Salam semua.
Google Image |
Ada orang kata, jika hendak mengenal anak-anak genius, lihat pada soalan-soalan yang ditanya oleh mereka. Jika itulah ukuran genius, anak sulung ini sudah melepasi kriteria tersebut. Di usianya 6 tahun, dia bertanya pada ummi "Bagaimana tuhan boleh pilih dia untuk menjadi anak ummi? Di Papua New Guanea tu, ada guanea pig ke? Kenapa dalam bacaan tahhiyat akhir solat, kita cuma perlu sebut nama nabi Muhammad saw dan nabi Ibrahim sahaja?" Sekarang pula, soalan-soalannya banyak berkisar pada orang-orang terkenal di dunia seperti Nelson Mandela, Mother Teresa dan ramai lagi. Dia berminat dengan fakta-fakta sejarah negara seperti sebab-sebab penubuhan Malaysia, kenapa Singapura keluar daripada gagasan Malaysia dan seperti biasa, soalan-soalannya tidak pernah habis. Dia sekarang berusia 10 tahun.
Jika diimbas kembali zaman anak sulung masih kecil, saya sering "perasan" anak ini ada ciri-ciri genius(jangan gelak). Masa berubah, anak semakin membesar dan lama kelamaan, perkataan genius itu bagaikan tiada makna dan fungsinya lagi. Banyak cara orang melabelkan anak-anak bijak ini, panggilannya pun pelbagai seperti gelaran gifted, genius, indigo, HSP(hyper sensitive personality) kononnya ciri-ciri asas mereka ini berkisar pada isu "kecerdikan". Agaknya, jika anak kita tidak termasuk dalam label ini maka kurang cerdiklah mereka...tidak mengapa! Berbalik pada kisah anak sulung ini, benar dia bijak tetapi kecerdasan dia tidak boleh dimanipulasikan sebagaimana anak-anak lain yang bijak matematik, bijak bercakap, bijak bercerita, bijak menari, bijak segalanya sebagaimana yang dipertontonkan di dalam rancangan TV, Tom-tom Bak dan Bersama Aznil.
Kisahnya, menjadi ummi pada seorang anak bijak, tiada beza dengan yang kurang bijak kerana hari-hari meleter perkara yang sama. Apalah makna bijak pada anak, jika setiap kali masuk waktu solat, harus diingatkan berkali-kali hingga berbuih mulut. Apa maknanya bijak anak kita, setiap pagi ummi terpaksa mengingatkan supaya tuala yang digunakan perlu disidai sebelum pergi ke sekolah. Apa maknanya bijak anak ini, jika setiap kali selepas makan, pinggan sendiri pun tidak boleh dibawa ke sinki walaupun tidak perlu dibasuh. Itu sebab saya katakan tadi, apabila anak semakin membesar dan kita semakin banyak makan garam, isu bijak bukan lagi isu utama dalam sasaran pendidikan informal di rumah. Bijak otak saja tidak membantu anak-anak untuk berkelakuan baik, bijak matematik saja tidak cukup untuk memastikan anak kita solat pada waktunya. Oleh itu, genius bukan jawapan pada semua persoalan dalam mendidik anak-anak.
Secara peribadi, saya adalah pengikut setia pensyarah Univerisiti Harvard, Horward Gardner, seorang psikologis yang mendalami ilmu kecerdikan manusia menerusi kajian beliau, Multiple Intelligence(MI). Walaupun banyak kritikan demi kritikan didengari berkaitan isu ini, tapi paling tidak, ia seakan-akan memberi kefahaman luas dalam isu kecerdikan manusia yang selama ini hanya dipegang oleh mereka yang bijak matematik dan sains sahaja. Malangnya, saya sendiri kurang cerdik dan tidak berminat dalam subjek matematik dan sains, itu saja sebabnya kenapa saya sukakan MI!
Pada ibubapa yang masih taksub dengan kecerdikan otak anak-anak, jangan terlalu tertekan dan menekan. Percayalah, semua anak-anak kita genius dengan cara tersendiri sebagaimana yang telah dianugerahkan oleh Allah. Cabarannya terletak di atas bahu kita untuk meneroka, mencari, memanipulasi segala kurniaan itu untuk kepentingan diri anak-anak dan juga ummah.
Akhir kata, saya sepenuh hati percaya anak-anak ini adalah GENIUS.
No comments:
Post a Comment