Salam
"Seronok ke jadi surirumah?" selalu orang terjah soalan ini pada aku. Pada yang bertanya, aku soal balik "Seronok ke jadi jurutera, doktor...majistret?". Aku rasa jawapannya semua sama. Adakala seronok, bangga dan adakalanya masam, kelat, masin ..semuanya ada! Jadi aku heran, kenapa orang suka tanya soalan itu apabila terjumpa aku di majlis-majlis makan. Bersangka baik sajalah, mungkin mereka betul-betul hendak tahu atau sekadar ingin memulakan sebuah perbualan. Maklumlah, sudah lama tidak bertemu.
Hakikatnya, apa yang aku rasa ini tiada beza pun dengan orang lain. Ya, ada orang bekerjaya hebat, bergaji lebat tetapi realitinya kita semua sama. Ada masanya kita berada di atas roda putaran emosi. Pada masa itu kita berasa gembira, bersemangat, optimistik dan sangat positif. Adakalanya kita berada di bawah roda dan emosi kita kadang-kadang sedikit terganggu ,sensitif seperti tidak bermaya, pesimis dan berfikiran negatif. Rasanya, semua orang akan melalui putaran sebegini dalam kehidupan. Betul tak? Jadi pada fikiran dangkal aku ini, siapa pun kita, kerjaya apa pun kita sandang, gaji sebesar mana pun kita perolehi, kita tetap akan melalui fasa-fasa turun naik dalam sebuah kehidupan. Tiada beza, bukan?
Berbalik pada kisah aku seorang suri. Secara ringkasnya, aku suka pada kerjaya ini. Ia memberi kebebasan sepenuhnya pada aku untuk menulis, membaca, menonton, meriangkan diri, memalaskan diri tanpa ada kawalan dan tanggapan prejudis daripada supervisor. Umumnya, aku adalah bos di dalam rumah, khususnya di jabatan domestik hal-ehwal negeri dan merangkap pegawai hubungan awam di dalam organisasi kami sekeluarga. Not bad, ahh! Tugas aku mudah tapi rutin harian sangat melemaskan. Ia tidak memerlukan keupayaan mental yang canggih seperti jurutera terowong bawah tanah tetapi jelas, ia memerlukan disiplin diri yang agak tinggi. Disiplin diri adalah satu elemen kritikal jika kita memilih untuk menjadi seorang suri. Khususnya suri yang mempunyai agenda-agenda lain seperti membuat kerja-kerja luar, kerja lebih masa, kerja sukarela mahupun kerja-kerja hobi seperti menjahit, memasak, atau menganyam bakul. Jika tidak berdisiplin, rumah kediaman tidak akan berkemas, baju tidak bergosok dan berlipat, pinggan-mangkuk tersadai di dalam sink dan segala kerja tidak akan siap. Malah suri mempunyai 1001 alasan untuk bermalasan di rumah tanpa melakukan rutin-rutin yang menjemukan itu. Alasan yang paling kerap kita dengar ialah, "Alah...kita bukannya bergaji."
Seperti suri-suri lain, aku juga tidak terlepas daripada konflik rutin yang menjemukan di rumah. Walaupun begitu, aku masih bernasib baik jika dibandingkan dengan golongan suri terdahulu seperti mak-mak kita. Tidur dan bangun mereka setiap hari hanya bertapa di rumah dan menguruskan hal-ehwal anak dan suami sahaja. Aku mempunyai kelebihan yang lebih sedikit daripada itu dan aku sangat mensyukurinya. Aku bebas keluar untuk mengambil angin di luar rumah, berdandan seadanya dan menukar-nukar wangian di badan. Aku masih ada masa untuk menikmati sarapan pagi bersama kawan-kawan sekepala di kafeteria. Aku juga peruntukkan satu hari untuk jalan berseorangan di mall sambil membeli barang-barang keperluan dapur. Tidak ketinggalan, aku juga masih sempat untuk memilih satu hari dalam sebulan untuk mencantikkan dan merehatkan diri di pusat-pusat kecantikkan yang ada di sekitar bandar. Benarkan, hidup aku lebih banyak beruntung dari zaman mak-mak kita menjadi suri. Jadi apa lagi yang perlu diperkatakan selain daripada kata-kata syukur "Alhamdullilah."
Tapi jangan lupa kawan-kawan, hidup ini selalunya ada 2 cermin realiti. Kata orang-orang barat, " Two sides of the same coin."Sama keadaannya dengan kehidupan aku sebagai suri. Satu bahagian jika hendak dihitung kebaikannya, masyaAllah..ia tidak terbilang. Benar, terlalu banyak kelebihan tetapi ia bukan bersifat monetary. Contohnya, fleksibiliti yang aku ada dalam memudahkan urusan kami sekeluarga. Isu encik suami bertugas di luar daerah atau negara, bukan masalah besar pada kami kerana anak-anak masih selamat pergi dan balik sekolah seperti biasa. Kebajikan mereka masih terjaga walaupun encik suami mengambil masa lama di tempat bekerja. Isu anak sakit seringkali tidak menganggu kosentrasi pasangan di ofis kerana anak-anak masih berada dalam jagaan si ibu merangkap si suri. Isu-isu lain seperti makanan berkhasiat, keselamatan, pembelajaran dan pendidikan rasmi atau tidak rasmi sentiasa dalam kawalan si suri yang sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti ini di rumah. Seperti aku katakan tadi, kebaikkannya tidak terhitung.
Dua realiti kehidupan tidak akan lengkap jika kita hanya memfokuskan pada satu sudut pandangan sahaja. Begitu juga keadaannya dengan kerjaya suri ini. Ingat...dua bahagian daripada siling yang sama; perspektif berbeza akan terpantul dari sudut pandangan berbeza. Kerjaya suri memang mudah pada pandangan mata kasar, khususnya pada mereka yang tidak pernah mengalaminya sendiri. Acapkali orang mempertikaikan kredibiliti suri, seolah-olah mereka tidak mempunyai citarasa, tidak berpandangan bijak sepertimana mereka yang bekerjaya. Maklumlah hanya bergelumang dengan anak-anak dan pinggan mangkuk sepanjang hari. Lantas, padangan awam pada kerjaya ini amatlah mendukacitakan. Pandangan negatif ini tidak terbatas pada satu golongan saja tetapi melewati lapisan masyarakat yang berkelas-kelas pendidikannya, daripada golongan mak-mak kampung, mak-mak datin hinggalah bakal-bakal mak.
Secara adilnya, aku akan berkongsi kelesuan menjadi seorang suri....
...akan bersambung
No comments:
Post a Comment