Salam
Entri kali ini, saya ingin bercerita tentang pengalaman. Khususnya, pengalaman membawa anak-anak yang sedang membesar berjalan-jalan. Istilah berjalan-jalan bukan bermaksud membawa anak-anak ke pusat membeli-belah yang sangat banyak di negara Malaysia yang terchenta ini, sepertimana di Pavilion, Megamall, The Curve dan pelbagai jenis pusat membeli-belah yang lain. Pengalaman yang saya maksudkan di dalam entri ini ialah pengalaman berjalan ke sesuatu destinasi yang mampu memberi sumber pengalaman dan pendedahan baru kepada anak-anak. Bersesuaian dengan sifat semulajadi mereka yang gemar mempelajari sesuatu yang baru, baik daripada segi teorinya mahupun aktiviti. Jadi pengalaman bersama makayah ke destinasi atau melakukan aktiviti baru, mampu memberi peluang pada anak-anak untuk memahatkan ingatan itu bersama-sama kita. Kelak di usia matang, kenangan ini akan menjadi sesuatu yang sangat berharga kepada mereka. Priceless!
Cuba tanya kembali pada diri sendiri, bila kenangan pertama kita naik keretapi bersama keluarga? Bila pertama kali kita bersama adik-beradik berkelah, mendaki ...bersama mak dan ayah? Ini antara pengalaman-pengalaman yang seharusnya ada di dalam diri anak-anak di dalam fasa mereka membesar.
Kita sebagai makayah juga harus sedar usia anak-anak tidak statik, mereka akan terus membesar dan keseronokkan untuk bersama adik-beradik dan kita sebagai orang tua akan berkurangan. Proses ini adalah sangat normal pada tumbesaran anak-anak. Tiba masanya mereka menginginkan privasi terutamanya bersama-sama rakan sebaya dan kehadiran kita sebagai orang tua dan adik-beradik lain tidak lagi didambakan oleh mereka, sebagaimana sewaktu mereka masih bergantungan pada kita. Jadi sebelum terlambat, ambillah peluang ini untuk membentuk sebanyak mungkin kenangan bersama mereka.
Apakah kepentingan pengalaman dalam kehidupan kita sebagai manusia? Apakah kaitan pengalaman dalam pembentukkan diri anak-anak kita yang sedang membesar? Pengalaman terbukti sebagai salah satu cara kuno dalam memberi pendidikan dan tauladan pada peradaban dunia manusia, hingga ke hari ini. Siapa mampu meremehkan kepentingan sejarah dalam kehidupan manusia, zaman berzaman? Pengalaman-pengalaman ini kelak menjadi rentetan sejarah, di mana ia mampu memberi tauladan pada kehidupan kita di masa hadapan. Malangnya di dalam sistem pendidikan di negara ini, kepentingan ilmu sejarah diremehkan oleh mereka yang terlalu mengagungkan subjek sains dan teknologi, walaupun kita tidak menafikan keperluannya dalam dunia kini. Saya juga tidak menolak kepentingannya dalam arus pemodenan dunia kini, tetapi meremehkan elemen-elemen sejarah dalam kehidupan anak-anak sekarang sangatlah tidak wajar sama sekali. Anak-anak perlu diserapkan kefamahan mendalam tentang kepentingan aspek sejarah di dalam kehidupan harian. Mereka harus digalakkan mencipta kenangan demi kenangan dalam kehidupan ini, supaya ia mampu menjadi mini sejarah bersifat peribadi. Moga satu hari nanti, anak-anak kita kaya dengan kisah hidupnya tersendiri. Bukankah itu juga satu subjek bersifat unik dan perlu dihargai oleh kita semua terutamanya pada setiap ahli keluarga.
Jika kita beragama islam khususnya, bacaan Al-fatihah kita setiap hari, memberi pesanan supaya kita belajar daripada sejarah orang-orang terdahulu. Khususnya pada ayat terakhir dalam bacaan tersebut di mana kita memohon tuhan memberi hidayah dan membimbing kita menuju ke jalan yang lurus dan bukan jalan-jalan sesat yang telah dilalui oleh orang-orang sebelum ini. Moga kita mendapat kehidupan yang diredhaiNya. Seperti juga di dalam kitab suci kita sendiri iaitu Al-quran, ia terlalu sarat dengan kisah-kisah sejarah. Asal kejadian manusia, asal kejadian alam, asal kejadian iblis dan kisah-kisah perjalanan nabi-nabi semuanya termaktub indah di dalam kitab terulung orang-orang islam, itu semuanya sejarah! Kenapa kita masih berterusan menafikan kepentingan sejarah dalam kehidupan anak-anak? Ironik, bukan!
Berbalik pada kepentingan pengalaman dalam kehidupan anak-anak. Anak-anak membesar tanpa pengalaman umpama patung bernyawa atau robot diprogramkan. Mereka tetap membesar tetapi ruang dalamannya berongga dipenuhi oleh aktiviti-aktiviti harian yang kurang memberi kesan yang berpanjangan. Katalah anak-anak masih di zaman persekolahan dan setiap kali cuti sekolah bertandang, aktiviti mereka hanya pulang ke kampung atau berehat di rumah tanpa ada aktiviti khusus. Adakah mereka mampu atau otak mereka mampu untuk merekodkan aktiviti kebiasaan ini pada tahap yang paling maksima? Melalui pembacaan, kemampuan otak boleh dimaksimunkan dengan input-input luar biasa dan input itu datangnya daripada pengalaman dan aktiviti luar biasa juga sifatnya. Jadi cuba tanya diri sendiri, bila kali PERTAMA kita terjatuh daripada basikal, bila kali PERTAMA kita tertarik pada kawan lawan jenis, bila kali PERTAMA kita jejak kaki ke rumah bakal mak dan ayah mertua? Kemampuan otak kita untuk merekodkan kenangan-kenangan PERTAMA ini telah diiktiraf oleh para saintis yang mengkaji tentang subjek ini sekian lama. Jika masih tidak percaya, tanya diri kita sendiri...bila kita pergi ke SOGO dan membeli jeans hitam yang lusuh tergantung di sebalik pintu bilik? Atau ubah soalan itu ...bila pertama kali aku sampai ke Bukit Kayu Hitam dan beli seluar jeans hitam lusuh itu? Saya pasti jawapan tepat ada pada diri kita dan kebolehan otak kita mengingat pengalaman pertama tidak boleh dinafikan. Begitu juga dengan kenangan-kenangan yang bakal terbentuk di dalam diri anak-anak kelak.
...bersambung.
No comments:
Post a Comment