Salam
Alamak, sudah lama tidak mencoret! Ada sesuatu menganggu fikiran aku di kala ini walaupun aku ada tugas lain yang perlu diselesaikan. So, straight to the point....
Pernah tidak dalam kesibukkan harian, kita rasa hidup ini terlalu mendatar? Dari pagi sampai malam, rutin bersilih ganti tidak habis-habis. Sama saja rutin kehidupan ini seminggu yang lepas, sebulan yang lepas, setahun yang lepas mahupun sepuluh tahun yang lepas. Tiada beza, tiada perubahan dan ia MONOTONOUS. Bila memikirkan kehidupan yang bakal aku lalui ini tetap akan sama pada minggu depan, sebulan depa, setahun depan mahupun sepuluh tahun depan, aku jadi takut. Adakah ini cara aku akan habiskan kehidupan dengan lebih bermakna dan berwarna-warni?
Bila agaknya kali terakhir kita mempunyai rutin yang berbeza daripada sekarang? Mungkin tiga atau lima tahun yang lepas? Mungkin sepuluh tahun yang lalu semasa kita terkocoh-kocoh bangun pagi untuk ke kuliah hari sabtu. Alangkah lamanya kita tidak merubah rutin baru. Paling-paling kita cuma menunggu datangnya bulan Ramadhan pada setiap tahun. Bagaimana dengan sebelas bulan-bulan yang lain? Kehidupan mendatar sebegini membawa persepsi berlainan pada setiap orang, termasuklah pada diri aku sendiri. Aku rasa terkongkong.
Sebagaimana anak seorang bekas askar, aku sudah terbiasa berpindah randah dari satu ke tempat ke satu tempat lain. Tanpa sedar, kehidupan nomad sedemikian banyak mencorak pemikiran bawah sedar aku tentang cara hidup yang menjadi pilihan aku selama ini. Aku bertukar beberapa buah sekolah sebelum mengakhiri zaman persekolahan aku di utara semenanjung. Selesai di utara, aku bertapa pula di salah sebuah universiti berdekatan dengan ibukota walaupun bukan sekangkang kera. Terpaksalah naik bas Tong Fong untuk sampai ke Pudu Raya setiapkali ingin pulang ke kampung. Sesudah tamat pengajian, aku mencari rezeki dan masih di situ hinggalah aku bertemu jodoh dengan suami. Kemurahan rezeki Ilahi membawa aku terbang ke dunia empat musim yang berlainan sekali daripada negara aku yang berhujan batu ini. Aku suka suasana baru, aku suka budaya baru dan aku suka pengalaman-pengalaman baru yang mengayakan kehidupan aku . Peringkat demi peringkat dalam kehidupan aku selama ini, boleh dilihat dengan jelas bagaikan lapisan berwarna-warni kek lapis betawi. Indah, menyeronokkan dan mengayakan koleksi-koleksi pengalaman peribadi. Betullah kata orang-orang tua, jauh perjalanan maka luaslah pandangan.
Sekarang aku terkandas semula, di sini. Walaupun aku dikelilingi oleh adik-beradik dan kawan-kawan yang akrab tetapi ada sesuatu yang hilang. Keseronokkan mengexplorasi tempat-tempat baru bagaikan sudah tertutup. Bukan tertutup disebabkan oleh ketandusan tempat-tempat indah di negara ini tetapi disebabkan oleh kesibukkan rutin yang terlalu mengongkong diri dan keluarga. Semuanya bagaikan ada jadual tersendiri, dari bangun pagi hingga tutup mata...rutin, rutin dan rutin! Minda bawah sedar aku juga bagaikan orang yang mengidamkan sesuatu dan tidak berhenti mencari. Mungkin aku perlu menukar rutin yang telah memasuki usia enam tahun ini. Ya, aku akan berpindah rumah pada hujung tahun ini. InsyaAllah, paling tidak...aku boleh mengubah rutin mengangkut barang-barang dapur ke rumah.
Paling tidak....sambil terus berfikir-fikir kemungkinan yang mendatang.
Paling tidak....sambil terus berfikir-fikir kemungkinan yang mendatang.
From image google
No comments:
Post a Comment