Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Monday, 23 December 2013

Wajah Kesayangan Hamba

Salam 

Hati terpanggil-panggil untuk menulis tetapi masa dan tenaga tidak mengizinkan. Nama saja cuti sekolah, tetapi inilah waktu paling sibuk dalam diari harian seorang ibu yang tidak bekerja seperti saya. Tiada masa untuk keluar sarapan sepertimana selalu. Hanya di rumah bertemankan diri sendiri di waktu pagi sambil menghirup teh tarik buatan sendiri.

By getting what you've got

Banyak perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Dari pengalaman luar biasa di tanah suci, kesempatan menyambut hari graduasi suami di Glasgow hinggalah pulang bertemu ibu di Penang. Masa terbang begitu pantas, tanpa sedar tirai 2013 akan berlabuh tidak beberapa hari lagi. Tamat sudah tahun 2013, tahun yang banyak meninggalkan kenangan suka duka, pahit dan manis. Banyak perkara besar berlaku dalam tahun ini, seperti saya dimurahkan rezeki oleh Allah swt untuk menjadi tetamu Nya. Tahun ini juga merupakan tahun perjuangan anak lelaki dalam peperiksaan peringkat nasional iaitu UPSR. Sejak awal tahun, usaha dan doanya tidak berhenti tetapi akhirnya pasrah dengan ketentuan yang dijanjikan oleh Nya. Anak hanya mampu meraih tiga ketul A dalam peperiksaan besar itu. Saya tahu banyak suara bergetar di hujung sana, banyak suara mencebik kerana saya, ibu yang suka buat bising di sekolah. Saya ibu sibuk yang mengajar anak tidak cemerlang di sekolah walaupun kebanyakan cikgu sinis menerimanya. Akhirnya, keputusan peperiksaan anak menjawab semua spekulasi orang-orang keliling. Oh, itu saja yang mampu diraih anak. Kasihan bukan...

Dalam kesedihan anak mendapat keputusan, suaranya getar di hujung talian memberitakannya kepada kami yang masih berada di England. Anak pulang sendiri dari sana, berbekalkan semangat berkawan dan impian untuk berada di sekolah pada hari terakhir. Ya, pulangnya diiringi esak tangis adik yang masih tidak faham akan kepentingan hubungan seorang kawan berbanding keluarga. Pulangnya anak ke Malaysia, disulami rasa kelat dan hampa dalam hati seorang yang bergelar umi. Tetapi abahnya lebih memahami kehendak dan hasrat anak itu melebihi ibunya sendiri. Pertama kali, pipi umi ditampar hakikat bahawa anak yang kita dukung dahulu sudah besar dan nekad membuat keputusan sendiri walaupun dihalang. Apa daya kita selain berdoa dan memohon pada tuhan agar beliau selamat sampai ke tanah air. Apa lagi daya umi...

Pulang kami ke tanah air selepas urusan graduasi selesai membawa 1001 satu macam perasaan dan pertanyaan. Abahnya masih suram bimbang akan masa depan anak yang katanya, kian kelam dek keputusan peperiksaan itu. Bertubi-tubi soalan singgah di kepala kami, umi dan abah...apakah muslihat, musibah atau hikmah di sebalik semua ini. Pencapaian anak konsisten selama ini, walaupun subjek penulisannya sering atas pagar A dan B, tetapi subjek sains tidak pernah mengecewakan. Imbasan demi imbasan muncul di ruang mata pada minggu peperiksaan itu berlangsung. Tidak daya untuk mengukirkannya di sini, tetapi itulah punca kekalutan emosi anak semasa mengambil kertas sains keesokkan harinya. Saya tidak menyalahkan sesiapa, jauh sekali menuduh cuma kesal dengan situasi yang timbul.

Selang beberapa minggu berlalu, suasana sudah reda dan ombak tidak lagi bergelora, saya mula menebar jala untuk menduga hati si anak yang kian dewasa. Satu demi satu perkataan yang terluah dari mulutnya mengambarkan kekejutan dan kehampaan. Itu sudah cukup melegakan hati umi dan abah...kami angguk mengurut dada. Katanya lagi; kawan-kawan lain semua berhasrat untuk ke sekolah asrama tetapi dia tidak mempunyai target yang jelas. Kesungguhan itu tidak terbit dari hati kerana matlamat kami bukan untuk dia meraihkan keputusan bagi melayakkan dirinya ke asrama. Suami kata, tuhan itu maha adil...Dia hanya memberi pada mereka yang benar-benar berhajat. Saya akur ...

Dan sekarang, hampir sebulan sudah berlalu...sekolah pula hampir dibuka, saya lihat ada perubahan pada 'wajah kesayangan hamba'. Beliau lebih ceria, lebih responsif, lebih bercerita, lebih rajin dan lebih mesra daripada sebelumnya. Paling melegakan, harapan kami untuk membawanya berhijrah ke negara lain menjadi lebih mudah dengan keputusan peperiksaan yang diterimaya sebelum ini. Adakah ini rahmat disebalik kesuraman yang kami rasakan sebelum ini? Anak kelihatan lebih terbuka untuk pergi meninggalkan negara ini kerana dia dapat rasakan, di sini bukan destinasi pendidikan yang dicari. Kami menawarkan platform lain untuknya dan kini, baru menampakkan kesediaannya untuk pergi bersama-sama umi. Inilah doa umi semasa berada di tanah suci, ya tuhan ...engkau permudahkanlah urusan kami anak-beranak. Aaminnnn...

Wednesday, 27 November 2013

Post-mortem Mekah

Assalamualaikum wbt

Kelihatan bumbung Kaabah, di kelilingi mataf.

Salam untuk diri sendiri. Lama terbiar blog ini...tanpa penghuni, tanpa penunggu, yang tinggal hanya cebisan kenangan. Syukur, saya sudah selesai menjalankan ibadah haji seperti yang dituntut dalam agama. Tuntutan yang awalnya disambut dengan rasa takut dan berbelah bahagi, akhirnya membawa seribu macam penemuan dan kerinduan yang tiada terbanding. Seperti orang buta yang baru dapat melihat, seperti anak yang baru berjumpa ibu tersayang, seperti orang yang baru mengenal erti cinta hakiki. SubhanAllah, moga-moga perasaan ini berpanjangan hingga akhir hayat. Jangan engkau tarik nikmat iman yang sedikit ini, ya Allah.

Setiap jemaah mempunyai pengalaman yang berbeza, bagi saya ia terlalu bersifat peribadi. Sukar digambarkan dengan luahan kata-kata. Ia berpusat di hati, rasanya sayu dan mengasyikkan walaupun muka bumi Mekah ternyata sangat gersang dan kering berdebu. Pertama kali melihat, hati saya terkocak bertanya, mengapa tempat ini yang menjadi pilihan Allah swt. Mengapa bumi Mekah yang berbukit bukau, gersang tanpa air yang menjadi medan catatan sejarah antara Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Maha suci Allah yang berhak memberi ujian pada hamba-hambanya, gurun ini menjadi persaksian antara iman seorang hamba dan tuhannya. MasyaAllah.


Pemandangan Subuh di atas bumbung Al-Haram

Beberapa negara yang sudah saya singgah dan jelajahi. Antaranya sangat cantik dan sangat memukau pandangan. Terlalu jauh beza dengan Kota Mekah, tiada pokok dan tiada awan. Tetapi ternyata, tanah inilah yang menjadi kunjungan jutaan manusia setiap tahun bagi menunaikan rukun islam kelima. Sekali lagi, saya terpukau dengan fakta dan realiti depan mata. Perbezaan muka buminya terlalu jauh bagai langit dan bumi, tidak sama seperti Malaysia...jauh sekali Switzerland yang terkenal dengan panoramanya. Tanpa kehijauan pokok, tanpa sungai mengalir, tanpa bunga mekar kembang, tanpa awan berarak...inilah Tanah Haram mengandungi 1001 macam rahsia dan magis keagungan tuhan.

Secara peribadi, saya tidak kagum dengan besarnya masjid Al-Haram kerana itu ciptaan manusia. Tetapi saya kagum dengan suasana yang ada di dalamnya, sungguh syahdu dan tenteram, auranya jauh berbeza dengan kedamaian panorama indah di Switzerland mahupun Scotland. Hati seorang hamba rasa tertunduk, terpelanting ego tatkala menjadi tetamu di rumah Allah. Terasa benar kita seorang tetamu Allah, terasa benar kita dijemput oleh Nya walaupun jauh beribu-ribu batu. Terasa kita disayangi oleh Nya, itulah perasaan saya. Sedih apabila tersedar akan hakikat, Allah sentiasa sayang ...cuma kita sentiasa lalai.

Apa pengajaran sepanjang saya berada di sana? Seperti yang tertulis di atas, ia bersifat peribadi dan eksklusif untuk diri sendiri. Moga-moga ia menjadi pemangkin supaya mampu menjadi hamba yang diredhai oleh Nya. Itu antara permintaan saya di sana, teruskan beristiqamah dalam diri dan jangan ditarik nikmat iman yang secubit ini daripada saya. Amin.

Apa nasihat pada bakal jemaah yang akan melalui pengalaman istimewa ini? Bagi saya, berlapang dada adalah pra-syarat utama untuk menjadi tetamu Allah. Tidak perlu bersoal-jawab tentang kemampuan orang lain. Tidak perlu berisik tanya tentang kelebihan orang lain. Lapangkan dada, serahkan segala ketidakpuasan hati atas dunia ini pada Allah Taala. Sebagai hamba kita percaya tuhan itu maha adil, pegang kukuh pada kepercayaan tersebut. Semua hambanya akan diduga, tidak perlu risau. Tidak perlu mempertikaikan mengapa ada yang kaya begini begitu, yang kurang mampu begitu begini. InsyaAllah, kita mampu melihat keadilan tuhan dengan mata hati tetapi syaratnya kita haruslah berlapang dada. Tugas kita hanya untuk beribadat, bukan untuk menjadi hakim sesama manusia. Ada peluang kita membantu, bantu dengan rela hati kerana habuannya sangat besar di sisi tuhan kerana kita di tanah suci Mekah. Ganjarannya ratusan lipat kali ganda walaupun hanya dengan sedikit amal, jadi rebut peluang itu.

Selain itu, harus sentiasa berpesan dalam diri, pemergian kita ke sana adalah sebagai hamba. Jadi, kita selayaknya berkelakuan sebagai hamba. Tidak kira berapa mahal pun pakej yang dipilih, kita tetap hamba pada Allah swt. InsyaAllah, sentiasa minta pada Nya untuk dipermudahkan segala urusan...magis bumi Mekah, tuhan menjawab permintaan kita dengan pantas sekali.

Apakah cabaran yang bakal kita hadapi sebagai jemaah? Mengambil kata-kata seorang rakan, cabaran beribadat kepada Allah tidak terlalu sukar tetapi cabaran sesama manusia yang berjuta jumlahnya, ternyata payah. Memerhati dan berfikir tentang kerenah manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia, pelbagai latar belakang dan adat resam, saya akui ia satu cabaran maha hebat. Teringat akan satu ayat femes tentang jalan ke syurga itu ada dua lorong; satu lorong tuhan dan satu lagi lorong manusia. Lorong tuhan mudah kita jaga, mudah untuk kita bertaubat tetapi lorong sesama manusia agak sukar jalannya. Begitu juga dengan ibadat kita di tanah suci Mekah. Pergi ke masjid Al-Haram itu mudah tetapi merentasi lautan manusia yang sengaja atau tidak sengaja berpeleseran di dataran masjid, ternyata agak payah. Bersolat itu mudah, antara kita dan tuhan tetapi menahan gelodak hati yang marah dengan kekasaran dan tiada sikap timbang rasa sesama jemaah, sukar diucapkan. Menguncup hajarul aswad itu mulia, tetapi perlaksanaannya hingga sanggup menyakiti orang keliling adalah sangat tidak beradap. Rumah mulia seperti Al-Haram tetapi tetamu-tetamunya biadap sesama sendiri, hingga hilang adab dan tertib, ia sesuatu yang memalukan. Mungkin kita menjadi cabaran pada orang lain, dan orang lain pula menjadi cabaran kepada kita. Wallahu'alam.

Apakah harapan para jemaah apabila meninggalkan kota Mekah? Saya rasa, semua jemaah mempunyai harapan yang sama iaitu ingin kembali bertawaf mengelilingi Kaabah. Harapan saya yang lain, semoga para penguasa kota Mekah lebih menitikberatkan soal kebersihan di kawasan sekitar kota dan bukan hanya tertumpu di kawasan masjid sahaja. Bangunkan kawasan di sekitar kota supaya selari dengan kecanggihan masjid Al-Haram. Pastikan kebersihan kota ini dijaga dengan sebaik mungkin kerana ia membawa persepsi tentang orang islam keseluruhannya. Walaupun orang bukan islam tidak boleh menjejakkan kaki di kota ini tetapi kita harus ada standard kebersihan yang maksimum kerana inilah tempat ibadat terulung umat islam seluruh dunia. Denda maksimum pada mereka yang suka meludah, denda maksimum pada mereka yang membuang sampah. Jika boleh denda maksimum pada jemaah yang bebal dan tidak faham peraturan.

Wassalam


Thursday, 15 August 2013

Budaya MEMANDU vs negara MAJU

Salam

Selamat hari raya aidil fitri. Pantas masa berlalu, entri terakhir seminggu dalam bulan ramadhan dan kini sudah seminggu masuk ke bulan Syawal. Pejam celik, pejam celik sudah Ramadhan lain dan Syawal lain. Tidak dapat dinafikan, inilah keunikkan berada di negara Malaysia. Bulan-bulan ini penuh keunikkan dan keistimewaannya tersendiri. Rugi jika terlepas berada di dalam negara ini pada bulan Ramadhan dan Syawal. Ternyata, inilah bulan-bulan yang sering dinantikan kedatangannya saban tahun terutamanya jika berada di negara terchenta Malaysia. Auranya luar biasa sama sekali.

Setiap tahun kita akan memandu jauh untuk pulang ke kampung halaman dan mengambil kesempatan beraya bersama sanak saudara. Saban tahun juga kita mendengar kes-kes kemalangan ngeri dan maut memenuhi dada akhbar. Melaporkan kehilangan nyawa pemandu kereta, motorsikal, selebihnya penjalan kaki dan tidak ketinggalan juga mereka yang tiada kena mengena dengan jalan raya. Contohnya, kisah seorang penjual lemang di kampung tersondol oleh sebuah kereta yang hilang pertimbangan. Al-kisahnya, kereta itu terpesong arah disebabkan oleh anak kecil yang tersenggol stereng kereta ketika bapanya sedang memandu. Malangnya, alasan seumpama ini sangat biasa dalam budaya masyarakat pemandu Malaysia. Tidak pernah lagi saya mendengar kes seumpama ini ketika berada di luar negara. Jika ada sekalipun, saya pasti lesen memandu bapa itu akan digantung seumur hidup atas alasan lalai dan membahayakan nyawa orang lain. Berlainan pula jika di negara kita, "sudah ditakdirkan," Tutup kes!

Bolehkah negara kita Malaysia mencapai taraf negara maju? Jawapan pendek saya TIDAK! Pengukur mudah bagi membuktikan dakwaan saya adalah budaya pemanduan orang-orang kita. Baik yang berkereta murah hinggalah mewah, tiada beza. Apabila berada di atas jalan raya, ramai hilang kawalan dan adakalanya bagai disampuk jembalang tanah, memecut tidak kira lorong kiri atau kanan. Malah lorong kecemasan pun mereka sanggup pecut. Bersangka baik pada pemandu begini, saya sering berfikiran mereka sedang membawa seorang isteri yang sedang sarat mengandung dan mahu terberanak di dalam kereta. Jadi saya boleh berlapang dada daripada mengeluarkan kata-kata kurang enak.

Hipokritnya orang-orang Malaysia boleh dilihat melalui tabiat kita mengurus kehidupan harian. Sopan santun yang sering dilaung, diamal di khalayak ramai boleh hilang sekelip mata apabila mereka masuk ke dalam kereta dan berada di jalan raya. Bagaikan mereka "FREE" daripada terkongkong dalam norma masyarakat sopan santun di dalam negara ini. Tidak banyak beza berbanding mamat dan minah arab yang masuk ke nagara kita. Hilang semua tatasusila dalam budaya arab yang terlalu mengongkong dan tanpa segan silu menjadi gangster apabila masuk ke negara orang. Agaknya, orang kita menjadi dirinya sendiri apabila memandu kereta. Itu sahaja cara mereka mengekspresi keupayaan dan kelebihan diri. Agaknya sifat malu orang-orang kita hanya boleh disingkap apabila memasuki ke dalam perut kereta dan memecut laju di atas jalan. Mungkin, mungkin...

Pengalaman saya melihat cara pemanduan rakyat Australia, Switzerland, German, United Kingdom berbeza antara satunya. Ada yang sangat agresif seperti di Swiss dan German, tetapi mereka masih terbatas oleh peraturan jalan raya. Maklumlah, kebanyakan mereka mampu berkereta mewah jadi mereka akan memecut sepantas kereta F1 di litar tetapi memperlahankan kenderaan sebaik sahaja masuk ke kawasan yang ada had kelajuan. Mereka tidak terbawa-bawa dengan sikap lupa diri walaupun berada di dalam perut Lamborghini ataupun Ferrari. Berbeza dengan rakyat Australia, mereka cuma agresif apabila menunggu di hadapan lampu trafik. Jika kita terlewat sekilas pandang tatkala lampu hijau bernyala, pasti kedengaran bunyi hon dari belakang. Menariknya, terlepas daripada lampu isyarat mereka tidak pula memotong kita yang berada di hadapan. Berada atas highway di jalan-jalan besar Australia, kita boleh melihat kereta bertali arus tetapi semuanya teratur dan tiada drama simpang suir. Bagaikan kepala pemandu-pemandunya disetkan dengan had laju sepertimana tertera di papan tanda highway. 

Dengarnya, cara pemanduan rakyat Cina di Tanah Besar China lebih menakutkan dan gangster daripada kita di sini. Teringat tulisan saya terdahulu, bolehkah negara China menjadi negara maju seperti Amerika, jawapannya... TIDAK!

Saturday, 13 July 2013

Cengkerang

Salam semua

Di kesempatan ini saya mahu mengucapkan selamat berpuasa pada semua muslimin dan muslimat di luar sana. Semoga ketabahan dan kerajinan kita sehari dua ini masih dalam momentum yang sama hingga ke penghujung puasa, insyaAllah. Doa untuk diri sendiri sebenarnya.

Saya ada banyak minat, antaranya belajar subjek baharu, terutamanya yang ada kena mengena dengan kehidupan harian. Selain ilmu psikologi, saya juga sedang mengintai-intai subjek antropologi. Walaupun ia agak asing di awalnya, tetapi semakin lama menggali ia makin menyeronokkan. Pada mereka yang agak janggal dengan istilah antropologi, ia adalah ilmu sains kemanusiaan. Dalam bidang pengajian antropologi, kita akan belajar tentang bahasa, sosio-budaya dan biologi sesuatu kelompok manusia yang berkembang dari masa ke masa. Definasi asalnya agak luas, ia meliputi pelbagai isu yang memperlihatkan perkembangan tamadun manusia dari dahulu hingga sekarang.

Kesempatan berada di beberapa buah negara sebelum ini dan akan datang, menjadikan subjek ini makin menarik perhatian saya. Saya suka melihat bagaimana reaksi kelompok manusia berfikir, berinteraksi dan berbudaya, khususnya dalam meneruskan kehidupan seharian mereka. Contohnya, semasa berada di Switzerland, saya dapati orang-orang di sana agak 'sombong' berbanding mereka yang berada di England. Orang Swiss agak lambat mesra dengan orang luar, tidak seperti mereka di England. Walaupun kedua-dua negara itu tergolong dalam negara empat musim tetapi cara orang-orangnya berfikir dan bertindak, agak berbeza. Orang British, mereka bijak dan licik secara purata. Berbeza dengan orang Amerika yang agak berterus terang dalam semua perkara. Suami pernah memberi komen, "British akan menampakkan kita bodoh tanpa kita sendiri terasa diperbodohkan." Agaknya, inilah antara alasan mengapa banyak negara dunia boleh terjatuh dalam muslihat British pada era kegemilangan tamadun eropah satu ketika dahulu. Tidak keterlaluan saya katakan, kelicikkan dan kepandaian mereka masih diiktiraf dunia hingga ke hari ini. Berbeza dengan kejiranan eropah yang lain, contohnya Jerman. Orang-orang Jerman tidak banyak beza dengan orang Swiss. Kebanyakan mereka seperti robot bernyawa. Software mereka hanya boleh membezakan antara warna putih dan hitam, tiada warna kelabu atau oren. Maksudnya, mereka hidup berpandukan peraturan yang ditetapkan oleh penguasa tempatan. Manakala British mempunyai pelbagai warna dalam kehidupan dan mereka mempunyai kemahiran dalam mengenal pasti kesemua warna yang ada. Menarik, bukan!

Balik ke negara sendiri, saya sedar orang-orang kita juga mempunyai budaya tersendiri. Berbeza dengan masyarakat barat yang agak 'straight forward'. Kita suka berdolak-dalik apabila ditanya, kononnya menjaga hati tetapi di belakang lain pula kisahnya. Agaknya, ini adalah sifat tipikal orang-orang Asia. Kita sangat ditekan supaya menjaga hati orang dengan alasan berbudi bahasa. Sudah pasti ia ada kena mengena dengan didikan agama, psikologi dan biologi kita dibesarkan. Cuba tonton drama Korea dan Jepun, ternyata sifat menjaga hati ini bukan hanya hak eksklusif orang-orang Melayu sahaja. 

Jika berpeluang melihat dan merasai budaya kerja orang-orang Asia seperti China, Jepun dan Korea, ia boleh memeningkan kepala yang sihat. Amalan menghormati bos di tempat kerja mereka agak keterlaluan pada mata kasar orang-orang kita. Penghormatan yang diberikan pada bos melebihi keperluan peribadi sendiri, dan adakalanya kelihatan melampau. Pengalaman saya bekerja dengan bos berbangsa cina suatu ketika dahulu pun tiada beza. Budaya mengampu bos sangat kental dalam sosio-budaya kelompok ini bekerja. Jika boleh, mahu dikawtow depan kaki bos. Sanggup tidak makan tenghari kerana bos datang melawat kita di tapak kerja. Malah mereka sanggup bersengkang mata menunggu, selagi bos tidak meninggalkan pejabatnya. Bagai tidak masuk akal, tetapi inilah budaya. 

Berbalik pada budaya orang-orang kita, satu komen saya, "Cengkerang orang kita sangat cantik dan kental." Cengkerang adalah bahagian luar yang melindungi isi di dalam. Cengkerang itu sangat tebal sedangkan isi di dalamnya nipis dan kurang enak. Inilah pemerhatian saya sejak saya balik menetap di tanah air terchenta. Cengkerang luaran sangat cantik dan sungguh kuat hingga tidak boleh dirosakkan. Tetapi isi di dalamnya tidak sepertimana cengkerang luaran; nipis dan adakalanya lompang berongga. 

Masih ramai 'perasan' rakyat kita berbudi bahasa, tetapi cuba bawa anak kecil di dalam kereta sorong dan cuba masuk ke dalam lif. Adakalanya, boleh tersepit di pintu lif dan tiada sesiapa di dalam yang cuba menekan butang pintu. Sifat keindividuan antara kita sangat tebal hingga terhakis sifat prihatin sesama sendiri. Kita kelihatan seperti muslimah muslimat, tetapi cuba singgah mana-mana tandas masjid untuk melepaskan hajat. Boleh terbantut jika melihat keadaan tandas yang tidak berjaga. Saya menggeleng kepala setiapkali terpaksa berurusan dengan kerani sekolah anak kerana budi bahasanya boleh jatuh ke tangga 27 dari belakang. Kehadiran kita seperti menyusahkannya, tiada senyuman dan tiada sapaan. Berlainan sungguh rasanya apabila saya berurusan dengan kerani sekolah anak di negara luar. Selain senyum dan sapaan, mereka akan memberi bantuan selagi boleh bagi memudahkan urusan kita sebagai ibubapa.

Cengkerangnya; kita kelihatan sangat sopan berpakaian dan berbahasa tetapi amalan kita jauh berbeza berbanding mereka yang berimej 'rock' di luar sana. Cengkerang kita cantik tetapi isi dalamnya berongga tidak berisi. Amalan kita berbeza dengan apa yang kita sering perkatakan dan war-warkan di luar sana. Bukan sekali saya mempunyai pengalaman dikecewakan dengan penampilan sopan, suci, anggun dan hiasan kata-kata indah berpujangga. Tetapi amalannya mengecewakan, ia tidak sama sepertimana yang disebut-sebut dan diajar-ajar. Cuba lihat kejiranan kita, siapa tidak kenal siapa, siapa tidak bertegur siapa. Malangnya, kita tetap berperasaan kitalah yang paling berbudi bahasa.

Persoalan seterusnya yang sering singgah ke otak saya, mengapa orang kita berusaha keras mencantikkan cengkerang masing-masing dan kurang memberi perhatian pada isu-isu dalaman. Inilah budaya, ia merentasi isu-isu kefahaman, psikologi dan keagamaan...menarik, bukan!





Thursday, 4 July 2013

Pilihan menjadi SURI

Salam

Semakin malas menulis, semakin malas menjengah. Dikuatkan hati, kali ini saya akan cerita serba sedikit tentang pilihan menjadi seorang suri. 

Sebelum berlari jauh, saya perlu ingatkan; tidak semua antara kita mempunyai kelebihan untuk membuat pilihan. Ada yang terjebak, contohnya saya. Ada yang dipinta oleh orang tersayang kerana suami terlebih mampu. Ada yang terpaksa kerana pembantu rumah lari mengikut teman lelaki. Ada juga yang mengambil keputusan menjadi suri setelah penat bekerja  dan mahu menemani suami tersayang. Malah, ada yang sudah awal-awal lagi mempunyai impian menjadi suri apabila berkahwin dan mempunyai anak kelak.

Apa pun alasan kita memilih menjadi suri sepenuh masa, sama ada suka atau tidak, sedikit sebanyak ia pasti membawa kesan emosi ke atas diri. Ada masanya keputusan itu memakan diri dan adakalanya ia bagaikan satu rahmat yang tiada tolok bandingnya. Ada masanya kita kecewa, ada masanya kita panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga. Ibarat roda bersilih ganti, adakala emosi kita di awangan dan ada waktunya seperti mahu melarikan diri dari rumah.

Baiklah, jika ada yang bertanya; apakah prasyarat yang melayakkan seorang wanita menjadi seorang suri sepenuh masa? Sejujurnya, saya tiada jawapan. Bagaimanapun, ia bergantung pada beberapa faktor. Antara faktor utama kebanyakan rakyat marhein seperti kita adalah kewangan. Faktor kewangan memainkan peranan yang agak penting apabila kita memilih keputusan menjadi suri. Ia mampu menggugat keharmonian sesebuah rumah tangga jika tidak ditangani sebaiknya. Ini tidak pula bermaksud, segalanya bertuhankan duit atau harus ada penyata kira-kira di akhir bulan ataupun catatan debit dan kredit di penghujung hari. Tetapi ia tetap merupakan syarat penting kerana suka atau tidak, pendapatan isi keluarga akan terjejas sekiranya salah seorang daripada kita tidak bekerja. Walaupun hakikatnya, tidak semua aktiviti boleh dikira atau bersandarkan terma kewangan. Namun begitu, kehidupan dunia hari ini tetap berkisarkan pada kemampuan kewangan dalam melicinkan  urusan hal ehwal keluarga. 

Selain kewangan, apakah faktor lain yang boleh mempengaruhi keputusan seorang wanita sebelum menjadi suri? Pelbagai, ia boleh terjadi atas permintaan suami, boleh juga disebabkan oleh kemahuan isteri. Selain itu, boleh juga disebabkan oleh keperluan anak-anak. Ketiadaan pembantu rumah untuk membantu kita menguruskan hal-ehwal anak-anak, juga antara faktor munasabah isteri memilih untuk menjadi suri. Pendek kata, alasan kita berbeza mengikut individu. Keperluan kita juga berbeza mengikut keperluan peribadi, famili dan anak-anak. Tiada prasyarat layak sebenar-benarnya, yang wujud hanya kesediaan si isteri melepaskan jawatan, meninggalkan kelebihan-kelebihan lain semasa berjawatan. Itu sahaja. Sudikah kita melepaskan gaji lebat selama ini? Sudikah kita kehilangan masa mewah bersama teman-teman? Sudikah kita melupakan waktu rehat hari jumaat bersama teman, bersuka ria mengelilingi shopping mall? Sanggupkah kita menukar identiti 'career woman', kepada gelaran 'suri' yang tiada prestij? Segalanya berbalik pada kesudiaan diri kita sendiri. Jika tidak sudi atas alasan apa sekalipun, tiada sesiapa boleh menidakkannya. Pastinya, ia bukan satu pilihan yang mudah terutamanya jika kita menjawat jawatan tinggi, bergaji lumayan dan mempunyai kuasa di tempat kerja.

Walau bagaimanapun, saya boleh berkongsi tips bagi memudahkan proses ini dilakukan. Apakah terma-terma yang perlu dipenuhi oleh suami(jika mampu) dan boleh disyaratkan oleh isteri jika memilih keputusan ini. Matlamatnya jelas supaya kita sebagai isteri tidak dipandang remeh oleh suami, hanya kerana kita tidak makan gaji di luar. Suami tetap menghormati isteri dengan mengiktiraf keperluannya sebagai individu. Isteri tetap boleh terus berjasa kepada kedua orang tuanya walaupun memilih untuk bermajikankan si suami. 

Antara syarat-syaratnya ialah;

# Suami harus memberi elaun bulanan kepada isteri. Elaun ini boleh ditafsirkan berbeza mengikut persetujuan bersama. Contohnya, tunai runcit keperluan anak-anak dan famili dicampurkan sekali dengan elaun isteri. Mungkin elaun isteri, tunai runcit dan belanja basah(ikan dan sayur-sayuran) boleh dirangkul bersama, dan terpulang pada isteri untuk mengagihkannya. Paling penting, ia dapat mengelak isteri berasa seperti 'pengemis' kerana menunggu tunai daripada suami untuk keperluan famili. Percayalah, ia memberi kesan emosi yang sangat negatif jika isteri tidak boleh memegang duit dan tidak diberi kepercayaan oleh suami untuk mengendalikan hal-ehwal domestik seperti ini.

# Suami mampu; boleh juga menghadiahkan elaun EPF pada isteri tersayang. Syaratnya, elaun ini harus dimasukkan secara berasingan oleh suami ke dalam akaun KWSP si isteri. Jumlahnya bergantung pada kesediaan dan kemampuan si suami. Isteri akan rasa seperti terus bekerja walaupun hakikatnya, dia hanya bekerja di rumah.

# Suami mampu; bonus, duit raya, pelarasan elaun dan segala jenis bentuk sagu hati boleh dihadiahkan pada isteri dan ia bersifat musim. Contohnya, bonus syarikat dibayar sebanyak 3 bulan dalam setahun, jika mampu  ...mungkin sebulan boleh diberikan pada isteri. Isteri mungkin ada keperluan/kemahuan peribadi yang bermusim, contohnya membeli gelang emas sempena hari raya.

# Suami harus mengizinkan isteri memberi elaun kepada ibu dan ayahnya. Peruntukkan elaun ibu ayah mertua seharusnya datang daripada poket suami kerana isteri sanggup memilih untuk tidak bekerja demi keluarga tercinta. Redha ibu ayah mertua tiada beza dengan redha ibu ayah sendiri. Oleh itu jika mampu dan demi bersifat adil pada kedua-dua belah keluarga, berikan semampu dan seadil mungkin. Isteri sangat berbesar hati jika suami berakal mampu melihat isu ini dari sudut berbeza. Hilang beban untuk merasionalkan tindakannya berhenti kerja kepada ibu ayah yang menyaranya ke sekolah, jika suami sanggup berlaku adil pada perkara seumpama ini.

# Suami perlu menghormati keperluan isteri sebagai individu. Walaupun isteri memilih untuk bekerja di rumah, menjadi pembantu setia suami dan anak-anak, tetapi hormatilah masa lengangnya. Ia bukan hanya tertakluk pada masa telenovela di rumah, tetapi keperluannya bersosial di luar rumah. Izinkan isteri untuk ke kelas mengaji, seumpamanya. Benarkan dia mempunyai kawan-kawan sendiri dan hormati masanya bersama  rakan sekiranya ia tidak memberi kesan negatif pada keluarga. Walaupun tidak lagi bekerja, isteri dapat merasakan dirinya masih seperti dahulu, tetap mempunyai kawan-kawan dan tidak dikongkong oleh suami.

# Beri kebebasan pada isteri untuk memutuskan perkara yang melibatkan isu-isu domestik. Kebebasan membuat keputusan oleh isteri adalah satu bentuk kepercayaan yang diberikan oleh suami. Ia sangat bermakna pada isteri. Kuasa isteri membuat keputusan boleh ditafsirkan sebagai 'partner' dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Isteri akan menjadi lebih bertanggungjawab apabila diberi kuasa oleh suami. Isu-isu domestik ini boleh melibatkan hal-ehwal anak-anak sekolah, isu kekeluargaan dan saudara mara.

# Seboleh mungkin, jadikan isteri kita self-sufficient. Isteri yang tidak bergantung secara fizikal pada suami, lebih mudah bergerak ke sana sini demi menunaikan tanggungjawab keluarga. Kemahiran ini perlu ada dan dididik pada setiap isteri yang memilih untuk menjadi suri sepenuh masa. Sifat kebergantungan yang keterlaluan pada suami membuatkan isteri 'cacat' dalam melicinkan tugasnya di luar rumah.

# Raikan hobi atau kesukaan si isteri. Benar, isteri adalah milik suami tetapi dia juga adalah individu yang mempunyai citarasa tersendiri. Hormati hobi isteri itu tanpa meremehkannnya walaupun dia tidak lagi bekerja. Cuma jika ia melibatkan belanja yang besar dan suami tidak mampu, ambil jalan tengah yang mendamaikan. Jika isteri suka menghadiri kelas masakan, kelas menari, kelas menjahit...izinkanlah. Jangan dinafikan keperluannya berhobi hanya kerana dia memilih menjadi suri.

Ini antara tips-tips yang diamalkan oleh saya dan suami. Ia mungkin tidak sempurna keseluruhannya tetapi ini antara sebab mengapa saya masih bertahan bergelar seorang suri hingga ke hari ini. Identiti saya masih tidak jauh berbeza walaupun setelah bergelar suri. Saya masih seorang individu yang mempunyai hobi, kuasa, kemampuan fizikal dan sedikit kewangan tanpa "kelihatan' terlalu bergantung pada suami. Walaupun hakikatnya, saya benar-benar bergantung pada beliau. 


Sunday, 16 June 2013

Kebebasan

Salam semua

Sejak dua menjak ini, saya sering diterjah dengan isu 'kebebasan' berfikir dan memilih. Ramai juga tanpa tangguh mengakui diri mereka lebih alim berbanding orang lain berpandukan pilihan dan cara mereka berfikir. Saya tiada isu tentang apa orang lain fikir, asal tidak mengganggu pilihan orang lain. Saya tidak kisah apa yang mereka pilih, asalkan tidak menghukum kita yang tidak seperti mereka.


Kata seorang ustaz, "Jika kita hendak menyimpan janggut dengan alasan mengikut sunnah Nabi Muhammad saw, silakan. Tetapi tidak perlu melihatkan orang lain yang tidak mahu simpan janggut seperti tidak mengikut sunnah, dan ia bagaikan satu kesalahan." Katanya lagi, "Masyarakat kita suka menampakkan dirinya alim, berakal, berilmu daripada orang lain dengan meremehkan dan menidakkan kebebasan orang lain memilih." Saya percaya, ayat pendek daripada ustaz ini cukup untuk memberi panduan pada kita, selagi isu itu tidak melibatkan tauhid dan akidah pada Allah maha esa, cubalah berlapang dada.

Ada orang percaya, mereka yang membeli kereta mewah adalah satu bentuk pembaziran nyata. Ada orang percaya, budaya menyambut hari ibu, hari bapa dan hari lahir adalah budaya songsang dalam masyarakat yang tidak mengikut sunnah nabi saw. Ada orang percaya, mereka yang tidak mempunyai rumah besar, kereta mewah dan tidak melancong ke negara luar adalah mereka yang faham akan makna zuhud. Sesungguhnya, saya tiada isu dengan apa mereka percaya dan pilihan itu adalah hak milik eksklusif diri sendiri.

Kata seorang ustaz, "Orang islam harus kuat, harus gagah, harus tunjukkan kehebatan supaya orang lain hormat pada kita. Zuhud bukan bermaksud rumah kita bagai hendak roboh, baju kita compang-camping dan badan kita berbau. Orang islam yang kaya tetap zuhud apabila hatinya tetap pada tuhan yang esa, mensyukuri nikmat tuhannya dan memberi kebajikan pada orang kelilingnya. Membayar zakat, bersedekah dan membantu fakir miskin dengan kekayaan yang tuhan limpahkan padanya. Mereka percaya, tuhan memilih mereka hanya sebagai perantara rezeki tuhan sekian alam pada makhluk-makhluk lain."

Saya tidak berminat untuk menyekat kebebasan orang berfikir dan percaya apa yang mereka mahu. Tetapi paling tidak, berilah kebebasan yang sama pada orang lain. Kita boleh menyekat nafsu kita daripada berkereta besar dengan apa alasan sekali pun. Tetapi paling tidak, berlapang dada apabila orang memilih untuk memilikinya. Tidak perlu keluar kata-kata yang kurang menyenangkan, tidak perlu menghukum kerana pilihan mereka berbeza daripada kita. Kata-kata menghukum seperti tidak mengikut sunnah, pembaziran, menjadi mangsa material adalah satu bentuk penindasan terhadap kebebasan berfikir dan bertindak. Kita semua mempunyai alasan demi alasan mengapa kita membuat pilihan itu dan bukan ini. Saya pasti semua antara kita mempunyai alasan tersendiri.

Di alam nyata, saya berkesempatan berkawan dengan mereka yang datang dari kelompok berimej zuhud sebegini. Cara mereka berfikir dan bertindak bagaikan dalam manual buku belajar memandu, mereka tidak berkereta mewah, mereka tidak mempunyai rumah mahal dan mereka tidak berpakaian berjenama. Tetapi mereka mempunyai banyak pelaburan dalam hartanah dan emas sebagai harta masa hadapan. Apa pun alasan mereka memilih untuk membuat pelaburan hartanah atau emas, itu adalah hak peribadi mereka. Saya tiada hak untuk masuk campur. Tetapi pada saya yang kurang gemar menyemak kepala dengan isu rumah sewa, orang menyewa dan duit sewa, pelaburan hartanah adalah perkara terakhir saya ingin terjebak.

Jika saya bertanya, zuhud sangatkah kita apabila memilih untuk berumah ala kadar tetapi memiliki deretan rumah sewa dan seronok mengutip sewa setiap bulan? Zuhud sangatkah kita apabila menolak keselesaan dan keselamatan yang ditawarkan dalam kereta mewah tetapi mempunyai berbongkol emas di dalam peti besi? Pada saya, deretan rumah sewa mahupun emas berketul bukan keperluan asasi pada kita dan famili. Ia cuma satu bentuk penzahiran nikmat yang Allah swt berikan pada kita, dan kita cuma memilih pelaburan hartanah dan emas. Apa bezanya antara kita dan mereka yang memilih rumah besar dan selesa bersama kereta mewah yang ternyata mempunyai ciri-ciri keselamatan? Salah jugakah jika mereka memilih berumah dan kereta besar untuk keselesaan kaum keluarga?

Sekali lagi, ia tiada beza pada mata saya. Kita semua akan mati, deretan pelaburan hartanah dan emas di dalam peti besi akan jatuh ke tangan waris. Begitu juga dengan mahligai besar dan kereta mewah milik kita, semuanya ...selamat akan jatuh ke tangan waris. Kesemua kita tergolong dalam mereka yang rugi jika tiada persediaan untuk ke alam lain. Untungnya adalah waris kita, joli katak menghabiskan peninggalan jika tidak diurus dengan baik dan bijaksana. Kata ustaz, "Rezeki kita adalah apa yang kita gunakan untuk kelangsungan hidup semasa di atas muka bumi. Selain daripada itu, sama ada rumah besar, rumah sewa, kereta mewah, emas dan perak adalah hak milik waris selepas ketiadaan kita. Mereka yang bijak adalah mereka yang membelanjakan rezeki Allah untuk bekalan di sana, sama ada jariah, didikan anak soleh mahupun dibelanjakan demi meraihkan ilmu bermanfaat. 

Di manakah kita pada ketika itu?

Thursday, 6 June 2013

Pentingkan Diri Sendiri

Salam semua

Jam menghampiri detik tengah malam, tiba-tiba terasa mahu menulis. 


Sesetengah wanita bertanya pada saya, apakah tip berkesan untuk kekal menjadi suri rumah buat sekian lama. Maklumlah, sudah 13 tahun lebih saya menjawat jawatan ini. Maklumlah, saya bukan kategori ibu mithali yang sanggup korban apa sahaja demi sebuah keluarga ideal sepertimana dalam kisah-kisah tauladan. Jawapan saya mudah, harus ada sikap pentingkan diri sendiri!

Seperti biasa, saya tidak suka mempopularkan idea ini kerana ia sangat bertentangan dengan tatasusila wanita melayu terakhir dalam negara ini. Saya tahu dan faham benar akan pandangan ibu-ibu lain apabila diberitahu akan kisah keSELFISHan kehidupan saya sebagai seorang isteri dan ibu. Selama ini, saya tidak pernah rasa idea ini canggih kerana budaya dalam masyarakat kita sangat mendambakan seorang isteri yang sanggup membuat apa sahaja demi keluarga terchenta. Walaupun mereka sanggup menidakkan atau melupakan keperluan dan kemahuan diri sendiri asalkan kehidupan anak dan suami terjaga rapi. Malangnya, sikap pentingkan diri saya agak menyerlah dalam hal-hal seperti ini. Saya percaya jika kita tidak mampu menyayangi diri sendiri, orang lain tidak akan mampu menyayangi diri kita. Bolehkah digunapakai alasan seumpama ini?

Apakata kita perhalusi sedikit sikap pentingkan diri yang ada dalam diri saya sebagai seorang suri. Saya akui, saya harus ada masa untuk diri sendiri dan masa itu adalah di dalam bilik air dan bilik tidur. Menjadi kepantangan saya apabila masuk ke dalam bilik air, ada anak kecil memanggil-manggil dari luar pintu. Bagaikan mahu roboh pintu bilik air apabila mereka memangggil. Hanya untuk bertanyakan, sama ada dia perlu memilih baju berwarna merah atau biru. Pening kepala buat seketika!

Bukan itu sahaja, sejak mendapat anak sulung, saya akan pastikan saya mempunyai masa bersendirian. Bukan di bilik air, bukan di kedai kopi tetapi di atas katil dengan sebuah buku yang mampu memberi saya sumber ilmu dan inspirasi. Pada saat itu saya terfikir, hanya masa itu milik saya yang sebenar-benarnya dan ia tidak perlu dikongsi bersama anak mahupun suami. Inilah masanya saya bersendirian dan berfikir tentang subjek yang dibaca, dan ilmu yang diperolehi adalah eksklusif milik peribadi. Tiada istilah berkongsi di sini, yang ada cuma hak milik peribadi! Seperti yang kita ketahui, rutin harian seorang suri rumah hanya berlegar-legar pada keperluan orang lain, sama ada suami atau anak-anak dan saya tidak boleh tahan dengan idea ini. Di mana bahagian saya? Walaupun tipikal pendakwah, kakak, abang, cikgu, ibu, ayah atau sesiapa sahaja pasti menjawab, bahagian saya ada di SANA...tetapi secara peribadi saya tidak mampu merasakannya. Malang betul nasib saya!

Tidak sangka amalan saya sejak dari kahwin hingga sekarang mampu memberi saya kekuatan dalam mengharungi cabaran suka duka menjadi seorang suri. Kekadang apabila emosi rasa terhimpit dan tercengkam, saya mencari jalan bagi meloloskan diri. Masalahnya, saya bukan seperti kebanyakan isteri-isteri di luar sana yang pandai membeli-belah untuk melepaskan tekanan. Saya tidak pandai membeli belah secara online, saya tidak pandai membuat terapi dengan melayan diri ke pusat membeli belah. Antara cara saya melepaskan diri adalah dengan melarikan diri buat seketika ke dunia lain. Dan dunia lain adalah buku-buku saya, dan kini blog.

Terbaru, saya mengambil peluang meloloskan diri buat seketika semasa kawan baik bertandang ke Malaysia sebelum mengambil penerbangan ke London. Agak sukar mendapat kebenaran dari encik suami, tetapi saya tetap berkeras kerana saya perlukan masa sendirian tanpa anak-anak dan suami. Kebetulan, si kawan mendapat satu bilik hotel berdekatan dengan 'airport'. Satu malam kami menghabiskan masa bersama, berborak, makan dan bergurau-senda hingga dini hari. Keesokkan harinya, apabila pulang semula ke rumah saya rasa seperti mendapat tenaga baharu. Perasaan itu sungguh segar dan bersiap sedia untuk menempuh hari-hari yang bakal mendatang. Betapa leganya perasaan walaupun larian diri itu hanya berlaku tidak lebih daripada 24 jam.

Rupa-rupanya amalan saya selama ini adalah salah satu tip keibubapaan orang-orang Perancis. Hakikatnya, saya tidak pernah tahu sehingga saya terbaca mengenainya. Saya tidak teruja apabila membaca alasan demi alasan yang diberikan oleh mereka. Apa yang saya tahu, saya tidak boleh mengorbankan seluruh jiwa dan raga saya hanya untuk anak-anak dan suami. Saya perlu ada masa untuk diri sendiri, itu sahaja. Berbanding kita di sini, ibu ayah di sana sering memperuntukkan masa eksklusif mereka suami isteri tanpa kehadiran anak-anak. Tanpa sedikit pun rasa bersalah atau mempunyai perasaan seperti mereka tidak sayangkan anak-anak. Mereka menganggap masa eksklusif itu adalah hak peribadi dan anak-anak tidak boleh mengubah atau merampasnya dari mereka. Sedangkan kita di sini diajar dan diberitahu turun temurun, kehidupan kita akan berubah 100% apabila mendapat cahaya mata dan itulah yang berlaku. Keseluruhan hidup kita berpusar pada kehidupan anak-anak tanpa rehat dan masa untuk diri sendiri. Kesemua tumpuan kita hanya untuk anak-anak membesar dan adakalanya menidakkan keperluan sendiri terutamanya di kalangan ibu-ibu bergelar suri.

Bagaimanapun, saya tidak mensyorkan pendekatan ini pada semua ibu-ibu suri di luar sana. Saya faham keperluan dan kepercayaan kita berbeza dalam menjaga keharmonian diri. Ada sesetengah ibu yang saya kenali, mempunyai anak melebihi 5 orang tetapi tidak langsung merasai apa yang saya alami selama ini. Tiada seditik pun rasa berontak dalam diri mereka walaupun kehidupan 24 jam mereka berkisar pada keperluan anak dan suami. Sesungguhnya, saya sangat kagum dengan ibu-ibu sebegini. Pernah saya bertanya, adakah mereka tiada keperluan peribadi untuk bersendirian. Jawapan mereka, tidak sempat memikirkan tentang keperluan itu kerana jadual mereka dipenuhi dengan aktiviti anak-anak. 

MasyaAllah, mulianya hati ibu-ibu ini. Engkau berilah tempat Mu yang terbaik untuk mereka. Amin.


Wednesday, 22 May 2013

FRENCH Parenting

Salam semua 

Tajuk sedikit ala-ala Ratatouille. Saya pernah sekali sampai ke Paris, anggun dan megah kota metropolitan di sana sepertimana juga orang-orangnya. Satu fakta menarik tentang orang-orang yang berasal dari negara eropah kotinental, mereka tersangatlah elegan dan anggun. Apa sahaja yang mereka lakukan, sama ada duduk minum kopi di tepi jalan mahupun berjalan-jalan tanpa arah tuju di pusat membeli-belah, mereka tetap kelihatan anggun. Adakah kerana lokasi mereka merupakan pusat fesyen dunia? Segala mak nenek barangan kulit, jaket berbulu berjenama hinggalah pada rekabentuk kereta termahal di dunia, semuanya berasal dari situ. Adakah faktor-faktor itu menyebabkan mereka kelihatan sungguh anggun dan bergaya?

Ok, bukan itu maksud utama saya mengetengahkan tajuk French Parenting pada entri kali ini. Sejujurnya, saya terkesima dan teruja membaca kisah dan mendapat ilmu daripada buku keibubapaan yang saya beli tempoh hari. Selama ini, saya rasakan gaya keibupaan yang dipraktikkan oleh kami suami-isteri agak ketinggalan zaman. Maklumlah, sukar mendengar ibu ayah sekarang mahu menyalahkan anak sendiri walaupun terang-terangan anak mereka salah. Sukar mencari ibu ayah yang akan mengucapkan terima kasih pada jiran jika mereka datang mengadu tentang perangai anak kita di sekolah. Paling sukar, berjumpa dengan ibu ayah yang mengaku mereka cetek ilmu mendidik anak-anak tetapi memberi komen panas walaupun anak kita tidak pernah masuk ke dapur mereka dan membuka peti ais sepertimana anak-anak mereka datang ke rumah kita. Sungguh, ia sangat sukar!

Ternyata andaian saya salah sama sekali. Pertama kali saya akui, mungkin kerana saya orang melayu Malaya yang terkenal dengan sikap rendah diri dan tidak berbangga dengan asal usul. Betullah kata orang, rakyat Perancis sangat sombong dan mereka tanpa segan silu mengaku..."This is French style" dalam nada yang sangat bangga tetapi masih anggun. Manakala saya pula seboleh mungkin mahu menyembunyi gaya keibubapaan kami atas alasan tidak mengikut peredaran zaman, bersifat tegas dan kurang pendekatan psikologi sepertimana disarankan oleh pakar-pakar keibubapaan terutamanya dari US dan UK. Saya juga akui kebanyakan buku-buku keibubapaan yang saya baca selama ini berasal dari sana, tetapi hakikatnya saya tidak praktikan kesemuanya dalam alam realiti. Terlalu banyak do and dons, terlalu banyak menjaga hati dan perasaan anak-anak. Dan akhirnya, saya juga yang terpaksa mengelap lantai yang dibasahi sup nasi ayam! 




Berbalik pada isu French Parenting, tahukah kita bahawa gaya keibubapaan emak ayah kita terdahulu iaitu dalam era anak-anak 60an dan 70an menghampiri gaya keibupaan orang-orang Perancis dari dahulu hingga kini. Percaya atau tidak, istilah Terrible Twos yang sangat terkenal di kalangan ibu ayah yang merupakan pembaca tegar buku-buku keibubapaan dari US dan UK, tidak pernah wujud dalam kamus ibu ayah di Perancis. Saling tidak tumpah sepertimana emak ayah kita. Pernahkah kita tahu anak-anak Perancis tidak ada didiagnos mengidap ADD atau ADHD, iaitu satu istilah hiperaktif untuk anak-anak yang tidak boleh duduk diam. Ini semua ada kena mengena dengan didikan ibu ayah mereka. Mereka tidak meraikan pendapat bahawa anak-anak perlu ditanya atas sesuatu tindakan ibu ayah selagi mereka di bawah umur. Anak-anak tidak mempunyai hak membantah jika isunya berkaitan dengan keselamatan dan peraturan, sama ada di rumah mahupun di tempat awam. Secara ringkas, kini saya faham mengapa mereka yang berada di negara eropah terutamanya kotinental sangat berdisiplin dan bermoral tinggi berbanding kita di sini. Segalanya berpunca dari didikan ibu dan ayah mereka.

Pengalaman saya melahirkan anak di negara maju, mahal dan orangnya seperti 'mesin' mengajar saya banyak perkara tentang ilmu keibubapaan. Ditambah pula dengan kekurangan diri yang tidak dapat melahirkan bayi secara normal dan pertolongan minimum daripada keluarga, saya dapati nasihat-nasihat daripada jururawat mesin di sana sangatlah membantu. Hari kedua selepas melahirkan, saya dipaksa bangun dan berjalan hampir 300 meter ke bilik neonatologi bagi menyusukan bayi. Dalam 3 hingga 4 kali sehari semalam. Dalam kepayahan untuk bangun dan berdiri tegak disebabkan kesan ubat bius pada tulang belakang, saya dipaksa memandikan bayi selepas 3 hari dia dilahirkan. Dalam keadaan tangan yang menggigil dan badan membongkok akibat pendek nafas, saya tetap memandikan bayi kerana diperhatikan oleh jururawat yang berjiwa besi di sebelah katil bayi. Walaupun mempunyai alasan, ibu mertua ada bersama saya dan boleh memandikan bayi tetapi jururawat di sana tetap berkeras. Pada mereka, itu adalah anak saya dan saya harus bertanggujawab memandikannya dan bukan orang lain. Wow, tambahan lagi kata mereka, saya tidak boleh bergantung hidup pada orang lain selepas ini dan itulah yang diamalkan oleh mereka di Switzerland. Marah juga sebenarnya tetapi kata-kata mereka ada betulnya. Ibu mertua harus pulang ke kampung halamannya sebaik sahaja usia bayi mencecah 30 hari.

Selepas 5 hari bayi saya dikeluarkan dari wad neonatologi, saya membawanya pulang ke rumah. Perkara pertama yang mengujakan saya pada waktu itu adalah bertapa Swiss-nya bayi saya. Maksudnya, bayi saya sangat berdisiplin orangnya sepertimana orang-orang Swiss. Dia tidur empat jam dan bangun menyusu, tidur lagi empat jam dan bangun menyusu seperti telah disetkan jam dalam kepalanya. Saya tidak tahu bagaimana jururawat di sana melakukannya tetapi itulah yang saya terima apabila bayi pulang ke rumah. Pada saya, ia bagaikan rahmat  kerana dalam keadaan diri masih lemah, rutin bangun tidur dan menyusu ini amat menyenangkan saya. Saya dapat bersiap sedia lebih awal kerana dapat menjangka bila bayi saya akan bangun dan menyusu. Jika bayi menangis sebelum waktunya, saya tidak perlu mengangkatnya. Itulah yang dipesan oleh jururawat pada saya, apatah lagi mahu dikendong atau didodoi sebelum tidur. Ia dilarang sama sekali kerana perlakuan ini akan menyusahkan diri kita kelak. Alhamdullilah, nasihat dan tunjuk ajar ini saya ikuti dengan baik kerana saya tidak sihat untuk menjadi ibu superwoman dan tidak mempunyai pembantu untuk meringan beban saya di rumah. Hasilnya sangat memuaskan, bayi saya tidur nyenyak empat jam dan hanya bangun untuk menyusu, dia tidak perlu didodoi atau dibuai dan dia sentiasa selesa berada di dalam crib atau kereta sorongnya apabila keluar bersiar-siar sama ada di luar rumah mahupun di pusat membeli belah.

Pemberitahuan: Walaupun anak bukan dilahirkan di Perancis tetapi nilai kehidupan mereka bersulamkan tradisi yang sama kerana negara mereka berjiran. Mereka di Switzerland bertutur dalam tiga bahasa utama bergantung di mana lokasi yang terdekat dengan negara jiran. Andaikata Geneva, bahasa pertuturan mereka adalah French dan Zurich adalah Jerman dan Lugano adalah Italian.

Akan bersambung...


Sunday, 28 April 2013

Demam

Salam semua

Kini, kita semua dilanda demam pilihan raya umum PRU13. Tidak boleh lari daripada terkena demam ini, walaupun hakikatnya saya bukan penyokong taksub mana-mana parti. Saya tidak menyokong mana-mana parti kerana pada saya, semuanya sama kecuali warna benderanya. Orang tetap orang; ada yang baik, ada berusaha menjadi baik, ada yang kurang baik dan ada yang sentiasa perasaan 'dia' cukup baik. Jadi saya memilih mereka yang berakhlak, paling tidak saya tidak 'kuciwa' kerana mempercayai mereka.

Bukan niat saya mahu membantu mempromosikan mana-mana parti yang bertanding. Pada saya, mereka semua mempunyai peluang sama rata untuk menang. Saya suka akan fenomena ini, paling tidak, tiada yang terlena dalam rangkulan kuasa sekian lama. Paling tidak, semua berada dalam 'zon bahaya', jadi mereka tidak akan senang duduk atau berdiri sehingga segalanya berakhir. Bukankah ini satu 'permainan' yang adil dan saksama pada kita semua rakyat Malaysia? Tiba-tiba suara rakyat menjadi "berkuasa", jika selama ini bagaikan bunyi langau tetapi kini, ia sudah bertukar menjadi ngauman singa. Bertenaga dan berapa-api!

Apa yang menarik perhatian apabila demam ini semakin menuju ke kemuncak adalah reaksi rakyat-rakyat bawahan seperti saya. Dalam newsfeed FB, makin galak berita parti menjengah masuk. Tidak kira dari mana-mana parti, sama sahaja rentaknya. Kelakarnya, berita yang masuk itu tidak langsung menjurus kepada fitnah, aib atau sesuatu yang negatif tetapi reaksi yang dilihat dalam komen-komen, berlainan sama sekali! Tidak habis-habis rakyat bawahan ini mengutuk pemimpin yang dibenci, menyanjung pemimpin yang dihormati, menghina, mengaib, memfitnah dan tidak ketinggalan kata-kata cacian yang tidak langsung mencerminkan adat budaya kita sebagai seorang yang datangnya dari timur. Kononnya... yang penuh dengan adab dan sopan. Hilang segala ilmu akhlak yang kita belajar di sekolah agama sekian lama. Terhapus segala ilmu sebagai hamba hina yang selama ini kita raih. Semuanya 'hilang' sekelip mata akibat kita semua dilanda demam tidak kebah ini. Maklumlah, datangnya 5 tahun sekali, jadi suhu badan naik bagai hilang arah.

Dalam banyak-banyak komen yang saya baca dalam FB, ada beberapa yang menarik perhatian untuk diulas berpandukan pengalaman saya sebagai rakyat bawahan dalam negara ini, Antaranya ialah;

* Sasaran kemarahan pada anggota penjawat awam seperti polis dan tentera. Bagaikan tidak masuk akal jika ada rakyat hatta pemimpin mengutuk anggota keselamatan negara hanya kerana bencikan seseorang pemimpin. Padahal, jika esok lusa parti apa pun berkuasa di bumi Malaysia, pasti anggota polis dan tentera yang sama akan berkhidmat untuk rakyat. Jadi mana logiknya, kita melepaskan sasaran kemarahan pada mereka yang hanya menurut perintah.

* Ramai ahli taksub parti tidak membaca berita sama ada benar atau palsu dari beberapa sumber berlainan. Baik dari media perdana ataupun alternatif, sama sahaja isi kandungan mereka. Saling mengutuk dan mendabik kelebihan diri. Jadi jangan membuat komen-komen 'ketara' seperti kononnya, si A saja betul dan si B saja yang salah. Kedua-duanya ada isu yang dibangkit, semua parti ada sang badut tersendiri, masing-masing ada drama lompat si katak lompat.

* Sasarkan isu perbincangan pada polisi kerajaan yang tidak betul selama ini dan bukan semua isu ada kaitan langsung dengan pemimpin dan parti yang memerintah. Jangan salahkan kerajaan jika ada penjawat awam yang malas dan lembab bekerja, kuat berFB dari meja ofis, suka bersarapan lebih masa, suka mengelat waktu pejabat. Itu bukan salah kerajaan, itu kesalahan individu yang tiada etika bekerja dan ia mungkin ada kena mengena dengan diri sendiri, kakak, abang, adik atau emak ayah yang bekerja sebagai staf awam. Sekian lama berada dalam sentimen orang-orang kita dalam negara ini, saya faham sesetengah orang suka menunding jari pada pemerintah negara jika anaknya tidak menutup aurat, menjadi mat rempit jalanan, tidak mampu membayar balik hutang pelajaran atau apa sahaja isu yang berkaitan. Mudahkan jadi jadi rakyat Malaysia, semua kerajaan yang salah!

* Sesiapa pun yang menjadi PM negara kita yang terchenta ini, beliau tidak boleh menyelesaikan 1001 masalah yang sedang dan bakal melanda Malaysia. Jadi jangan buat komen-komen yang menjurus kepada ketaksuban pada seseorang individu. Ia tidak mempamerkan kematangan kita apabila berhujah kecuali ketaksuban yang nyata tanpa cacat cela terhadapan seseorang pemimpin. Sesiapa pun yang bakal menjadi PM, pejawat awam yang sentiasa datang lewat, tetap akan datang lewat ke pejabat. Cikgu-cikgu yang sentiasa marah dengan beban kerja keterlaluan, tetap masam kelat mukanya apabila tiba ke sekolah. Kesesakan jalan raya di KL, terutamanya pada hari hujan akan tetap sama walaupun PM yang naik itu adalah buah hati pengarang jantung kita selama ini. Jadi, berbaliklah ke bumi nyata supaya kita rakyat bawahan ini tidak rasa 'terlalu' teraniaya oleh janji-janji orang di atas sana nun. Kita pegang janji sampai mati, mereka tabur janji bagai capati.

* Akhir sekali, berpada-padalah menyokong sesiapa pun. Para pemimpin pilihan kita itu hanya manusia biasa, tidak maksum dan tidak pula mulia pada mata semua. Guna hikmah dan kebijaksaan dalam menilai. Sesungguhnya manusia seperti kita ini diuji oleh tuhan berperantarakan kuasa, duit dan pangkat. Jadi semua manusia, sama ada pemimpin pilihan kita atau tidak, hatta diri kita sendiri jika berpeluang berkuasa, mungkin tidak mampu menahan godaan dan ujian sebesar itu. Buka sedikit ruang dalam minda dan hati, pemimpin yang kita percaya dan kasihkan ini, mungkin berpaling tadah apabila berkuasa. Kepercayaan kita pada mereka usah dicemari dengan sikap taksub keterlaluan hingga menghina penyokong parti lawan. Simpan sikit kegusaran itu di dalam hati supaya nanti, apabila kita tersedar dan lamunan itu terhenti, ia tidak terlalu menyakitkan. Alasan hikmahnya mudah, "Kita semua manusia biasa yang terlena dengan duit, pangkat dan kuasa." Siapa kita hendak menidakkannya, sedangkan ketua para malaikat pun kecundang, inikan pula kita...manusia biasa.


Disclamer: saya tidak berminat menegakkan mana-mana parti kerana saya percaya kita semua hanya manusia biasa. Bezanya antara kita dan mereka adalah 'peluang' yang dicipta dan tercipta. Di saat itu, adakah kita menggunakan peluang itu merentas jalan ke syurga atau neraka. We make our own call.

Saturday, 6 April 2013

Tanda Syukur

Salam semua

Pagi ini saya terbaca satu status yang masuk dalam facebook, "orang yang jarang bersyukur, biasanya tidak pernah puas hati dengan keadaan dirinya sekarang". Saya biasa terjumpa ayat-ayat begini tetapi sukar untuk mengiyakan ataupun menidakkannya. Ia juga pernah dituturkan oleh seorang kawan, tetapi perasaan saya pada waktu itu sedikit terganggu dan agak marah. Saya tertanya juga dalam hati, apa yang menyebabkan ada sedikit rasa tidak senang apabila ayat ini dituturkan ataupun dibaca.


Izinkan saya mencerna maksud ayat ini dalam beberapa bahagian supaya kita dapat memahaminya dalam perspektif berbeza. "Orang yang berpuas hati dengan keadaan dirinya sekarang, adalah orang yang sentiasa bersyukur". Maksudnya, orang yang berpuas hati dengan keadaan dirinya pada ketika dan waktu ini, tidak perlu berusaha lebih demi masa hadapan kerana dia sudah bersyukur dengan apa yang ada. Adakah kita boleh simpulkan orang yang sentiasa berusaha memperbaiki kehidupan sekarang, adalah orang yang jarang bersyukur dengan apa yang dia ada pada hari ini? Bagaimana dengan orang yang sentiasa bekerja bagaikan mereka mahu hidup 1000 tahun lamanya, dan mereka beribadat bagaikan mahu mati keesokkan harinya? Adakah ini juga petanda orang kurang bersyukur? Adakah orang yang senantiasa berpuas hati dengan apa yang dia ada walaupun secara zahirnya tidak mencapai standard ekonomi sekarang adalah tanda orang bersyukur?  

Apakah pula standard atau piawai tanda orang-orang bersyukur? Adakah orang bersyukur adalah orang yang hidup ala kadar? Adakah tanda syukur itu hanya pada mereka yang bekerja demi melangsaikan kewajipan diri dan keluarga sahaja? Akhir sekali, perlukah kita tahu akan tanda-tanda ini pada orang lain atau ia sebagai kayu ukur dalam diri sendiri sahaja.

Sekian kalinya, saya rasa isu syukur adalah isu dalaman yang tidak perlu kita komersialkan penggunaannya. Tidak perlu diucap sesama kita antara kawan dan saudara. Tidak perlu dijadikan nasihat basahan pada semua orang tanpa penjelasan yang mantap. Pada saya, bersyukur adalah isu dalaman antara kita dengan pencipta dan hanya kita dan Dia sahaja yang memahami dalam konteks yang sebenar-benarnya. Tiada tanda jelas antara kita siapa yang bersyukur ataupun tidak. Kita tidak seharusnya membuat kesimpulan singkat pada mereka yang bekerja seperti tidak cukup 24 jam sehari sebagai tidak bersyukur. Tetapi kita yang pulang kerja tepat jam 5 petang tanpa OT, di kalangan mereka yang bersyukur. Sedar atau tidak, betapa mudahnya kita menghukum orang dengan fahaman singkat 'tanda syukur' kita itu tadi.

Cuba sorot kehidupan manusia pada hari ini, kita beli rumah bukan satu dan bukan dua, malah seorang sebuah pada setiap anak. Adakah itu tanda kita tidak bersyukur dengan rezeki tuhan? Kita tukar kereta daripada kancil ke alza, daripada alza ke frontera kerana bilangan anak yang bertambah dan keselesaan diutamakan. Adakah kita tergolong dalam mereka yang tidak bersyukur? Bagaimana jika ucapan itu ditujukan kepada kita hanya kerana kita membuka cawangan bisnes di daerah lain yang mempunyai potensi lebih besar. Menyengat bukan?

Makin lama hidup dalam kelompok masyarakat seagama dan sebudaya, saya perasan isu ibadat antara satu topik yang sering menjadi saingan antara kita sesama manusia. Siapa bersyukur, siapa tidak bersyukur. Siapa  alim, siapa kurang alim. Siapa suka ke masjid, siapa kurang ke masjid. Siapa berubah selepas balik haji, siapa kurang berubah. Berapa kali pergi umrah, berapa kali pergi haji, berapa kali buat kenduri...semua ini menjadi bahan bualan harian yang tiada kesudahan. Saya takut akan fenomena ini, takut jika saya juga terheret dalam permainan psiko sebegini. Bimbang akan keupayaan diri membenteng iman senipisnya kulit bawang untuk kekal membutakan mata dan telinga daripada orang keliling. Ya Allah, engkau peliharalah kami dalam rahmat Mu.

Pendakwah adalah orang yang berhak mengingatkan kita yang jahil, tetapi dengan cara paling berhikmah. Nasihat yang diberi harus diperjelaskan sebaik-baiknya supaya orang awam tidak terlalu mudah menghukum sesama manusia. Asal lihat saja jiran pulang lewat daripada pejabat, kita cop dia tidak bersyukur dengan apa yang dia sudah ada. Tidakkah kelakar bunyinya?

Pada saya, bersyukur adalah antara ibadat senyap antara kita dan pencipta sepertimana ibadat bersedekah, ibadat sunat dan lain-lain. Kita boleh mencari panduan dari bahan bacaan untuk peringatan diri tetapi elak mengunakan untuk tujuan memeriksa orang lain. Ini adalah perjalanan dalaman bukan luaran, jadi simpan hanya untuk diri.


Thursday, 4 April 2013

Awal vs Lewat

Salam semua

Hari ini saya ingin menulis tentang perkara harian atau bicara pasar yang boleh didengari di mana-mana. Tidak terbatas di pasar atau di rumah, hampir di mana-mana sahaja perbualan kita bersama saudara, kenalan, rakan atau orang asing sekalipun, tidak banyak beza. Antara topik yang sering menjadi diskusi basahan kita adalah perspektif  tentang "awal atau lewat".
Jalan-jalan kehidupan

Beberapa kali saya pernah ditanya atau disuap masuk informasi ke dalam mulut tentang bertuahnya mereka yang dapat berkahwin awal, dapat pergi menunaikan haji awal, mendapat zuriat awal, mendapat cucu awal, pencen awal dan segala mak nenek yang awal-awal belaka. Tidak keterlaluan pula saya katakan, pada mereka yang termasuk dalam golongan awalan sebegini, bangganya jelas dipertontonkan di mata umum. Kadangkala timbul rasa tanya di dalam hati, perlukah isu-isu begini kita letak di atas trak larian 400 x meter? Bukankah isu awal dan akhir ini berkait rapat dengan rezeki seseorang yang dikawal oleh tuhan semesta alam? Pada perkiraan jahil dalam diri saya, jika kita sedar ia adalah isu rezeki dan takdir seseorang, tidak akan timbul mana yang lebih baik ataupun buruk. Kedua-duanya ada keuntungan dan kecederaan yang tersendiri, kedua-duanya ada keburukan dan kelebihan. Dan kita sebagai manusia, carilah titik damai antara satunya dan buat sebaik mungkin dengan apa yang telah dibentangkan di hadapan kita.

Rugi kahwin lewat, untung kahwin awal. Inilah antara ayat-ayat keramat yang seringkali terpancul daripada mulut orang awam di majlis-majlis keraian. Bertuahnya, muda-muda lagi sudah ada kesempatan untuk menunaikan haji; juga ayat penyedap hati pada mereka yang terpilih. Sudah tentu, pada mereka yang 'terpilih', pastinya rasa bertuah. Bayangkan pula apabila ayat ini diucap dan didengari oleh mereka yang bukan terpilih. Apakah rasa hati mereka? Sayu bukan.

Secara peribadi, apabila saya diaju dengan keutamaan awal atau lewat, saya akan pilih jalan tengah. Mengiya pun tidak, menidakkan pun tidak. Seperti saya katakan tadi, kedua-duanya ada baik dan buruk seperti Ying dan Yang, saling melengkapi. Isu anak muda kahwin awal, seringkali juga diaju dalam perbincangan keluarga apabila ada kesempatan berkumpul. Biasanya, jawapan saya mudah, lihat pada latar belakang keluarga. Dan sebagai anak yang berakal waras, ukurlah baju di badan sendiri dan bukan di badan anak jiran. Maksud saya, awal atau lewat sesebuah perkahwinan bukan terletak pada kemampuan diri tuan empunya badan sahaja. Ia perlu diambil kira dari segi kemampuan ekologi sesebuah keluarga. Tiada pertaruhan mana yang lebih atau buruk jika latar belakang keluarga tidak mampu menyokong kemahuan anak yang ingin berkahwin awal. Andaikata, anak sulung sebuah keluarga baru saja lepas pengajian di menara gading, baru setahun jagung memasuki alam pekerjaan, mempunyai adik-adik berderet yang masih bersekolah, ibu dan ayah membanting tulang pagi, petang dan malam demi kelangsungan hidup. Adakah masih ada hati anak sulung ini mempertaruhkan nasib kahwin "awal" pada keluarganya? Saya tidak menolak ia ada berlaku, malah kenalan saya seorang yang berpengaruh dalam industri sudah pun melaluinya dengan jaya. Tetapi latar belakang si pasangan itu bukan orang-orang biasa, walaupun si anak sulung itu dari kalangan orang kebanyakan. Masih seperti saya katakan sebelum ini, ia berkait rapat dengan latar belakang keluarga yang menyokong tindakan si anak.

Berlapang dada dengan apa yang ada, tentunya kita lebih mudah menulis ataupun menuturkannya. Jika tidak, apa pilihan yang kita ada? Menangisi nasib diri yang tidak sebaik orang lain? Memangsakan diri dengan beranggapan tuhan tidak menyayangi kita seperti hamba-hambanya yang lain? Atau, kita gunakan peluang ini sebaiknya untuk mengumpul duit dan kejar perkara "awalan" lain yang menjadi saingan manusia-manusia di luar sana. Ataupun, kita reka sendiri "awalan" lain yang tidak langsung termaktub dalam senarai awalan orang-orang di keliling kita. Contohnya, orang yang paling awal keliling dunia dalam keluarga kita, orang yang terawal menyeberangi Selat Cook dengan menaiki jetski atau orang yang maha awal membuat pendaftaran di rumah orang tua-tua bagi kemudahan hari tua kelak. Maaf, jika tulisan saya agak keterlaluan.

Maksud saya cuma satu, penuhi masa yang ada sekarang sebaik mungkin dengan aktiviti yang tidak mungkin kita boleh lakukan selepas ini. Bagi mereka yang 'terpilih awal', kayuh perlahan-lahan muatan yang maha berat kerana disitulah sumber pahala kita hingga akhirat. Tidak terkecuali pada mereka yang tidak mempunyai muatan lebihan, amal jariah kita bukan hanya termaktub pada anak-anak sedarah sedaging. Malah ia merentasi benua dan warna kulit, tuhan kita pun bukan rasis dan berparti. Jadi kita bebas membuat amal kebaikan di mana sahaja, selagi kita berdiri dan menjunjung langit Nya.

Amin, wassalam.


Monday, 1 April 2013

OTAK- adakah kita mangsa?

Salam semua

Dalam kekalutan berfikir, kita sering menjadi mangsa otak sama ada sedar atau tidak. Terbaru, saya cuba menghadam sedaya mungkin buku The Power of Now nukilan seorang penulis dakwah bebas dari barat. Filosofinya mudah, kita sentiasa menjadi mangsa pada cara otak berfikir. Dalam peratusan yang digambarkan, hampir 80% daripada masa harian kita dihabiskan dengan berfikir perkara yang sudah lepas mahupun yang akan datang. Antara lainnya bermaksud, kita tidak hidup secata total dalam masa yang dianugerah kepada kita iaitu masa SEKARANG!


Teringat kata-kata master Ogooway dalam kisah Kungfu Panda, "Yesterday is historytomorrow is a mystery, today is a gift of God, which is why we call it the present." 

Kebolehan otak memanipulasi tanpa sedar membuatkan kita sering kalut dalam kenangan masa lampau dan  penantian masa hadapan. Kita sering mengimbas kenangan pahit yang mencengkam diri dan mendera diri menunggu masa hadapan yang ntah bila akan datang. Tanpa sedar, masa kini kita bazirkan tanpa rasa bersalah dan tidak memaksimumkan pengunaannya.


Contoh paling mudah, saya mempunyai anak-anak yang montel semasa mereka masih bayi. Kenangan membesarkan mereka sejak bayi, tidak mungkin saya dapat lupakan. Dalam keadaan sekarang, semasa saya menulis ayat-ayat ini, kepala saya ligat memainkan rakaman video lampau semasa anak masih bayi. Ternyata, saya rindu pada kenangan itu. Rindu ingin memeluk dan mencium bau bayi. Rindu ingin melihat mereka tidur, rindu mahu menggomol tubuh mongel mereka, rindu mahu menyalin lampin, pendek kata rindu, rindu dan rindu. Kerakusan minda saya memainkan rakaman video lampau itu secara tidak langsung membataskan diri saya daripada menikmati masa sekarang, di mana mereka sudah sedikit dewasa. Saya abaikan masa berbual dengan mereka, saya pandang ringan apabila mereka memanggil di kala diperlukan dengan alasan, sibuk. Apa yang lebih saya nikmati adalah masa lampau yang penuh dengan imej-imej bayi mongel tetapi tanpa sedar saya melepaskan masa kini iaitu masa yang penuh dengan kerenah dan soalan-soalan magis daripada mulut mereka.


Selain kenangan masa lampau bayi montel, saya sering terbawa ilusi apabila mereka dewasa kelak. Apakah anak ini akan berjaya mendapat 5A dalam UPSR? Adakah anak ini akan berjaya mendapat tawaran masuk ke asrama? Adakah dia mampu bersaing untuk mendapat biasiswa tajaan syarikat minyak terkemuka atau tidak? Adakah dia bernasib baik mendapat pekerjaan yang diminati, teman wanita yang dihajati dan 1001 satu persoalan masa hadapan yang tidak mungkin akan terjawab. Sedangkan masa ini kita bazirkan tanpa sedar. Alih-alih anak terus membesar dan kita masih tidak habis-habis berilusi masa lampau kecomelan dan bayangan kabur masa hadapan.


Secara peribadi, saya rasa amat bersalah apabila membaca buku ini. Entah apa yang dikejar oleh kita selama ini. Padahal, perkara yang paling penting adalah masa kini. Masa sekarang yang memberi peluang dan janji yang sangat nyata. Jika kita fikir masa sekarang adalah yang terbaik, kita tidak perlu menangguh kemaafan, kita tidak akan menunggu masa hadapan untuk berubah menjadi lebih baik dan paling penting, kita tidak membazir masa kini untuk sebuah penantian.


Perkongsian mudah bagi melupakan masa lampau dan meluputkan ilusi masa hadapan adalah dengan memantau cara kita berfikir. Sentiasa kekal fokus dengan mengalihkan fikiran masa lampau ke masa kini, iaitu sekarang, antaranya dengan cara berzikir atau mengaji quran. Mengaji quran adalah solusi terbaik mengembalikan 'masa kini', kerana kita sentiasa berfikir dan waspada dengan tanda-tanda bacaan tanpa sempat memikir tentang masa silam ataupun hadapan. Sekiranya kepala terlalu sibuk membayangkan ketakutan masa hadapan yang tidak pasti, ubah posisi duduk jika perlu dan alih fokus pada perkara yang sedia ada di hadapan mata. Sekiranya kita sedang memandu, hayati cara kita memusing stereng kereta, mendengar alunan muzik atau bacaan ayat suci yang dimainkan. Selain dapat mengubah emosi pada waktu ini, kita juga akan lebih kekal positif.


Sebelum mengakhiri penulisan ini, saya ingin mengajak para pembaca supaya melupakan keperitan kenangan silam. Percayalah, pra-syarat pada sebuah kemaafan adalah melupakan. Lihat pada fitrah anak-anak, mereka tiada dendam sepertimana kita orang dewasa kerana mereka tidak membawa beban kenangan silam yang merantai diri. Anak kecil mudah melupakan kerana memori mereka tidak mampu bertahan lama seperti kita, hikmahnya mereka mudah membuka lembaran baru apabila bersama orang keliling.

Tuesday, 26 February 2013

Raju Rastogi~3 idiots

Salam semua

Imej google
Lama betul saya menyepi dan ada rasa bersalah, tetapi saya tidak mampu melawan nafsu mata yang keletihan.

Dalam kesibukan sebagai supir eksklusif anak-anak, saya masih sempat melayan diri menonton kisah hindustan lakonan aktor pujaan saya iaitu Aamir Khan dalam kisah berjudul 3 Idiots. Ia sebuah kisah menarik dan harus ditonton oleh semua guru-guru di sekolah dan tidak ketinggalan juga ibu ayah. Sketsa menarik tentang tiga orang muda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti demi merealisasikan hasrat ibu ayah untuk melihat mereka berjaya sebagai seorang jurutera. Apa yang menarik adalah karektor ketiga-tiga anak muda itu, sedikit sebanyak mencerminkan kelemahan dan cabaran yang kebanyakan daripada kita semua hadapi.

Komentar anak sulung ini juga memberi impak yang mendalam pada diri saya sebagai ibu. Katanya, "A dah jadi Raju Rastogi, sentiasa takut untuk ambil periksa kerana takut tidak berjaya mendapat keputusan yang baik, takut umi dan abah marah, takut cikgu marah, takut kawan-kawan gelakkan, takut, takut dan takut". Jika disorot kembali kisah anak muda bernama Raju Rastogi, itulah yang menjadi kelemahan asas dalam dirinya. Dia terlalu takut untuk tidak belajar, takut untuk tidak berjaya, takut untuk tidak mengecewakan harapan ibunya, takut untuk tidak mampu menggapai impian keluarganya. Isunya adalah takut, takut, takut dan takut...

Kita tinggalkan sebentar kisah Raju Rastogi. Saya kongsikan satu kisah benar hasil kajian seorang penulis barat tentang tekanan jiwa seorang kanak-kanak yang sentiasa takut seumur hayatnya. Anak ini dilahirkan dalam sebuah keluarga stabil, beribu dan berayah individu berjaya dalam kerjaya. Kita namakan anak ini B, dan dia mempunyai seorang adik perempuan bernama C. Sebagai anak sulung dalam sebuah keluarga berjaya, harapan kedua ibu ayah menggunung tinggi terhadapnya. Mereka membuat perancangan rapi sebagai persediaan masa hadapan anak B. Mereka memberi sepenuh perhatian pada kelemahan yang ditonjolkan dan disokong oleh pelbagai aktiviti bagi menjamin kesempurnaan anak B. Pendek kata, segala aktiviti yang wujud, sehabis baik ibu ayah berusaha dan sebanyak mungkin duit dilaburkan demi pelaburan masa hadapan anak B, semuanya diberikan oleh kedua-dua orang tuanya. Malang sekali, hasil yang diperolehi tidak setimpal dengan apa yang telah dilaburkan. 

Sebaliknya, adik perempuan bernama C sangat menyerlah dalam aktiviti yang diceburi. Kedua-dua anak ini membesar sempurna tetapi anak C lebih berjaya dari segi emosi, kerjaya dan hal-hal peribadi. Banyak pendapat dan informasi boleh dikorek daripada kisah ini, tetapi berasaskan motif utama kajian ini, para pengkaji mendapati; anak B dibayangi oleh tekanan dan ketakutan sepanjang usianya membesar. Dia tidak dibenarkan bereksplorasi tentang apa yang diminati kerana tertakluk pada impian kedua-dua orang tuanya. Anak B takut membuat kesalahan yang boleh mengecewakan harapan ibu ayah, hinggakan dia tiada kemahuan mencuba sesuatu yang baharu. Dia dibayangi oleh kejayaan orang tuanya hingga dia tidak kenal akan diri sendiri, kelebihan dan kekurangannnya sebagai individu. Tekanan dan ketakutan mengekori jejaknya selama ini. Ketakutan yang membawa pada ketandusan idea untuk berkarya, ketakutan yang menyekat dirinya untuk berinovasi dan bereksplorasi.

Berbeza dengan si adik C, dia kurang diberi perhatian oleh ibu ayah. Dia bebas berkarya, bebas bereksplorasi, bebas menukar haluan sampan jika arah angin tidak menyebelahi keinginannya. Hasilnya, anak C lebih spontan dalam melayari kehidupannya di masa hadapan. Dia lebih bersedia melakukan kesalahan dan belajar daripadanya dan ternyata dia berjaya mencari satu kerjaya yang benar-benar bersesuaian dengan jiwa dan cemerlang.

Berbalik pada kisah Raju Rastogi dan anak saya, adakah tekanan dan ketakutan yang kita sematkan dalam diri mereka akan membuahkan hasil yang lumayan? Berdasarkan pengalaman peribadi, jawapannya adalah tidak. Anak yang takut tidak mampu berfikir dengan jelas walaupun diberikan satu tugas yang sangat mudah. Anak yang dalam ketakutan tidak mampu cemerlang dalam pelajaran kerana fikirannya terkongkong. Anak yang sering takut akan harapan menggunung ibu ayah mereka, tidak berani melakukan apa-apa untuk bereksperimen tentang sesuatu yang disukai atau dibenci. Anak yang sering takut pada guru, pastinya menyenangkan guru-guru mereka tetapi mereka adalah robot yang diprogram di kawasan sekolah. Anak saya sedang melalui pengalaman ini dan ia mencengkam naluri kita sebagai ibu dan ayah.

Sebelum saya mengakhiri, izinkan saya membuat kupasan tersendiri daripada sketsa ini. Ketakutan yang seimbang mampu memberi motivasi pada individu. Atas alasan takut, kita berusaha lebih baik hari ini untuk bekalan masa hadapan. Bagaimanapun ketakutan berlebihan boleh memberi kesan yang amat dalam pada pembangunan emosi dan karektor diri. Tanpa sedar kita akan melalui fasa kekeringan idea, ketandusan semangat dan kegersangan jiwa hanya atas alasan takut. Akhir sekali, takut juga mampu meragut kegembiraan diri kita pada hari ini.

Sekian.