Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Monday, 22 August 2011

Negatif...benarkah ia negatif?

Salam

Image Google
                                                   

Sedar atau tidak, orang kita tidak diajar cara yang berkesan untuk melampiaskan rasa negatif, marah, putus asa atau kecewa. Kita tidak dididik untuk memahirkan diri bila berhadapan dengan konflik, contohnya jika marahkan sesorang, jika kita tidak berpuas hati atau jika kita ingin mengatakan tidak pada orang lain. Seolah-olah dalam masyarakat kita orang melayu, sifat marah, tidak puas hati, kecewa itu tidak wujud. Rasa marah atau kecewa sering diberi konotasi negatif  dan tidak lansung diiktiraf kehadirannya dalam diri kita sebagai manusia. Alternatifnya, orang melayu sangat terkenal dengan aktiviti belakang pintu seperti membomoh jika tidak puas hati, bermuka-muka bila berkawan dan suka menyindir bagi meredakan gelodak jiwa.

Melalui pengalaman pembacaan saya tentang masalah emosi seperti kemurungan, putus asa atau kesedihan, ia seringkali mendapat tanggapan negatif daripada orang kita apabila menangani isu begini. Perkataan yang paling berkuasa untuk mematikan si polan daripada berbicara ialah dengan meletakkan cop rasmi "TIDAK BERSYUKUR". Seolah-olah itulah ayat keramat untuk membisukan individu daripada berbicara tentang persoalan negatif yang perlu dibawa berbincang. Adakah itu sebabnya juga,  masyarakat kita amat sukar untuk mendapatkan khidmat nasihat kaunseling daripada mereka yang bertauliah kerana takut dicop sebagai tidak bersyukur. 

Yelah, suami masih pulang ke rumah walaupun sebagai penagih dadah atau kaki botol, merempit duit anak bini untuk memuaskan nafsunya. Isteri tidak berhak bersuara, dia patut bersyukur kerana suaminya  masih pulang ke rumah? Ironik! Mungkin contoh ini keterlaluan pada kita. Bagaimana pula dengan rungutan ibu-ibu di pusat penjagaan anak-anak? Apa saja komplen yang terkeluar daripada mulut-mulut ibu ini pasti ada yang meningkah," bersyukur sajalah...anak awak ada orang jagakan!" Sampai bila kita harus memperkecilkan rungutan-rungutan sebegini. Adakah sampai anak kita koma di wad, barulah kita hendak bersuara? Atau mungkin tunggu hingga siisteri dikerat 14 dan disorokkan dalam almari, barulah kita kelam kabut buat post-mortem? Itulah kelebihan orang-orang kita, bila terantuk baru tengadah.

Sepertimana kita, mereka yang berada di barat juga mempunyai masalah dalam perhubungan suami isteri, persahabatan sesama kawan ataupun sesama ahli keluarga. Cara mereka membawa isu ini dalam bentuk diskusi selalunya kelihatan lebih ilmiah daripada orang kita. Paling ketara mereka tidak kelihatan sebagai pengumpat sepertimana dalam masyarakat kita. Apa yang membezakan antara cara kita merungut dan cara mereka merungut hingga kita lebih sinonim dengan istilah pengumpat? Lama juga saya memperhalusi persoalan ini melalui ruangan forum ilmiah yang dikelolakan oleh mereka. Contohnya, diskusi tentang kesukaran untuk menjaga hubungan antara dua orang sahabat yang tidak sekepala , ia dapat diekspresikan dalam bentuk yang sangat positif. Alasan-Alasan munasabah seperti berlainan persekitaran, berubah citarasa, berbeza gelombang otak yang mungkin disebabkan oleh faktor-faktor lain yang berubah, boleh diambil kita sebagai punca perbezaan. Secara  tidak lansung menjadikan kita sebagai pembaca menerimanya dengan tenang hati tanpa ada  rasa sakit hati atau terkilan. Berbeza jika membaca luahan atau rungutan masalah persahabatan di kalangan kawan-kawan  forum setempat. Pasti ada respon-respon seperti si dia cemburu, si dia lupa diri dan macam-macam label negatif hanya kerana kita tidak sekepala dengan mereka. Sukar untuk mendapatkan komen-komen yang berunsurkan kefahaman dan positif secara kolektif.

Persoalan saya, kenapa kita tidak boleh zahirkan sesuatu yang negatif itu untuk mendapat respon positif daripadanya? Adakah komen-komen positif ini hanya datang daripada mulut-mulut motivator sahaja?Kenapa jika kita menzahirkan emosi negatif tentang sesuatu, kita terus dihukum tanpa sebab yang munasabah? 

Paling sedih, ia bukan sahaja berlaku dikalangan rakyat marhein yang kurang ilmu tetapi juga dari golongan mereka yang kononnya bijak pandai belaka. Hanya kerana saya mempersoalkan tentang fitrah manusia yang mempunyai rasa sedih, saya dicop sebagai negative thinker oleh seorang motivator! Ironik bukan. Secara peribadi saya kehausan dalam mencari makna jelas sesebuah konsep kehidupan. 

Rungutan itu negatif, tidakkah disebabkan oleh rungutan tersebut kita boleh membaik pulih perkhidmatan yang sedia ada? Mengatakan tidak pada tetamu yang ingin berkunjung ke rumah, juga dilihat sebagai negatif. Tidakkah itu memberi ruang untuk kita bertolenrasi dan mencapai kata sepakat? Membuka pekung, dilihat sebagai memalukan diri sendiri dan keluarga. Pada fikiran saya, jika berjumpa doktor untuk mencuci luka maka haruslah kita membuka apa yang patut supaya ia boleh diberi perhatian sewajarnya. Tidaklah logik, jika luka di paha mahu dirawatnya di pipi. Sudah pasti, saya memilih perkataan doktor untuk merawat luka dan bukan angkasawan. Maknanya, carilah orang yang boleh dipercaya sebelum bercerita isu-isu yang melibatkan maruah kita.

Walaupun begitu, sesuatu yang perlu difahami oleh kita semua ialah rungutan, kesedihan, kemurungan dan apa saja yang berkaitan dengan sifat negatif ini
Image Google

adalah asam garam kehidupan dan ia mengayakan pengalaman. Ia menjadi masalah jika individu itu tidak boleh memisahkan dirinya daripada semua sifat negatif ini dan berlarutan dalam satu tempoh masa yang lama. Dalam kes seumpama ini, kita perlu mendapatkan nasihat atau rawatan yan sewajarnya. Jika tidak dibendung dari awal, ia akan menjadi barah dalam hidup ini. Makin lama, makin membusuk dan akan berulat. Jadi pada mereka yang membaca coretan ini, jangan rasa malu atau bersalah jika ingin membuat rungutan pada benda-benda yang perlu. Ada masanya rungutan kita akan dinilai sebagai input berguna pada seseorang. Cuma awasi rungutan, kesedihan atau sifat negatif itu supaya ia tidak menjadi makanan harian kita. Anggaplah dia sebagai jeruk mempelam bila kita mengidam. Maksudnya, bila ia diperlukan.



Akhir kata, teringat bicara seorang rakan yang tinggi ilmu kehidupannya. Manusia ini suka benar melabel. Padahal, segala input atau maklumat yang datang pada kita semuanya dalam bentuk "neutral", cuma bergantung pada persepsi kita pada maklumat tersebut. Misalnya, istilah membuka pekung di dada. Ia boleh lari daripada konotasi negatif jika kita memilih untuk melihatnya dari sudut yang positif. Kemungkinan, individu itu ingin memohon  pandangan atau pencerahan. Niat dia bercerita  dan menyatakan luahan hatinya, bukanlah hak kita untuk menghukum apatah lagi melabel dia dengan panggilan-panggilan negatif. Dia yang negatif atau kita yang suka sangat menghukum? Tepuk dada dan tanya akal.

Peringatan untuk diri sendiri.


Wasalam



No comments: