Siapa kenal saya? |
Salam
Berapa ramai antara kita percaya adanya hantu? Berapa ramai antara kita , benar-benar berpeluang melihat hantu? Rasanya, ramai yang lebih mempercayai kewujudan hantu tanpa melihatnya sendiri dan lebih ramai takutkan kemunculannya,walaupun seumur hidup tidak pernah berpeluang melihat hantu. Antara orang-orang itu adalah saya sendiri. Walaupun saya mempunyai pengalaman-pengalaman unik dalam kehidupan ini tetapi melihat hantu, bukan kelebihan yang saya nanti-nantikan. Berilah peluang itu pada orang lain, saya tidak berkecil hati.
Kelakar bukan, kita sering takut pada benda-benda yang bukan bersifat fizikal atau boleh dilihat pada mata kasar. Kita takut pada kekalahan, kita risau pada kritikan, kita bimbang pada maklumbalas, kita syak pada apa-apa saja yang tidak diketahui. Walaupun ketakutan itu bersifat terlalu peribadi seperti kita risau orang tahu apa yang sedang berada di dalam otak ini, kita bimbang orang tahu kita sebenarnya penakut sangat pada hantu walaupun realitinya, macam berani. Berkuasa sungguh otak kita bukan, memanipulasi setiap maklumbalas dan simulasi dari luar bagi memantapkan kepercayaan kita yang sedia tertanam di dalam akar otak.
Contohnya, kita sering beranggapan bahawa orang-orang india dan cina di dalam negara ini lebih menguasai bahasa inggeris. Benar, mereka dengan rasa yakin boleh berkomunikasi dalam bahasa asing itu dengan mudah. Tidak perlu dikira samada slangnya manglish, cinalish atau indialish tetapi yang pasti mereka tetap berbahasa inggeris. Ada tarik "maaa...." pada setiap perkataan akhiran dan ada juga "terteleng-teleng" kepala bila berbicara tapi yang pasti mereka tetap berkeyakinan tinggi. Kita orang melayu, masih takut-takut, bimbang pada kesalahan, bimbang dikritik, bimbang pada segala jenis semut, burung dan lalat-lalat yang mungkin gelakkan kita bila berbahasa inggeris. Berkuasa sungguh otak kita memanipulasi ketakutan yang tidak wujud dan jika wujud sekalipun kata-kata sumbang daripada orang keliling, kita terlalu takut untuk menghadapinya. Tidak mati pun jika dikritik dan badan kita tetap basah jika mandi, jadi kenapa begitu takut?
Bila saya berfikir tentang fenomena ini, teringat pula pengalaman-pengalaman kehidupan yang mendewasakan kita. Jika kita bertanya pada kaum ibu tentang keberkesanan pil perancang. Jangan terkejut jika kita dapati maklumbalas negatif selalunya datang daripada mereka yang tidak pernah mengambilnya. Sempena musim haji , ramai yang bercerita tentang kerumitan, kebimbangan dan keresahan menjalankan ibadah ini, kebanyakan daripada mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki di sana. Mereka mungkin hanya mendengar cerita daripada rakan, saudara atau membacanya daripada bahan bacaan majalah. Pada mereka yang pernah sampai, pengalaman mereka adalah lebih menyeronokkan dan membuat hati kita tertarik untuk ke sana. InsyaAllah.
Secara kasar, kita sering takut pada perkara yang kita tidak mempunyai ilmu mengenainya dan tidak lansung berpengalaman.
Sama saja dengan awalan artikel ini tadi, kita sangat takut pada hantu sebab kita tidak pernah melihatnya. Cuba tanya semula pada diri, apa perkara yang paling kita takut untuk terus bergerak ke hadapan? Jawapannya adalah pelbagai dan saya sendiri sedang mempelajari cara-cara untuk mengurangkan kekuasan manipulasi otak ini. Bagaimanakah caranya? Belajar untuk mempraktikkan pemikiran positif, membaca buku-buku kejayaan orang lain , berkawan dengan mereka yang bermotivasi tinggi dan berterusan berdoa. Di samping itu, seperti biasa saya masih di bawah naungan dacing kehidupan. Saya masih percaya bersederhana adalah resipi kejayaan.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment