Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Wednesday, 24 August 2011

Siri: Aku seorang SURI2

Salam

Rasanya, ini coretan terakhir aku sebelum kita semua bergembira bersama keluarga di hari raya. Selamat hari raya aidilfitri pada semua yang mengenali ataupun tidak. Semoga keberkatan aidil fitri kali ini akan menyatukan dan mengukuhkan siratulrahim sesama kita. Amin.

Baiklah, sebagai topik terakhir sebelum bercuti panjang kali ini, aku akan berkongsi pengalaman-pengalaman getir menjadi seorang suri(seperti yang dijanjikan). Pengalaman yang aku kongsikan di sini bukan eksklusif datangnya daripada aku tetapi juga daripada rakan dan kenalan selama ini. Pengalaman-pengalaman manis mahupun pahit tetap mengajar kita tentang erti kehidupan. Jadi, selamat membaca dan ambillah panduan di mana perlu.

Bagi memudahkan pemahaman kita semua, aku letakkan subtopik pada setiap isu yang dibincangkan. Ia kelihatan lebih teratur supaya idea aku juga tidak kacau bilau. Antara isu-isu yang membelenggu kehidupan seorang suri adalah seperti berikut;...jeng..jeng..jeng...

Melawan arus 

Google Image
"Anak awak yang dah habis belajar tu, kerja apa Melah?" Soal seorang jiran pada si Melah. Melah dengan rasa sedikit segan dan terkilan menjawab "Ala...dia duduk rumah saja jaga anak-anak". "Alahai...kesiannya kat awak Melah, dah berhabis duit bagi dia belajar tiba-tiba dia cuma mengangkang di rumah, awak tak marah ke?" Si ibu Melah terdiam, tiada jawapan. Rasa calar masih berbekas di hati setiapkali orang bertanyakan soalan itu padanya. Kesian si ibu Melah.

Memilih menjadi seorang suri secara paksa mahupun sukarela, adalah pilihan berlawanan arus. Bila kita sedar ia berlawan arus, usaha untuk mendapat pengesahan dan rasa hormat orang keliling adalah satu perkara yang agak sukar. Pengesahan yang dimaksudkan di sini ialah daripada orang awam, khususnya mak dan ayah, suami dan anak-anak, adik-beradik,  jiran tetangga dan rakan taulan yang mengiktiraf kewujudan dan kepentingan suri. 

Pengesahan adalah keperluan asasi yang diperlukan oleh setiap individu hatta pada diri seorang anak kecil. Ia adalah satu keperluan semula jadi pada setiap orang bergelar manusia dan bertindak sebagai pendorong motivasi di atas segala perbuatan baik yang dilakukan oleh seseorang individu. Malangnya kerjaya suri tidak memberi peluang untuk kita mengecapinya dengan mudah berbanding dengan mereka yang bekerjaya hebat di luar sana sepertimana cikgu, jururawat, kerani atau lain-lain. Tiada bonus pencapaian, elaun lebih masa atau sijil penghargaan menanti suri di akhir tahun sepertimana mereka yang bekerjaya . Tanpa pengesahan sewajarnya, terutama daripada ahli keluarga terdekat , ia akan mengundang rasa lemah jati diri dan kekeringan emosi di kalangan suri-suri. Rentetan daripada kelemahan dan kekurangan ini, aura negatif itu kelak terpancar dengan jelas  daripada diri suri apabila mereka berinteraksi dengan orang luar. Tanggapan negatif seperti suri low self-esteem, kurang berkeyakinan, malu tidak bertempat dan kurang pandai menyesuaikan diri dalam masyarakat sering saja lekat pada tag nama seorang suri. Paling malang, setiap kelakuan buruk seperti mengumpat, mengangkang, menonton telenovela, bergayut dan membeli-belah seakan-akan cara terbaik apabila orang awam mendeskripsi kerjaya seorang suri. Kasihan!

Dalam masyarakat kita di sini, kredibiliti dan kehormatan seorang individu diberi darjah tinggi sekiranya dia mempunyai gelaran dipangkal nama atau mempunyai kelebihan material  atau berposisi tinggi di pejabat.  Memilih menjadi seorang suri bermakna, kita tidak mempunyai semua kelebihan-kelebihan tersebut kecuali sekadar menumpang kelebihan atau kemewahan si suami atau menumpang harta keluarga. Oleh itu, apabila memilih kerjaya suri, ia ternyata berlawanan arus dari tuntutan-tuntutan tipikal masyarakat setempat.

Seorang wanita yang berpendidikan seharusnya berada di ofis dan bukan bergelumang dengan anak-anak. Seorang wanita berpendidikan harus mempunyai kerjaya baik demi menjana ekonomi keluarga. Maklumlah dunia sekarang memerlukan duit melebihi keperluan-keperluan emosi lain. Seorang wanita berpendidikan, bekerjaya hebat pula seharusnya membawa tanggapan hebat masyarakat pada kedua ibubapa yang berjaya mendidiknya dan keberuntungan si suami kerana berjaya memperisterikannya. Tidak lupa juga pada anak-anak, mereka tetap berbangga siapa ibunya tetapi naluri bersih mereka tidak memilih berdasarkan  pangkat dan duit semata-mata. 

Sebaliknya pula, kerjaya seorang suri dilihat seperti tidak memberi pulangan modal kepada  kedua ibubapa yang membesarkannya selama ini. Tidak juga meringankan beban mencari nafkah yang tertanggung di atas bahu seorang suami. Cuma, anak-anak saja bersorak gembira kerana ibunya seorang suri. Maklumlah, ada orang yang sentiasa membontoti dan menyediakan keperluan mereka. 

Jadi tidak mudah bukan untuk menongkah arus kerana dalam usaha menongkah itu , kita akan terus berhadapan dengan konflik self-esteem yang kronik. Soalan-soalan selfish seperti: berbaloi ke aku cuma menyokong suami di belakang takbir, bagaimana jika suami aku lebih tertarik dengan wanita bekerjaya maklumlah, they got beauty, brain and "ber-wang", adakah anak-anak akan melihat aku sebagai ibu yang hebat sepertimana ibu kawan-kawannya. Siri-siri soalan negatif ini sentiasa bermain dan bersarang di kepala suri dan boleh membuat jati diri mereka makin lemah dan rasa makin tidak berbaloi. Sekiranya diri sendiri pun sukar menghargai, bagaimana mereka hendak dihargai oleh orang lain.

Err...dah panjang sudah, rasanya subtopik seterusnya akan disambung pada coretan lain. 
Tunggu..............

SELAMAT HARI RAYA SEMUA :))



Monday, 22 August 2011

Negatif...benarkah ia negatif?

Salam

Image Google
                                                   

Sedar atau tidak, orang kita tidak diajar cara yang berkesan untuk melampiaskan rasa negatif, marah, putus asa atau kecewa. Kita tidak dididik untuk memahirkan diri bila berhadapan dengan konflik, contohnya jika marahkan sesorang, jika kita tidak berpuas hati atau jika kita ingin mengatakan tidak pada orang lain. Seolah-olah dalam masyarakat kita orang melayu, sifat marah, tidak puas hati, kecewa itu tidak wujud. Rasa marah atau kecewa sering diberi konotasi negatif  dan tidak lansung diiktiraf kehadirannya dalam diri kita sebagai manusia. Alternatifnya, orang melayu sangat terkenal dengan aktiviti belakang pintu seperti membomoh jika tidak puas hati, bermuka-muka bila berkawan dan suka menyindir bagi meredakan gelodak jiwa.

Melalui pengalaman pembacaan saya tentang masalah emosi seperti kemurungan, putus asa atau kesedihan, ia seringkali mendapat tanggapan negatif daripada orang kita apabila menangani isu begini. Perkataan yang paling berkuasa untuk mematikan si polan daripada berbicara ialah dengan meletakkan cop rasmi "TIDAK BERSYUKUR". Seolah-olah itulah ayat keramat untuk membisukan individu daripada berbicara tentang persoalan negatif yang perlu dibawa berbincang. Adakah itu sebabnya juga,  masyarakat kita amat sukar untuk mendapatkan khidmat nasihat kaunseling daripada mereka yang bertauliah kerana takut dicop sebagai tidak bersyukur. 

Yelah, suami masih pulang ke rumah walaupun sebagai penagih dadah atau kaki botol, merempit duit anak bini untuk memuaskan nafsunya. Isteri tidak berhak bersuara, dia patut bersyukur kerana suaminya  masih pulang ke rumah? Ironik! Mungkin contoh ini keterlaluan pada kita. Bagaimana pula dengan rungutan ibu-ibu di pusat penjagaan anak-anak? Apa saja komplen yang terkeluar daripada mulut-mulut ibu ini pasti ada yang meningkah," bersyukur sajalah...anak awak ada orang jagakan!" Sampai bila kita harus memperkecilkan rungutan-rungutan sebegini. Adakah sampai anak kita koma di wad, barulah kita hendak bersuara? Atau mungkin tunggu hingga siisteri dikerat 14 dan disorokkan dalam almari, barulah kita kelam kabut buat post-mortem? Itulah kelebihan orang-orang kita, bila terantuk baru tengadah.

Sepertimana kita, mereka yang berada di barat juga mempunyai masalah dalam perhubungan suami isteri, persahabatan sesama kawan ataupun sesama ahli keluarga. Cara mereka membawa isu ini dalam bentuk diskusi selalunya kelihatan lebih ilmiah daripada orang kita. Paling ketara mereka tidak kelihatan sebagai pengumpat sepertimana dalam masyarakat kita. Apa yang membezakan antara cara kita merungut dan cara mereka merungut hingga kita lebih sinonim dengan istilah pengumpat? Lama juga saya memperhalusi persoalan ini melalui ruangan forum ilmiah yang dikelolakan oleh mereka. Contohnya, diskusi tentang kesukaran untuk menjaga hubungan antara dua orang sahabat yang tidak sekepala , ia dapat diekspresikan dalam bentuk yang sangat positif. Alasan-Alasan munasabah seperti berlainan persekitaran, berubah citarasa, berbeza gelombang otak yang mungkin disebabkan oleh faktor-faktor lain yang berubah, boleh diambil kita sebagai punca perbezaan. Secara  tidak lansung menjadikan kita sebagai pembaca menerimanya dengan tenang hati tanpa ada  rasa sakit hati atau terkilan. Berbeza jika membaca luahan atau rungutan masalah persahabatan di kalangan kawan-kawan  forum setempat. Pasti ada respon-respon seperti si dia cemburu, si dia lupa diri dan macam-macam label negatif hanya kerana kita tidak sekepala dengan mereka. Sukar untuk mendapatkan komen-komen yang berunsurkan kefahaman dan positif secara kolektif.

Persoalan saya, kenapa kita tidak boleh zahirkan sesuatu yang negatif itu untuk mendapat respon positif daripadanya? Adakah komen-komen positif ini hanya datang daripada mulut-mulut motivator sahaja?Kenapa jika kita menzahirkan emosi negatif tentang sesuatu, kita terus dihukum tanpa sebab yang munasabah? 

Paling sedih, ia bukan sahaja berlaku dikalangan rakyat marhein yang kurang ilmu tetapi juga dari golongan mereka yang kononnya bijak pandai belaka. Hanya kerana saya mempersoalkan tentang fitrah manusia yang mempunyai rasa sedih, saya dicop sebagai negative thinker oleh seorang motivator! Ironik bukan. Secara peribadi saya kehausan dalam mencari makna jelas sesebuah konsep kehidupan. 

Rungutan itu negatif, tidakkah disebabkan oleh rungutan tersebut kita boleh membaik pulih perkhidmatan yang sedia ada? Mengatakan tidak pada tetamu yang ingin berkunjung ke rumah, juga dilihat sebagai negatif. Tidakkah itu memberi ruang untuk kita bertolenrasi dan mencapai kata sepakat? Membuka pekung, dilihat sebagai memalukan diri sendiri dan keluarga. Pada fikiran saya, jika berjumpa doktor untuk mencuci luka maka haruslah kita membuka apa yang patut supaya ia boleh diberi perhatian sewajarnya. Tidaklah logik, jika luka di paha mahu dirawatnya di pipi. Sudah pasti, saya memilih perkataan doktor untuk merawat luka dan bukan angkasawan. Maknanya, carilah orang yang boleh dipercaya sebelum bercerita isu-isu yang melibatkan maruah kita.

Walaupun begitu, sesuatu yang perlu difahami oleh kita semua ialah rungutan, kesedihan, kemurungan dan apa saja yang berkaitan dengan sifat negatif ini
Image Google

adalah asam garam kehidupan dan ia mengayakan pengalaman. Ia menjadi masalah jika individu itu tidak boleh memisahkan dirinya daripada semua sifat negatif ini dan berlarutan dalam satu tempoh masa yang lama. Dalam kes seumpama ini, kita perlu mendapatkan nasihat atau rawatan yan sewajarnya. Jika tidak dibendung dari awal, ia akan menjadi barah dalam hidup ini. Makin lama, makin membusuk dan akan berulat. Jadi pada mereka yang membaca coretan ini, jangan rasa malu atau bersalah jika ingin membuat rungutan pada benda-benda yang perlu. Ada masanya rungutan kita akan dinilai sebagai input berguna pada seseorang. Cuma awasi rungutan, kesedihan atau sifat negatif itu supaya ia tidak menjadi makanan harian kita. Anggaplah dia sebagai jeruk mempelam bila kita mengidam. Maksudnya, bila ia diperlukan.



Akhir kata, teringat bicara seorang rakan yang tinggi ilmu kehidupannya. Manusia ini suka benar melabel. Padahal, segala input atau maklumat yang datang pada kita semuanya dalam bentuk "neutral", cuma bergantung pada persepsi kita pada maklumat tersebut. Misalnya, istilah membuka pekung di dada. Ia boleh lari daripada konotasi negatif jika kita memilih untuk melihatnya dari sudut yang positif. Kemungkinan, individu itu ingin memohon  pandangan atau pencerahan. Niat dia bercerita  dan menyatakan luahan hatinya, bukanlah hak kita untuk menghukum apatah lagi melabel dia dengan panggilan-panggilan negatif. Dia yang negatif atau kita yang suka sangat menghukum? Tepuk dada dan tanya akal.

Peringatan untuk diri sendiri.


Wasalam



Wednesday, 17 August 2011

Catatan Perjalanan: Why LONDON....

Salam hari cuti.

Dalam coretan perjalanan kali ini, aku akan bercerita tentang salah satu destinasi terkenal di dunia iaitu London. Siapa tidak tahu di mana letaknya London? Cuba angkat kening! Anak-anak kecil, khususnya peminat bola pasti tahu di mana letaknya London atau paling kurang England. Ternyata ia sebuah negara yang sangat berpengaruh di dunia fana ini. Why London?

Lokasi London di tengah-tengah kuasa dunia antara barat dan timur, tidak boleh dipandang sepi, apatah lagi ditokok tambah dengan kisah-kisah kemahsyuran Churchill di era Perang Dunia Kedua. Di zaman moden pula kita diulit dengan kisah-kisah bintang mereka seperti Kate Winslate, boys band Westlife, girls band Spice Girls, Mr David Beckham dan  Mrs Posh Beckham....pendek kata, apa saja yang datang dari London pasti terbaik dan terbilang. Sedangkan Shah Rukh Khan dan Kajol pun berkali-kali tamat belajar dari universiti di London  dalam filem-filem mereka sebelum ini. Manalah, tempat itu tidak terkenal di seluruh tanah jajahan British termasuklah Malaya! Disebabkan oleh faktor lokasi dan kemasyuran tamadun sejak zaman berzaman itu, London membawa imej ikon pada orang-orang Malaya yang berjaya sepertimana juga India. Tidak percaya? Sila tonton kisah-kisah drama orang kaya di TV3...yang kaya, berjaya, gemilang dan terbilang pasti tamat belajar dari London. "Anak saya baru pulang dari London." Kata Datuk K kepada Datuk L. Why London?

London sepertimana pusat-pusat bandar lain di dunia, ia besar, sibuk, mahal dan kotor; bergantung pada lokasi di mana kita berada. Berada di pusat London menjadi mudah jika kita tahu selok-belok menaiki keretapi bawah tanah. Stesyen keretapi Underground ini tertelak strategik sekali di tempat-tempat tumpuan para pelancong dan lokasi transit antara keretapi lain yang akan keluar dari pusat bandar. Secara ringkasnya, kita tidak akan tersesat walaupun pada kali pertama menjejakkan kaki ke sana. Itulah serba sedikit pengalaman aku berada di pusat bandar besar seumpama ini.

Berada di London, kita tidak akan mati kebuluran kerana banyaknya restoran makanan halal di sana terutamanya di sebatang jalan sibuk bernama Edgwer Road. Makanan dari negara-negara lain seperti Magribi, Arab dan Turki merata-rata di sepanjang jalan ini. Jika bernasib baik, kita juga akan berjumpa dengan restoran halal dari Malaysia dan Singapura. Walaupun begitu pada saya, jika kita datang hanya sebagai pengunjung atau pelancong mingguan tertumanya dari negara Malaya terchenta, tidak perlulah bersusah payah mencari restoran halal dari negara sendiri. Cubalah ubah rasa dan selera di sana. Makanlah fish and chip, barulah jadi British! And don't forget tea at three.


                                  Goggle image

Apa tempat-tempat menarik di sekitar pusat bandar London? Banyak! Tip mudah saya  apabila berjalan-jalan di bandar besar seperti London dan Paris adalah dengan mengambil hop on bus. Selain menjimatkan masa dan tenaga ia adalah satu cara terbaik untuk mengelilingi persekitaran pusat bandar di sana. Kita boleh turun di mana saja lokasi yang terpilih dan sambung semula perjalanan tanpa perlu bersusah payah ke stesyen Underground. Ia mungkin tidak terlalu murah, apatah lagi jika ditukarkan dengan matawang dari negara ini tapi ..."Tapikan mampu beli tiket kapal terbang!", jadi apalah sangat tambang bas double decker. Setibanya di sana, jangan lupa bergambar wajib seperti di lokasi Big Ben, Tower Bridge, Picadilly Square, Oxford Street ,Westminster Abbey , London Eye dan banyak lagi. Jadi jika kesuntukkan masa dan kekurangan tenaga, cara terbaik untuk meneroka tempat-tempat tarikan pelancong ini hanyalah dengan melompat masuk ke dalam hop on bus seperti saya katakan di awal tadi.


                                  Goggle image

Secara peribadi, jika kali pertama berpeluang sampai ke eropah, London adalah tempat wajib sampai. Kurang sempurna jika kita ke Jerman, Austria dan Switzerland tetapi belum pernah tiba di London. London adalah ikon pusat bandar termasyur di dunia dan ia juga adalah ikon wajib bagi orang-orang berjaya di Malaya. Hendak jadi warga Malaya cemerlang, gemilang dan terbilang? Wajib sampai London. That's why!



Saturday, 13 August 2011

Pujian umpama minyak....

Salam                                                                 


Saya tertarik dengan komen seorang rakan FB tentang keperluan pujian pada seseorang individu. Adakah ia terbatas pada keperluan seorang lelaki, perempuan, bekerjaya, tidak bekerjaya, tua, muda atau sesiapa saja? Mengikut pengalaman dan pembacaan aku selama ini, ia tidak mengenal jantina, tahap pendidikan, tahap kerjaya, tahap usia...semua orang inginkan pujian, paling tidak pengesahan akan kewujudan dia sebagai individu. Benar, ia satu keperluan tetapi ia juga boleh bertukar kepada kemahuan. Di saat itu, ia bukan lagi bersifat penggerak motivasi tetapi minyak yang membakar diri.                                                                           

Kebanyakkan penulis-penulis buku keibubapaan pada zaman moden meletakkan keperluan emosi anak-anak di aras tinggi dalam usaha mendidik mereka. Berbeza benar daripada zaman kita dibesarkan dahulu. Keperluan fizikal seperti tempat perlindungan, makanan dan keselamatan menjadi perkara terpenting dalam menjamin tumbesaran anak-anak. Zaman berubah dengan andaian bahawa keperluan fizikal sedemikian telah mencukupi dan banyak usaha telah difokuskan pada keperluan aspek-aspek emosi, contohnya PUJIAN.

Memang benar, pujian emak dan ayah pada anak-anak sangat di pandang tinggi oleh mereka . Jika di sekolah pula, pujian cikgu-cikgu amatlah memberi kesan positif pada diri anak-anak. Kadangkala, pujian cikgu itu lebih diharapkan oleh mereka berbanding kita sebagai ibubapa. Pujian membawa unsur-unsur "positive affirmation" pada mereka. Ia membawa maksud bahawa mereka diberikan pengesahan sewajarnya tentang pencapaian dan kewujudan mereka di rumah ataupun di sekolah. Jadi dengan pujian, ia membantu anak-anak mengukuhkan kekuatan emosi secara positif dan berfungsi umpama minyak untuk membakar keyakinan diri, seterusnya menjadi lebih cemerlang dan berdaya maju. 

Walaupun begitu, konsep "diminishing return" juga patut diambil kira bila isu pujian ini kita bincangkan. Konsep ini mengatakan, pujian pada awalnya yang bergerak secara berkadaran lansung dengan elemen positif dan penggerak dalam diri anak-anak  akan sampai ke satu titik. Bila mana ia diteruskan melepasi titik itu, keseronokkan akan mula mengurang dan akhirnya tidak memberi kesan secara lansung. Contoh lain yang lebih mudah, bayangkan jika seseorang pekerja yang bekerja keras untuk mendapat gaji lumayan. Kenikmatan kenaikan gaji yang dia dapati  setiap tahun akan berkadaran lansung dengan  kepuasan dia bekerja hinggalah pada satu titik.  Di saat dia melepasi titik ini, kenaikan gaji bukan lagi menjadi satu-satunya matlamat dia bekerja tetapi kepuasan bekerja menjadi agenda utama.  Walaupun gaji yang dia terima semakin meninggi tetapi kepuasan itu telah menurun kerana agenda utamanya telah beralih kepada kepuasan lain. Jadi konsep diminishing return yang saya pelajari dahulu di dalam kelas ekonomi undergrad ialah cara terbaik untuk menerangkan, bagaimana kesan pujian ini akan meracuni diri anak-anak jika tidak dipantau.

Antara kaedah yang diajar atau dikongsi oleh professional dalam isu ini adalah membina sistem sokongan dalaman di dalam diri anak-anak. Ia dikenali sebagai Self-efficacy. Di dalam subjek ini kita belajar cara untuk memberi pujian kepada anak-anak. Pujian yang bersifat am biasanya sesuai untuk anak-anak yang lebih kecil tetapi bila mereka meningkat dewasa, pujian harus bersifat konkrit dan fokus. Selain itu, anak-anak harus belajar mengenal keupayaan diri. Di mana kekuatan  semula jadi yang ada pada dirinya dan di mana kelemahan yang perlu diperbaiki supaya dia faham, di mana dia "sepatutnya" mendapat pujian dan di mana tidak. Malangnya, apabila anak-anak yang dipuji ini tidak diberikan pendedahan sewajarnya tentang kualiti yang mereka ada atau tidak ada, mereka jadi keliru. Ingat, pujian bersifat am boleh menjadi pemangkin pada anak-anak kecil tetapi tidak berkesan, bila mereka meningkat dewasa. 

Selain itu, isu yang lebih besar adalah anak-anak ini bagaikan hidup diawangan kerana dipuji keterlaluan oleh emak dan ayah tidak kira masa, walaupun pada perkara-perkara yang tidak munasabah. Mereka berasa mereka hebat tapi hakikatnya, hanya emak dan ayah sendiri sahaja yang rasa akan kehebatan itu.  Malangnya jika anak ini masuk ke dunia realiti, dia akan jatuh tersepuk ke lantai jika dikritik oleh bos atau pensyarah di universiti. Emosi mereka akan tercalar hebat dengan teguran dan kritikkan orang-orang keliling. Ironiknya lagi,  jarang ada orang memuji kita di dunia realiti ini melainkan pada perkara-perkara extraordinary seperti berenang merentasi Selat Cook!

Oleh itu pada pendapat saya, pujian ini memang harus diberikan dan dibajai pada anak-anak kecil supaya ia menjadi pemangkin kepada mereka. Walaupun begitu, emak ayah harus belajar untuk mengaktifkan sistem kepercayaan dalaman anak-anak itu yang berpaksikan pada kelebihan dan kekurangan diri. Agar mereka menjadi self-motivated dan berterusan berfikiran positif tanpa memerlukan pujian dari luaran, contohnya daripada emak dan ayah. Apatah lagi jika mereka tinggal berjauhan dari kita. Anak-anak harus dilengkapkan dengan keupayaan "bangun sendiri" bila mereka dikritik atau dipersendakan. Kita tidak selamanya akan berada disisi mereka untuk meniupkan semangat MALAYSIA BOLEH. Apa yang anak-anak perlu tahu ialah SAYA BOLEH!! dan ia harus datang dari dalam diri mereka, bukan dari kita.

Wassalam.


Thursday, 11 August 2011

Kehidupan - Monotonous

Salam

Alamak, sudah lama tidak mencoret! Ada sesuatu menganggu fikiran aku di kala ini walaupun aku ada tugas lain yang perlu diselesaikan. So, straight to the point....

Pernah tidak dalam kesibukkan harian, kita rasa hidup ini terlalu mendatar? Dari pagi sampai malam, rutin bersilih ganti tidak habis-habis. Sama saja rutin kehidupan ini seminggu yang lepas, sebulan yang lepas, setahun yang lepas mahupun sepuluh tahun yang lepas. Tiada beza, tiada perubahan dan ia MONOTONOUS. Bila memikirkan kehidupan yang bakal aku lalui ini tetap akan sama  pada minggu  depan, sebulan depa, setahun depan mahupun sepuluh tahun depan, aku jadi takut. Adakah ini cara aku akan habiskan kehidupan dengan lebih bermakna dan berwarna-warni?

Bila agaknya kali terakhir kita mempunyai rutin yang berbeza daripada sekarang? Mungkin tiga atau lima tahun yang lepas? Mungkin sepuluh tahun yang lalu semasa kita terkocoh-kocoh bangun pagi untuk ke kuliah hari sabtu. Alangkah lamanya kita tidak merubah rutin baru. Paling-paling kita cuma menunggu datangnya bulan Ramadhan pada setiap tahun. Bagaimana dengan sebelas bulan-bulan yang lain? Kehidupan mendatar sebegini membawa persepsi berlainan pada setiap orang, termasuklah pada diri aku sendiri. Aku rasa terkongkong.

Sebagaimana anak seorang bekas askar, aku sudah terbiasa berpindah randah dari satu ke tempat ke satu tempat lain. Tanpa sedar, kehidupan nomad sedemikian banyak mencorak pemikiran bawah sedar aku tentang cara hidup yang menjadi pilihan aku selama ini. Aku bertukar beberapa buah sekolah sebelum mengakhiri zaman persekolahan aku di utara semenanjung. Selesai di utara, aku bertapa pula di salah sebuah universiti berdekatan dengan ibukota walaupun bukan sekangkang kera. Terpaksalah naik bas Tong Fong untuk sampai ke Pudu Raya setiapkali ingin pulang ke kampung. Sesudah tamat pengajian, aku mencari rezeki dan masih di situ hinggalah aku bertemu jodoh dengan suami. Kemurahan rezeki Ilahi membawa aku terbang ke dunia empat musim yang berlainan sekali daripada negara aku yang berhujan batu ini. Aku suka suasana baru, aku suka budaya baru dan aku suka pengalaman-pengalaman baru yang mengayakan kehidupan aku . Peringkat demi peringkat dalam kehidupan aku selama ini, boleh dilihat dengan jelas bagaikan lapisan berwarna-warni kek lapis betawi. Indah, menyeronokkan dan mengayakan koleksi-koleksi pengalaman peribadi. Betullah kata orang-orang tua, jauh perjalanan maka luaslah pandangan.

Sekarang aku terkandas semula, di sini. Walaupun aku dikelilingi oleh adik-beradik dan kawan-kawan yang akrab tetapi ada sesuatu yang hilang. Keseronokkan mengexplorasi tempat-tempat baru bagaikan sudah tertutup. Bukan tertutup disebabkan oleh ketandusan tempat-tempat indah di negara ini tetapi disebabkan oleh kesibukkan rutin yang terlalu mengongkong diri dan keluarga. Semuanya bagaikan ada jadual tersendiri, dari bangun pagi hingga tutup mata...rutin, rutin dan rutin! Minda bawah sedar aku juga bagaikan orang yang mengidamkan sesuatu dan tidak berhenti mencari. Mungkin aku perlu menukar rutin yang telah memasuki usia enam tahun ini. Ya, aku akan berpindah rumah pada hujung tahun ini. InsyaAllah, paling tidak...aku boleh mengubah rutin mengangkut barang-barang dapur ke rumah. 

Paling tidak....sambil terus berfikir-fikir kemungkinan yang mendatang.


                                        From image google

Saturday, 6 August 2011

Kawan semakin menjarak....

Five signs a friendship's headed south...

Salam



Banyak faktor penyebab berakhirnya sebuah ikatan persahabatan. Kadang-kadang tanpa kita sedar ia berlaku dan melibatkan kawan-kawan yang pernah rapat dengan kita satu masa dahulu.

Pernah satu ketika, apabila kita dalam kesedihan atau kegembiraan, dialah orang pertama yang akan kita hubungi. Tidak kira berapa jauh pun jarak antara kita berdua, talian komunikasi sentiasa menyemarakkan hubungan siratulrahim pada waktu itu. Ketika itu, dialah juga pendengar setia di kala sunyi, duka ataupun gembira. Masa berlalu begitu cepat, kesibukkan harian  di samping komitmen yang bertambah, tanpa sedar jarak emosi dan fizikal semakin  menjauh. Dia bukan lagi orang pertama yang akan kita hubungi di waktu sukar, duka mahupun ketika dalam keseronokkan. Kita bukan lagi orang pertama yang mendapat berita terbaru daripada mereka melainkan 2nd hand news daripada orang keliling. Aku sedang mengalami pengalaman begini.

Beberapa malam lalu, aku menghubungi sahabat baik yang hanya tinggal beberapa hasta dari kediaman aku. Sebenarnya, aku cuba menghubunginya sebelum bulan puasa bermula dan merancang untuk keluar bersama. Hanya mendambakan sedikit masa untuk duduk bersembang, up date berita terkini sambil mengena kopi ais di tempat lepak kami selama ini. Malangnya, pesanan tidak berbalas dan panggilan telefon juga tidak berjawab malah tiada tanda-tanda ingin bertanya lebih lanjut. Aku mendiamkan diri seketika. Walaupun berdiam, hati aku tertanya-tanya juga kenapa...dan mengapa? Pada malam aku menghubunginya kami bersembang, berseloroh dan mengusik seperti biasa tetapi seperti ada sesuatu yang kurang. Bagaikan kurang garam dalam masakan, mungkin? Bagaikan hilang keenakkan masakan yang kami sama-sama nikmati selama ini. Ada rasa masin yang menyegat, ada rasa pedas yang menyinga dan ada rasa pahit yang terlalu kelat untuk ditelan. Perbualan kami sebelum ini yang boleh memakan masa hingga 1-2 jam lamanya, kini menjadi 10-20 minit, itupun rasanya bagaikan 1-2 tahun.

Aku meminta diri dengan alasan-alasan remeh, hanya untuk menghentikan perbualan yang tidak tentu arah tujuannya. Apa saja yang aku berkongsi, menjadi sumber dia meremeh-remehkannya. Apa saja yang dia berkongsi, aku bagaikan tiada butir bicara untuk melanjutkannya. Pelik bukan! Padahal sebelum ini, apa saja buah bicara yang keluar dari mulutnya akan aku sambut dengan riang, berbalas-balas maklumat dan seiya-sekata bagaikan lagu dan irama.

Tapi sekarang semuanya berubah. Aku sedar perhubungan ini sedang menuju ke lurah, gaung yang boleh menamatkan tali persahabatan kami selama ini tetapi apa dayaku. Perlukah aku berterusan mencari dia atau melepaskannya? Perlukah aku berterusan menjadi pencetus sepertimana spark motor untuk menghidupkan enjin? Perlukah aku berdiam diri dan hanya menunggu? Pastinya, buat masa ini aku sendiri rasa agak kaku bila berbual dengannya. Aku tidak lagi rasa teruja untuk berkongsi kerana bimbang akan diperkecilkan atau lansung tidak didengarinya. Kami tidak lagi berkongsi angan-angan diawangan sepertimana moto kami selama ini, "DREAM DOES NOT COST YOU A PENNY". Segalanya jadi terlalu asing pada kami berdua; bicara kami tidak lagi senada dan  muzik kami terlalu jauh temponya.

Bila mencari jawapan pada kebuntuan dan kesangsian ini, aku terjumpa satu atikel menarik mengenainya. Benar, aku tidak keseorangan dalam menghadapi dilema ini. Ramai lagi yang senasib dengan aku. Pada mereka yang mengalaminya, usah bimbang...hidup masih perlu diteruskan.

Friday, 5 August 2011

Siri: Aku seorang SURI

Salam

"Seronok ke jadi surirumah?" selalu orang terjah soalan ini pada aku. Pada yang bertanya, aku soal balik "Seronok ke jadi jurutera, doktor...majistret?". Aku rasa jawapannya semua sama. Adakala seronok, bangga dan adakalanya masam, kelat, masin ..semuanya ada! Jadi aku heran, kenapa orang suka tanya soalan itu apabila terjumpa aku di majlis-majlis makan. Bersangka baik sajalah, mungkin mereka betul-betul hendak tahu atau sekadar ingin memulakan sebuah perbualan. Maklumlah, sudah lama tidak bertemu.

Hakikatnya, apa yang aku rasa ini tiada beza pun dengan orang lain. Ya,  ada orang bekerjaya hebat, bergaji lebat tetapi realitinya kita semua sama. Ada masanya kita berada di atas roda putaran emosi. Pada masa itu kita berasa gembira, bersemangat, optimistik dan sangat positif. Adakalanya kita berada di bawah roda dan emosi kita kadang-kadang sedikit terganggu ,sensitif seperti tidak bermaya, pesimis dan berfikiran negatif. Rasanya, semua orang akan melalui putaran sebegini dalam kehidupan. Betul tak? Jadi pada fikiran dangkal aku ini, siapa pun kita, kerjaya apa pun kita sandang, gaji sebesar mana pun kita perolehi, kita tetap akan melalui fasa-fasa turun naik dalam sebuah kehidupan. Tiada beza, bukan?

Berbalik pada kisah aku seorang suri. Secara ringkasnya, aku suka pada kerjaya ini. Ia memberi kebebasan sepenuhnya pada aku untuk menulis, membaca, menonton, meriangkan diri, memalaskan diri tanpa ada kawalan dan tanggapan prejudis daripada supervisor. Umumnya, aku adalah bos di dalam rumah, khususnya di jabatan domestik hal-ehwal negeri dan merangkap pegawai hubungan awam di dalam organisasi kami sekeluarga. Not bad, ahh! Tugas aku mudah tapi rutin harian sangat melemaskan. Ia tidak memerlukan keupayaan mental yang canggih seperti jurutera terowong bawah tanah tetapi  jelas, ia memerlukan disiplin diri yang agak tinggi. Disiplin diri adalah satu elemen kritikal jika kita memilih untuk menjadi seorang suri. Khususnya suri yang mempunyai agenda-agenda lain seperti membuat kerja-kerja luar, kerja lebih masa, kerja sukarela mahupun kerja-kerja hobi seperti menjahit, memasak, atau menganyam bakul. Jika tidak berdisiplin, rumah kediaman tidak akan berkemas, baju tidak bergosok dan berlipat, pinggan-mangkuk tersadai di dalam sink dan segala kerja tidak akan siap. Malah suri mempunyai 1001 alasan untuk bermalasan di rumah tanpa melakukan rutin-rutin yang menjemukan itu. Alasan yang paling kerap kita dengar ialah, "Alah...kita bukannya bergaji."

Seperti suri-suri lain, aku juga tidak terlepas daripada konflik rutin yang menjemukan di rumah. Walaupun begitu, aku masih bernasib baik jika dibandingkan dengan golongan suri terdahulu seperti mak-mak kita. Tidur dan bangun mereka setiap hari hanya bertapa di rumah dan menguruskan hal-ehwal anak dan suami sahaja. Aku mempunyai kelebihan yang lebih sedikit daripada itu dan aku sangat mensyukurinya. Aku bebas keluar untuk mengambil angin di luar rumah, berdandan seadanya dan menukar-nukar wangian di badan. Aku masih ada masa untuk menikmati sarapan pagi bersama kawan-kawan sekepala di kafeteria. Aku juga peruntukkan satu hari untuk jalan berseorangan di mall sambil membeli barang-barang keperluan dapur. Tidak ketinggalan, aku juga masih sempat untuk memilih satu hari dalam sebulan untuk mencantikkan dan merehatkan diri di pusat-pusat kecantikkan yang ada di sekitar bandar. Benarkan, hidup aku lebih banyak beruntung dari zaman mak-mak kita menjadi suri. Jadi apa lagi yang perlu diperkatakan selain daripada kata-kata syukur "Alhamdullilah."

Tapi jangan lupa kawan-kawan, hidup ini selalunya ada 2 cermin realiti. Kata orang-orang barat, " Two sides of the same coin."Sama  keadaannya dengan kehidupan aku sebagai suri. Satu bahagian jika hendak dihitung kebaikannya, masyaAllah..ia tidak terbilang. Benar, terlalu banyak kelebihan tetapi ia bukan bersifat monetary. Contohnya, fleksibiliti yang aku ada dalam memudahkan urusan kami sekeluarga. Isu encik suami bertugas di luar daerah atau negara, bukan masalah besar pada kami kerana anak-anak masih selamat pergi dan balik sekolah seperti biasa. Kebajikan mereka masih terjaga walaupun encik suami mengambil masa lama di tempat bekerja. Isu anak sakit seringkali tidak menganggu kosentrasi pasangan di ofis kerana anak-anak masih berada dalam jagaan si ibu merangkap si suri. Isu-isu lain seperti makanan berkhasiat, keselamatan, pembelajaran dan pendidikan rasmi atau tidak rasmi sentiasa dalam kawalan si suri yang sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti ini di rumah. Seperti aku katakan tadi, kebaikkannya tidak terhitung.

Dua realiti kehidupan tidak akan lengkap jika kita hanya memfokuskan pada satu sudut pandangan sahaja. Begitu juga keadaannya dengan kerjaya suri ini. Ingat...dua bahagian daripada siling yang sama; perspektif berbeza akan terpantul dari sudut pandangan berbeza. Kerjaya suri memang mudah pada pandangan mata kasar, khususnya pada mereka yang tidak pernah mengalaminya sendiri. Acapkali orang mempertikaikan kredibiliti suri, seolah-olah mereka tidak mempunyai citarasa, tidak berpandangan bijak sepertimana mereka yang bekerjaya. Maklumlah hanya bergelumang dengan anak-anak dan pinggan mangkuk sepanjang hari. Lantas, padangan awam pada kerjaya ini amatlah mendukacitakan. Pandangan negatif ini tidak terbatas pada satu golongan saja tetapi melewati lapisan masyarakat yang berkelas-kelas pendidikannya, daripada golongan mak-mak kampung, mak-mak datin hinggalah bakal-bakal mak. 

Secara adilnya, aku akan berkongsi kelesuan menjadi seorang suri....





...akan bersambung







Wednesday, 3 August 2011

Bahagia tidak bersyarat

Salam

Bila berbicara soal bahagia, ia adalah isu hakiki setiap daripada kita yang bergelar manusia. Tidak kira siapa pun kita samada berpangkat, berkuasa, beruang($$$)....ataupun seorang yang tidak berposisi, hanya seorang kuli mahupun penganggur yang hidup atas ikhsan orang lain, akan tetap mencari bahagia. Bahagia itu milik semua manusia dan kita berhak mencarinya sendiri.

Courtesy from web.



Jadi apa itu bahagia? Ia tidak bersyarat.

Hampir semua manusia bila berbincang tentang isu bahagia tidak akan terlepas daripada meletakkan syarat.Syarat itu pula boleh dikelaskan kepada beberapa kategori seperti material atau bukan material. Syarat jangka pendek ataupun jangka panjang. Syarat nampak atau tidak nampak. Macam-macam lagi syarat yang kadang-kala tidak masuk akal.

Tanpa kita sedar, sebenarnya syarat-syarat ini mengengkang kita daripada mencapai kebahagiaan yang sebenar. Syarat-syarat itu memerlukan pengorbanan tenaga dan masa, juga mengambil waktu yang agak lama untuk direalisasikan. Maklumlah, hendak beli kereta yang harganya mencecah separuh juta! Jadi, adakalanya kita menolak kebahagiaan sekarang untuk kita menikmatinya di masa hadapan. Bagaimana jika masa hadapan itu tidak kunjung tiba? Seringkali kita mensia-siakan masa yang ada walaupun diberikan kudrat dan kesihatan yang baik, dengan harapan.. esok-esok nanti jika aku ada ini, ada itu; aku akan bahagia. Malangnya hingga ke saat itu nanti, ntah-ntah usia kita telah terlalu tua, kudrat hanya tinggal satu bar(bateri telepon bimbit)dan kesihatan pun sering terganggu. Apakah makna kebahagiaan pada waktu itu?

Pada saya, syarat kebahagiaan yang paling asas pada semua manusia ialah kesihatan yang baik. Masih bersyarat, bukan? Bagaimana pada mereka yang lumpuh, cacat anggota atau hilang keupayaan pancaindera? Apakah bahagia bukan milik mereka? Ironik bukan, kadang-kala kita lihat orang yang kekurangan serba-serbi baik material mahupun bukan material, lebih bahagia daripada kita yang mempunyai sagalanya, konon! Ada rumah harga berjuta, kereta setengah juta, bisnes berjuta-juta, duit simpanan pun berjuta-juta tetapi hati tetap sakit, tidak berkawan, tidak bersuadara, tidak tenang, makanan pun terpaksa dipilih-pilih. Hakikatnya, kita sama saja macam orang lain yang tidak punya apa-apa. Ada tetapi tidak ada. Berbezakah kita daripada mereka yang menganggur? Ntah-ntah penganggur lagi bahagia daripada kita sebab dia tidak berhutang sepertimana kita yang berumah mahal dan berkereta mewah. Kita yang makan ikan masin ini lebih bahagia daripada mereka yang mampu makan caviar tetapi mengidap diabetes dan darah tinggi kronik.

Pengalaman peribadi melihat anak-anak ini membesar di depan mata. Ia merupakan satu peluang keemasan seseorang bergelar ibu tetapi adakalanya kita terlupa. Mula meletakkan syarat-syarat bodoh seperti hendak tunggu anak dapat periksa nombor satu dalam kelas, dapat 5A dalam UPSR, masuk Ivy League, masuk BTU, bekerjaya hebat, bergaji lebat, bermotokar mewah, berpasangan macam model, cucu-cucu comei lote, bijak pandai...lagi dan lagi dan lagi. Akhirnya kita lupa hendak menghargai masa dan peluang yang ada untuk menyuburkan dan menikmati kebahagiaan yang kita tersedia sekarang, di depan mata. Bila tersedar nanti, anak tidak seperti yang kita dambakan...adakah kita berterusan tidak bahagia? Jadi jangan mensia-siakan kebahagiaan yang ada sekarang, Hargailah mereka sebaik-baiknya. Kebahagiaan mempunyai anak-anak sudah cukup berharga pada kita sebagai ibu dan ayah. Jangan diletak syarat yang bukan-bukan sampai kita mengekang kenikmatan yang ada. Seperti saya katakan tadi, bukankah syarat bahagia itu hanya menangguh dan melewatkan kebahagiaan yang sepatutnya kita rasakan sekarang? Dalam konteks berkeluarga, belajarlah menghayati UNCONDITIONAL LOVE pada anak-anak kita. Ia membawa kebahagiaan pada kita sekarang, esok dan selamanya.

Jadi berbalik pada isu bahagia tanpa syarat seperti di awalnya tadi. Secara kesimpulannya, bahagian ini milik semua orang. Ia tidak dibatasi oleh kekurangan atau kelebihan, kecantikkan atau kejelikkan, kekayaan atau kemiskinan, kedarjahan atau tidak, semuanya berhak mencari bahagia sendiri. Siapa kita hendak mengatakan orang yang tidak berangan-angan tinggi seperti kita, tidak bahagia? Siapa kita hendak mengatakan orang jutawan itu tidak bahagia? Jika kita faham makna bahagia ialah tanpa syarat, kita akan faham kenapa bahagia ini boleh jadi hak milik sesiapa saja. Syaratnya kita kena sentiasa BERSYUKUR. Masih bersyarat...hahahhaha.

Renungan untuk diri sendiri yang masih mencari dan mencari.

Monday, 1 August 2011

Catatan Perjalanan: New Zealand

Salam

Belum pernah membuat entri tentang pengalaman aku berhobi. Sebagaimana orang lain yang mempunyai hobi, begitu juga dengan aku. Secara ringkas aku ada dua hobi iaitu menambah pengalaman hidup dan merakam memori tersebut dalam kotak ingatan dan secondary memory yang tidak mungkin akan hilang, malah boleh dimain semula bila perlu. Bagi memenuhi keperluan secondary memory itu, video camera dan camera canggih  tidak pernah ketinggalan dalam setiap episod pengembaraan aku dan keluarga.


Apakata sebagai permulaan episod perjalanan ini, aku rasmikan dengan negara pertanian New Zealand yang terletak jauh di hujung peta dunia. Secara ringkas, negara ini sangat kaya dengan kualiti alam semulajadi yang tetap utuh terpelihara. Hutannya sangat hijau dan terjaga rapi, tasiknya membiru tanpa sebarang pencemaran aktiviti pembinaan dan cuacanya sejuk di kelilingi gunung-ganang berpuncak salji . Sangat mengasyikkan! Pengalaman ketika berada di negara ini berbeza dengan negara-negara lain yang pernah aku lawati sebelum ini. Back to nature, kata orang-orang yang biasa menjelajah ke segala pelosok dunia samada kota atau desa, bagi mengambarkan pengalaman unik bersama alam ini. Ia ternyata membawa 1001 kenangan manis pada aku dan keluarga pada penghujung tahun 2009.

Pada pendapat peribadi aku, cara terbaik untuk membuat eksplorasi negara kiwi ini ialah dengan bermotohome. Motorhome ialah sebuah kenderaan seakan-akan van besar yang dilengkapi dengan kemudahan asas sebuah rumah di dalamnya. Aku dan keluarga seolah-olah berada di dalam rumah bergerak, dipermudahkan dengan kehadiran dapur kecil yang lengkap, kabinet, peti ais, katil, tandas dan tempat duduk yang selesa. Pendek kata, segala keperluan asas dan kecemasan ada tersedia di dalam van bersaiz lori tersebut.

Koleksi peribadi.

Tujuh hari perjalanan bermotohome bermula di sebuah bandar terkenal bernama Christchurh terletak di selatan, lebih dikenali sebagai South Island,New Zealand. Pengalaman ringkasnya, kami merentasi beberapa buah bandar, daerah yang berubah-ubah bentuk lanskapnya seperti kawasan pergunungan Athur Pass, lereng-lereng bukit dan lurah, kawasan hutan malar hijau yang sangat tebal, kawasan perairan yang terkenal dengan fjord, tasik-tasik dikelilingi gunung-ganang dan bandar-bandar kecil yang terkenal sebagai pusat perlancongan.Setiap satu lanskap yang dilalui mengingatkan aku pada pengalaman-pengalaman perjalanan sebelum ini.

Ketika merentasi kawasan pergunungan Athur Pass, kami seolah-olah berada di Switzerland. Puncak-puncak gunung yang masih bersalji dan suhu dingin mengiggit benar-benar menyegarkan dan menggigilkan. Apabila van gergasi itu menyusuri kawasan lereng-lereng bukit, ia seakan-akan menggamit memori pulang ke kampung, hutan di tepi-tepi jalan saling tidak tumpah seperti berada di Malaysia. Kami juga mengambil peluang menaiki kapal persiaran dan melewati kawasan fjord di perairan laut di Milford Sound. Ia tidak mengecewakan, seolah-olah aku mengimbas kembali memori berada di perairan Norway pada tahun 2000.Akhir sekali, apabila melihat kambing biri-biri di lereng bukit-bukau tumpul dan kawasan padang luas di sepanjang perjalanan itu, bagaikan berada di Scotland. Bezanya, kambing biri-biri di Scotland mempunyai cat berwarna-warni di atas badan-badannya.







Pengalaman-pengalaman ini mengayakan kehidupan aku dan keluarga.




Walaupun ia telah dua tahun berlalu, pengalaman-pengalaman ini masih lekat segar di ingatan. Pernah satu masa kami membawa anak-anak merentasi hutan untuk ke kawasan perkelahan Ulu Yam. Anak sulungku berkata "Macam berada kat hutan New Zealand". Begitu juga semasa kami bercuti ke Bukit Fraser, sambil menikmati kawasan hutan tebal dalam suhu dingin, anak-anak aku suka melihat pokok-pokok liar di sekitar kawasan trail bukit itu. Mereka masih ingat bentuk daun paku pakis sepertimana daun rasmi negara New Zealand iaitu FERN LEAVE. Pengalaman sebegini adalah berbayar dan ia sangat bernilai kepada kami anak beranak melebihi handbag Birkin.Hehehe.


Siapa tak kenal Fern?