Salam
Pelik tajuk entri untuk kali ini. Ini bukan tajuk untuk mencari salah manusia tetapi menyelami hati manusia yang bertopengkan kerjaya tanpa ada nilai-nilai kemanusiaan.
Pemandu bas itu cuma kerjaya, ironiknya dia tetap seorang manusia yang sepatutnya masih ada perasaan dan naluri kemanusiaan. Tak betulkah? Begitu juga dengan kerjaya doktor, kerjayanya sebagai pengantara alternatif untuk menyembuhkan penyakit tetapi dia tetap manusia yang diberi akal, rasa dan sifat kasihan sesama manusia. Siapa lagi, cikgu...juga sama, kerjaya dia sebagai pendidik tetapi dia masih manusia yang boleh mempertimbangkan segala urusan berdasarkan pengalaman dan budi bicara.
Berbalik pada kisah pemandu bas, dia memandu bas tetapi bila terlihat di depan matanya, seorang anak sekolah jatuh tersungkur dan beg sekolah maha berat itu seakan-akan menelangkup ke atas tubuh anak kecil itu .Apa yang perlu dilakukan oleh seseorang yang bergelar pemandu bas? Apa yang membezakan kualiti antara seorang pemandu bas dan seorang manusia? Pemandu bas hanya akan melihat daripada tempat duduk selesanya (selesa berbanding penumpang lain kerana tidak perlu berkongsi) dengan matanya meleret melihat kemampuan anak kecil itu berusaha untuk bangun dalam kepayahan yang amat ketara disebabkan kemahaberatan beg sekolah yg dipikul. Dia melihat tanpa ada rasa sayang, tanpa ada rasa kasihan dan tanpa ada rasa tanggungjawab menolong kerana tugasnya adalah pemandu . Tugasnya ialah cuma memandu bas bukan menolong anak kecil yang kebetulan terjatuh di jalanan. Tugas menolong anak kecil tersungkur di jalanan itu tidak termasuk dalam "job scop" seorang pemandu bas. Pemandu bas aka seorang manusia yang mempunyai sifat-sifat kemanusiaan, pasti akan melompat membantu anak itu, mengangkat beg sekolahnya dan meredakan kesedihan si anak.
Jika seorang manusia masih mengekalkan sifat-sifat kemanusiannya dalam apa pun kerjaya yang beliau jawat, pasti dengan mudah dia akan meraih kenaikan jawatan demi jawatan di organisasi.Begitu juga dengan seorang pemandu bas, pasti sifat-sifat kemurahan hatinya akan bermain dibibir-bibir para mak/ayah yang mempunyai anak-anak bersekolah. Berbeza situasi jika cikgu mengajar tanpa ada rasa sifat mendidik, akan selamanya menjadi cikgu yang dikenali dengan pelbagai "nick" di belakang atau di depan namanya. Seorang doktor yang merawat tanpa ada sifat-sifat rendah diri seorang manusia, pasti lengang kliniknya atau paling tidak, kita akan mencari doktor lain yang bertugas pada waktu yang sama ataupun tangguh temujanji jika ia tidak melibat soal hidup atau mati. Susah benarkah hendak menjadi manusia bila sedang bekerja? Garu kepala!
"Oh, kami ada peraturan yang perlu diikuti" tingkah mereka. Peraturan tuhan pun kita ambik serba mudah tetapi perintah organisasi, peraturan sesama manusia kita junjung sampai hilang sifat-sifat kedhaifan diri.
"Oh, gaji kami kecik ..tak sempat nak berfikir buat baik pada orang lain" sambut mereka dengan cebikkan. Doktor, peguam, pegawai bank dan ramai lagi bergaji besar tetap kurang atau tidak ada lansung sifat-sifat kemanusiaan apabila berurusan dengan mereka yang memerlukan, maklumlah gaji besarnya membawa darjat tertentu di mata sosial.Agaknya jika dia bergaji dan berjawatan besar, dia tidak lapar, dahaga atau kentut sepertimana orang lain. Kelakar! Sifat manusia bukan bergantung pada slip gaji, ia datang dari hati kecil yang paling dalam. Jadi duit sikit atau banyak bukan alasan untuk kita tidak menjadi manusia yang penuh dengan sifat-sifat menolong, mengasihani dan merendah diri.
Kita terlalu dimomokkan dengan sifat rendah diri orang-orang melayu tetapi pengalaman aku berjalan selama ini, sifat-sifat ini cuma tinggal dalam lipatan sejarah sebagaimana sejarah keagungan Melaka, suatu ketika dulu.
Kita makin maju tetapi makin sombong, kita makin berpendidikan tetapi jumud berpaksikan citarasa sendiri, kita berusaha menjadi alim dan tawaduk tetapi masih lompang sifat-sifat asas seorang hamba. Kita rajin menimba ilmu tetapi masih perasan kita yang terbaik Renungan untuk diri sendiri.
No comments:
Post a Comment