi, maksudnya mereka juga mempunyai masa terluang. Bayangkan orang yang bekerja siang ke malam, pagi ke petang, minggu ke minggu, masa yang ada hanya cukup untuk istirehat dan bersama keluarga. Tidak wujud istilah my time dalam kehidupan harian.

Saya membelek jadual harian sendiri, banyak masa terluang. Padanlah saya punya hobi menulis, membaca dan sekarang, bercucuk tanam. Saya punya masa kerana tidak bekerja membanting tulang seperti orang lain demi mencukupkan keperluan. Beruntungnya saya.

Tetapi benarkah orang tidak punya hobi itu tidak punya masa? Contohnya abang saya, hobinya adalah membaca. Buku-bukunya bagaikan di sebuah perpustakaan usang, berhabuk dan bertimbun banyaknya. Dia bekerja seperti juga orang lain, tetapi masih aktif meneroka ilmu dalam ruang masa sempit yang dimiliki.

Suami saya juga begitu, masih sempat menghadam buku  Doctor in the House, mantan Perdana Menteri Malaysia. Tebalnya bukan main, saya sendiri naik mual membelek belum lagi membacanya. Benarkah orang mengaku tidak ada masa untuk berhobi? Mungkin mereka berhobi tetapi tidak sedar akan dirinya mempunyai hobi.

Adik perempuan saya yang seorang lagi, kecenderungan beliau adalah menonton drama korea. Ia juga boleh dikategorikan sebagai hobi kerana terisi dalam aktiviti masa lapang. Dalam kesibukkan menghantar dan mengambil anak dari sekolah, memasak, membasuh dan mengurus urusan lain dalam rumahtangga, beliau masih sempat menonton drama korea. Maksudnya, walaupun tidak punya banyak masa tetapi ia boleh diselit dalam jadual seharian, itupun juga hobi.

Hobi terbahagi dalam dua atau tiga versi. Ada hobi selit-selit seperti hobi membaca atau menonton. Ada hobi memerlukan belanja, masa, ruang dan melibatkan orang lain seperti berkumpulan. Ada hobi eksklusif sifatnya, bukan sahaja belanja, masa dan ruang, tetapi melibatkan perkakasan dan musim yang spesifik sahaja.

Seorang teman yang sudah berkeluarga, mempunyai hobi mahal dalam sukan bermotor. Masa minggunya dihabiskan dengan aktiviti permotoran sama ada di dalam negara atau negara jiran. Berkonvoi sini dan ke sana dalam kumpulan yang besar. Tidak semua orang mampu mempunyai hobi begini kerana ia melibatkan belanja dan masa yang banyak. Malah, kesanggupan ahli keluarga dalam melayan hobi kita juga harus diambil kira.

Persoalan saya sebenarnya bukan pada jenis hobi, tetapi mengapa kita mempunyai hobi. Apa manfaat dalam berhobi. Adakah ia membuang masa, belanja dan tenaga?

Hobi memberi kita kelebihan dan peluang 'escapism'. Ruang melarikan dan menyembunyikan diri dari dunia realiti. Memberi kita kelebihan bereksplorasi tanpa dihukum gerak-geri. Tanpa ada yang mengawal dan mengekori, meminta result yang diingini. Dalam ruang ini, kita bebas menjadi diri sendiri. Melupakan sementara kesesakan dalam dunia dihuni dan akan kembali dengan semangat yang diperbaharui. Ia satu keperluan bagi setiap orang. Walaupun sekadar hobi membaca atau menonton drama korea.

Mendiang Nelson Mandela seorang pemimpin berkulit hitam bertaraf dunia. Terakam pengalaman di mana beliau mempunyai sebuah kebun sayur di atas bumbung bangunan penjara yang merupakan tempat kediamannya. Di situlah beliau melarikan diri dari dunia realiti dalam penjara yang menyesakkan akal dan fikiran. Di kebun sayur itu beliau membuat terapi diri dan memperbaharui semangat bagi menempuh hari-hari baru. Melalui kebun sayur itulah, beliau membalas dan menabur budi pada ahli dan pekerja penjara dengan mengagih-agihkan hasil sayuran yang dituai. Hobi ini mampu mengekalkan kewarasan Mandela yang berpuluh tahun terpenjara jasad. Tetapi mindanya bebas ke alam lain.

Itulah kebaikan berhobi, ESCAPISM. Ia memberi nafas segar dalam alam lain, bebas dan kosong.



No comments: