Salam semua
Pertama kali aku mendengar istilah "scarce mentality" daripada buku tersohor seantero dunia, 7 Habits daripada Prof. Convey.
Apa yang menariknya dengan mentaliti ini, kita dibesarkan daripada kecik hingga dewasa dengan dimomokkan oleh ketidakcukupan material dan spiritual di keliling kita. Mentaliti ini kita bawa ke mana saja tanpa sedar, tanpa ada pengawasan, tanpa ada rujukan hingga kadang-kadang menyekat kemampuan diri untuk menjadi pemurah daripada segala segi, material dan spiritual. Sayangkan!
Pengalaman aku bergelumang dengan para pendidik diawal usia perkerjaan, benar-benar membuka mata dan telinga dengan kehadiran mentaliti sakit ini di kalangan orang bergelar cendikiawan. Pernah tak kita lihat para pendidik lokek ilmu? Pernah dan ada golongan sebegini dalam institusi pendidikan kita, takut ilmunya diambil orang..takut kalau-kalau anak muridnya lebih bijak daripada dia, bimbang kalau-kalau kredibiliti dia sebagai seorang sifu gugur disebabkan ilmunya berpindah tangan pada orang lain, tercemar kedaulatan dia kiranya anak didiknya mendapat skor A, sebab A itu hanya untuk dia....hahahahahahah!(Gelak dalam nada mencebik Ok!) Lokek ILMU...milik siapakah ilmu itu? Milik tuhan yang maha mengetahui dan kita cuma perantara yang diberi peluang untuk memilikinya , itupun untuk sebentar cuma. Bila hayat kita sudah sampai kepenghujung, ilmu itu juga akan hanyut bersama-sama kita, alangkah ruginya!
Bila aku terlibat dalam kerja-kerja sekarang ini, pengidap mentaliti ini amat berleluasa sekali. Aneh ya...bukankah rezeki itu ditangan tuhan, bukan ditangan manusia. Tapi alasan mereka, jika kemahiran ini terlalu ramai dimiliki oleh orang lain, ia akan jadi kurang eksklusif, bila kurang keekskusifannya, kuranglah duit yang mereka buat.Ermm..masuk akal jadi perlulah kita mengamalkan kecenderungan gaya pemikiran begini supaya rezeki kita senantiasa ada dan tidak putus.
Pada aku, apa pun alasan untuk orang bersikap atau bermentalitikan kecenderungan ini, ingat satu sajalah. Ilmu dan rezeki kita adalah milik tuhan, bukan milik manusia. Benar, orang tamak sekarang makin senang dan makin kaya-raya tetapi kena ingat jugalah, kaya di sini , jika tidak diuruskan dengan baik akan membuat kita muflis di sana. Selain doa anak-anak soleh menghadiahkan kita al-fatihah, kita boleh top-up akaun di sana dengan membuang mentaliti tidak pernah cukup ini. Ilmu berguna yang kita kongsi bersama akan menjadi bekalan yang tidak terhingga pada kita di sana kelak, rezeki yang kita kongsi pada jalan-jalan diredhai akan menjadi pelaburan buat kita. Jadi kenapa masih nak lokek dengan ilmu, padahal ia bukan milik kita yang mutlak? Kenapa perlu lokek rezeki tuhan, padahal kita juga meminta daripada Nya? Ingat kita cuma pengantara antara ILMU dan REZEKI tuhan pada manusia lain. Ada ketikanya, jika jawatan kita sebagai pengantara telah expire, kita tidak ada apa-apa untuk diberikan pada orang keliling, ingat ILMU tidak akan meninggalkan kita selamanya. ILMU sifatnya berbeza, tidak seperti $$$. Sifat kesetiaan ilmu tidak boleh dicanggah oleh sesiapa, lagi kita memberi ilmu...lagi ia merakap pada diri kita, makin ia beranak, makin ia serasi dalam urat saraf kita hingga mampu menjadi penyuluh pada kegelapan . Jadi perlukah kita kedekut ILMU?
Entri hari ini, aku cuma fokuskan pada ILMU tetapi mentaliti ini bukan hanya tertumpu pada isu ilmu sahaja, ia luas jika hendak diterokai. Ramai antara kita lokek senyuman, lokek duit, lokek kata-kata baik, lokek kata-kata hikmah, lokek segalanya sebab kita terlalu sibuk mengayakan diri sendiri, sibuk mencari gembira untuk diri sendiri, sibuk menambah ilmu untuk naik jawatan tapi tanpa sedar kita buat semua itu semata-mata berpaksi pada DIRI SENDIRI. Hanya diri sendiri tapi kata-kata orang psikologi, orang yang paling bahagia dan gembira ialah orang yang mampu mengembirakan orang lain. Di mana kita? Di mana titik antara DIRI kita dan orang lain. Susah nak jawab!
Renungan malam minggu!
No comments:
Post a Comment