Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Monday, 24 December 2012

Helo Pak Pandir, P&C

Salam semua

Saya agak sibuk sejak kebelakangan ini dan cuti sekolah masih belum berakhir. Seperti biasa, apabila saya mula menjengah blog, pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiran.

Saya mahu bertanya, berapa ramai antara kita bersuamikan individu seperti Pak Pandir. Tahukah kita, siapa itu Pak Pandir? Kriteria Pak Pandir adalah individu suami yang akalnya lebih kurang, maksudnya tidak berapa cerdik(bukan cerdik IQ tetapi EQ). Tidak yakin dengan diri sendiri dan sering meminta pendapat orang lain, sama ada dalam hal ehwal keluarga yang sememangnya mempunyai kaitan dengan isteri ataupun hal-ehwal kerjaya yang tidak langsung mempunyai kaitan dengan keluarga. Filosofi hidup mereka berkisarkan keluarga harmoni, jadi segala urusan baik sama ada perlu atau tidak perlu harus dikongsi bersama-sama isteri terchenta.

Al-kisahnya, saya berpengalaman berkawan dengan isteri-isteri Pak Pandir. Penemuan yang begitu menakjubkan, isteri-isteri ini bagaikan bekerja satu pejabat dengan Pak Pandir walaupun hakikatnya mereka berjauhan dari segi fizikal. Contohnya, suami di KL dan isteri di Seremban tetapi mereka saling berkongsi cerita tentang hal ehwal pejabat yang tiada kena-mengena dengan pasangan masing-masing. Ok, saya perlu akui saya tidak tahu dan tidak arif tentang semua sifat kerja-kerja yang ada di pejabat. Saya kira, tidak semua pekerjaan melibatkan hal-ehwal 'Private and Confidential' dan ada yang tidak langsung memberi kesan mudarat sekiranya dikongsi dengan pasangan. Walaupun begitu, yang menjadi isu adalah hal-ehwal kerja yang boleh dikategorikan sebagai "mission impossible" dan dipenuhi dengan terma-terma 'Private and Confidential'. Kerapkali, suami Pak Pandir ini bagaikan tidak tahu dan tidak faham, perkara yang boleh dikongsikan ataupun tidak. Pendek kata, semua perkara yang diklasifikasikan sebagai rahsia pun, masih boleh terlepas kepada isteri. Inikan pula perkara-perkara biasa yang tidak perlu dirahsiakan. Sebagai kawan kepada isteri Pak Pandir, saya sering di up-date dengan segala jenis informasi dan gosip terbaru yang sedang melanda pejabat Pak Pandir. Bagus juga, baru saya tahu siapa staf kaki ponteng, siapa staf kaki goyang kaki dan siapa staf kaki balik awal. Padahal, kisah-kisah ini langsung tidak memberi 'value added' pada kita sebagai isteri. 

Bagusnya, saya dan isteri-isteri lain boleh bercerita atau bergosip tentang orang-orang yang saling kita kenali. Tetapi, yang tidak bagusnya apabila ada isteri-isteri Pak Pandir ini menjadikan kita sebagai tempat melepas nafsu amarah mereka sekiranya ada isu-isu yang tidak menyebelahi Pak Pandir, dan suami kita adalah bos kepada Pak Pandir.

Bukan sekali, bukan dua kali saya melalui pengalaman ini. Malah berkali-kali dan saya sudah serik untuk melaluinya sekali lagi. Kawan demi kawan, saya pinggirkan diri daripada menjadi teman kerana sifat Pak Pandir yang tidak boleh tidak, melaporkan segala kejadian di pejabat kepada isteri. Kesannya, isteri menarik muka apabila bersua dengan saya di mana-mana majlis. Ada yang tidak mahu bertegur sapa, ada yang memilih konfrantasi dengan bertanyakan isu-isu yang saya sendiri tidak tahu hujung pangkal. Hendak difahamkan, saya juga tidak tahu menahu tentang isu berbangkit. Hendak didengarkan sahaja, naik bernanah mendengar rungutan demi rungutan para isteri, bagaikan bos ini tiada otak untuk berfikir. Paling sedih, bos itu adalah suami kita sendiri. Apabila saya membuka ruang diskusi bersama suami, satu perkara yang ditekankan,"It's supposed to be a company secret or P&C". 

Pada mereka yang tidak mempunyai suami yang bekerja dalam misi negara mungkin tidak akan faham, tetapi pada mereka yang memahami tentu boleh rasa bagaimana perasaan saya. Ia tidak mudah dan saya bukan jenis isteri bertelinga tebal seperti kuali. Saya sedih apabila orang menjeling tanpa sebab, dan rupa-rupanya suaminya dimarahi oleh bos iaitu suami saya. Saya terasa apabila ada isteri berkonfrantasi menuduh suami yang bukan-bukan hanya kerana bos memilih perkara yang tidak disukai oleh Pak Pandir. Saya serik dilayan seperti dinding apabila suami membuat keputusan yang tidak digemari ramai demi menjamin kelangsungan projek yang berisiko. 

Alasannya cuma satu, Pak Pandir tidak tahu tugasnya sebagai seorang pekerja dan mereka berterusan membebankan isteri dengan isu-isu yang tidak ada kena-mengena dengan keluarga. Saya akui, ada masa saya cemburu kerana Pak Pandir sangat percayakan isteri dengan kisah-kisah pejabat. Tetapi, ada masanya saya menjadi kurang hormat pada Pak Pandir yang lemah akal seperti ini. Isteri tetap sebagai seorang isteri, apabila mengetahui suami dimarahi bos, dia akan melenting. Saya juga tidak terkecuali, sebab itu suami tidak pernah melaporkan apa-apa kejadian kepada saya. Dia tahu, saya yang akan lebih melenting berbanding dia. Jadi saya tiada beza berbanding isteri-isteri lain. Saya hanya tahu kisah pejabat suami jika ia ada kena-mengena dengan kehidupan harian saya, lebih daripada itu, jarang berlaku. Sekiranya ada, ia sudahpun menjadi sejarah dan saya hanya boleh memberi komen-komen seperti membaca buku sejarah. Tidak lebih, tidak kurang dan saya redha dengan situasi ini.


Thursday, 13 December 2012

Gaya hidup

Salam

Memiliki gaya hidup mewah sudah menjadi budaya dalam kehidupan harian kita pada hari ini. Kita beruntung kerana boleh memilih gaya hidup yang bersesuaian dengan kehendak hati dan selari dengan jiwa. Tetapi tidak semua orang berpeluang memilih gaya hidup yang disukai. Prasyarat pada gaya hidup orang-orang moden sekarang banyak berorentasikan duit dan keperluan material. Status kejayaan individu harus diserikan dengan pasangan yang secocok dari segi rupa dan latar belakang kebendaaannya. Paling tidak, pasangan haruslah mempunyai taraf pendidikan yang sama dan pekerjaan yang setara. Malah lebih baik, jika latar belakang pasangan iaitu kaum keluarga juga mampu menzahirkan keperluan anak-anak. Ia dilihat lebih mudah untuk mempertahankan gaya hidup yang sedia ada. Amalan ini tidak terbatas pada mereka yang tinggal di bandar sahaja, malah budaya ini merayap hampir kesemua lapisan golongan masyarakat. Kita juga tidak terkecuali.

Apa gaya hidup yang menjadi pilihan kita? Tiada benar atau salah pada pilihan yang dibuat, asalkan tidak menyusahkan diri sendiri dan orang-orang keliling seperti pasangan, anak-anak, adik-beradik, dan juga ibu dan ayah. Malangnya, ia tidak selalunya berlaku demikian. Itulah sebabnya timbul kata-kata sindiran berbunyi "Biar papa asal bergaya" dalam masyarakat kita. Dalam dunia materialisti seperti hari ini, apabila orang bergaya lebih dipandang tinggi, lebih mulia dan lebih 'maksum' berbanding orang biasa, maka keperluan untuk bergaya memang terselit walaupun sekelumit. Tidak banyak mungkin sedikit, pasti ada dalam hati nurani kita. Keadaan ini dapat dirasai sekiranya kita berususan di hotel mewah, apabila kita bertutur dalam bahasa ibunda, memakai selipar, berbaju t-shirt dan mengalas beg tangan mengkuang. Paling sedih, apabila staf yang melayan kita juga berasal dari rumpun bangsa yang sama, ataupun dari asal tumpah darah yang sama iaitu bumi Malaysia. Sapaan kita dalam bahasa ibunda disambut dengan slanga bahasa penjajah bersulamkan jelingan mata yang sinis. Salahkah kita, untuk bergaya supaya dilayan mesra oleh kaki tangan hotel mewah atau paling tidak, senyuman kita disambut mesra oleh mereka. Walaupun kita mungkin rasa tidak perlu bergaya jika tiada keperluan, tetapi sedar atau tidak, gaya kita mampu memberi impak pada orang yang melihat dan mampu membawa persepsi diri yang lebih positif. Persepsi positif bahawa kita seorang yang bekerjaya hebat, berduit, berstatus dan berpangkat seperti Datuk atau Datin, mungkin.

Kita tidak mampu mengubah persepsi ini, ia sudah menjadi budaya dan berakar-umbi dalam masyarakat di negara kita. Memilih untuk tidak bergaya, bermaksud kita perlu kurangkan aktiviti sosial yang melibatkan orang-orang  sekeliling. Tidak perlu ke hotel, tidak perlu membeli-belah, tidak perlu masuk ke restoran kerana kebanyakan lokasi-lokasi begini melihat 'siapa' diri disebalik pakaian dan penampilan kita sebagai pelanggan. Jadi apa pilihan yang kita ada? Mahu tidak mahu, sebagai individu dalam masyarakat, kita berusaha sedaya mungkin untuk bergaya selari dengan peningkatan status gaya hidup. Pada asalnya hanya berlandaskan keperluan psikologi seperti ingin dihormati dan diberi pengesahan yang sewajarnya. Malang sekali, pengesahan luaran begini membawa mala petaka pada sebilangan besar rakyat biasa yang tidak mampu untuk bergaya. Individu sanggup berhutang, membuat bayaran ansuran, memiliki beberapa kepingan kad kredit dan sanggup berbuat apa sahaja, asalkan mereka boleh kelihatan bergaya di mata ramai. Sekiranya diteliti dengan mendalam, alasannya cuma berasaskan keperluan psikologi iaitu mereka mahu dilayan, dihormati dan didengari sewajarnya oleh orang-orang keliling. Selagi gaya hidup kita menjadi pertaruhan dalam mendapat pengiktirafan masyarakat, selagi itulah individu akan terus menjadi mangsa kerakusan gaya yang didambakan.

Akhirnya, kita menjadi masyarakat yang sangat cantik reka bentuk cengkerangnya. Luaran kita bergaya mewah, berstatus tinggi dan menjadi pujian sana-sini. Malangnya dalaman kita kosong, kita hilang sifat-sifat kemanusiaan, terlalu sibuk membaikpulih pandangan luaran hingga terlupa menambah makanan batin dn emosi. Ironiknya, apabila kita sibuk memperbaiki cengkerang luaran, kita juga sering melihat cengkerang individu lain dan membandingkan dengan diri. Pastinya, kesibukan ini tidak bertepi jika kita sendiri tidak meletakkan noktahnya. Jadi terpulang pada diri. Pilih gaya hidup yang tidak merosakkan dan sepadan dengan kemampuan diri.

Wassalam.

Tuesday, 4 December 2012

Dilema

Salam

Pandai orang-orang tua kita dahulu, ungkapan 'diluah mati bapak, ditelan mati emak', benar-benar mencengkam naluri saya pada waktu ini. Tambahan pada ungkapan itu berbunyi...'tidak perlu telan, tidak perlu luah, hanya kulum'. Sampai bila? Selagi terdaya...


Mudah rasanya apabila kita mempunyai pilihan, tetapi tanpa sedar, pilihan membawa kita pada kesudahan berbeza. Kesudahan berbeza, tidak semestinya membawa kita pada akhiran yang didambakan. Ia cuma berbeza tetapi tidak membawa sebarang kebaikan atau 'value added' dalam kehidupan. Mustahil tiada langsung kebaikan, cuma sebagai manusia kita pilih untuk tidak melihat benda tidak disukai dan sering mendambakan sesuatu yang tidak ada. Itulah saya!

Dua tahun lepas, apabila saya mencipta 'pilihan', ia diiringi dengan harapan. Harapan apabila masanya tiba, saya akan pergi meninggalkan segala jenis macam isu yang mencengkam di sini. Malangnya, apabila semakin hampir pada tarikh ketentuan, pilihan itu tidak lagi membawa nafas kelegaan tetapi semakin semput. Pilihan yang dicipta dahulu tidak lagi memberi saya peluang, tetapi laluannya makin sempit dan menyesakkan fikiran.

Dalam situasi begini, saya teringatkan kata-kata seorang sahabat. Seorang wanita berketurunan Filipina, ibu kepada dua orang anak yang seusia anak-anak saya. Kata beliau, "Tanpa pilihan, kita akan berusaha selagi terdaya dalam mencukupkan dan menghasilkan yang terbaik daripada apa yang ada". Itulah prinsip beliau dan ternyata dia gembira dan berpuas hati dengan apa yang dikecapi. Berbeza dengan saya, pilihan yang ada membuat saya sering berfikir dan berfikir dan berfikir, membaling dadu, membuat matriks, membuat SWOT hanya untuk melihat pilihan mana yang lebih menguntungkan. Sahabat saya tidak membuang masa membuat perhitungan seperti itu, tetapi memfokuskan segala usaha yang ada demi matlamat nan satu. Siapa kata, orang yang mempunyai pilihan lebih bahagia berbanding mereka yang tidak mampu mencipta pilihan?

Kita ubah analogi, cuba sorotkan pandangan kita pada dua jenis wanita yang bekerjaya suri. Seorang berpendidikan tinggi, mempunyai kelebihan untuk bekerja di luar rumah dan mempunyai seorang suami yang mampu menanggung dirinya dan seisi rumah. Kedua, seorang suri yang rendah tahap pendidikan, tidak mempunyai kelayakan sewajarnya untuk bekerja dan alhamdullilah, mempunyai seorang suami yang bertanggungjawab melunaskan kewajipan sebagai ketua keluarga. Antara kedua-dua suri ini, mana satukah yang lebih berkonflik? Pengalaman peribadi saya mengatakan, suri kedua lebih tenang hidupnya berbanding suri pertama. Mengapa? Suri kedua tidak perlu membuat analisis SWOT untuk kekal di rumah atau di pejabat sepertimana suri yang mempunyai pilihan. Suri kedua ternyata lebih bahagia berbanding suri pertama kerana pada mereka, dunia mereka hanya satu dan itulah satu-satunya yang memberikan mereka kebahagiaan. Manakala, suri berpendidikan dan berkelayakan sering merasakan sumbangan mereka di rumah masih belum cukup untuk mengesahkan "siapa" diri mereka sebenarnya. Agak lama saya perhatikan fenomena ini dan paling malang, isu-isu ini hanya melekat pada suri yang berpendidikan. 

Matlamat ulung kita sebenarnya adalah mencapai kebahagiaan hidup, sama ada di dunia dan di akhirat. Jadi sama ada kita seorang PM, pakar jantung atau seorang guru pencen, matlamat kita tetap sama iaitu mencari bahagia.  Tidak wajar sekiranya kita berpendapat suri kedua, iaitu mereka yang rendah tahap pendidikannya tidak mempunyai matlamat tinggi dalam hidup mereka. Tiada guna mempunyai angan-angan setinggi langit tetapi kita tidak bahagia dengan apa yang ada di hadapan mata. Buang masa kita berbolak balik, memikirkan  sama ada kita patut berada di mana dan bukan di sini, semata-mata untuk menyedapkan hati dengan harapan kita akan mencapai bahagia. Kebahagian kita sebenarnya ada di hadapan mata, renung mata suami dan anak-anak, ucap syukur dengan apa yang kita miliki dan berusaha untuk terus menyumbang. Sumbangan tidak semestinya dalam bentuk duit tetapi kudrat, kata-kata nasihat dan keprihatinan kita pada orang-orang keliling.

Sekali lagi, saya mampu menulis tetapi sayalah salah seorang suri yang sangat berkonflik. Peringatan untuk diri sendiri, kurangkan syarat untuk kecapi bahagia. Syabas!

Thursday, 29 November 2012

Orang baik vs orang jahat

Salam semua



Satu pengajaran saya dapati apabila mengorbankan hampir 3 jam mengadap peti televisyen, menghayati sketsa Shah Rukh Khan dan Kajol yang berjudul, 'My name is Khan'. Kata beliau, hanya ada dua golongan manusia di atas muka bumi iaitu orang baik dan orang jahat. Sejak itu, kata-kata beliau sering bermain di dalam kepala, bagaikan kaset buruk berputar di dalam radio. Ada benarnya kata-kata itu, kita di kelilingi oleh mereka yang baik dan jahat. Tidak kisah dari masa asal usul, agama apa, apa sahaja ideologi politik dan dari negara mana pun asal kita. Perbezaannya cuma, ada orang baik dan ada orang jahat.

Bersandarkan pengalaman hidup di negara orang, diperkukuhkan lagi dengan kenalan yang datang dari pelbagai negara, saya akui sepenuh hati kata-kata Khan dalam kisah ini. Teman baik saya semasa bermastautin di luar negara adalah seorang wanita Brazil, bernama Silvana. Berbeza agama, berlainan latar belakang, berbahasa ibunda ibarat ayam dan itik, kami tetap bersahabat baik. Kebaikan beliau melebihi mereka yang seagama, serupa latar belakang dan berasal dari negara yang sama. Kebaikan beliau menyentuh hati saya sekian lama terlena dengan momokkan orang islam adalah insan terbaik. Kemurnian hati beliau menggoyahkan perspektif saya pada orang melayu islam yang sering perasan kita adalah makhluk tuhan yang teristimewa. Salahkah saya berpandangan demikian?

Pengalaman hidup di Switzerland, walaupun hanya beberapa tahun, benar-benar membuka minda dan hati nurani saya tentang kebaikan manusia. Walaupun, kebanyakan daripada mereka adalah free thinker, ketinggian moral yang mereka tunjukkan sesama manusia, tidak tergambar oleh kata-kata. Mereka membantu sesiapa sahaja yang dalam keperluan tanpa melihat asal, warna kulit dan agama. Mereka yang berkot tebal, sanggup mengangkat kereta sorong anak ke dalam bas tanpa dipinta. Tanpa jelas kelas sosial mereka, tanpa membezakan jantina, baik mereka yang berimej 'rock', bekerjaya hebat(boleh dilihat melalui gaya mereka berpakaian), lelaki atau wanita, tua atau muda, mereka tetap membantu saya dan teman-teman mengangkat kereta sorong masuk ke dalam bas atau tram. Jika sebelum ini, saya sering takut untuk keluar bersiar-siar berseorangan tetapi selepas pengalaman itu, saya bebas keluar untuk ke bandar kerana saya tahu, pasti ada orang yang membantu. Andaikata, tiada penumpang lain di dalam bas, pemandu bas sendiri yang akan turun dari kerusinya dan mengangkat kereta sorong anak dengan senyuman meleret di wajah mereka. Salahkah saya berpendapat, baik dan kurang baik sahaja yang membezakan siapa sebenarnya diri kita. Bukan agama, bukan kelas sosial, bukan negara asalnya.

Selain pengalaman hidup, beberapa bahan bacaan yang saya hadam selama ini, turut memberi pandangan berbeza daripada apa yang dilaungkan oleh orang-orang keliling. Benar kata-kata Khan, hanya ada dua jenis manusia di bumi iaitu orang baik dan jahat. Orang baik walaupun berkulit hitam, berambut kerinting tetap ada yang berhati mulia. Bukan warna kulit, bukan fahaman politik dan bukan keturunan yang menentukan kebaikan diri sesesorang tetapi sekeping hati di dalam. Saya membaca buku Half the Sky dengan perasaan malu berbaur kesal dan sedih, kebanyakan sukarelawan yang membantu dalam misi kemanusian sebegini terdiri daripada mereka yang bukan beragama islam. Mereka membantu tanpa ada rasa diskriminasi agama, warna kulit mahupun kelas sosial. Salahkah mereka, jika bantuan yang diberikan diselit halus pendekatan keagamaan yang mereka anuti selama ini. Kita marah dan benci pada pendakwah mereka menukar agama orang lain. Cemuhan demi cemuhan, kononnya bantuan yang diberikan oleh mereka bersifat udang di sebalik batu! Bagaimana pula dengan kita yang kononnya tiada udang tersembunyi di sebalik batu? Di mana pendokong agama kita berada apabila misi kemanusiaan begini beroperasi? Kita mengaku kita baik, sebaik-baik manusia tetapi lihat keliling, merantau jauh dan lihat dengan mata hati dan tanya apakah kebaikan kita selama ini?

Masih berpusing pada isu sama, kebanyakan kita hanya berbuat baik pada diri sendiri, keluarga sendiri dan pada mereka yang berkepentingan. Saya sendiri sering bertanya, apakah kebaikan kita ini berdasarkan pada hati yang bersih atau apa. Mari bersama-sama kita berusaha menjadi baik, letak ke tepi kelas sosial, pendidikan, latar belakang dan asal-usul kita. Sebagaimana kata-kata seorang tokoh korporat, "Saya percaya semua manusia berusaha menjadi lebih baik daripada semalam". Jadi saya rasa ia tidak terbatas pada fahaman agama, politik mahupun budaya.

Wassalam.

Tuesday, 13 November 2012

Psikologi atau Sekehlogi

Salam semua


Terasa ingin mengulas tentang ilmu keibubapaan yang dibincangkan bersama adik, semasa beliau datang berkunjung ke rumah. Katanya, selama dia mendidik anak-anak, banyak kata-kata negatif dilemparkan kepada beliau terutamanya daripada kaum keluarga dari sebelah suami. Puncanya kerana ideologi pendidikan yang berbeza. Adik saya bermazhab sekehlogi dan keluarga sebelah sana, bermazhab psikologi. Kelakar, bukan!

Bukan beliau sahaja yang dilontar dengan kata-kata menyegat, saya sendiri pun sering ditegur dan disindir kerana agak keras dengan anak-anak. Manakan tidak, anak lelaki yang sudah berusia 11 tahun, baru tahun ini tidak duduk atas booster di dalam kereta. Anak-anak saya tidak akan berlarian mengelilingi meja makan, walaupun mereka sudah kenyang menjamah, jauh sekali ingin melepaskan rasa marah berguling di atas lantai jika tuntutan mereka tidak dipenuhi. Memang tiada dalam kamus anak-anak ini, umi dan abah akan mengikut kata mereka dalam keadaan memberontak. Jika berlaku keadaan ini, umi atau abah akan menggunakan kuasa veto untuk meredakan keadaan. Pendek kata, mereka tidak akan menang jika membantah dan menggelupur. Saya sering berpesan pada anak-anak, kehidupan kita bukan hanya berkisar tentang diri sendiri sahaja. Kita berkongsi kehidupan dengan berbilion manusia lain yang berkongsi matahari dan bulan yang sama, jadi perlu ada sikap bertolenrasi dan kerjasama. Anak-anak tidak harus memilih sepanjang masa, aktiviti yang disukai sahaja. Mereka juga harus didedahkan dengan aktiviti yang tidak disukai, supaya tolenrasi dan semangat berpasukan wujud dalam diri. 
Sekehlogi vs Psikologi


Asalnya, saya tidak berminat untuk berdebat pendekatan yang mana lebih berkesan. Mengikut pengalaman saya, kedua-dua kaedah perlu diamalkan dalam dua masa yang berbeza. Malang sekali, ada ibu dan bapa amat takut akan penggunaan kaedah sekehlogi dalam mendidik. Ironiknya pula, saya dan sebahagian besar generasi seusia saya, dibesarkan dengan pendekatan sekehlogi. Kami menjadi manusia yang sedar diri dan tahu di mana tempat kami sebagai anak, isteri dan ibu. Berbeza dengan anak-anak generasi psikologi, alasan demi alasan diberikan pada ibu dan ayah demi melunaskan tugas hakiki mereka sebagai anak. Anak tidak seperti anak, anak seperti tuan sahaja layaknya. Ibu perlu minta kebenaran daripada anak apabila melawatnya di sekolah. Ada yang tidak mahu berjumpa sekiranya si ibu terlewat dari waktu yang dijanjikan. Bagaikan tidak masuk akal, tetapi itulah yang berlaku dalam keluarga terdekat. 

Apabila mendengar komen daripada adik yang menghadiri ceramah seorang motivator hebat, saya akui kaedah sekehlogi masih relevan dalam dunia iphone sekarang. Maklumlah, jika komen begini datangnya dariapada seorang ibu yang tidak mempunyai gelaran motivator, ataupun Dr dipangkal namanya, pasti tiada sesiapa pun akan percaya! Kita sering dimomokkan dengan kaedah psikologi dalam mendidik, hingga mengenepikan didikan tegas dalam mendisiplinkan anak-anak. Kesannya, kita membebani orang lain untuk mendidik anak-anak supaya berdisiplin dan tahu di mana tempat asalnya. Saya pasti, ibu dan ayah berpendidikan tinggi amat tidak suka akan pendekatan kasar ini. Pada sebilangan mereka, anak-anak harus ditatang bagaikan minyak yang penuh dan masalah mula timbul jika aktiviti menatang itu jatuh ke tangan orang lain. Kita hendak menatang anak sendiri, seberapa yang kita rela dan mampu, boleh diteruskan selagi terdaya. Masalahnya yang bakal terjadi, anak akan keluar dari kepompong kehidupan ciptaan kita dan berusaha untuk hidup sendiri. Pastinya, orang yang menatang mereka selain kita sebagai ibu dan ayah, tidak mampu berbuat sepertimana kita. Kesannya bukan sedikit, kita lihat bagaimana isteri terpaksa menatang suami, suami terpaksa menatang isteri. Suami tidak tahu apa peranannya, isteri tidak tahu mana asal duduknya. Ia berlaku di mana-mana dalam masyarakat kerana didikan menatang yang berasal daripada ibu dan ayah. Ironiknya lagi, ada ibu dan ayah tidak segan silu meminta pihak berkuasa menatang anak mereka, guru-guru pun disuruh menatang, tambahan lagi individu yang dibayar gaji mereka seperti pembantu rumah. 

Pada saya, kaedah psikologi memberi kesan yang mendalam sekiranya anak-anak berada dalam kondisi tenang dan tenteram seperti di meja makan. Waktu ini adalah masa yang sesuai untuk berdiskusi dengan tenang dan ceria, minta pendapat mereka dan saling bertukar-tukar fikiran. Dalam keadaan di mana semua ahli keluarga sibuk, misalnya di awal pagi, kaedah psikologi harus dicampak ke dalam bakul sampah. Guna kaedah sekehlogi supaya anak kita tiba di kawasan perkarangan sekolah tepat pada waktunya. Tidak perlu buang masa mendengar alasan demi alasan, rengekan demi rengekan kerana tidak mahu mandi ataupun tidak mahu ke sekolah. Buang kaedah psikologi dan gantikan pendekatan sekehlogi jika anak memberi alasan untuk tidak bersolat, apatah lagi sekiranya sudah melepasi usia 10 tahun. 

Bagaimanapun, saya mengambil kira pandangan suami bahawa anak-anak yang dimarahi seawal pagi tidak akan ceria untuk ke sekolah. Jadi saya meminta anak-anak supaya memudahkan kerja saya di awal pagi, jangan membuat scene supaya mereka dimarahi. Saya memberi tanggungjawab itu pada mereka, saya ajar mereka pendekatan 'cause and effect'. Kesannya, mereka memilih untuk beraksi dan saya selarikan dengan kesan yang mereka akan terima.

Pemberitahuan: Kaedah sekehlogi hanya nama yang dipilih untuk menerangkan maksud 'pukul dan marah' dalam mendidik.

Sekian, wasalam.

Wednesday, 7 November 2012

Warkah untuk Diri

Salam

Ada benda mengganggu fikiran. Semasa berbual dengan adik semalam, dia menegur saya tentang satu kecenderungan yang sering saya lakukan. Termalu juga ditegur, maklumlah ini bukan kali pertama. Sudah banyak kali sebenarnya, tetapi saya masih terjatuh dalam lubang yang sama, berkali-kali. Aduh!


Seperti biasa, saya mencari teman untuk bertukar fikiran. Buntu memikirkan apa yang tidak kena dengan diri sendiri. Masalahnya, apabila mendapat nasihat daripada orang yang karektornya berlainan daripada kita, solusinya bagaikan tidak bersesuaian pula. Bukan sekali suami memberi nasihat dari sudut pandangan beliau, sejak dari mula berkahwin. Saya tiada idea untuk membantah kerana pada saat itu, itulah jalan terbaik. Tetapi lama kelamaan, rasa hati mengatakan ia seperti tidak berapa tepat. Benarkah, demi mengelak diri rasa disakiti oleh kawan, jangan berkawan? Demi mengelak diri daripada mengungkit kebaikan kita pada orang tanpa mendapat balasan, berhenti membuat perkara baik? Demi menjaga diri daripada berfikir yang bukan-bukan tentang orang, berkawan dengan lembu? Masuk akal ataupun tidak, solusi ini?

Sekali fikir, saya akui itulah yang saya lakukan. Sejak mendapat nasihat ini, 13 tahun yang lalu, itulah yang saya amalkan walaupun kadangkala ia bertentangan dengan kehendak hati. Alasan cuma satu, saya tidak mahu ada rasa terkilan, tidak sedap hati sesama manusia lain. Saya tidak mahu ada rasa kecewa di akhir sketsa, kerana mengharap orang lain menjadi seperti kita. Tetapi dalam masa yang sama, naluri kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak berapa betul. Mendengar nasihat daripada adik, bagaikan terngiang-ngiang nasihat daripada orang yang sama karektornya, iaitu introvert. Bagi mereka yang berperwatakan introvert, memberi nasihat, menolong orang, mengasihani orang adalah perkara yang sangat eksklusif. Maksudnya, mereka akan menunjukkan kesemua ciri-ciri itu pada orang yang bermakna dalam hidup mereka sahaja. Dalam erti kata lain, orang yang tiada mengena dalam kehidupan mereka, orang yang tidak mengganggu tidur mereka di malam hari, tidak perlu tahu akan kewujudan kualiti ini dalam diri. Oleh kerana itu, mereka mahir dalam membatas diri daripada memberi nasihat tidak perlu, sukar membantu tanpa disuruh dan menjaga diri sendiri adalah perkara utama dalam agenda kehidupan mereka. Hasilnya sangat berbaloi-baloi berbanding orang-orang extrovert, yang selalu bermasalah dengan segala jenis macam rasa dengan orang-orang keliling.

Sebagai extrovert, saya masih mencari penyelesaian pada kekalutan ini. Saya suka memberi, tetapi bagaimana mahu membatas diri daripada mengharap. Jika dituruti nasihat sebelum ini, semua kebaikan akan terhenti di situ kerana tiada balasan yang diterima. Paling parah dan terluka, jika orang mengatakan kita tidak ikhlas. Masakan boleh terjengah perkataan ikhlas, jika kita sendiri tahu, kita mengharapkan sesuatu daripada sesuatu pemberian. Jadi bagaimana? Bukan sekali dua saya mendengar kaum keluarga, mahupun kawan-kawan memberi komen bahawa sukar untuk menjaga siratulrahim sesama manusia dalam zaman moden ini. Jika ada yang rajin pada awalnya, lama kelamaan ia terhenti kerana tiada sambutan daripada orang lain. Kebaikan yang sepatutnya dipanjangkan, terhenti kerana tiada seorang pun yang rajin menyambut dan menyambung. Akhirnya, kebaikan terhenti dan kita sibuk dengan hal sendiri. Paling tidak, itu yang dimaksudkan oleh adik saya tadi. Tidak perlu terluka jika tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

Alhamdullilah, selepas berborak panjang dengan teman sejiwa yang berada di seberang sana, saya teringatkan kata-kata nasihat daripada seorang motivator hebat. Rupanya, kata-kata pencerahan ini sudah lama saya dengar cuma ia terlipat dalam gobok memori. Itulah jawapan yang dicari selama ini dan ia lebih mendamaikan hati daripada terpaksa memilih untuk berkawan dengan lembu.



Kebaikan yang diberi oleh kita, akan dan pasti dibalas oleh Allah swt, jadi kenapa perlu risau? Kita sering mendambakan balasan daripada orang keliling tetapi kita lupa bahawa balasan daripada manusia tidak setanding dengan balasan daripada Allah yang maha kaya. Kenapa perlu bimbang dan terluka? Kita biasa alami dan mendengar, adakalanya tuhan mengutuskan orang lain untuk membantu kita yang sedang dalam kesusahan. Orang asing yang langsung kita tidak tahu mana asal-usulnya dan apa tujuan mereka membantu kita. Jauh sekali, mereka bukan orang yang selalu kita harapkan. Perkara ini membuat saya sedar, kita tidak mampu mengawal satu perkara pun yang bakal berlaku pada kita. Jadi kebaikan kita selama ini akan dibalas oleh Allah dalam rahsiaNya, selagi kita berbaik sangka dan mengharap ikhsannya. Bukankah ini lebih mendamaikan hati berbanding nasihat supaya jangan berbuat baik jika tidak boleh berhenti mengharap atau tidak ikhlas. Akhir sekali, latih diri kita berbuat baik kepada mereka yang tidak mampu, seperti memberi sedekah kepada orang fakir, anak-anak yatim, balu kematian suami dan sesiapa sahaja yang pasti tidak mampu membalas. Ia bukan sahaja mendidik hati mejadi ikhlas, paling penting kita masih boleh menyalurkan kebaikan tanpa perlu bimbang akan rasa terluka mahupun terkilan.

Warkah ini khusus buat diri saya yang masih mencari, pada mereka yang mendapat kebaikan daripadanya. Alhamdullilah.

Monday, 5 November 2012

Bulan madu ke artik (Bhg 3)

Salam semua

Hi, masih di sini, masih belum habis catatan bulan madu ini. Ringkasnya, dalam entri bulan madu ini, kita sudah tahu serba sedikit tentang keunikan negara Norway. Kita juga boleh berangan serba-sedikit tentang keadaan di dalam kapal yang dinaiki oleh saya di sepanjang perairan melepasi garisan artik ke kutub utara. Ada satu lagi tarikan khusus yang masih belum dikongsi iaitu; sebagai negara yang terkenal dengan gelaran Midnight Sun, kita dapat melihat  matahari di sepanjang hari, 24 jam tanpa henti, tanpa gelap pada musim panas. Semakin kapal bergerak ke atas menghampiri kutub utara, menyeberangi garisan artik, makin panjang masa kita dapat melihat matahari di tengah malam. Bunyinya bagaikan tidak masuk akal, bagaimana matahari itu tidak terbenam ke dalam laut? Itulah keajaiban ciptaa tuhan, apabila kita melepasi garisan artik di utara ataupun garisan antartika di selatan, fenomena musim dan matahari berubah sama sekali. Di kutub utara inilah, kita boleh menyaksikan aurore pada musim sejuk, iaitu enam bulan sejuk tanpa secalit cahaya, dan kita boleh melihat matahari tengah malam pada musim panas enam bulan, tanpa secalit malam. Bagaimana agaknya matahari malam ini membuat putaran "tenggelam dan menyinsing",?

Gambaran jelas matahari tengah malam.
Seperti senja ketika hendak tenggelam dan terus terbit fajar.
Pengalaman peribadi, kami menunggu saat-saat ini di atas dek kapal paling atas. Dek paling istimewa yang saya ceritakan sebelum ini. Sebaik sahaja selesai makan malam, dek ini sudah dipenuhi oleh tetamu-tetamu kapal. Sukar hendak mencari "spot" sesuai dan tepat untuk merakam detik bersejarah ini. Jika tidak salah, kami hanya mempunyai satu malam sahaja, peluang untuk melihat matahari tengah malam. Maklum sahaja, jadual pelayaran kami tidak berapa tepat sebagaimana jadual tipikal musim panas kerana belanjanya sangat mahal dan jadual kami yang sangat sibuk. Jadi misi kami pada malam itu sungguh jelas, sebaik sahaja habis makan malam, kami bergegas turun ke kabin dan membawa semua keperluan seperti kamera, videocam, jajan, air minuman, selimut tebal dan tidak lupa juga buku cerita. Menantikan saat itu tiba hingga ke hujungnya, iaitu tepat jam 12 tengah malam. Ramai tetamu kapal tidak mampu bertahan dan balik ke kabin untuk berehat.

Pasti ada yang bertanya, mengapa tetamu kapal ini tidak berdaya hendak menunggu ke detik jam 12 malam sepertimana kami. Jawapan yang terfikir oleh saya pada waktu itu ialah; mereka mempunyai banyak wang untuk datang semula ke pelayaran ini, mereka mungkin berasal dari Norway, jadi mudah bagi mereka untuk mengulang sejarah. Akhir sekali, hampir 90% daripada tetamu kapal adalah terdiri daripada orang-orang pencen dan veteren. Usia tetamu-tetamu pencen ini tidak semuda dan bertenaga seperti saya dan suami. Kebanyakan mereka melebihi usia 65 tahun dan rata-rata, mereka dalam misi percutian pencen. Lebih tepat, menghabiskan duit pencen yang selama ini mereka kumpul. Jadi, dapatkah dibayangkan betapa kami berdua antara tetamu kapal yang dikenali kerana masih muda. Walaupun tanpa memberitahu sesiapa, ramai antara mereka tersenyum dan bertanya, adakah ini percutian bulan madu kami berdua kerana tanpa selindung, selain daripada krew anak kapal, kami antara yang masih muda belia. Biarpun dikelilingi oleh orang-orang berusia emas, kebanyakan tetamu tua ini mesra dan ramah tamah. Ramai antara mereka datang dari benua Amerika dan mempunyai misi untuk merealisasikan pengalaman unik Hurtigruten. Ternyata melalui raut wajah, mereka kelihatan puas dan sangat gembira.

Tepat detik 12 tengah malam

Kelesuan tetamu-tetamu veteren ini memberi peluang pada saya dan suami, melompat tempat duduk demi tempat duduk hingga mendapat "spot" yang paling anggun! Sofa empuk kami mengadap ke laut lepas dan hanya berselindung di sebalik dinding kaca tebal berlapis, memisahkan angin kutub daripada menyapa tubuh kami yang sudah sedia kesejukkan di dalam dek berhawa dingin. Berbaju tebal, berselimut bulu masih belum mampu menahan kesejukkan yang kami rasai. Tambahan pula dengan keadaan perut yang kekeyangan, lokasi dan posisi ini sangat sesuai untuk saya hanyut dalam mimpi. Tetapi suami masih berjaga dan bertarung dengan mata yang semakin kelat, mampu mengejutkan saya di kala matahari benar-benar berada di situ pada tepat jam 12 malam. Seperti menantikan matahari tenggelam pada waktu senja, dan biasanya bola cahaya akan hilang bagaikan masuk ke dalam lautan. Tetapi kini, pengalaman yang berbeza, matahari membuat u-turn tanpa tenggelam dan terus menyinsing fajar, bagaikan sudah habis waktu subuh. Semuanya terakam indah dalam memori saya, dan juga di dalam videocam sebagai simpanan harta karun kami berdua. Peluang ini cuma datang sekali seumur hidup, dan jika berkesempatan lagi, suami akan bawa saya ke cruise Antartika pula. InsyaAllah...

"Midnight sun" dari daratan paling hujung di dunia, Nord Kapp
Soalan pada pembaca, bagaimana agaknya kami bersolat di sepanjang pelayaran ini?

Friday, 2 November 2012

Bulan madu ke artik (Bhg 2)

Salam pada semua pembaca

Wah, lagi lama saya menangguh cerita bulan madu ini, makin malas pula mahu menulis! Baiklah, seperti yang dijanjikan, apa kata kita mulakan dengan ilustrasi kapal Sr. Richard With. Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, kapal cruise kami mempunyai lima tingkat(jika tidak salah) lantai. Ia bukan hanya dipenuhi oleh ratusan kabin, tetapi di lengkapi juga dengan kemudahan lain seperti restoran, gym, kedai serbaneka, bilik TV, bilik bacaan, bilik mainan anak-anak dan lokasi paling hebat, terletak di tingkat paling atas. Dek tertutup berhawa dingin, berlangitkan lampu-lampu halus berona biru seperti bintang-bintang kecil bergemerlapan di angkasa. Secara peribadi, saya sukakan dek ini kerana di situ kita mampu melemparkan  pandangan seluas lautan yang terbentang di depan mata. Sejauh mata memandang, kata orang tua-tua dan di sinilah kami menyaksikan keajaiban ciptaan tuhan. Matahari di tengah malam.


Matahari ini kelihatan di tengah malam


Selesai melawat kabin kami yang terletak di tingkat paling bawah, kami pun mengambil kesempatan membuat rondaan pada setiap tingkat yang ada di dalam kapal tersebut. Sungguh tidak dapat dinafikan, pengalaman di dalam kapal ini, sedikit sebanyak mengimbas kembali kisah manusia angkuh dalam sejarah terhebat dunia, di mana "tenggelamnya" kapal termasyhur Titanik. Sakit perut di kala terkenangkannya, setiap detik genting yang dilalui oleh hero dan heroin dalam kisah itu hingga ke penghujung. Apabila saya menyuarakan rasa risau dalam hati, suami mengusir rasa tidak senang dengan menjawab, " Ini tahun 2001, sayang. Sebelum terlanggar bongkah ais, kapal ini sudah boleh mengelak." Entah betul, entah tidak...saya iyakan sahaja. Tetapi kegusaran itu masih belum hilang apabila terlihatkan perahu-perahu keselamatan yang tergantung di sisi kapal. Bagaikan tidak cukup jumlahnya. Maklumlah, jika hendak dibandingkan dengan jumlah penumpang yang ada di dalam kapal ini. Bukankah, perkara ini juga yang disuarakan oleh Kate Winslate dalam kisah Titanik. Saya masih bimbang tetapi mengambil keputusan untuk berdiam diri.

Kami diberi informasi ringkas tentang peraturan dan jadual makan di dalam kapal, sepanjang pelayaran kami. Lokasi meja di restoran, tidak membolehkan kami duduk di mana sahaja yang kami suka. Maksudnya, meja kami sudah dipilih dan ditentukan awal-awal lagi oleh pihak admin kapal. Lokasi meja kami berhampiran dengan sebuah tingkap kecil, mengadap ke laut lepas. Bersebelahan dengan pasangan suami-isteri tua di awal usia 70an. Kelihatan ramah, redup mata keduanya dan tinggi susuk tubuh badan mereka berdua. Kami berusaha untuk berkomunikasi, tetapi menemui jalan buntu apabila mereka tidak faham dan fasih berbahasa asing, selain berbahasa Norway. Bagaikan ayam dan itik, kami bertukar kisah tentang latar belakang diri dan bersapa mesra setiap kali duduk di tempat makan yang sama. Apa yang saya ingat, mereka mengatakan ini adalah hajat mereka untuk berada dalam trip kapal Hurtigruten. Mereka sanggup menabung untuk merealisasikan impian itu. Pasangan ini mempunyai tiga orang cahaya mata dan semuanya telah menjalani hidup sendiri. Hingga ke akhir perjalanan, mereka berdualah yang menjadi pasangan meja kami.


Seakan bilik kami cuma tingkapnya berbeza.


Dek paling atas, mengadap laut lepas.


Sarapan pagi di atas kapal Hurtigruten adalah saat yang paling kami nantikan. Kami makan sepuasnya. Kebiasaannya, menu makan tengah hari tidak sesedap dan tidak banyak pilihan sepertimana menu sarapan. Menu sarapan pagi datang dari pelbagai negara, seperti Amerika, Britain dan Asia. Jangan terkejut, kami dapat melayan perut dengan nasi goreng ala Indonesia, sandwich ala Malaysia dan alhamdullilah, ada pilihan untuk tetamu vegetarian. Sememangnya, Norway adalah sebuah negara perikanan, jadi kami menjamu selera sepuasnya dengan makanan laut yang disediakan. Pernah sekali, saya tidak berselera untuk menjamah makanan tengah hari yang disediakan. Chef keluar dari dapur dan datang menghampiri meja, bertanya sama ada dia boleh menyediakan menu yang saya inginkan. Termalu dengan kelakuan sendiri, tetapi dalam masa yang sama, saya rasa tersentuh. Chef  kembali ke meja saya dengan menu baharu, lain daripada penumpang lain.

Lebih kurang, gambaran restoran di dalam kapal
Pandangan sisi dari kapal.
Kapal Hurtigruten sedang berlayar di perairan Norway.



Monday, 22 October 2012

Bulan Madu ke Artik (Bhg 1)

Salam semua pembaca budiman

Sebenarnya, saya sedang rindu. Rindu mahu menikmati panorama luar negara, mengintai angin musim gugur yang menghampiri musim salju. Rindu mahu menyarong baju sejuk tebal, bertermal di dalamnya, bersarung kaki dan berkasut kalis air. Rindu akan sapaan angin sejuk menggigil hingga ke tulang hitam, rindu akan bau keju cair bersama risoto atau pasta panas. Memang rindu!


Ketika rindu sedang menggamit, saya teringatkan perjalanan bulan madu bersama suami tersayang ke benua lain, satu ketika dahulu. Hampir 13 tahun berlalu, kenangan itu masih terpahat di ingatan. Belum pernah saya mencoretnya di mana-mana. Jadi di kesempatan ini, saya mahu berkongsi pengalaman bulan madu kami di Norway, menyeberangi garisan artik, kutub utara, sepelaung dari Rusia.

Tidak pernah terfikir, bulan madu kami lain daripada yang lain. Suami memilih destinasi yang tidak mungkin tercapai oleh mimpi. Kami menyusuri bersama kapal cruise Hurtigruten jauh ke kutub utara, bersaksikan matahari di tengah malam hingga melewati kawasan darat paling hujung di peta dunia, Nordkapp.
Nordkapp
Perjalanan ini bermula setibanya kami di lapangan terbang Arlanda, Stockholm, Sweden. Sedikit kesulitan berlaku bilamana tiket penerbangan kami tersalah jadual dan tanpa banyak bicara kami membeli tiket baharu. Berusaha untuk tidak terganggu oleh rasa marah dan ternyata ia satu isu di luar kawalan. Pada hari yang sama, kami mengambil penerbangan domestik ke Bergen, Norway. Destinasi perairan laut bagi meneruskan misi kecil kami menaiki kapal cruise. Teringat kata-kata suami pada waktu itu, kami mungkin kerugian beberapa ratus kroner, tetapi kami tidak sanggup ditinggalkan oleh kapal cruise yang sudah lama ditempah. Kami tiba di Bergen pada petang itu dan bermalam di hotel berhampiran bandar . Keesokkan harinya, kami menikmati panorama Bergen dan mengeksplorasi kawasan sekitar. Bergen adalah sebuah bandar pelabuhan yang terjaga rapi, beruarakan industri perikanan, bercirikan legenda troll dan tinggi taraf hidupnya. Hampir ke jam 5 petang, kami tiba di pelabuhan Bergen bersama penumpang lain, bakal menaiki kapal yang sama. 


Lagenda Troll, Norway
Kapal kami diberi nama Sr. Richard With. Jumlah kabin yang melebihi tiga ratus unit, bersusun rapi, bersebelahan dan bertentangan antara satu sama lain, memenuhi keseluruhan lima tingkat lantai kapal. Kabin kami terletak di lantai paling bawah, suami kata yang paling murah. Bertemankan sebuah tingkap kecil berbentuk bulat, kami berada sedikit atas dari paras permukaan air laut. Hati sedikit terkilan kerana kabin ini terletak jauh ke bawah. Menyempit nikmat permandangan dari mata burung. Tetapi ia cuma seketika, setelah kami sedari banyak masa dihabiskan dengan berada di atas dan tidak di dalam kabin, kami rasa lega! Kabin hanya bersaiz kecil tetapi cukup dengan kemudahan seperti bilik air, dua tempat tidur, kerusi dan meja. Cukuplah untuk kami tidur dan bersolat di sepanjang perjalanan ini.


Perairan Bergen, Norway
Sr Richard With adalah salah satu kapal yang terdapat dalam senarai kapal misi perlancongan Hurtigruten, Norway. Kapal-kapal ini berbeza dari segi saiz, kemudahan dan waktu ia berlayar. Jadi kita perlu tahu kapal manakah yang paling sesuai untuk ditempah kerana kemudahan yang ditawarkan mungkin berbeza mengikut saiz dan waktunya. Selain mempunyai nama dan kemudahan berbeza, aktiviti excursion yang ditawarkan juga berbeza. Kapal kami menyusuri setiap pelabuhan yang terletak di sepanjang perairan Norway selama 7 hari dan 6 malam. Bermula dari bandar pelabuhan Bergen, Alesund, Trondheim, Bodo, Tromso, Nordkapp dan Kirkeness. Tetamu kapal boleh menempah excursion di sepanjang laluan antara pelabuhan. Antara yang saya masih ingat, kami menempah dua daripadanya iaitu lawatan pendek ke Grand Fjord dan Nordkapp.




Kapal cruise, Hurtigruten



Bersambung....

Saturday, 20 October 2012

Kreativiti

Salam

Kreativiti sudah menjadi topik basahan pada semua orang, baik ibu bapa, guru, majikan mahupun anak-anak sekolah. Setiapkali kita ingin membezakan kelebihan diri, pasti topik kreativiti akan meniti tebing-tebing bibir tanpa lekang. Semua kita tahu kreativiti mampu memberikan impak berbeza, membawa aura unik, menambah warna dan kepelbagaian dalam sesuatu. Kita semua mendambakan perkara yang sama, tetapi tidak semua tahu bagaimana dan apa prasyarat untuk mendapatkannya. Apakata, kita sama-sama membuat eksplorasi tentang tajuk ini.

Mungkin tidak ramai orang sedar, syarat pertama untuk mencetuskan daya kreativiti adalah melalui fasa kebosanan. Tidak pernah terfikir oleh kita bahawa dengan menjadi bosan, kita mampu mencungkil bakat semula jadi yang ada di dalam diri dan direalisasikan sebagai pencetus kreativiti. Pernahkah kita berasa bosan? Apakah yang kita lakukan apabila fasa kebosanan itu menghimpit diri? Cuba ingat kembali, pengalaman kita sewaktu kecil apabila sedang bosan, apakah yang kita selalu lakukan? Kotak telur mampu menjadi kapal selam, tin susu boleh bertukar menjadi telefon tali, kain pelekat ayah dalam sekelip mata bertukar menjadi selempang pendekar ataupun penutup kepala seperti ninja. Itulah daya kreativiti seorang kanak-kanak yang sedang bosan. Seretkan pengalaman itu ke dalam dunia yang sedang kita nikmati sekarang, masih adakah peluang untuk berasa bosan seperti itu?

Tidak seperti zaman kita dahulu, anak-anak sekarang tidak sempat untuk berasa bosan. Aktiviti mereka di sekolah dan luar sekolah sudah melebihi daripada yang sepatutnya. Mereka dihimpit dengan pelbagai kelas dan aktiviti. Sedari pagi hingga petang, setiap hari persekolahan hingga kepada hari mingguan, tanpa henti tanpa rehat yang panjang. Bagaimana dan bilakah agaknya, fasa kebosnan itu akan bertandang? Sekiranya, kita sedar fasa kebosanan itu adalah prasyarat pada pencetus kekreatifan, kita bertanggungjawab mewujudkan masa itu dalam kehidupan harian anak-anak.

Sepertimana ibu dan bapa lain, saya juga "takut" apabila anak-anak berasa bosan. Seringkali saya menawarkan pelbagai aktiviti hanya untuk memenuhi masa yang terluang tanpa menyedari perbuatan saya itu membunuh daya kreativiti dalam diri anak. Agak teruja untuk mencuba pendekatan baru ini, saya membiarkan mereka tergolek kebosanan tanpa sebarang cadangan dan arahan sepertimana sebelumnya. Hasilnya, anak perempuan saya sudah menampakkan kecenderungannya dalam menulis dan melukis. Anak lelaki saya dengan tabiatnya, lebih kerap berkongsi kisah-kisah sejarah yang sudah dihadamnya dengan lebih terperinci dan kritis. Perjalanan mereka masih jauh, dan ia masih belum menjanjikan apa-apa buat masa sekarang tetapi saya sudah jumpa solusi dalam membantu mereka mencungkil daya kreativiti diri.

Persoalannya sekarang, apakah kita mampu menyediakan persekitaran yang menyumbang pada kebosanan anak-anak? Dalam dunia serba maju dan laju seperti hari ini, adakah kita boleh melihat anak-anak bosan tanpa gadget seperti rakan-rakan mereka yang lain? Persoalan ini banyak bergantung kepada kita sebagai ibu dan ayah, dan ia tidak semudah yang disangkakan.

Sunday, 14 October 2012

Rahmat Tuhan

Tidaklah seteruk ini...hihihi
Salam

Ada rasa macam aura ustazah pula apabila saya memilih tajuk ini. Isinya ringkas, saya cuma mahu ucapkan syukur tidak terhingga pada Allah swt kerana musibah, rumah kami dimasuki air tempohari disebabkan saluran air dari balkoni tersumbat dek plastik sampah. Kesannya, air bertakung menerobos masuk ke dalam bilik anak bujang yang bersebelahan dengan balkoni, meruah keluar hingga mengintai bilik anak dara yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur utama. Walla, bagaikan kisah tragedi Titanic, air melimpah laju menuruni anak tangga satu per satu, ada yang menitis pantas menerusi lubang-lubang lampu. Wow, dapatkah dibayangkan bagaimana panik kami anak-beranak(abahnya tidak ada di dalam scene).

Tanpa sekilas fikir, saya meredah air menaiki anak tangga, bagaikan Kate Winslet yang bertarung dalam kisah kapal Titanic. Saya meluru masuk ke dalam bilik sambil tercari-cari punca air yang menyebabkan malapetaka ini. Sebelum itu, semasa menaiki anak tangga sempat juga saya menjeling pada pintu loteng di atas siling, ternyata tiada apa-apa pun tanda air keluar dari atap rumah. Binggo, air meluru masuk dengan sangat laju dari arah pintu balkoni. Sepantas kilat saya menguak pintu, terlihat selipar dan baldi baju sudah berenang-renang di ruang balkoni dalam air setinggi paras buku lali. Hujan masih bermaharajalela di luar, dengan ribut dan petir saling kait mengait, saya kuatkan hati melangkah keluar dan membersihkan takungan air yang tersumbat. Badan sudah basah kuyup dibasahi hujan bertempias ribut, sampah plastik yang tersekat sudah pun dibersihkan. Akhirnya, saya berlari masuk ke dalam bilik. Terdengar suara anak-anak panik kebisingan dari arah bawah tetapi masih ada gelak-tawa di hujungnya, agaknya seronok kerana situasi ini tidak selalu berlaku!

Dengan bantuan anak-anak, saya mampu membendung air daripada terus melimpah masuk. Anak perempuan, sibuk mengelap air di atas lantai laminate bawah, manakala saya dan anak lelaki pula sibuk menolak air masuk ke dalam tandas. Pelbagai kain lap dikeluarkan oleh kami, tuala mandi yang sedang berehat di tebing tangga semuanya menjadi mangsa kain lap untuk mengeringkan pakir dan lantai laminate di tingkat bawah. Hujan lebat masih menggila di luar, masih berlarutan lebih sejam lamanya, tetapi alhamdullilah air takungan di balkoni mulai mereda apabila saluran itu telah berfungsi seperti sediakala. Amin, amin...amin.

Lebih kurang sejam kami bertungkus-lumus menyapu, menolak dan mengelap air. Akhirnya, saya mengambil kesempatan berharga ini dengan menawarkan anak-anak supaya membersihkan tandas mereka sendiri. Alang-alang sudah basah dan kuyup seluruh badan, apa salahnya diberikan air sabun dan ajak mereka menyental tandas pula. Tenaga anak-anak tidak boleh dipandang ringan, mereka sungguh rajin memberus dan membasuh tandas tanpa sebarang komplen. Lega hati, kurang satu kerja pembersihan yang perlu dilakukan...hehehe.

Selesai mengelap, abahnya tiba di rumah dan mengalihkan perabot-perabot supaya air yang bersembunyi di belakangnya boleh di keringkan. Pakir di atas masih dalam keadaan baik, tetapi lantai laminate di tingkat bawah mula menunjukkan tanda-tanda mahu mengelembung. Walaupun otak sedih dan badan letih, tetapi hati cepat-cepat mengucap syukur kerana ia berlaku ketika kami berada di rumah dan saya mempunyai dua orang pembantu cilik yang sangat rajin. Komentar anak sulung ini, membuat kami anak-beranak ketawa ringan, "Wow, bersih bilik ini ...langsung tiada kesan habuk seperti sebelumnya!. Itulah yang selalu ustaz kata, apabila kita didatangi musibah pasti ada rahmat disebaliknya!."

Dalam hati saya berbangga apabila anak boleh melihat kebaikan daripada sesuatu kejadian musibah. Jangan terus rasa terhukum dan rasa seperti tidak disayangi oleh Allah. Tetap ada pengajaran disebalik musibah yang berlaku dan belajar daripadanya. Pengajarannya pada kami, sentiasalah membersihkan saluran air dan sentiasa berbuat baik semasa kita. Saya selalu percaya, musibah yang mendatang akan diringankan bebannya oleh amalan-amalan kebaikan kita selama ini. Jangan "give-up" untuk berbuat baik, bersedekah dan menambah amalan sunat kerana ia mampu, secara langsung atau tidak membantu kita. Dalam kes saya ini, saya berada di rumah ketika ia berlaku, sedangkan dalam rutin harian saya, waktu ini adalah waktu saya menghantar anak-anak ke sekolah dan saya mungkin melayan diri ke tempat lain. Tetapi semua rutin itu berubah hanya kerana musibah ini. Amin....

Wednesday, 3 October 2012

Introvert vs Extrovert vs Hipokrit

Salam

Tergerak hati mahu menulis tentang isu ini. Mana-mana artikel yang saya baca tentang personaliti, kebanyakan ditulis oleh penulis dan para pengkaji barat, terutamanya dari Amerika dan Britain. Negara mereka berbudayakan extrovert. Kebanyakan daripada mereka mudah berkawan, mudah berinteraksi dan mudah bertukar informasi. Mereka yang bijak bercakap seperti peguam dan motivator mudah dipandang tinggi dalam kelompok masyarakat di sana. Sebut sahaja nama-nama besar seperti presiden US, kebanyakannya berlatarbelakangkan undang-undang. Sebut sahaja nama Tony Blair, antara Perdana Menteri Britain yang sangat masyhur satu ketika dahulu, juga mempunyai latar belakang undang-undang. Kerjaya yang mahal bayarannya juga adalah peguam dan yang seangkatan dengannya. Pendek kata, apa sahaja yang melibatkan karektor atau personaliti extrovert, mereka dipandang dan disanjung tinggi. Itu antara sebabnya juga, jika kita melawat Taman Tema Disneyland yang terletak di US, auranya tidak akan sama dengan mana-mana taman Disney lain di dunia. Sama ada di Perancis, Hong Kong ataupun Jepun. Bukan kerana orang yang menggayakan kostum itu berlainan bangsa, tetapi personaliti yang dibawa adalah berbeza berbanding tempat asalnya iaitu Amerika. Ini pengakuan daripada mereka yang pernah sampai ke semua destinasi Disneyland di seluruh dunia!

Terlalu banyak artikel yang menawarkan kata-kata nasihat atau panduan kepada mereka yang berpersonaliti introvert tetapi menetap di negara yang berbudayakan extrovert. Bukan sedikit artikel yang memberi kata-kata perangsang dan berusaha mencungkil bakat-bakat introvert untuk diketengahkan supaya mereka diberi peluang dan pengiktirafan yang sama sepertimana rakan-rakan extrovert. Malah ada buku khas dan dituju khusus buat kelompok ini, antaranya buku QUITE oleh Susan Cain, The Power of Introvert. Buku ini menyingkap segala yang tersurat dan tersirat, lapis demi lapis, helai demi helai urat saraf yang ada di dalam badan mereka yang bergelar introvert hingga adakalanya, pengakuan yang dibuat agak keterlaluan dan tersasar daripada realiti yang ada di depan mata. Paling tidak, ada juga buku yang diterbitkan khusus untuk kelompok ini demi mencari ruang selesa dan mengakui kelebihan diri. Paling tidak!

Sambil menelaah, mengiya dan menidakkan penulisan ini yang tentunya daripada seorang introvert, saya terfikir, saya yang berpersonaliti extrovert juga mempunyai kesulitan nyata apabila berhadapan dengan budaya bercanggah sebegini. Apakah budaya orang Malaysia secara umum? Introvert atau extrovert?

Orang kita umumnya, mesra dan  berbudi bahasa, cuma di zaman era iphone ini, kita mudah mesra dengan orang berduit dan bernama, dan orang asing berbanding jiran sesama kaum. Hendak pukul rata bahawa sifat extrovert itu sinonim dengan sifat mesra, rasanya tidak berapa tepat. Hendak kata kita di sini kebanyakkannya introvert, suka menyindiri dan bersifat individu juga tidak berapa tepat kerana orang kita sangat suka bermajlis, 3 hari 3 malam jika membuat kenduri, keraian kenduri di mana-mana, dan semua itu mengundang ramai orang. Sifat itu secara semula jadi bertentangan dengan individu berpesonaliti introvert. Apa pun yang paling jelas,  budaya kita sememangnya mendidik generasi demi generasi dalam kecenderungan introvert walaupun tidak secara langsung. Walaupun, semua pihak mencanangkan kelebihan bersuara, mempertahankan hak, membuat pilihan, mempromosi keindividuan tetapi praktikalnya, ia bertentangan dengan apa yang sering dilaungkan. Contoh paling dekat, kita mahu melihat mahasiswa berkemampuan bersuara tetapi dalam masa yang sama, kita sekat dan menghukum jika mereka mempersoalkan input pensyarah. Semua bersetuju bahawa dalam budaya kita, guru adalah orang yang perlu dihormati. Orang yang mempersoalkan ajaran guru bukan orang yang baik, orang yang baik adalah orang yang diam dan menurut. Ada pendapat yang lebih bijak, orang yang baik adalah orang yang mengaku patuh di hadapan guru dan membuat perkara lain di belakangnya. Itu mungkin agaknya, asal-usul timbul simpulan bahasa "alim kucing". Benar dan pahit, itulah budaya yang menyerap masuk dan berakar umbi dalam masyarakat kita. Jangan berkata benar, selagi ia boleh menyedapkan telinga yang menerima. Kita diajar supaya patuh tanpa bicara, dan jika ada bicara sekalipun, harus disimpan rapat dalam kelambu. Alasannya, bagi mengelak kontroversi. Oh ya, mengenali watak-watak individu yang berkecenderungan introvert, mereka sering mengelak kontroversi. Bolehkah saya katakan, kebanyakan masyarakat kita ditunjangi oleh mereka yang bersifat introvert?

Budaya kita bersenang hati dan memberi lebih kredit pada mereka yang tidak banyak bicara, kurang bercakap dan patuh sepertimana pahlawan lagenda kita, Hang Tuah. Budaya kita sering berpendapat, mereka yang kurang bicara selalu kelihatan lebih matang dan bijak, berhati-hati dan cermat dalam segala tindakan. Mereka mendapat pengiktirafan kerana kurang menimbulkan kontroversi dan tidak pandai bertikam lidah, Sememangnya, pengiktirafan ini diberikan kepada sifat semula jadi seorang yang bercirikan introvert. Jadi, sebagaimana orang barat terutamanya di Amerika mengiktiraf mereka yang bijak berbicara dan menganggap mereka sebagai berkualiti, begitu jugalah masyarakat kita mengiktiraf golongan introvert ini sebagai manusia berkualiti hanya kerana mereka suka berdiam diri. Menarik bukan!

Sekarang cuba bayangkan, diri kita yang terpaksa tinggal dalam budaya yang bercanggahan dengan kualiti diri yang dimiliki. Bagaimana rasanya, apabila kita melahirkan ketidakpuasan hati atas sesuatu isu, sering dilihat sebagai pencetus kontroversi? Bagaimana isteri yang mempersoalkan tindakan bodoh suami, dihukum sebagai isteri derhaka hanya kerana dia menuntut haknya sebagai isteri? Bagaimana pula para pelajar yang mengingkari suruhan guru yang menghukum tanpa usul periksa, sebagai anak murid yang biadap? Bagaimana pula seorang anak yang membantah jodoh pilihan orang tuanya, dikatakan anak derhaka? Tidak mudah bukan?

Hanya kerana introvert terpaksa hidup dalam masyarakat extrovert, mereka harus walaupun berat, terpaksa juga mempelajari kualiti extrovert. Begitu juga dengan extrovert yang berada di kalangan introvert, walaupun ada perkara yang harus disuarakan tetapi lebih baik berdiam diri sebab itulah amalan orang-orang keliling. Elak kontroversi selagi boleh, asalkan orang luar tidak tahu bicara kita dalam hati, asalkan kita sentiasa kelihatan tenang dan bijak.

Hahaha...dalam dua-dua keadaan, kita tetap hipokrit!!



Monday, 24 September 2012

Budaya berFB

Salam buat rakan-rakan blog


Rasanya, saya mula berFB tiga tahun lepas. Bermula secara terpaksa kerana ingin mengikuti perjalanan teman-teman berfoto, akhirnya saya menjadi sebahagian daripada pasukan yang mempunyai kecenderungan yang sama. Tidak pernah pula saya menjejaki kawan-kawan lama, sama ada dari sekolah rendah, sekolah menengah, teman matrix, teman sekuliah, teman seobersee mahupun mempelawa atau meminta dijadikan teman FB saudara-mara. Entah mengapa, itu bukan matlamat utama saya berFB. Tiada jejak kasih, tiada kelompok bergosip saudara-mara. Ia hanya satu persinggahan untuk saya membaca status rakan-rakan yang berotak positif dan saya tidak ada secalit kecenderungan peribadi untuk tahu lebih daripada itu. Secara kasar, FB saya bukanlah tempat untuk mengadu domba, bukan tempat menayang gambar bercuti dengan tagline "kau ada?", bukan tempat snap gambar-gambar belian di jualan murah Megamall. Bosan sungguh suasana saya berFB, Huh!!

Saya dengan rasa bertanggungjawab, menghindari diri daripada masuk dalam budaya FB. Apakah budaya berFB? Saya tidak perlu senaraikan dengan terperinci kerana saya pasti rakan-rakan di sini sudah pun memahaminya. Bagaimanapun, antara sedar atau tidak budaya lain yang menyerap masuk  dalam FB dapat dilihat sekiranya kita berkawan dengan mereka yang bertokoh, bernama, popular, nak-nak lagi sekiranya dia  seorang pendakwah, motivator hebat ataupun mungkin seorang bekas pidato sekolah. Tidak habis-habis memberi nasihat itu ini, tidak habis-habis beri tips hidup bahagia, hati bersih, kepala positif. Itu masih tidak mengapa kerana saya mendapat faedah apabila membacanya, tetapi yang saya amat terganggu apabila mereka yang bertokoh ini dilingkungi oleh mereka yang berkepala "yes mam, yes bos". Tanpa sekilas fikir, tanpa sebarang soalan, tanpa sejenak menyaring informasi, semuanya bagaikan lembu yang mengampu.."yes mam, yes bos". Terfikir oleh saya, dhaif sungguh cara pemikiran rakyat marhein sekiranya informasi yang sangat cetek sifatnya, boleh ditelan, dikunyah dan dihadam tanpa secalit persoalan. Tidakkah terdetik di hati, dari manakah informasi ini diceduk, apakah buktinya hingga dia mendakwa sedemikian rupa, apa kajian atau statistik yang diguna bagi membolehkan dia membuat generalisasi membabi buta, Dan, paling mengejutkan ramai antara pengikut-pengikutnya membawa sepanduk "yes mam, yes bos", walaupun ia ketara mencurigakan.

Saya tidak menyalahkan mereka yang berstatus demikian, mereka mungkin berilmu, mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, tetapi jika status itu berkecenderungan menghukum, membuat generalisasi, prejudis pada perkara-perkara yag dia sendiri kurang mahir(ingat doktor, jurutera, IR, DR pun manusia, dia tidak tahu semua kejadian di langit dan di bumi) dan kita yang menjadi pembaca status sebegini, gunalah akal fikiran yang ada dan jangan "yes mam, yes bos" tanpa saringan. Kita bukan membincangkan isu-isu nuklear atom, yang bilamana salah kiraan akan menyebabkan negara kita musnah menjadi Hiroshima dan Nagasaki. Kita boleh tanpa rasa terhukum dan bersalah, bertanya untuk kepastian dan tidak bersetuju sekiranya status mereka yang bertokoh ini tidak masuk akal. Pastinya, nama kita akan dihighlight sebagai pemberontak, berhaluan kiri tetapi paling tidak sekiranya beliau masih berstatus sedemikian rupa, dia tahu ada mata yang memerhati.

Bukan sekali-dua saya perhatikan senario ini berlaku, apabila ada sahaja pengikut setia, segala status yang dikongsi walaupun terang-terangan bersifat prejudis, menghukum, membuat generalisasi, masih berbukit LIKE yang diterima, ada yang memuji, ada yang mengampu, ada yang seperti kelihatan tidak pernah membaca buku, aduhai....kasihan sungguh, lebih kasihan apabila di depan nama mereka ada singkata DR, IR...R,R dan R. Saya menyeru pada rakan-rakan sekalian, apa pun status yang dipos oleh mereka yang bertokoh dan bernama, atas apa niat mereka sekalipun, gunalah akal kebijaksanaan kita. Selebihnya terpulang kepada kita, sama ada ingin menegur atau paling tidak jangan tekan LIKE...itu sahaja!


Wassalam.

Wednesday, 1 August 2012

Nota buat suami isteri

Salam buat semua yang bergelar suami atau isteri


Hanya hiasan


Terpanggil untuk menulis nota buat suami isteri di luar sana, baik pasangan yang sudah lama ataupun masih baru  melayari alam rumahtangga. Saya bukan seorang yang bertauliah dalam memberi nasihat perihal alam rumah tangga atau perkahwinan, sebagaimana kaunselor-kaunselor berbayar di luar sana. Tetapi, melalui pemerhatian dan pengalaman sendiri selama lebih sepuluh tahun berkahwin, saya mungkin boleh berkongsi cerita dengan adik-adik yang baru mendirikan rumahtangga. Pendekatan saya berkongsi mungkin sedikit berbeza berbanding isi kandungan buku-buku perkahwinan yang terdapat di kedai buku MPH dan Popular, Saya tidak mahu menyentuh sedikit pun tentang tugas hakiki seorang wanita iaitu melayan lelaki aka suami. Saya hanya mahu cuba memahamkan para suami yang serba canggih, tetapi masih mendambakan seorang isteri seakan-akan zaman Tun Teja dan Tun Perak. Sudikah para suami canggih dan berFB, ber-iphone menukar filosofi perkahwinan selama ini kepada filosofi yang memberi keuntungan pada kedua-dua belah pihak?


Teringat kata-kata seorang kawan, apabila orang lelaki berkahwin, ia boleh mengurangkan bebannya melakukan kerja-kerja rumah. Manakan tidak, sebaik sahaja seorang lelaki berkahwin, dia tidak lagi memasak, membasuh, menyidai baju mahupun melipat. Semua kerja-kerja itu secara tidak langsung, tanpa perjanjian bersyarat akan terbeban di atas bahu seorang isteri. Isteri pula tanda sebarang persetujuan bersyarat melakukan kerja-kerja itu sebagai tanda kasih sayangnya pada si suami. Suami masih pergi kerja sepertimana sebelum berkahwin, tetapi dengan bahu lebih ringan kerana tidak perlu bergegas balik ke rumah untuk mencuci, melipat dan pelbagai me, me dan me....Manakala isteri, masih bekerja sepertimana sebelum berkahwin tetapi bangun tidurnya lebih awal, pulangnya lebih memenatkan dan rehatnya hanya berselang selikan anak dan suami yang nyenyak tidur. Saya tidak merungut, tetapi itulah paten semula jadi seseorang bergelar wanita apabila memasuki alam perkahwinan. Benar kata-kata kawan saya sebelum ini, secara tidak langsung lelaki terkurang beban apabila berkahwin, sebaliknya perempuan, terbeban berlipat kali ganda.


Melalui congakan mudah matematik, kita dapat lihat dengan jelas bagaimana institusi perkahwinan mengiktiraf kedudukan lelaki sebagai raja dalam sebuah keluarga dan sebagai pulangan, raja dalam sebuah negara kecil akan melindungi serta menyediakan kesemua keperluan rakyat-rakyatnya. Dalam konteks berkeluarga, sudah tentu seorang suami harus menyediakan keperluan ahli keluarganya dan melindungi mereka daripada segala keburukan. Jika dalam keadaan ekonomi sekarang, andainya seorang raja tidak mampu menampung keperluan keluarganya, dan tanpa berselindung memerlukan bantuan permaisuri bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga, adalah tidak keterlaluan jika permintaan itu diseimbangkan dengan keperluan bagi meringankan beban yang sudah sedia banyak terpikul di atas bahu permaisuri. Pada mata kasar saya, ia kelihatan seimbang dan berunsurkan tolak ansur antara suami isteri. Tidak sepatutnya wujud diskriminasi dalam melakukan kerja-kerja rumah, menjaga anak-anak melainkan pasangan sebulat suara menyerahkan tugas-tugas itu kepada pembantu rumah. Andainya tidak, suami berakal akan meringankan tulang temulang mereka dalam membantu isteri terchenta.


Kepada isteri-isteri muda ataupun tua, jangan terlalu suka membebankan diri dengan kerja-kerja wonderpet di rumah. Walaupun kita tidak mempunyai pembantu, ambil inisiatif bagi meringankan beban kerja-kerja rumah kepada semua ahli keluarga. Kita sebagai ibu boleh mengamalkan ilmu-ilmu pengurusan yang dipelajari dalam subjek perdagangan tingkatan satu, iaitu ilmu pengkhususan. Khususkan si suami membuang sampah sebelum masuk tidur supaya dapur kita bersih dan tidak mendapat kunjugan cik Ti dan cik Pas pada awal pagi. Anak sulung boleh diatur supaya mengangkat baju di ampai, setibanya mereka dari sekolah dan anak perempuan boleh membantu si ibu melipat baju bersama-sama sambil menonton drama bersiri. Seminggu sekali, kebiasaannya hari minggu...hadiahkan sebiji bakul, mop dan kain lap kepada suami bagi membantu mengilatkan lantai dan perabot. Adil bukan?


Masalah berbangkit pada para isteri aka ibu apabila dengan rela hati melakukan kerja-kerja rumah tanpa meminta bantuan, sedari awal usia perkahwinan. Anak bertambah, usia makin beranjak tua tetapi kerja rumah tidak pernah tidak surut malah berganda-ganda banyaknya, dan suami serta anak-anak bagaikan tidak "perasan" akan kerja keras si ibu aka isteri selama ini. Salah siapa? Saya tidak berminat mencari salah sesiapa, tetapi malangnya ia banyak berpunca daripada sikap kita sendiri sebagai suri aka ibu. Pada awalnya, kita rela hati mengulikan diri sendiri atas alasan sayangkan suami, maklumlah baru kahwin. Apabila mempunyai anak, usia perkahwinan semakin bertambah, si suami sudah syok dengan carefree style di rumah. Apa tidaknya, sejak berkahwin semua isteri yang buatkan hatta hendak minum segelas air kosong pun sanggup menunggu isteri hulurkan padanya. Adakah si suami akan berubah sekelip mata selepas mendapat cahaya mata demi cahaya mata? Jawapan pendeknya adalah tidak!


Pendekatan saya mungkin tidak sesuai bagi wanita melayu terakhir di luar sana, tetapi percayalah, saya tidak mempunyai masalah dibebani kerja-kerja rumah yang tidak berkesudahan. Anak dan suami tahu dan sedia maklum akan tugas-tugas mereka di rumah, apatah lagi saya tidak pernah mempunyai pembantu selama mendirikan rumah tangga. Saya tidak mengaku saya bijak mengurus, tetapi percayalah, anak-anak yang dididik oleh ibu dan ayah yang juga berperanan sebagai contoh hidup di depan mata mereka dapat memastikan anak-anak kita menjadi seorang yang ringan tulang akan hal-hal kerja rumah. Anak lelaki saya masih belum pandai menanak nasi atau menggoreng telur mata kerbau, tetapi dia boleh mengemas bilik tidurnya sendiri, mengangkat baju, menyidai baju mahupun melipat baju. Cukuplah setakat membantu saya meringankan lelah seharian. Filosofi saya mudah sahaja, saya bukan pembantu rumah tetapi pengurus rumah tangga. Jadi sebagai pengurus, saya menggunakan segala peluang dan sumber yang ada bagi meringankan kerja-kerja seharian dan ia termasuklah mempergunakan kuderat ahli-ahli lain. Saya tidak tahu sama ada cara saya berkesan bagi pasangan lain, tetapi kebanyakan daripada orang keliling yang mengenali, kerap kali meminta tip daripada saya. Semudah ABC, jangan manjakan mereka(suami dan anak) dari awal, atas alasan apa sekalipun. Sekiranya tidak, bersedialah kita untuk menandatangani kontrak seumur hidup sebagai pembantu rumah aka isteri aka ibu aka pemandu aka jururawat aka guru aka lain-lain tugas.


Selamat berkhidmat.


Wassalam.

Friday, 27 July 2012

Dua kisah berbeza...

Salam al-mubarak pada semua pembaca


Selama menjadi umi, saya tidak pernah berhadapan dengan situasi di mana anak balik ke rumah dan kelihatan tertekan disebabkan oleh tekanan orang keliling ke atas dirinya. Anak sulung saya seorang introvert(reserved type personality) jarang-jarang terkesan oleh pengaruh rakan sebaya, khususnya daripada kawan-kawan sekolah. Selama empat tahun  bersekolah, jarang sekali dia balik bercerita tentang kelebihan kawan-kawan lain; apa yang mereka miliki dan apa yang tidak. Sekiranya, satu kelas sekalipun mempunyai PSP limited edition, ia tetap tidak mengganggu dirinya yang hanya bertemankan PSP lapuk, ntah edisi yang ke berapa. Itu anak lelaki saya!


Berbeza dengan anak perempuan nan satu ini, satu kerana dia "perempuan", kedua kerana personalitinya lebih kepada extrovert(easy-going type), ketiga mungkin kerana dia sekelas agama dengan sepupu yang setahun lebih tua daripada drinya. Isu sering timbul apabila sepupu itu selalu membandingkan dirinya yang seakan-akan lebih "superior" berbanding anak ini. Terbaru, di bulan puasa ini, sepupu perempuan itu sering mencari ruang untuk mengenakan anak ini yang masih tidak berpuasa penuh, dengan kata-kata seperti anak ini tidak kuat, manja dan "sememeh". Ternyata, kata-kata itu memberi impak yang negatif pada dirinya. Semenjak bulan puasa ini, dia kelihatan tertekan apabila perlu ke sekolah agama kerana terpaksa berhadapan dengan sepupunya itu. Ada sahaja alasan untuk memonteng, itulah antara sebab sebenar dia tidak dibenarkan berpuasa.


Ok, saya ada alasan tertentu untuk tidak membenarkan dia berpuasa. Siapa lagi yang lebih mengenali anak sendiri jika bukan ibu dan bapanya?


Berbalik pada kisah anak sulung yang introvert; dia sentiasa tenang. Jarang ada sesuatu isu yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan hatinya. Satu sudut ia kelihatan sangat bagus, tetapi jika diubah sedikit sudut itu, perspektif itu akan turut bertukar. Maksudnya, jika dia hanya dapat skor 80(asalkan A) dalam subjek matematik, dia tenang tanpa terganggu oleh rakan-rakan lain yang mempunyai skor 90. Pendek kata, dia tidak cemburu dengan pencapaian orang lain yang jauh lebih baik daripada dirinya. Kesannya, dia tetap selesa dalam zon keselamatan A yang sudah dicapai. Sebagai ibu saya sering bertanya, bagaimana agaknya untuk saya menambah sedikit vitamin cemburu supaya apabila dia melihat kejayaan orang lain, dia dapat melipatgandakan usahanya untuk mencapai yang terbaik.


Bersambung kisah anak perempuan yang extrovert ini; dia sering berusaha dan komited. Seringkali, ada sahaja isu yang membuatkan hatinya menjadi kacau dan dia lebih komited dalam usaha mencapai sesuatu. Maksudnya, jika sepupu itu boleh mendapat skor A dalam subjek sirah di sekolah agama, dia mesti mendapat sekurang-kurangnya B, katanya..."taknak tengok C dalam laporan kemajuan", walaupun pada logiknya dia hanya berusia 7 tahun dan sekelas dengan rakan-rakan berusia 8 tahun di dalam kelas agama yang sama. Tambahan lagi, dia tidak mempunyai apa-apa persediaan sebelum terjun masuk ke kelas agama tahun dua. Saya gembira dia mendapat tempat ke-11 di dalam kelas, tetapi dia masih cemburu akan pencapaian sepupunya yang berada di tempat pertama. Kesannya, dia masih tidak berpuas hati dan meminta saya berterusan membantunya supaya dia boleh memperbaiki kedudukan yang sedia ada.Saya tidak nafikan, ia suatu sifat yang bagus kerana dia sering berusaha dan tidak mudah selesa dengan apa yang ada. Tetapi, sebagai ibu, saya juga bimbang sekiranya anak perempuan ini tidak mahir dalam meletakkan sempadan apabila dia meningkat dewasa kelak. Saya berusaha untuk mengajar dia meletak "filter" di dalam kepalanya apabila mendengar kritikan daripada kawan keliling agar dia tidak mudah melompat, hanya untuk "memuatkan" dirinya dalam kelompok tertentu.


Melalui kedua-dua contoh anak ini berkelakuan, adakah kita percaya atau mula memahami bahawa diri kita sentiasa ada kecenderungan tertentu? Introvert ataupun extrovert, keduanya mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Sifat baik jika diletak pada satu sudut bersesuaian akan menjadi TERBAIK, tetapi jika sudutnya berbeza ia akan membawa kesan sebaliknya. Sedarkah kita sebagai ibu dan bapa, peranan kita dalam mendidik anak-anak bukan hanya mengesahkan kecenderungan itu, tetapi dalam masa yang sama sentiasa berusaha bagi mengimbangi kelebihan dan kekurangan yang sedia ada.


Wassalam.

Thursday, 26 July 2012

Mindset

Salam semua

Salam al-mubarak pada semua pembaca blog ini. Ribuan ampuan dan maaf kerana menyepi sekian lama. Banyak perkara yang berlaku, banyak tugasan yang perlu disiapkan. Tiba-tiba di awal bulan mulia ini, hati terdetik kegirangan apabila segala tugasan sudah disiapkan dan banyak pula masa "free" untuk menyinggah ke sini. Alhamdullilah, hanya menunggu kesan lanjutan daripada penghantaran kerja-kerja terdahulu. Moga-moga segalanya berjalan lancar, amin.

Dalam keadaan menyepi sekian lama, saya sempat membaca buku Mindset yang ditulis oleh seorang psikologi barat. Antara buku yang saya akan syorkan kepada sesiapa sahaja untuk membacanya. Secara khusus pada setiap yang bergelar ibu bapa, begitu juga para guru, pemimpin mahupun anak-anak remaja yang sudah memahami maksud "berfikir". Pendekatan buku ini agak menarik, ia mengkhususkan pada cara individu berfikir dan dizahirkan dalam bentuk kajian kes demi kajian kes. Ia bukan sahaja melibatkan pemimpin organisasi terulung di dunia, peninju terhebat dunia mahupun seorang guru, tetapi juga anak-anak kecil yang masih berpakaian seragam ke sekolah. Satu yang pasti, apa yang membezakan pencapaian kita dalam hidup bukan disebabkan oleh perkara-perkara diluar kawalan seperti karektor, kualiti  lahir, kekurangan fizikal, kekurangan material tetapi hanya dipengaruhi dan bergantung pada cara kita berfikir.

Walaupun agak sukar pada mulanya untuk memahami intipati buku ini apabila ia melibatkan "inner talent" seseorang, tetapi ayat-ayat magis yang terdapat didalamnya, mampu memberi keyakinan pada saya bahawa kita semua berhak berjaya, tidak kira apa pun kekurangan yang dimiliki. Sepertimana kata seseorang dalam buku ini, "Talent will bring you to the top faster, but MINDSET will make you stay longer". Bertali arus kajian kes dimuatkan bagi menyokong dakwaaan ini, dan ternyata ia tepat sekali!

Sebagai contoh, kita sering melihat seorang penyanyi yang mempunyai suara lunak, paras jelita berserta aset-aset lain, mudah mencapai kejayaan hingga mampu menjadi juara, tetapi untuk kekal popular pada satu jangka masa panjang dalam kerjaya yang sama, tidak hanya terletak pada bakat semata-mata. Mereka memerlukan kesungguhan, berinovatif, kerja keras siang malam hingga mencapai status "evergreen", sepertimana Tok Pah kita.

Buku ini juga berulangkali, memberitahu, meminta, menasihati, mendakwa, mendesak para ibu bapa khususnya, supaya menghentikan pujian-pujian yang melibatkan bakat dan fizikal anak-anak. Jangan dipuji, "anak ibu cantik, jelita, menawan". Jangan dipuji, bakatnya terserlah, bijak, pandai, genius kerana ia akan membawa padah pada diri anak-anak, kelak. Pendek kata, apabila menelaah ilmu-ilmu yang terkandung dalam buku ini, ia membuat saya sedar dan banyak persoalan selama ini terjawab, contohnya, mengapa sesetengah budak susah hendak diajarkan perkara baru kepada mereka. Mereka agak terganggu jika diajak bermain permainan baru yang mungkin akan mencurigai kepandaian mereka. Alasannya, mereka tidak mahu merosakkan reputasi kecerdikkan yang digantung pada diri mereka selama ini. Kalung bijak, pantas, genius yang selama ini tergantung pada leher anak-anak akan tercalar sekiranya, melalui aktiviti-aktiviti baru ini, mereka tidak mampu mengekalkan reputasi tersebut. Sayang bukan, anak-anak akan terus menerus menolak segala bentuk eksplorasi baru hanya kerana dia bimbang, kecerdikan mereka akan dipersoal oleh orang keliling. Hanya kerana mereka ingin kekal genius di mata ibu bapa, mereka membendung keinginan bereksplorasi dan mencuba kerana takut sekiranya mereka tidak lagi kelihatan bijak. Masih ingatkah, saya pernah menulis artikel tentang pujian umpama minyak yang mampu membakar diri anak-anak. Tetapi, dalam penemuan ini, saya dapati kesannya lebih negatif daripada apa yang saya sangka selama ini. Ia mampu mengaburi kemampuan kita serta anak-anak untuk mencuba dan terus berusaha. Banyak kajian kes dijalankan atas sekumpulan anak muda di universiti bagi membenarkan hipotesis ini dan penemuannya membawa kepada masalah yang tidak kurang kronik iaitu masalah self-esteem.

Saya ingin meletak noktah pada penulisan ini, tetapi pada mereka yang berminat sila cari dan ambil masa untuk menghadam segala isi kandungan yang terdapat dalam buku ini. Ia mampu memberi satu bentuk kepuasan dalam mendidik diri sendiri dan anak-anak supaya kita terus berusaha untuk maju ke hadapan. InsyaAllah.