Saya tertarik dengan komen seorang rakan FB tentang keperluan pujian pada seseorang individu. Adakah ia terbatas pada keperluan seorang lelaki, perempuan, bekerjaya, tidak bekerjaya, tua, muda atau sesiapa saja? Mengikut pengalaman dan pembacaan aku selama ini, ia tidak mengenal jantina, tahap pendidikan, tahap kerjaya, tahap usia...semua orang inginkan pujian, paling tidak pengesahan akan kewujudan dia sebagai individu. Benar, ia satu keperluan tetapi ia juga boleh bertukar kepada kemahuan. Di saat itu, ia bukan lagi bersifat penggerak motivasi tetapi minyak yang membakar diri.
Kebanyakkan penulis-penulis buku keibubapaan pada zaman moden meletakkan keperluan emosi anak-anak di aras tinggi dalam usaha mendidik mereka. Berbeza benar daripada zaman kita dibesarkan dahulu. Keperluan fizikal seperti tempat perlindungan, makanan dan keselamatan menjadi perkara terpenting dalam menjamin tumbesaran anak-anak. Zaman berubah dengan andaian bahawa keperluan fizikal sedemikian telah mencukupi dan banyak usaha telah difokuskan pada keperluan aspek-aspek emosi, contohnya PUJIAN.
Memang benar, pujian emak dan ayah pada anak-anak sangat di pandang tinggi oleh mereka . Jika di sekolah pula, pujian cikgu-cikgu amatlah memberi kesan positif pada diri anak-anak. Kadangkala, pujian cikgu itu lebih diharapkan oleh mereka berbanding kita sebagai ibubapa. Pujian membawa unsur-unsur "positive affirmation" pada mereka. Ia membawa maksud bahawa mereka diberikan pengesahan sewajarnya tentang pencapaian dan kewujudan mereka di rumah ataupun di sekolah. Jadi dengan pujian, ia membantu anak-anak mengukuhkan kekuatan emosi secara positif dan berfungsi umpama minyak untuk membakar keyakinan diri, seterusnya menjadi lebih cemerlang dan berdaya maju.
Walaupun begitu, konsep "diminishing return" juga patut diambil kira bila isu pujian ini kita bincangkan. Konsep ini mengatakan, pujian pada awalnya yang bergerak secara berkadaran lansung dengan elemen positif dan penggerak dalam diri anak-anak akan sampai ke satu titik. Bila mana ia diteruskan melepasi titik itu, keseronokkan akan mula mengurang dan akhirnya tidak memberi kesan secara lansung. Contoh lain yang lebih mudah, bayangkan jika seseorang pekerja yang bekerja keras untuk mendapat gaji lumayan. Kenikmatan kenaikan gaji yang dia dapati setiap tahun akan berkadaran lansung dengan kepuasan dia bekerja hinggalah pada satu titik. Di saat dia melepasi titik ini, kenaikan gaji bukan lagi menjadi satu-satunya matlamat dia bekerja tetapi kepuasan bekerja menjadi agenda utama. Walaupun gaji yang dia terima semakin meninggi tetapi kepuasan itu telah menurun kerana agenda utamanya telah beralih kepada kepuasan lain. Jadi konsep diminishing return yang saya pelajari dahulu di dalam kelas ekonomi undergrad ialah cara terbaik untuk menerangkan, bagaimana kesan pujian ini akan meracuni diri anak-anak jika tidak dipantau.
Antara kaedah yang diajar atau dikongsi oleh professional dalam isu ini adalah membina sistem sokongan dalaman di dalam diri anak-anak. Ia dikenali sebagai Self-efficacy. Di dalam subjek ini kita belajar cara untuk memberi pujian kepada anak-anak. Pujian yang bersifat am biasanya sesuai untuk anak-anak yang lebih kecil tetapi bila mereka meningkat dewasa, pujian harus bersifat konkrit dan fokus. Selain itu, anak-anak harus belajar mengenal keupayaan diri. Di mana kekuatan semula jadi yang ada pada dirinya dan di mana kelemahan yang perlu diperbaiki supaya dia faham, di mana dia "sepatutnya" mendapat pujian dan di mana tidak. Malangnya, apabila anak-anak yang dipuji ini tidak diberikan pendedahan sewajarnya tentang kualiti yang mereka ada atau tidak ada, mereka jadi keliru. Ingat, pujian bersifat am boleh menjadi pemangkin pada anak-anak kecil tetapi tidak berkesan, bila mereka meningkat dewasa.
Selain itu, isu yang lebih besar adalah anak-anak ini bagaikan hidup diawangan kerana dipuji keterlaluan oleh emak dan ayah tidak kira masa, walaupun pada perkara-perkara yang tidak munasabah. Mereka berasa mereka hebat tapi hakikatnya, hanya emak dan ayah sendiri sahaja yang rasa akan kehebatan itu. Malangnya jika anak ini masuk ke dunia realiti, dia akan jatuh tersepuk ke lantai jika dikritik oleh bos atau pensyarah di universiti. Emosi mereka akan tercalar hebat dengan teguran dan kritikkan orang-orang keliling. Ironiknya lagi, jarang ada orang memuji kita di dunia realiti ini melainkan pada perkara-perkara extraordinary seperti berenang merentasi Selat Cook!
Oleh itu pada pendapat saya, pujian ini memang harus diberikan dan dibajai pada anak-anak kecil supaya ia menjadi pemangkin kepada mereka. Walaupun begitu, emak ayah harus belajar untuk mengaktifkan sistem kepercayaan dalaman anak-anak itu yang berpaksikan pada kelebihan dan kekurangan diri. Agar mereka menjadi self-motivated dan berterusan berfikiran positif tanpa memerlukan pujian dari luaran, contohnya daripada emak dan ayah. Apatah lagi jika mereka tinggal berjauhan dari kita. Anak-anak harus dilengkapkan dengan keupayaan "bangun sendiri" bila mereka dikritik atau dipersendakan. Kita tidak selamanya akan berada disisi mereka untuk meniupkan semangat MALAYSIA BOLEH. Apa yang anak-anak perlu tahu ialah SAYA BOLEH!! dan ia harus datang dari dalam diri mereka, bukan dari kita.
No comments:
Post a Comment