Salam
Sesungguhnya saya kelupaan. Saya pernah janjikan sebuah sambungan pada kisah French Parenting terdahulu. Maafkan saya.
Kesimpulan awal, French Parenting tidak banyak beza berbanding gaya keibupaan dalam era selepas perang. Lantaran namanya FRENCH, ia kedengaran mahal, eksotik dan menghairahkan.
Asasnya, gaya keibubapaan orang Perancis agak tegas dan penuh disiplin diri. Mereka mendidik anak dalam parameter yang dipersetujui dan dihormati oleh seisi keluarga. Jika kawasan mainan anak-anak dalam sesebuah bilik, itulah bilik yang akan berkecah dan dipenuhi barang-barang mainan. Luar dari kawasan bilik bukan lagi medan permainan dan barangan mereka. Jadi, rumah orang Perancis tidak berselerak dari dapur ke bilik tamu, dari anjung ke halaman rumah sepertimana gaya keibubapaan UK, US dan Malaysia moden. Disiplin anak-anak orang Perancis jelas kelihatan di meja makan dan apabila tetamu datang berkunjung ke rumah.
Dalam buku yang ditulis oleh seorang ibu berasal dari US tetapi berada dalam kelompok ibubapa Perancis, beliau menyatakan kekagumannya apabila menghadiri sesi makan malam di rumah teman yang berasal dari sana. Anak-anak dengan tertib menghabiskan makanan yang disediakan tanpa membuat lakonan tidak perlu. Anak-anak akan makan apa sahaja yang dihidang oleh ibu mereka tanpa soalan menjengkelkan, mengapa perlu makan sayur seperti anak-anak penulis. Anak-anak hanya akan meninggalkan meja makan apabila sesi makan sudah selesai dan terus membawa diri ke bilik lain tanpa menganggu orang tua yang masih bersembang. Akhir sekali, anak-anak masuk ke bilik tidur tanpa melalui sketsa pertelingkahan sepertimana ditonjolkan dalam drama-drama keluarga barat. Penulis dengan rasa ingin tahu membuat kajian sendiri mengapa perkara ini tidak berlaku dalam kelompok keibubapaan di UK dan US. Penemuannya amat menarik sekali, iaitu ketegasan disiplin ibubapa Perancis semasa anak masih di peringkat rebung.
Gaya keibubapaan UK dan US sedang menular masuk secara berleluasa dalam pemikiran ibubapa moden pada hari ini. Anak datangnya dari syurga kata mereka. Jadi tidak boleh dimarah, ditegur, diketuk atau dibentuk. Harus dibelai dan ditatang kerana ibubapa tiada hak memarahi ahli syurga...konon! Ironiknya apabila anak sudah meningkat remaja, ibubapa mula mencari jalan menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz untuk diketuk, diuli dan diterajang oleh guru-guru agama. Maklumlah rebung telah pun menjadi buluh. Rebung yang dahulunya lebih lembut dan mudah dilentur oleh ibubapa tetapi mengambil sikap 'tidak mengapa kerana mereka masih anak-anak', sudah tidak mampu dibendung. Akhirnya mencari jalan melepaskan tanggungjawab ke sekolah-sekolah agama. Kononnya, agama menjadi sandaran dan harapan pada ibubapa begini. Lantas tugas mendidik itu dipindahkan pada guru agama untuk mendisiplinkan anak-anak yang tidak tahu akan batasan hidup, sosial dan agama.
Mudah sungguh ibubapa hari ini melepaskan diri dari tanggungjawab mendidik. Anak-anak memang asalnya dari syurga, tetapi kemalasan dan kelalaian kita menjadikan mereka hampir ke neraka. Nauzubillah...
Pendekatan berbeza, ibubapa Perancis akan memastikan anak-anak tadika bertanggungjawab apabila mereka menconteng dinding rumah dengan krayon sesuka hati. Tidak ada isitilah ' mereka budak-budak atau kreatif atau genius atau ... bla, bla, bla'. Ibubapa Perancis akan menyediakan span dan sabun pada anak-anak itu dan pastikan dinding yang diconteng bersih daripada sebarang kekotoran. Mereka tidak marah atau hilang akal sepertimana sebilangan kita, lalu mengarah pembantu rumah membersihkan dinding kotor atau ibubapa sendiri yang membersihkannya. Berlainan pula dengan gaya ibubapa UK dan US, tanpa segan silu memuji kegeniusan anak-anak sendiri yang sangat kreatif dan bakal menjadi pengganti Michale Angelo pada setiap tetamu. Kelakar, tetapi itulah realiti pada hari ini. Dalam gaya keibubapaan UK dan US, anak-anak diibaratkan seperti tuan dan ibubapa seperti pekerja pada mereka. Gaya keibubapaan orang Malaysia, pembantu rumah adalah pekerja pada anak-anak, dan bukan hanya pada majikan. Jadi, segala perkara akan terhumban di atas bahu pembantu rumah tanpa berusaha menjadikan anak-anak bertanggungjawab atas perbuatan sendiri.
Benar, gaya ibubapa Perancis seperti mak dan ayah mendidik kami, cuci sendiri selepas buat kotor. Anak-anak dipertanggungjawabkan dari usia muda supaya mereka belajar bertanggungjawab dan tahu kesan akibat perbuatan mereka. Praktikal bukan!
Banyak lagi contoh yang diberikan dalam buku ini. Sifat memuji dalam gaya keibubapaan UK dan US tidak lagi mendatangkan kebaikan pada anak-anak secara kolektif, malah membawa kesan buruk jangka panjang. Ibubapa Perancis hanya memberi pujian jika ia benar-benar layak diterima oleh anak-anak, jadi mereka tidak leka dalam mode perasan yang berpanjangan.
Bagaimanapun, ilmu memuji harus dibincangkan secara berasingan kerana ia melibatkan pembentukkan cara fikir dalam diri anak-anak .
Filosopi saya mudah; Penuhkan yang kosong. Kosongkan yang penuh. Dan garu apabila terasa gatal... Alice Roosevelt Longworth
Di mana dan Bagaimana
Friday, 19 December 2014
Thursday, 18 December 2014
Kecantikkan Hari TUA
Salam
Anak pernah menyoal saya, "Jika diberi pilihan, mahukah umie menjadi cantik dan muda seperti dua puluh tahun lalu?" Saya kata, "TAK MAHU."
Kebanyakan kita terlalu takut menjadi tua, bimbang kelihatan tua dan berperangai seperti orang tua. Pendek kata, konotasi tua membawa aura negatif yang tersendiri. Tua dikaitkan dengan kerepot, berpenyakit, tidak berupaya, tidak berkemampuan dan tidak lagi menarik perhatian ramai. Fizikal yang lebih lemah dan hilang ketengangan kulit seperti awal remaja. Saya bukan menidakkan kesemua kesan sampingan apabila usia meningkat, tetapi banyak juga kesan positif lain yang perlu beri perhatian berbanding ketegangan kulit semata-mata. Antara impak positif apabila usia meningkat boleh dikelaskan pada beberapa bahagian seperti ekonomi, sosial, emosi dan fizikal.
Kebanyakan kita faham apa maksud kestabilan ekonomi di usia 40an. Ramai antara indivIdu mencapai tahap selesa sama ada dari segi duit, pengiktirafan sosial dan harta benda pada tahap ini. Saya tidak mahu menyentuh isu ini terlalu jauh. Saya tertarik membincangkan bagaimana usia tua membawa kestabilan dari segi mental dan emosi pada individu. Kestabilan yang tidak bersandarkan kepada kemewahan material; rumah banglo, kereta import dan percutian luar negara semata-mata. Kestabilan yang lebih bersifat emosi dan kerohanian, ketenangan hati, kepuasan hidup dan kematangan fikiran. Jika kita perhalusi, inilah kelebihan mutlak yang dimiliki apabila usia kita beransur senja. Kelebihan yang jarang-jarang dinikmati ketika usia masih muda; darah mudah bergelora, keinginan yang melampau dan jangkaan yang tidak berasas.
Ini bukan bermaksud kita tidak bernafsu mencari keseronokkan hidup, tetapi tingkat keseronokkan mula menurun berkadaran dengan usia. Kita tidak lagi mencari perhatian pada perkara tidak perlu, tidak mencipta nama sekadar mahu popular atau diminati, tidak lagi berhempas-pulas menjaga kepentingan orang lain lalu menidakkan kewujudan diri sendiri. Kesimpulannya, kita tidak kisah apa tanggapan orang pada kita selagi ia tidak membawa kemudaratan pada diri. Kita bebas memilih dan berfikir tanpa kongkongan budaya dan masyarakat. Kita bebas membuat keputusan tanpa pengiktirafan orang keliling. Kita bebas menamatkan atau membuang apa sahaja perkara yang tidak membawa manfaat pada diri dan keluarga. Bukankah ini satu nikmat hidup yang kita cari-cari? Ironiknya, kita hanya kecapi nikmat ini apabila usia beransur tua dan senja. Mengapa?
Mari ikut saya imbas kembali zaman muda; undur sepuluh atau dua puluh tahun kebelakang dan tarik semula memori ketika baru mula bekerja, mencari cinta, mencipta nama dalam industri dan berjinak-jinak dalam dunia perkahwinan dan keibubapaan. Apa yang tergambar dalam kepala kita pada waktu ini?
Keinginan yang tidak berbatas, kesempurnaan tidak berpenghujung dan jangkaan luar biasa pada pasangan, keluarga, anak-anak dan masyarakat. Di waktu muda begini, kita mendambakan satu hubungan yang sempurna seperti dalam wayang gambar Hindustan. Berlarian bernyanyi di celah-celah pokok dan kaki bukit. Hakikatnya dalam dunia perkahwinan, di sinilah kita mula belajar perkataan 'self-defence'. Mencari jalan menegakkan kebenaran diri tanpa diperlekehkan oleh suami dan isteri yang ternyata lebih 'superior' atau hebat berbanding empunya badan. Kita seolah-olah ibu singa yang sentiasa memastikan keselamatan diri dan keluarga. Sentiasa memastikan keluarga kita dipandang tinggi dalam kelompok sosial bagi mendapat pengiktirafan orang keliling. Jika tidak sebagai keluarga berketurunan hebat, mungkin keluarga islamik yang dihormati jiran tetangga. Keluarga moden yang berjaya dan mempunyai anak-anak yang bijak dan genius belaka. Sedar atau tidak, perbuatan kita pada waktu ini banyak berpusat pada gambaran yang mahu dipaparkan pada orang luar. Gambaran pada kawan, jiran dan masyarakat bahawa keluarga kitalah yang terjaga, tercantik, bergaya dan berkemampuan. Sesungguhnya kemampuan tidak seberapa, tetapi dimampu-mampukan kerana gaya hidup adalah satu keperluan dan pada mata-mata yang melihat. Inilah satu era kehidupan di mana kita agak sombong, ranggi dan hanya memandang ke langit. Zaman di mana suami-isteri bagaikan dewa-dewi, masih bercantik bergaya dan anak-anak comel belaka. Zaman di mana kita menjadikan Angelina Jolie dan Bratt Pit sebagai idola dan model sebuah keluarga hebat di mata dunia. Pendek kata, inilah zaman kita akan saling kejar-mengejar, himpit-menghimpit, jatuh-menjatuhkan atau angkat-mengangkat demi sebuah kehidupan yang cukup sempurna seperti yang digambarkan oleh media.
Percayalah, bayangan ini tidak bertahan lama. Masa muda dan perasan hebat, saya adalah seorang ibu defensif jika anak ditegur hitam. Tetapi sekarang tidak lagi. Jika dulu saya bimbang anak comot kerana malu pada kawan keliling. Sekarang, 'ikut suka merekalah...'. Jika dulu saya cuak jika orang tahu saya ibu 'selfish' yang sering mencuri masa membaca buku sendirian di bilik. Sekarang dengan mudah saya menjawab, "I need my own space". Saya tidak kisah apa pandangan orang selagi mereka tidak menganggu-gugat kerukunan saya sekeluarga. Bukankah ini satu kenikmatan? Kenikmatan untuk kita berdiri dan duduk tanpa perlu melihat dan membandingkan diri dengan orang keliling. Inilah sebuah kehidupan pada saya.
Kecantikkan hari tua tergambar pada cara kita berfikir, kehormatan diri dan wujud tembok pemisah antara kita dan orang keliling. Perbuatan dan permikiran kita adalah tanggungjawab diri tanpa tertakluk pada sesiapa sahaja. Kita bebas memilih kawan, bebas melarikan diri daripada sesiapa sahaja yang kita tidak suka tanpa wujud rasa bersalah. Tidak perlu justifikasi atas perbuatan kerana itu adalah hak peribadi. Kematangan dalam berfikir menjadikan kita bebas seperti burung tanpa keperluan mengembirakan orang keliling. Bukankah nikmat ini lebih berharga daripada harta material; rumah banglo, kereta import dan rumah percutian di luar negara?
..................................................................................
Anak terkejut apabila saya nyatakan saya suka akan usia tua. Saya rasa lebih 'seksi'.
Seksi dalam bentuk fikiran dan emosi, bukan fizikal seperti muda-muda dahulu.
Secara peribadi, saya kasihan melihat kawan-kawan di awal usia 40-50-60an masih gigih mencari kehebatan dari mata-mata sosial. Masih berterusan memasak kepentingan diri dan keluarga pada status material. Masih menagih puja dan puji mata-mata jiran tetangga pada kejayaan peribadi dan bukan bersifat ummah.
Soalan saya; hingga bila dan ke mana?
Saya tidak mahu usia muda, cantik dan berkulit tegang tetapi kepala serabut mendamaikan diri sendiri. Saya telah lalui pengalaman itu. Dan saya pilih cantik dalam usia tua.

Friday, 12 December 2014
Hati Seorang Guru
Salam
Kerjaya guru tidak seglemer seperti doktor, peguam, jurutera dan kerjaya lain. Saya sendiri tidak suka akan kerjaya guru kerana kurang dihormati masyarakat. Dipandang rendah berbanding profesyen lain yang lebih berprestij dan bergaji lumayan. Seakan-akan kerjaya '2nd class' dan sering dipandang sepi oleh golongan profesional.
Bagaikan semua orang layak menjadi guru, tetapi hakikatnya tidak.
Semasa di universiti, saya pernah dipuji oleh seorang kawan yang meminta saya mengajarnya subjek matematik. Dia tidak hadir ke kelas pada waktu itu. Lama dia merenung muka saya dan katanya, "Awak boleh jadi sorang guru yang baik." Saya gelak gelihati menidakkannya. Dalam hati terdetik, "Tidak glemer langsung!"
Masin mulut teman sekuliah, saya memulakan kerjaya sebagai seorang guru kerana tidak suka akan kerjaya auditor sepertimana kawan-kawan lain. Graduasi pada zaman ekonomi merudum, tidak memberi banyak peluang pada lepasan ijazah. Jadi, saya menjadi guru bukan atas pilihan hati. Tetapi saya rasa keserasian dalam kerjaya ini berbanding kerjaya auditor, walaupun namanya tidak glemer.
Berada dalam kelompok bergelar guru atau glemer bergelar pensyarah, saya dapat lihat pelbagai jenis ragam manusia. Ada yang tidak boleh salah, walaupun ternyata mereka bersalah. Ada yang mesti menang, walaupun ternyata mereka sepatutnya kalah. Saya mula faham, tidak semua guru berhati mulia seperti kisah-kisah mahaguru dalam wayang gambar atau buku cerita.
Setelah agak lama, saya dapati kerjaya guru adalah sangat mulia. Kata suami, beliau tertarik hati mendekati kerana kerjaya saya seorang guru. Pelik! Saya fikir wanita bekerjaya hebat seperti peguam dan doktor lebih laku keras berbanding seorang guru. Sudah pasti lelaki bekerjaya hebat mahukan isteri bekerjaya hebat juga. Kata suami, ukuran seorang isteri terletak pada keupayaan mendidik anak-anak bukan pada gahnya kerjaya. Sudah jodoh kami agaknya.
Hati seorang guru sungguh unik. Mereka tidak bimbang jika anak murid lebih berkebolehan berbanding dirinya. Tidak defensif apabila ditegur atau diajak berdiskusi tentang ilmu yang dimiliki. Mampu meraikan kepentingan dan kelebihan ilmu-ilmu lain tanpa merendah-rendah ilmu yang tidak diketahui. Mereka akui sifat ilmu beranak-anak, makin diberi makin berakar-umbi dalam jiwa. Ilmu sifatnya membiak, tidak berkurang pahala malah berganda-ganda apabila dikongsi.
Hati seorang guru seperti matahari yang memberi. Saya berpendapat, orang kedekut ilmu tidak memiliki jiwa seorang guru. Orang berfikiran ilmu milik peribadi, tidak faham ideologi seorang guru. Orang berpendapat ilmunya seluas lautan, tidak memahami perbezaan antara hamba dan pencipta. Orang menganggap ilmu hak eksklusif diri, tidak sedar mereka akan mati bersama ilmu itu
Hati guru tidak mudah calar oleh kelebihan disiplin lain. Guru tidak punya jawapan pada setiap persoalan. Tidak punya jawapan, bukan bermakna kita seorang guru yang gagal. Guru adalah mereka yang mampu melorong orang lain membuka pintu. Guru sejati berkebolehan memimpin tangan pelajar ke arah pintu yang sesuai. Pelajar harus berupaya mengetuk dan membuka atas keinginan sendiri. Guru hanya mampu meminta para pelajar melihat, tetapi bukan apa yang perlu dilihat.
Akhir sekali, hati guru puas apabila pelajar mereka cemerlang dan mampu mencapai impian. Tidak timbul rasa menyesal atau terkilan kerana mereka masih sama dan makin lama. Kepuasan guru berbeza rasa berbanding orang biasa, itulah hati seorang guru.
Ilmu bermanfaat tidak harus dimiliki tetapi dikongsi, inilah falsafah seorang guru.
Guru bukan sebatang lilin yang menerangi dan memudaratkan diri, tetapi mereka adalah matahari.
Sunday, 28 September 2014
LELAKI akhir zaman
Hah, dahsyat tajuk di atas!
Hari ini sahaja, lebih tiga tajuk akhbar 'panas' memaparkan berita suami menganiayai isteri lalu menuduh dan mempercayai mereka curang. Suami-suami ini menyiram air panas, mencederakan muka dan badan isteri bagi melepaskan baran di hati. Saya tidak tahu siapa bersalah, dan jika pun isteri bodoh itu bersalah. Apakah itu alasan terbaik untuk mencederakan orang lain? Dan orang lain itu adalah ibu kepada anak-anak mereka sendiri. Tutup isu di sini.
Google Image |
Saya tidak berminat untuk memperhalusi corak dan gaya suami isteri zaman kini. Tetapi saya teruja untuk meneropong dan membincangkan kualiti lelaki aka suami secara keseluruhan. Suami sekarang jauh berbeza daripada suami zaman ayah-ayah kita; lebih prihatin, lebih 'sporting' dan lebih berperikemanusiaan. Suami era lepas merdeka lebih garang, lebih tegas dan urusan rumahtangga. Jika putih kata mereka, putihlah kata isteri dan anak-anak. Jika hitam pilihan mereka, hitamlah pilihan isteri dan anak-anak. Kini suami memilih hitam, isteri memutar menjadi kelabu, anak pula memusing menjadi putih. Apakah maksudnya itu? Suami sekarang boleh dimanipulasi dengan mudah oleh isteri, anak dan orang keliling.
Benar, ada baik dan buruk. Tetapi mengapa suami sekarang mudah menceraikan bini sesuka hati. Suami dahulu lebih panas barannya, ini kata emak pada kami anak-anak perempuan. Suami dahulu pantang silap buat air, terkurang manis, mahu melayang piring cawan keluar dapur. Suami dahulu pantang disuruh duduk di dapur dan membantu isteri di rumah. Pada mereka, tugas di rumah adalah mutlak tugas isteri dan tugas mereka hanya di luar rumah. Melihatkan sosio budaya masyarakat pada waktu itu, kita tidak dapat menafikan tuntutannya memang sewajarnya begitu. Malangnya dunia sekarang berubah, fungsi suami isteri turut berubah sejajar dengan teknologi iphone 6. Malangnya lagi, golongan suami hari ini walaupun berganding bahu mencari rezeki bersama isteri bagi menampung keperluan, tetapi perangainya masih tidak ubah seperti para suami di era zaman lepas merdeka. Bukan semua, tetapi kebanyakannya.
Hendak dimarahkan golongan lelaki sahaja adalah tidak adil. Anak lelaki ini semuanya dididik sempurna mengikut gaya ibu ayah mereka. Ada gaya diwarisi turun-temurun oleh ibu-ibu sebelum ini dan dilengkapi indah oleh budaya dan resam orang keliling. Secara amnya, ibu zaman sekarang terlalu memanjakan anak-anak lelaki hingga mereka tidak mampu berdikari dan bertegas sebagai seorang lelaki aka suami. Saya lihat trend ini berlaku dalam famili sendiri. Anak lelaki diberi layanan istimewa, anak perempuan dikerah sehabis-habisnya untuk menjadi 'superwoman' dalam keluarga. Kelak anak lelaki menjadi 'sotong' dan anak perempuan menjadi penyelamat keluarga. Konfliknya lagi, suami 'sotong' begini tidak mampu berdikari tanpa sokongan isteri. Mereka menggunakan kuasa veto sesuka hati atas label 'suami' dan mempunyai penasihat peribadi iaitu ibu sendiri. Di manakah tempat isteri? Di ofis, rumah dan dapur, padahal segala keperluan rumah tangga dan anak-anak dikongsi bersama tanpa rasa segan silu. Suami begini kelihatan bertanggungjawab menjaga keperluan ibu, tetapi apabila diperhalusi mereka seperti lembu dicucuk hidung. Tanggungjawab dalam rumahtangga diserahkan atau dikongsi bersama isteri. Tetapi kuasa membuat keputusan dan mengemudi rumahtangga dikongsi kuasa bersama ibu. Pelik bin ajaib.
Para ibu semua, tidak ada ibu tidak sayangkan anak. Tetapi sayang berlebihan hingga menyusahkan diri akan memakan diri sendiri kelak. Anak lelaki kita bakal menyusahkan isteri disebabkan sikap sayang ibu berlebihan. Dan putaran ini tidak akan berhenti sehingga kita sedar akan kesilapan yang bakal kaum wanita lalui lagi dan lagi. Orang cerdik pandai berkata, 'Those who are heartless, once cared too much". Anak lelaki yang kita manjakan akan menjadi beban pada anak perempuan orang lain. Anak yang dimanjakan berlebihan menjadi keras hati dan tiada belas kasihan pada orang lain.
Anak lelaki harus dilengkapkan dengan kemahiran hidup sebagaimana kita persiapkan pada anak perempuan. Anak lelaki harus diajar asas membasuh, memasak dan mengemas seperti anak perempuan. Jika anak perempuan boleh bersaing belajar, mendapat pekerjaan dan membantu menaikkan taraf ekonomi sebuah keluarga, mengapa suami tidak boleh membantu meringankan beban kerja di rumah.
Saya ibu yang mempunyai anak lelaki dan perempuan. Saya didik anak lelaki tidak ubah seperti mak mendidik saya dahulu. Anak lelaki boleh mengemas, membasuh, menyidai, mengangkat dan melipat baju. Anak lelaki boleh memasak serba ringkas, membancuh air dan mencuci dapur. Beliau juga boleh menghidang, mengemas meja makan, membasuh pinggan dan menyapu sampah. Walaupun masih perlu bersuruh, diingatkan dan dipesan berkali-kali, tetapi itulah seni mendidik anak-anak. Tidak ada anak akan membuat perkara yang disuruh dengan sekali permintaan atau peringatan. Harapan saya bukan mahu menjadikan anak seperti 'sotong' dengan membuat kerja rumah. Tetapi saya mahu beliau ada rasa belas kasihan pada isteri. Beliau boleh membantu meringankan beban isteri di rumah dan itu tidak menjejaskan status quo dirinya sebagai ketua keluarga. Harapan saya bakal isterinya nanti tidak menggunakan kesempatan atas kelebihan ini untuk bermalasan. Jika ia berlaku saya akan salahkan anak lelaki sendiri kerana gagal mendidik seorang isteri.
Sifat ibu moden hari ini sangat menjengkelkan. Kita didik anak-anak terutamanya anak lelaki seperti bos. Permintaan, kehendak dan keperluan mereka kita junjung hingga menafikan keperluan anak perempuan lain. Kononnya, anak lelaki bakal menjaga orang tua esoklusa, tetapi hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Anak lelaki hanyut membawa diri apabila beristeri, dan anak perempuan juga yang akan menanggung ibu ayah atas dasar belas kasihan. Anak lelaki yang tidak pernah dididik dengan tanggungjawab mengurus keperluan keluarga, dijangka lebih prihatin mahu menjaga ibu ayah sendiri. Ternyata kita sangat kuat berangan. Anak lelaki yang tidak pernah dididik mempunyai rasa belas pada adik-beradik perempuan, dijangka akan mempunyai rasa belas pada ibu ayah. Sekali lagi, kita ibu ayah yang tidak cukup makan garam.
Ada ibu ayah tidak segan silu membantu anak lelaki hingga menyediakan duit hantaran perkahwinan, majlis perkawinan pun dibayarkan kosnya. Anak lelaki dididik tidak bertanggungjawab sejak mereka kecil. Dalam keluarga, anak perempuan menyokong abang dan adik lelaki. Selain adik-beradik perempuan, ibu ayah menyokong beban kewangan anak lelaki, kelak dalam rumah tangga isteri pula terpaksa menanggung beban yang sama. Ada ibu ayah tidak mengaku kegagalan mereka mendidik anak lelaki, malah menuduh pula para isteri aka menantu menyusahkan anak lelaki mereka. Tidakkah kita buka mata dan hati melihat kepincangan yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini? Mengapa ibu-ibu moden buta hati dan telinga untuk memahami. Keruntuhan akhlak lelaki aka suami adalah berpunca daripada kegagalan ibu ayah mendidik anak sendiri. Tanpa menyalahkan anak orang lain, terutamanya para menantu.
Mungkin ramai yang menyangka, saya antara mangsa ibu mertua yang gagal mendidik anak lelaki. Sangkaan itu salah sama sekali. Hakikatnya, saya mendidik anak lelaki sebagaimana ibu mertua mendidik suami. Saya antara isteri bertuah kerana suami tidak berat tulang membantu saya di dapur. Saya isteri bertuah kerana ibu mertua tidak rasa terhina jika anak lelakinya membantu saya meringankan kerja-kerja di rumah. Dan saya mahu anak perempuan dan semua wanita lain rasa bertuah seperti saya.
Saturday, 26 April 2014
A sebelum B
"Jom pergi kenduri! Tak mahu, saya hendak pergi membeli barang dapur."
"Marilah meramaikan majlis. Tak mahu, saya tidak suka majlis dan jumpa orang ramai."
"Seronok pergi ke kelas mengaji, jomlah. Malaslah saya tak berapa pandai dan malu."
Masa saya hanya untuk keluarga, suami dan anak-anak. Tiada untuk jiran tetangga, tiada untuk orang lain, tiada untuk kelas menambah ilmu. Hanya untuk diri sendiri, keluarga, suami dan anak-anak. Saya tidak suka bercampur dan tahu kisah-kisah orang lain, banyak dosa daripada pahala.
Saya berada dalam masyarakat yang agak berjaya dari segi material dan akhlak, tetapi miskin hati budi dan sifat mesra masyarakat yang dipandang tinggi oleh nenek moyang. Tidak banyak kerenah dalam komuniti ini, semuanya berdisiplin dan bijak menjaga tata susila masyarakat tetapi sifat individualistik sangat tebal dalam diri masing-masing. Kenduri sebelah rumah pun tidak berjemput, seberang jalan apatah lagi. Bila dijemput pun tidak datang, apatah lagi mahu bertanya khabar orang yang mahu berkenduri. Hilang sifat gotong royong dan ambil tahu, kendur sudah ikatan tali siratul rahim. Mereka yang rajin akhirnya malas kerana jemputan tidak bersambut. Mereka yang semulajadi malas makin malas kerana pasti tiada sesiapa pun kisah. Inilah istilah orang bandar agaknya, hidup dan mati hanya untuk keluarga dan diri sendiri.
Bila fikir dalam-dalam, kita semua diberi kesempatan A sebelum datangnya B. Kita semua diberi peluang oleh Allah swt untuk menikmati masa, tenaga dan kewangan yang mencukupi untuk diri, keluarga dan anak-anak. Dalam kesempatan itu adakah sedikit diperuntukan pada orang lain. Khususnya pada mereka yang tiada kena mengena dengan kita, keluarga mahupun anak-anak. Adakah masa, tenaga dan kewangan yang dikecapi ini kita kongsikan bersama orang lain sama ada mereka berkepentingan ataupun tidak. Jika semuanya berpasak pada keluarga dan diri sendiri, adakah peluang ini akan berterusan hingga selama-lamanya. Itu yang menjadi peringatan kepada saya apabila melihat teman-teman keliling yang diduga datangnya B selepas perginya A. Kita diduga dengan kemiskinan sesudah perginya kekayaan material, kesihatan mahupun kewangan. Masa kuat, berduit dan lapang,; adakah kita memperuntukkan sedikit masa melihat orang yang memerlukan. Semasa senang lenang di atas roda kehidupan, adakah kita meluangkan sedikit masa, kewangan atau tenaga melihat orang yang memerlukan. Semasa gelak tawa badan sihat, segar bugar adakah kita terfikir untuk membantu ataupun melawat mereka yang terbaring kesakitan.
Risau saya cuma satu, apabila nikmat kita ditarik oleh Allah; badan yang sihat kembali lemah, bateri penuh bertenaga berbaki suku, kewangan empuk seperti kusyen tersedut kempis oleh kuasa misteri. Apakah masih ada peluang untuk kita berbakti, melawat atau menghulur simpati pada orang lain. Roda kehidupan yang berputar akan mengubah perspektif kita tentang kehidupan. Adakalanya di bawah, kita sering terlebih masa mendongak ke atas melihat mereka yang dirahmati kehidupannya. Apabila berada di atas kita terlalu sibuk hingga tidak sempat menjeling mereka yang di bawah. Ironiknya, roda itu akan terus berputar dan kedudukan kita akan sentiasa berubah. Kedudukan berubah di atas putaran roda akan mengubah perspektif dan cara kita menilai persekitaran sama ada sedar atau tidak.
Hingga tiba saat itu, kita mungkin tidak berpeluang lagi melakukan sedikit perubahan pada orang keliling. Jadi, rebutlah sihat sebelum sakit. Rebutlah ruang sebelum sempit dan rebutlah jariah sebelum kita kontang.
Peringatan untuk diri yang sering lupa. Syaratnya, kita perlu tahu seimbangkan antara keperluan dan kemahuan dalam berkomuniti.
Friday, 14 February 2014
Ibu Mulia
Salam semua
Ini cetusan dari hati paling dalam seorang bergelar umi, ibu, emak, mama atau apa sahaja panggilan lain yang bersesuaian. Sebagai permulaan pengakuan, saya bukan umi sempurna seperti kebanyakan ibu-ibu di luar sana. Saya tidak dapat melahirkan bayi secara normal, dan saya tidak berupaya memberi mereka susu ibu untuk jangka masa panjang seperti yang disarankan dalam agama. Pun begitu, saya berusaha mengutip segala sisa atau saki baki permulaan perjuangan ini untuk tetap menjadi umi pada anak-anak saya.

Hati saya sering terguris apabila membicarakan tentang keupayaan seorang ibu melahirkan bayi secara normal dan menyusu bayi mereka hingga berusia dua tahun. Walaupun berulang-ulangkali saya pelajari dan fahami, mereka yang terjatuh dalam golongan berkeupayaan ini sangat kering hati dan sadis apabila memberi komen tentang isu ini. Mode menghukum dalam saraf otak mereka sentiasa segar mencari peluang untuk kelihatan lebih mulia daripada ibu-ibu lain yang tidak berkemampuan. Pendek kata, bagaimana unik pun kes kita dipotong, ditoreh, dijahit dan diplaster, kita tetap bukan ibu sempurna sepertimana mereka yang bersalin normal. Bagaimana sukar sekali pun kita berusaha menyusukan bayi, bermasalah puting, masalah bayi untuk lekap dan hisap, masalah bebanan emosi hingga ke masalah susu badan kering, kita tetap bukan ibu sempurna seperti mereka yang menyusu badan. Lebih banyak penjelasan kita berikan untuk menerangkan keadaan diri, lagi giat mereka menghukum kita tanpa simpati dan menuduh kita mencari 1001 alasan.
Saya tiada hujah untuk diberikan pada mereka, cuma saya minta mereka percaya rezeki kita sebagai hamba berbeza antara satu sama lain. Benar, saya tidak mampu bersalin normal tetapi melihat wanita lain yang susah hendak mengandung membuat saya rasa bersyukur tidak terhingga. Benar, saya rugi tidak dapat menyusu badan, tetapi melihat anak-anak yang langsung tiada keupayaan menghadam laktosa, buat saya bersyukur dengan apa sahaja pemberian tuhan. Saya tidak berminat menegakkan benang atau membuat justifikasi atas ketidakupayaan diri. Saya cuma meminta ibu-ibu mulia di luar sana supaya belajar dan memahami kesusahan dan faham akan percaturan rezeki orang lain. Ustaz di Mekah berkata pada kami para jemaah, Allah jarang memberi hambanya ketiga-tiga jenis rezeki di atas dunia. Jarang seorang manusia mempunyai anak-anak, kekayaan dan ilmu dalam masa yang sama. Adakalanya kita murah rezeki dari segi ilmu tetapi kurang berduit dan kurang anak. Tetapi ilmu bermanfaat itu nanti mampu menyuluh kegelapan kita di sana kelak. Ada orang kurang harta dan ilmu tetapi ramai anak-anak. Moga anak-anak itu esok mampu bersedekah Al-fatihah pada kita di sana. Begitu juga, ada sesetengah daripada kita kurang anak dan tidak berilmu, tetapi banyak harta yang boleh diinfakkan ke jalan Nya. Atas dasar yang sama, bolehkah para ibu mulia di luar sana berlapang dada menerima rezeki ibu lain yang tidak berupaya seperti saya. Benar, saya tiada upaya melahirkan bayi secara normal dan anak tidak ramai, tetapi saya diberi rezeki lain oleh Allah swt untuk mendidik dan mengajar anak-anak daripada satu huruf rumi, arab dan jawi hingga mereka boleh membaca, mengaji dan mendirikan solat. Benar, saya tidak dapat menyusu bayi dengan titisan susu yang membawa pahala berganda, tetapi setiap huruf dan bacaan quran dan ilmu asas membaca, mengaji dan mengira itu merupakan pahala berpanjangan kepada saya. Mengapa perlu menghukum sesama kita, padahal keupayaan dan rezeki kita berbeza.
Ini baru isu keupayaan menyusu, belum lagi bercerita tentang kebaikan-kebaikan lain seperti antibodi, khasiat nutirisi hingga ke isu IQ anak-anak. Betapa low-class nya kami ibu-ibu yang tidak mampu menyusu. Cubalah belajar untuk berlapang dada dengan keperitan orang lain. Tidak salah berkongsi ilmu dan tips, tetapi matikan mode 'judging' dalam saraf otak itu supaya kami yang tidak sempurna ini rasa nikmat menjadi seorang ibu sepertimana kalian juga. Boleh bukan?
Wassalam.
Tuesday, 4 February 2014
Mak Ayah Ironik
Salam warga blog
Wow, saya betul-betul sudah masuk fasa malas menulis. Susah pula mendapat ilham atau cetusan idea untuk menitip. Lagi mencabar apabila anak-anak berada di rumah sepanjang hari dan masa. Cabarannya bukan sahaja dalam menyediakan keperluan harian mereka, tetapi masa lengang membaca dan menulis juga semakin sempit. Tiada lagi ruang pagi untuk saya berteleku mencurah idea. Hanya ipad menjadi tempat saya menulis perkara terbuku di hati. Tetapi kesannya tidak sepuas menulis dalam blog. Idea yang datang harus dipendek dan diringkaskan seboleh mungkin. Maklumlah, kita tiada masa membaca luahan hati dalam medium seperti FB. Hehe...
Tajuk kali ini agak menjengkelkan, iaitu mengupas isu ironik dalam diri kita sebagai ibu ayah. Kita adalah ibu dan ayah yang diamanahkan oleh tuhan untuk mendidik anak-anak. Mengapa saya pilih perkataan ironik, kerana apa yang kita tuturkan dan impikan berbeza dengan realiti yang kita amalkan dan tunjukkan di hadapan mereka. Saya tidak mahu menunding jari pada orang lain, pasti kita dilema situasi yang sama. Itupun jika ada yang sudi mengaku. Ironiknya, kita marah itu ini, tetapi kita sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik. Kita tegur anak itu ini, tetapi kita sendiri berulangkali melakukan kesalahan yang sama di hadapan mereka. Kita tegas membuat peraturan itu ini pada anak, tetapi kita juga tanpa segan silu melanggar peraturan sendiri. Itu baru peraturan sendiri, bukan peraturan Allah swt.
Sedar atau masih kelabu asap, betapa ironiknya kita sebagai ibu dan ayah.
Psikologi manusia sangat kompleks. Ada orang kata, perkara yang kita benci pada orang lain sebenarnya ada dalam diri kita. Contohnya, kita marah jika anak bangun tidur lewat di pagi hari. Sebenarnya, kualiti bangun lewat itu ada dalam diri kita. Kita marah anak suka menangguh kerja sekolah, tetapi kita sendiri suka bertangguh-tangguh urusan yang perlu disiapkan. Kita marah anak pemalu dan tidak berkeyakinan, tetapi secara dalamannya kita sendiri pun begitu. Penerangan dari sudut psikologi adalah kita bukan memarahi anak sahaja tetapi lebih tersirat, kita sebenarnya kecewa dengan diri sendiri. Kita zahirkan rasa marah itu pada anak secara terang-terangan, tetapi pada dasarnya kita malu, kecewa dan marah pada diri sendiri. Kita benci diri sendiri yang berulang kali membuat perkara yang sama, tetapi kita tujukan kemarahan itu pada anak-anak. Tidak adil bukan?
Jadi, bagaimana mahu melawan kesan psikologi sebegitu? Kita harus menunjukkan contoh yang baik pada mereka. Ramai cerdik pandai berkata, anak tidak mengikut apa yang kita ajar pada mereka tetapi melihat dan mencontohi apa yang kita amalkan di hadapan mereka. Tanya diri sendiri; kita marah anak tidur dan bangun lewat. Adakah kita sendiri ada sifat-sifat kelawar? Kita tidak suka melihat orang sombong, tetapi secara tersirat adakah sifat ini bersembunyi dalam diri dengan panggilan lain iaitu EGO. Kita marah orang tidak melayan kehendak kita dengan baik, tetapi kita sendiri pun sambil lewa sahaja melayan kehendak orang lain. Harapan kita melalui contoh yang baik dan berterusan, ia akan dapat memberi sedikit warna pada kehidupan orang lain. Moga air yang berkocak itu lebih luas riaknya dan dapat dirasai oleh individu lain.
Pada mereka yang biasa dengan hukum LOA; law of attraction, saya pasti ramai yang angguk-angguk tanpa bantah. Tetapi saya tidak menyokong hukum ini seratus peratus. Dalam apa pun bentuk hukum kepercayaan manusia pasti akan ada kes-kes terpencil seperti mengapa Nabi Nuh as tidak berjaya mengimamkan isteri dan anak-anaknya. Adakah baginda seorang yang suka bangun lewat, suka berlengah-lengah, suka mencari alasan dan suka berdolak-dalik? Mengapa dalam kes-kes istimewa sebegini; contoh yang baik, amal yang mulia dan usaha berterusan tidak mampu mengubah anak-anak menjadi orang yang baik, taat dan beriman? Mengapa LOA tidak menunjukkan kekuasaannya dalam kes-kes istimewa yang melibatkan orang-orang hebat dalam sejarah manusia? Jawapan saya cuma satu, hukum Allah swt boleh melewati kesemua hukum jelmaan yang kita fahami selama ini.
Apa hak dan peranan kita sebagai ibu dan ayah ironik?

Subscribe to:
Posts (Atom)