Salam
Entri kali ini bersifat sedikit peribadi. Kisah anak daraku yang berusia enam tahun. Bersekolah tadika dan mempunyai hobi memasak, mencantikkan diri dan mengembirakan diri sendiri.
Sedari kecil, anak daraku ini sangat suka memasak. Kecenderungan dia pada aktiviti ini memang tidak boleh disangkal lagi. Setiapkali aku masuk ke dapur, dia akan mengiringi dan meninggalkan segala jenis aktiviti yang sedang dilakukannya. Sebagai umi yang hanya mempunyai seorang anak dara, aku rasa sangat berbesar hati dan menghargai kecenderungan tersebut. Iyalah, kata orang tua-tua, anak perempuan pandai dan bersekolah tinggi , setinggi langit petala tujuh sekalipun tetap akan ke dapur. Aku sebagai umi pendidikan tinggi, mengakui kebenaran kata-kata tersebut. Cacat kemampuan seorang wanita jika dia tidak tahu ke dapur. Kepentingan untuk berada di dapur bukan hanya untuk mendekatkan diri pada anak-anak kelak, tetapi untuk menambah suasana akrab bersama-sama keluarga mertua dan ipar-duai. Ia sangat penting dalam budaya orang-orang kita. Jangan disebabkan bergulung ijazah yang dimiliki, kita berperasaan seperti manusia yang tidak perlu makan jika bertandang ke rumah mak sendiri mahupun mertua. Jadi masuklah ke dapur walaupun setakat memotong sayur atau mengacau kuah di dalam kuali. Banyak isu mertua, ipar-duai berpunca daripada keengganan setengah golongan wanita untuk masuk ke dapur, sedangkan anak-anak, suami dan diri dia sendiri tidak segan silu menyenduk nasi dari dapur yang sama.
Baik, berbalik pada kisah anak daraku. Semalam, dia bersama abangnya membantu aku mengupas telur puyuh rebus untuk membuat pasembor. Aktiviti mengupas telur sangat bagus untuk motorskill anak-anak yang sedang membesar. Ia mampu mengaktifkan urat saraf tangan supaya menjadi lebih lembut dan memantapkan keupayaan mereka menulis dengan laju. Itu sebabnya, anak-anak orang Jepun dan di barat khususnya menggalakkan permainan DOUGH pada usia anak-anak yang masih di peringkat rebung.
Sehabisnya mengupas telur-telur puyuh, anak dara ku meminta untuk mengupas timun. Aku berat hati membenarkannya tetapi setelah dirayu dan dirayu. Aku berkata " Adik guna peeler ok!". Melompat kegirangan anak itu, "Ermmm....mudahnya untuk anak-anak bergembira", bisik dalam hati ini. Memberinya dua buji timun, dia pun mengupas dengan rakusnya. Tidak sampai lima minit proses itu berlalu, aku melihat dia berlari ke belakang dinding dengan darah menitis-nitis ke lantai. Dia mengawal suaranya supaya tidak kedengaran tetapi aku dapat mengagak apa yang sedang berlaku. Mengigil dia menahan kesakitan dengan memicit jari halusnya, darah terus menitis tanpa aku tahu dengan jelas dari mana punca luka tersebut dan berapa dalam tusukkan peeler itu. Pendekkan cerita, aku berjaya mengawal keadaan dan membawanya kehadapan dengan balutan ais di jarinya. Masih dalam tangisan, dia kelihatan agak terganggu dengan kehadiran darah di kain balutan berais tersebut. Seakan-akan mabuk darah, dia berlari ke tandas dan katanya "Rasa nak muntah...tapi tak keluar apa-apa", dia kelihatan bagaikan orang mabuk laut. Terdetik di hatiku, mungkin anak ini tidak boleh melihat darah. Terpantul juga soalan lain, bagaimana dia hendak menjadi doktor gigi jika takutkan darah? Itulah angan-angan anak dara ku, dia ingin menjadi seorang doktor gigi. Mungkin angan-angan itu perlu dipertimbangkan lagi, itu pun jika benar.. dia mabuk darah! Jika tidak kerana insiden peeler semalam, aku tidak pernah terfikir tentang kemungkinan ini.
Anak daraku tertidur beralunkan lagu-lagu lama daripada episod Kilauan Emas. Apabila terjaga, tangisnya berulang tetapi meminta makanan yang aku masak tadi. Makan sambil memuji, "Sedap umi masak....apa nama benda ni?" Itulah kisah anak daraku, Dina.
No comments:
Post a Comment