Salam
Anak perempuan aku bertanya, "susu ni, bila tak boleh minum?" Pelik soalannya, tapi soalan dia sebenarnya, bila "expiry date" susu ni! Hahaha....budak-budak sekarang pun tahu tentang tarikh pelupusan. Kita yang dewasa ini pula, bagaikan tidak tahu atau buat-buat tidak tahu. Mungkin kerana ego atau sememangnya kenapa?
Aku tengah berfikir jawapan apa yang patut aku berikan jika ada orang bertanya, kenapa aku tidak lagi berkawan atau berhubungan dengan kawan-kawan lama aku dahulu? Jawapan mudah rasanya, expired! Aku tidak rasa orang yang bertanya itu nak tahu sangat jawapannya, cuma berbasa-basi dalam sebuah perbualan. Jika tidak, dia pasti akan bertanya secara lebih personal bukan di majlis sosial seperti kenduri-kendara. Jadi jawapan aku juga akan jadi ringkas seperti itu, EXPIRED!
Idea ini muncul daripada pembacaan aku di sebuah blog berkenaan masalah dan tips tentang sebuah persahabatan. Aku akui, dalam soal persahabatan ini, aku tidak selalunya bernasib baik. Adakala aku menjadi seorang sahabat yang tidak terlalu baik iaitu malas berhubungan, malas berjumpa, malas mengambil tahu, malas dan malas. Adakalanya, aku jadi seorang yang sangat prihatin dan mungkin sampai orang pun naik bosan. Siapa tahu kan? Jadi kawan itu pula yang sering larikan diri daripada aku. Kelakar tapi itu hakikat!
Banyak petunjuk-petunjuk personaliti mengatakan aku seorang yang pandai berkawan dan meletakkan kawan-kawan lebih daripada keluarga sendiri. Betul dan ia juga menyakitkan hati. Mungkin kerana kondisi aku berbeza daripada mereka yang membuat ujian-ujian personaliti itu. Contohnya, banyak masa aku dihabiskan untuk keluarga ini, jadi bila aku membuat temujanji dengan kawan, tiba-tiba perancangan itu diganggu hanya kerana suami memilih untuk keluar lewat ke pejabat. Aku terpaksa kansel pertemuan yang dirancang seminggu yang lepas. Aku rasa ia tidak perlu. Lainlah jika suami atau anak-anakku sakit, pasti malam itu juga aku akan kansel tetapi jika alasannya suami lambat ke pejabat, aku tidak akan kansel. Kemungkinan lambat ke temujanji, tapi tidak akan kansel. Adakah aku seorang yang mementingkan kawan? Aku rasa tidak, aku mengandaikan bahawa aku juga mempunyai kehidupan sendiri dan orang lain juga patut hormat pada privasi aku dalam berkawan, tidak terkecuali suami dan anak-anakku melainkan hal-hal kecemasan.
Ok, berbalik pada isu expiry date di awal tadi. Aku bersetuju dengan pendapat bahawa dalam sesebuah persahabatan, kita perlu ada pilihan untuk letak tarikh pelupusan. Maksudnya, jika persahabatan kita tidak lagi membawa apa-apa faedah atau pulangan pada diri. Bukan pula maksud di sini, bila berkawan harus ada pulangan dalam bentuk material atau tidak, tetapi jika hubungan itu tidak lagi memberi kepuasan pada keduanya, adalah lebih baik kita letak tarikh lupus. Tidak perlu dipanjangkan, tak perlu RENEW.
Manusia berubah, situasi berubah, keperluan berubah dan kematangan emosi kita turut berubah. Adakalanya gelombang bicara kita juga akan berubah disebabkan oleh faktor-faktor itu tadi. Bila dua orang sahabat baik mula menjadi kritikal antara satu sama lain, tutur bicara menjadi tidak harmoni, rasa lebih selesa tidak berkongsi, rasa lebih aman jika tidak berhubung dan rasa lebih tenang jika berjauhan, ia membawa satu petanda awal. Jika ini berlaku, ia adalah signal mengapa tarikh lupus persahabatan ini perlu dilaksanakan. Mungkin akan ada rasa terkilan, tetapi jika persepsi ini boleh dineutralkan, insyaAllah ia menjadi lebih sihat supaya kita tidak menyimpan segala yang terbuku di hati.
Let go, people change and we have to change as well.
Jadi kesimpulan aku di sini, tarikh pelupusan itu perlu dalam sesetengah situasi dalam persahabatan. Bukan kerana kita jahat atau sahabat kita tidak memahami tetapi kerana kita semua berubah. Bila perubahan itu berlaku, orang lain pula akan memenuhi ruang di hati dan kita belajar untuk menghargai orang baru yang bertandang, pasti ada proses pembelajaran berlaku di situ. Benar juga sesetangah pendapat mengatakan, hubungan persahabatan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina dan untuk sampai ke sesuatu peringkat tetapi " hei...some people just don't care, so why we care so much?"....Hahaha, life is beautiful, isn't it?
No comments:
Post a Comment