Salam
Aku sedang membaca buku "Cinderella Complex", karya seorang penulis barat yang menetap di Amerika.
Isinya agak berat sebab banyak input pakar-pakar psikologi tentang isu kerumitan dan kekusutan jiwa yang dialami oleh wanita-wanita Amerika lantaran pilihan mereka untuk bekerjaya atau menjadi surirumah. Kedua-dua pilihan yang ada itu sebenarnya, tidak memberi kepuasan maksimum pada jati diri wanita kerana terdapat konflik tersembunyi di sebaliknya. Isu ini cuba dikupas secaka konklusif oleh penulis wanita tersebut. Kisah demi kisah dipaparkan dalam buku ini mencerminkan konflik diri yang berterusan samada wanita-wanita ini memilih untuk bekerjaya ataupun menjadi surirumah, terutamanya pada mereka yang mempunyai kelulusan tinggi. Menariknya lagi, penulis ini sendiri turut bergelumang dalam masalah yang sama.
Agak lama aku menyendiri dan menganalisa fakta-fakta yang diberikan di dalam buku ini berserta dengan pengalaman-pengalaman hidup wanita lain. Seakan-akan aku memahaminya. Ya, aku juga dalam konflik diri! Aku mampu mempunyai kerjaya yang baik tetapi takdir meletakkan aku di rumah dan dikelilingi anak-anak, pasangan dan persekitaran hidup yang agak selesa. Apa konflik di sebaliknya? Aku ingin melakukan sesuatu lebih bermakna daripada menjaga anak-anak dan suami! Bukan maksudnya mendidik anak-anak dan suami itu tidak bermakna pada diri aku, tetapi kepuasan yang lebih tinggi daripada itu. Sesuatu yang aku boleh kaitkan identiti diri ini dengan tidak berpaksikan pada aktiviti berkeluarga. Boleh begitu, itu pun jika ada yang memahami!
Sambil mendalami maksud penulis buku ini dan menyoroti pengalaman-pengalaman wanita yang dimuatkan dalam buku ini, aku seakan-akan dapat menyelami hati-hati mereka. Kesimpulan yang aku dapat ialah, konflik wujud jika kita mempunyai pilihan. Berbanding dengan wanita-wanita yang tidak mempunyai pilihan seperti tidak mempunyai pendidikan, mereka seakan mudah redha dan akur dengan pilihan menjadi surirumah ataupun kerjaya yang berpadanan dengan kemahiran yang mereka ada. Berbeza dengan wanita-wanita yang mempunyai kemahiran dan tahap pendidikan tertentu, memilih untuk mendidik anak-anak dan menjaga suami walau dengan apa alasan sekalipun tetap mengundang konflik di dalam jiwanya. Dalam hati kecil mereka,
"aku mampu buat lebih daripada itu, aku mampu menyumbang lebih daripada itu!"
Jika "drive" wanita-wanita ini berpaksi pada duit, mungkin agak mudah untuk keluarkan diri mereka daripada konflik. Duit merupakan matlamat kuat untuk individu keluar daripada kepompong kemiskinan dan kedhaifan diri. Bayangkan jika duit bukan matlamat seseorang wanita, makan dan pakai mencukupi; maklumlah tidak semua wanita sukakan aksesori mahal, wangian beratus-ratus ringgit, kasut dan tas tangan yang beribu-ribu harganya. Apa "drive" yang boleh digunapakai oleh wanita-wanita ini untuk menyelesaikan konfik dalam dirinya? Dua perkara yang terlintas di fikiran ialah kerja-kerja kebajikan dan sambuang belajar. Kerja-kerja kebajikan boleh menjadi platform untuk wanita-wanita berpotensi ini keluar daripada rasa "konflik kurang menyumbang", maksud aku jika wanita itu mendambakan kerja "bermakna" bukan berpaksikan pada duit semata. Begitu juga dengan dengan aktiviti sambung belajar, sibukkan diri dengan ilmu-ilmu baru juga boleh menghindarkan konflik dalaman pada wanita-wanita ini. Ilmu mampu menyerlah dan menjernihkan persepsi kita tentang kehidupan.
Walaupun aku mengiyakan isi-isi dalam kandungan buku ini tetapi tidak seratus peratus bersetuju dengan penulis barat tersebut. Antara isu yang aku tidak bersetuju dengan beliau adalah isu feminism, kesemarataan dengan golongan lelaki dalam segala bidang. Dalam isu ini, kita harus bersikap terbuka walaupun ia seperti menganiaya golongan wanita. Wanita tidak sesuai dan tidak layak dijadikan pemimpin, jadi tidak perlu melanggar ketetapan fitrah sendiri sebagai pendorong pada kejayaan pasangan. Isu ini akan berlarutan seperti barah dalam masyarakat bila wanita tidak tahu di mana tempat duduk mereka di sisi suami, anak dan kelompok masyarakat. Baik di barat ataupun di timur; yang sudah kurang nilai-nilai tradisionalnya, wanita boleh bekerjaya tetapi jangan sampai mengambil alih tugas lelaki. Bila ia terjadi, wanita juga yang akan menangisi kerakusan mereka untuk menjadi ketua dan lelaki akan berterusan menjadi leka dan mengabaikan tugas hakiki mereka. Akhirnya, wanita juga yang sengsara, dapat suami tidak seperti suami.
Kedua, apa pun pilihan wanita-wanita ini samada bekerjaya atau surirumah, ia akan membawa kepada kesudahan yang berbeza. Kos melepas tetap akan berlaku; kita menang daripada segi kewangan pasti akan kalah daripada segi masa begitu juga sebaliknya. Jadi apa pun pilihan kita, pilihlah dengan waras tanpa melupakan kebajikan diri sendiri dan buatlah persedian untuk hari hujan.
Ingat, konflik wujud jika kita mempunyai pilihan sebab pilihan itu berlarutan dengan akhiran yang berbeza. Jika kita tidak mempunyai pilihan, kita cuma ada satu cara untuk kita teruskan hidup..by hook or by crook, we have to live so the conflict will become a challenge for us.
No comments:
Post a Comment