Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Saturday, 29 October 2011

Semua anak genius.

Salam semua.

Google Image
Malam minggu yang hening, baru balik membawa anak-anak menonton Hugh Jackman dan Dakota Goya. Sebuah cerita sempoi tetapi menarik, perihal hubungan ayah dan anak, berlatar belakangkan kisah robot. Garapannya menarik terutama bila saat-saat "bermakna"  antara seorang ayah dan anak, ia menyentuh hati! Anak-anak pula macam hilang fokus, tatkala ummi sedang melayan perasaan. Ada soalan menerjah masuk ke telinga, "Kenapa dia menangis, umi?". Alahai, potong stim betul bawa budak-budak ini!

Ada orang kata, jika hendak mengenal anak-anak genius, lihat pada soalan-soalan yang ditanya oleh mereka. Jika itulah ukuran genius, anak sulung ini sudah melepasi kriteria tersebut. Di usianya 6 tahun, dia bertanya pada ummi "Bagaimana tuhan boleh pilih dia untuk menjadi anak ummi? Di Papua New Guanea tu, ada guanea pig ke? Kenapa dalam bacaan tahhiyat akhir solat, kita cuma perlu sebut nama nabi Muhammad saw dan nabi Ibrahim sahaja?" Sekarang pula, soalan-soalannya banyak berkisar pada orang-orang terkenal di dunia seperti Nelson Mandela, Mother Teresa dan ramai lagi. Dia berminat dengan fakta-fakta sejarah negara seperti sebab-sebab penubuhan Malaysia, kenapa Singapura keluar daripada gagasan Malaysia dan seperti biasa, soalan-soalannya tidak pernah habis. Dia sekarang berusia 10 tahun.

Jika diimbas kembali zaman anak sulung masih kecil, saya sering "perasan" anak ini ada ciri-ciri genius(jangan gelak). Masa berubah, anak semakin membesar dan lama kelamaan, perkataan genius itu bagaikan tiada makna dan fungsinya lagi. Banyak cara orang melabelkan anak-anak bijak ini, panggilannya pun pelbagai seperti gelaran gifted, genius, indigo, HSP(hyper sensitive personality) kononnya ciri-ciri asas mereka ini berkisar pada  isu "kecerdikan". Agaknya, jika anak kita tidak termasuk dalam label ini maka kurang cerdiklah mereka...tidak mengapa! Berbalik pada kisah anak sulung ini, benar dia bijak tetapi kecerdasan dia tidak boleh dimanipulasikan sebagaimana anak-anak lain yang bijak matematik, bijak bercakap, bijak bercerita, bijak menari, bijak segalanya sebagaimana yang dipertontonkan di dalam rancangan TV, Tom-tom Bak dan Bersama Aznil.

Kisahnya, menjadi ummi pada seorang anak bijak, tiada beza dengan yang kurang bijak kerana hari-hari meleter perkara yang sama. Apalah makna bijak pada anak, jika setiap kali masuk waktu solat, harus diingatkan berkali-kali hingga berbuih mulut. Apa maknanya bijak anak kita, setiap pagi ummi terpaksa mengingatkan supaya tuala yang digunakan perlu disidai sebelum pergi ke sekolah. Apa maknanya bijak anak ini, jika setiap kali selepas makan, pinggan sendiri pun tidak boleh dibawa ke sinki walaupun tidak perlu dibasuh. Itu sebab saya katakan tadi, apabila anak semakin membesar dan kita semakin banyak makan garam, isu bijak bukan lagi isu utama dalam sasaran pendidikan informal di rumah. Bijak otak saja tidak membantu anak-anak untuk berkelakuan baik, bijak matematik  saja tidak cukup untuk memastikan anak kita solat pada waktunya. Oleh itu, genius bukan jawapan pada semua persoalan dalam mendidik anak-anak.

Secara peribadi, saya adalah pengikut setia pensyarah Univerisiti Harvard, Horward Gardner, seorang psikologis yang mendalami ilmu kecerdikan manusia menerusi kajian beliau, Multiple Intelligence(MI). Walaupun banyak kritikan demi kritikan didengari berkaitan isu ini, tapi paling tidak, ia seakan-akan memberi kefahaman luas dalam isu kecerdikan manusia yang selama ini hanya dipegang oleh mereka yang bijak matematik dan sains sahaja. Malangnya, saya sendiri kurang cerdik dan tidak berminat dalam subjek matematik dan sains, itu saja sebabnya kenapa saya sukakan MI! 

Pada ibubapa yang masih taksub dengan kecerdikan otak anak-anak, jangan terlalu tertekan dan menekan. Percayalah, semua anak-anak kita genius dengan cara tersendiri sebagaimana yang telah dianugerahkan oleh Allah. Cabarannya terletak di atas bahu kita untuk meneroka, mencari, memanipulasi segala kurniaan itu untuk kepentingan diri anak-anak dan juga ummah.

Akhir kata, saya sepenuh hati percaya anak-anak ini adalah GENIUS.

Thursday, 27 October 2011

Wisdom....bijaksana

Salam

Agak sibuk kebelakangan ini tetapi masih sempat berfikir semasa mandi sebentar tadi. Saya selalu bertanyakan kawan-kawan tentang makna WISDOM. Ramai menjawabnya BIJAKSANA. Adakah jawapan lain selain daripada perkataan bijaksana? Adakah wisdom itu asalnya daripada perkataan akar WISE? Sebagaimana asal perkataan bijaksana bermula daripada perkataan BIJAK? Saya bukan seorang pakar bahasa... jadi saya pun tidak tahu jawapannya yang tepat.

Saya terfikir pula, kenapa BIJAK....SANA bukan SINI? Sudah tentu bunyinya pelik jika kita sebut bijaksini kerana telah terbiasa dengan istilah bijaksana. Jadi berbalik pada soalan saya, kenapa di ...sana? Perkataan sana itu sendiri menunjukkan jauh....kenapa jauh untuk menjadi bijak? Hanya duduk di sini, kurang bijakkah kita? Teringat pula peribahasa, jauh perjalanan luas pandangan. Betul agaknya kata orang tua-tua, kerana jauhnya kita berjalan melihat dunia, pandangan kita turut berubah tentang sesuatu perkara. Jadi berbalik pada isu bijaksana, agaknya...kena berjalan ke "sana", barulah kita menjadi bijak? Logik bukan! Adakah itu jawapannya? Adakah pra syarat menjadi bijak harus berjalan ke sana-sini? Kayalah AA selepas ini kalau betul, itulah syaratnya.

Ikhlasnya, saya sendiri tidak ada jawapan pada soalan itu tadi. Apa yang saya faham, mereka yang bijaksana atau mempunyai wisdom selalu bercakap idea-idea yang melampaui batas yang mengongkong manusia. Idea-idea mereka tidak terhalang oleh darjat, keturunan, kekayaan, status, simbol, politik, sosio-budaya dan ia sentiasa sealiran dengan fitrah kejadian manusia. Saya setuju bila ada yang mengatakan syarat untuk mencapai wisdom ialah melalui pengalaman dan usia, oleh itu sesiapa sahaja boleh mencapai tahap wisdom ini dalam kehidupan. Betulkah semua orang tua ada wisdom kalau betullah mereka lebih berpengalaman dan makan garam terdahulu daripada kita? Mungkin ya...mungkin tidak. Ntah!

Petikan kata-kata wisdom daripada ayahanda:
Hidup ini ibarat kayuh sampan...sesiapa nak sampai cepat, kayuhlah laju-laju.
Siapa penat, berehat sekejap...tiada siapa yang akan marah.

By three methods we may learn wisdom: First, by reflection, which is noblest;
Second, by imitation, which is easiest; and third by experience, which is the bitterest.
Confucius

Common sense in an uncommon degree is what the world calls wisdom.
Samuel Taylor Coleridge


Sunday, 23 October 2011

Manipulasi...OTAK

Siapa kenal saya?
Salam
Berapa ramai antara kita percaya adanya hantu? Berapa ramai antara kita , benar-benar berpeluang melihat hantu? Rasanya, ramai yang lebih mempercayai kewujudan hantu tanpa melihatnya sendiri dan lebih ramai takutkan kemunculannya,walaupun seumur hidup tidak pernah berpeluang melihat hantu. Antara orang-orang itu adalah saya sendiri. Walaupun saya mempunyai pengalaman-pengalaman unik dalam kehidupan ini tetapi melihat hantu, bukan kelebihan yang saya nanti-nantikan. Berilah peluang itu pada orang lain, saya tidak berkecil hati.

Kelakar bukan, kita sering takut pada benda-benda yang bukan bersifat fizikal atau boleh dilihat pada mata kasar. Kita takut pada kekalahan, kita risau pada kritikan, kita bimbang pada maklumbalas, kita syak pada apa-apa saja yang tidak diketahui. Walaupun ketakutan itu bersifat terlalu peribadi seperti kita risau orang tahu apa yang sedang berada di dalam otak ini, kita bimbang orang tahu kita sebenarnya penakut sangat pada hantu walaupun realitinya, macam berani. Berkuasa sungguh otak kita bukan, memanipulasi setiap maklumbalas dan simulasi dari luar bagi memantapkan kepercayaan kita  yang sedia tertanam di dalam akar otak.

Contohnya, kita sering beranggapan bahawa orang-orang india dan cina di dalam negara ini lebih menguasai bahasa inggeris. Benar, mereka dengan rasa yakin boleh berkomunikasi dalam bahasa asing itu dengan mudah. Tidak perlu dikira samada slangnya manglish, cinalish atau indialish tetapi yang pasti mereka tetap berbahasa inggeris. Ada tarik "maaa...." pada setiap perkataan akhiran dan ada juga "terteleng-teleng" kepala bila berbicara tapi yang pasti mereka tetap berkeyakinan tinggi. Kita orang melayu, masih takut-takut, bimbang pada kesalahan, bimbang dikritik, bimbang pada segala jenis semut, burung dan lalat-lalat yang mungkin gelakkan kita bila berbahasa inggeris. Berkuasa sungguh otak kita memanipulasi ketakutan yang tidak wujud dan jika wujud sekalipun kata-kata sumbang daripada orang keliling, kita terlalu takut untuk menghadapinya. Tidak mati pun jika dikritik dan badan kita tetap basah jika mandi, jadi kenapa begitu takut?

Bila saya berfikir tentang fenomena ini, teringat pula pengalaman-pengalaman kehidupan yang mendewasakan kita. Jika kita bertanya pada kaum ibu tentang keberkesanan pil perancang. Jangan terkejut jika kita dapati maklumbalas negatif selalunya datang daripada mereka yang tidak pernah mengambilnya. Sempena musim haji , ramai yang bercerita tentang kerumitan, kebimbangan dan keresahan menjalankan ibadah ini, kebanyakan daripada mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki di sana. Mereka mungkin hanya mendengar cerita daripada rakan, saudara atau membacanya daripada bahan bacaan majalah. Pada mereka yang pernah sampai, pengalaman mereka adalah lebih menyeronokkan dan membuat hati kita tertarik untuk ke sana. InsyaAllah.

Secara kasar, kita sering takut pada perkara yang kita tidak mempunyai ilmu mengenainya dan tidak lansung berpengalaman. 

Sama saja dengan awalan artikel ini tadi, kita sangat takut pada hantu sebab kita tidak pernah melihatnya. Cuba tanya semula pada diri, apa perkara yang paling kita takut untuk terus bergerak ke hadapan? Jawapannya adalah pelbagai dan saya sendiri sedang mempelajari cara-cara untuk mengurangkan kekuasan manipulasi otak ini. Bagaimanakah caranya? Belajar untuk mempraktikkan pemikiran positif, membaca buku-buku  kejayaan orang lain , berkawan dengan mereka yang bermotivasi tinggi dan berterusan berdoa. Di samping itu, seperti biasa saya masih di bawah naungan dacing kehidupan. Saya masih percaya bersederhana adalah resipi kejayaan.

Wassalam.

Sunday, 16 October 2011

Perspektif....(2)

Image Google
Salam semua

Ada ke yang menunggu sambungan kisah perspektif ini?..Hehehe
Jika ada, maafkan aku. Sibuk dengan pameran buku BBW, sibuk menciluk-ciluk membaca buku baru.

Berbalik pada kisah aku di Perth. Pertama kali aku berpeluang mendirikan solat jumaat berjemaah di masjid Al-Majid. Pertama kali juga aku mendengar khutbah jumaat secara lansung daripada imam masjid. Agaknya sebab pertama kali, aku begitu menghayati butir-butir perkataan yang keluar daripada mulut imam tersebut.

Aku cuba mengolah kata-katanya dalam bentuk mudah difahami. Isinya, jika orang berlainan diminta memberi pandangan tentang musim-musim yang berbeza dari sudut pandangan mata mereka. Pasti ada yang memuji keindahan musim bunga, pasti ada yang seronok mengambarkan keriangan anak-anak pada musim panas, pasti ada yang suram bercerita tentang musim gugur dan sudah tentu ada yang menggigil kesejukkan bila berbicara tentang musim salji. Jika kita sendiri pernah merasi kelainan antara kesemua musim itu, adakah orang yang memberi pandangan itu salah? Mereka tidak salah kerana perspektif  itu berdasarkan sudut pandangan ( dalam konteks ini, musim) yang berbeza. Benar, keempat-empat musim itu membawa cerita, aura, bauan, sentuhan dan emosi yang berbeza. Masalahnya sering timbul, sekiranya kita tidak merasainya sendiri tetapi menyalahkan perspektif orang lain yang berkemungkinan berbeza daripada kita.
Persoalannya pula, jika semua perspektif tidak salah mengikut tuan punya badan. Kenapa anak-anak kita perlu diajar dengan nilai betul dan salah? Mengambil barang orang itu tidak salah, pada sudut pandangan seorang  haji bakhil. Padanya, daripada terbuang tidak dimakan lebih baik diambil saja dan dimanfaatkan walaupun ternyata ia bukan hak milik sendiri. Siapa hendak jawab?.....

Nampaknya, aku terpaksa menunggu peluang solat jumaat kedua selepas ini. Mungkin di  masjid Scotland.

Tuesday, 11 October 2011

Perspektif...di mana salah

Salam

Terkena demam drama korea, Snow Queen. Komen; terlalu melankolik kisah cintanya bagaikan dibuat-buat. Sarat dengan air mata, flash back dan irama tema yang tidak habis-habis...sangat menyeksa diri untuk dihabiskan. Dua hari suntuk aku melayan diri dengan remote fast mode ditangan...hahahaha. Semuanya aku speed sebab nak habiskan dengan segera. Hah...potong stim btol! Agaknya, masa aku berkhayal dengan kisah cinta ini dah lepas...get real, bebeh!!

Jadi siapa hendak kata aku kurang emosi, kurang sensitif...katalah, cuma aku tak suka dan tak rela melihat adegan cinta meleret-leret begitu. Penat nak layan...macam tersejat darah aku tengok heronya nangis tak henti-henti. Alahai!.. peminat drama korea, jangan marah ehh...jangan marah. Ini perspektif cuma.

Mari kita berbicara tentang perspektif. Beberapa tahun lepas aku pernah membaca sebuah buku motivasi. Masih jelas kisah yang di bawa oleh penulis di dalam buku itu. Antara isinya; seorang tua terjumpa seorang pemuda sedang berjalan keluar dari sebuah kampung. Orang tua itu bertanya, "Bagaimanakah keadaan orang-orang di dalam kampung itu?" Pemuda itu menjawab sambil tersenyum, "Ohh...mereka sangat baik hati dan berbudi bahasa". Orang tua itu membalas, "Kamu akan berjumpa dengan ramai lagi orang baik di kampung sebelah sana". Situasi kedua, orang tua yang sama terjumpa seorang pemuda lain, juga berjalan keluar dari sebuah kampung yang sama. Dia bertanya, "Bagaimana dengan orang-orang di kampung itu?" Pemuda itu menjawab dengan suara suram, "Hati-hati wahai orang tua...orang kampung itu tidak mesra dan sombong." Mendengar jawapan pemuda itu, orang tua lantas menjawab, "Kamu juga perlu lebih berhati-hati...orang-orang di kampung sebelah itu juga tidak baik dan sombong". Kisah orang tua dan permuda berakhir di situ tanpa ulasan lanjut. Apa yang terlintas di fikiran kita pada ketika ini? Pasti yang terlintas di benak ,jika orang baik...pasti akan bertemu orang baik juga. Realiti yang sampai pada kita adalah bayangan yang berpunca dari dalam kepala kita juga. Maksudnya secara lebih komtemporari...LOA; adalah apa yang cuba disampaikan oleh orang tua tersebut. Jangan-jangan dia adalah pakcik Rhonda, penulis buku The Secret.

Sekian lama kisah ini terpahat diminda, hampir 4-5 tahun lamanya. Aku masih tidak putus-putus memikirkan tentang jawapan pada persoalan kisah orang tua ini. Entah-entah, benar pemuda pertama berjumpa orang yang baik-baik belaka. Entah-entah benar juga, pemuda kedua berjumpa dengan orang yang tidak berapa baik. Tidakkah dalam hidup ini, kita akan berjumpa dengan orang yang tidak baik, baik sikit atau sangat-sangat baik. Itu semua pengalaman yang mengayakan kehidupan kita. Adalah tidak patut, jika seseorang menceritakan pengalaman buruk mereka...kita menganggap mereka tidak baik. Baik sangat ke orang tua itu tadi? Seperti biasa, fikiran aku tidak akan tenang dengan jawapan-jawapan stereotype sebegini.

Jawapan pada persoalan ini aku  temui ketika bercuti di Perth, tempohari. Aku rasa itulah jawapan yang paling sederhana sifatnya dan sangat molek analoginya.

Tunggu....akan bersambung, anak dara ku ingin tidur.

Tuesday, 4 October 2011

Menang tetapi kalah

Salam semua

Image Google
Tajuk yang sangat ringan untuk renungan pada hari ini. Menang dalam kalah.

Pernah tak rasa dalam situasi di mana kita menang secara logik tetapi kalah secara emosi. Kita menang bila gunakan bukti saintifik tetapi kalah jika ubah pada perspektif kemanusiaan. Kita mungkin menang dari segi perbandingan akal tetapi kalah dari segi "wisdom" dan "common sense". Contoh begini bersilih ganti, tenggelam timbul dalam kehidupan harian kita. Masa menang kita berasa puas tetapi ada rasa kelat di sebalik kemenangan itu. Kita rasa kita betul pada perspektif sendiri bertunggakkan logik tetapi kita kalah dalam konteks yang lebih besar iaitu kewarasan. Pada yang masih belum faham, saya akan cuba terangkan melalui contoh.

Contoh A:
Seorang pekerja di hantar berkhidmat di luar negara, terpilih daripada ribuan pekerja lain. Rezeki yang melimpah ruah maklumlah semuanya dibayar double, triple...beribu-ribu lemon. Bila bos besar datang mengadap dia dikehendaki menghantar dan mengambil bos itu dari lapangan terbang. Bukan selalu datang pun, 3-4 bulan hanya sekali lawatan. Bila hantar borang claim pada bos yang sama, duit minyak untuk menghantar bos itu juga di claim dengan alasan "itu hak saya". Berbanding dengan gaji bos, gaji dia lebih banyak dan menang lagi dari sudut matawang, apalah sangat kos minyak menghantar bos ke lapangan terbang. Menang benar dari sudut logik, pekerja itu menjalankan tugas dia dan membuat claim berdasarkan apa yang dia tahu dan berhak. Dia menang di situ dengan score A. Perspektif yang berbeza, terutamanya dari sudut kewarasan dan kemanusiaan, kos minyak berbanding dengan beribu-ribu lemon yang diterima setiap bulan daripada kompeninya bekerja. dia bukan pemenang tetapi dia dilihat sebagai orang yang kalah dalam permainan yang lebih besar dan melibatkan potensi yang lebih jauh. Menang kerana dapat claim tetapi kalah dalam percaturan kemahiran kemanusiaan. Kekalahan ini akan melibatkan kerugian yang lebih besar berbanding dengan kos minyak yang di claim. Biasanya orang tidak sedar pada kekalahan ini, yang dia cuma nampak claim minyak. Kemenangan jangka pendek. Kekalahan itu akan makan sikit demi sikit repotasi diri dan akan bergema di dalam organisasi. 

Dalam kehidupan seharian, samada dengan adik beradik, rakan-rakan, kawan sekerja atau sedara- mara, kita tidak akan terlepas daripada pengalaman seumpama ini. Benar, kita ada hak...benar, ini aku punya; tetapi dalam situasi tertentu kita terpaksa bertindak bukan atas paksi "hak" tetapi atas dasar keperhatinan dan kewarasan. Bak kata papa dalam cerita Smurf; bila ditanya oleh papa manusia.."Bilakah kita tahu, kita bersedia menjadi papa?" Jawabnya, " Bila kita gunakan hati dan bukan kepala(logik) bila melakukan sesuatu"
Benar, ibu ada hak ke atas anak-anaknya tetapi adakah hak itu digunakan atas paksi logik/matematik/sains/perkiraan/keuntungan atau berpaksikan pada hati dan kemanusiaan. Kita mungkin menang sebab mendapat hak kita tetapi kita kalah, jika semua orang yang kita sayang akan menjauhkan diri daripada kita. Menang tetap menang tapi di jauh di sudut hati, kita mengaku kita kalah. Bilakah kita sedar? Bila kita keseorangan dan ia telah terlalu lewat.