Salam
....sambungan daripada nukilan lepas.
Budaya berjalan-jalan masih baru dalam kehidupan kita sebagai orang melayu di negara ini. Budaya melayu bila sebut tentang aktiviti bercuti atau berjalan-jalan, pasti balik ke destinasi kampung atuk dan nenek pada musim cuti sekolah atau balik untuk menghadiri kenduri kahwin sanak saudara. Begitu juga aktiviti bermain air, ia selalunya menjadi kesukaan tatkala musim cuti sekolah bermula. Apa nak buat...global warming! Hahaha. Saya sendiri suka ke taman tema air. Selain bermain air kita juga boleh mengambil inisiatif untuk berkumpul bersama ahli keluarga lain. Ia satu aktiviti yang menyeronokkan!
Pada mereka yang mampu pula, istilah berjalan-jalan akan berkisar pada destinasi perjalanan ke luar negara seperti Singapura, London dan Paris. Kenapa destinasi ini antara yang paling popular pada hati pelancong-pelancong Malaysia? Hahahaha....siapa nak jawab?:)
Ok, berbalik pada perkara yang ingin saya bincangkan di sini. Pada saya, aktiviti anak yang sedang membesar boleh kita pelbagaikan pada masa cuti sekolah. Selain daripada melawat atuk dan nenek di kampung, melawat taman-taman tema yang terdapat di sekitar kawasan atau membilang anak-anak tangga di pusat membeli belah terkenal, kita boleh ambil inisiatif berbeza pada musim cuti akan datang. Ada anak-anak bertuah kita dedahkan mereka di kota Paris, tetapi mereka hanya berpeluang menapak di Boulevard Champ D'Elysse hingga lenguh kaki kerana mengikuti si emak membeli belah. Alangkah ruginya! Ya, benar..kita membawa mereka berjalan-jalan tetapi aktiviti yang kita tawarkan tidak lansung menambah pengalaman mereka secara peribadi mahupun secara kolektif, berkeluarga. Paling tidak, pergilah ke Disney Paris untuk berlibur seisi keluarga, bukan emak dan ayah sahaja yang berpeluang membeli barangan berjenama LV. Anak-anak juga ada kenangan berada di taman tema terkenal di dunia, Disneyland! Tidak semua orang berkesempatan pergi ke sana. Jadi jika berpeluang, cipta kenangan paling indah untuk seisi keluarga. Anak-anak tidak akan melupakannya.
Walau bagaimanapun pengalaman berharga pada diri anak-anak bukan hanya diukur pada jauhnya destinasi mahupun canggihnya pusat membeli belah yang mereka pergi. Jika destinasi itu hanya di kampung halaman sekalipun, ia boleh dimanipulasikan supaya mampu memberi kesan maksima dalam meningkatkan pengalaman hidup mereka.
Contohnya, apabila anak-anak balik semasa cuti sekolah ke rumah atuk dan nenek. Pasti pada ketika ini, suasana kampung sangat meriah dengan kenduri-kendara. Jangan anak-anak kita hanya tahu makan di majlis kenduri sahaja, ajaklah mereka bersama-sama aktif dalam suasana gotong royong yang diamalkan dalam majlis tersebut. Jika anak dalam usia belasan tahun, mereka mampu untuk bersama-sama bergiat aktif membantu meringankan kerja-kerja yang ada. Jangan pula memberi alasan, anak kita orang bandar hingga tidak boleh mengemas, membasuh pinggan dan mangkuk kenduri. Sudah tentu di rumah sendiri, anak kita tidak berpeluang ataupun tidak sempat untuk mengemas, maklumlah pembantu rumah melakukan ke semuanya. Apakata di dalam majlis kenduri sebegitu, anak-anak ini diajak dan digalakkan untuk belajar berkomuniti bersama dengan orang lain, amnya orang-orang kampung yang jauh berbeza daripada dirinya sendiri. Saya fikir, ia suatu pendedahan yang sangat berbaloi dan bermanfaat untuk proses tumbesaran mereka.
Kebanyakan mak dan ayah tidak sedar tentang kepentingan pendedahan pengalaman begini pada anak-anak. Mereka pulang ke kampung menghadiri kenduri kahwin sanak sedara tetapi anak-anak semuanya membawa komputer peribadi, ipad, PSP...segala jenis mak nenek permainan canggih yang mengekang anak-anak itu untuk turut serta dalam majlis sosial. Ada antaranya terperap di dalam bilik hingga waktu makan, barulah nampak muka. Banyak pula alasan yang diberikan oleh emak dan ayah bagi menutup kekurangan sifat anak- anak sebegini. Ada juga yang tidak bertegur sapa antara sepupu kerana terlalu asyik dengan dunia facebook, maklumlah budak-budak sekarang semuanya bakal jutawan internet.
Pendedahan begini tidak memerlukan modal yang besar dan tidak perlu berbelanja mewah. Pulangan tidak berharga daripada pengalaman ini akan menjadikan anak kita menjadi seorang yang lebih faham tentang erti sosial, ringan tulang, bantu-membantu dan mahir ilmu-ilmu komunikasi yang sangat berguna untuk mereka kelak. Ilmu tidak formal begini sangat perlu dalam kehidupan anak-anak yang sedang membesar, terutamanya apabila mereka hidup bermasyarakat.
Pengalaman anak sulung saya sendiri(semasa berusia 9 tahun), membantu bapa saudaranya membasuh lima puluh ekor ayam untuk tujuan masak memasak semasa majlis kenduri tahlil, tidak mungkin dilupakan hingga hari ini. Anak itu juga membantu membasuh periuk dan kawah, hingga basah bajunya bersama dengan sepupu-sepupu lain. Pasti, kenangan itu masih segar diingatan hingga sekarang! Ini adalah contoh-contoh pengalaman dan kenangan yang kita ingin suntik dalam perjalanan hidup mereka. Hakikatnya, kehidupan anak-anak hari ini terlalu terkongkong dalam dunia pendidikan yang terlalu jumud, mereka kekurangan masa untuk mengenali saudara sendiri, mereka tidak cukup terdedah dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan terlalu sibuk dengan segala jenis aktiviti berteknologi. Jika kita sebagai orang tua tidak cuba untuk ambik kesempatan, mereka akan tetap membesar...usah bimbang. Membesar tanpa ada kenangan-kenangan unik dan indah bersama orang-orang yang mereka sayangi seperti adik-beradik, sepupu-sepapat, atuk-nenek mahupun emak ayah sendiri.
Bila tersedar nanti, dalam usia dua puluhan....anak sudah berada jauh daripada kita. Pada saya, duit dan harta yang banyak tidak meninggalkan sebarang kenangan indah pada kita di usia senja. Kenangan indah bersama anak-anak akan kekal selamanya hingga kita pergi kelak,dan jika bernasib baik, cucu-cucu juga akan mengenali kita melalui pengalaman emak dan ayah mereka bersama kita. Itu lagi bermakna daripada meninggal duit berjuta kepada mereka....at least for me:)
No comments:
Post a Comment