Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Sunday, 13 December 2015

Loneliness





credit to deposit photos


What is loneliness?

Loneliness is when you feel homesick
You miss your home terribly
You miss all the faces you loved
You miss the smell of your furniture and kitchen.

Loneliness is when you have many friends
But a few have shoulders and ears
A few have time for you
Most have to consult their calendar.

Loneliness is when you are surrounded
But no familiar faces
No familiar smells
No familiar hugs.

Loneliness is when you can hear everything
The rain drops
The water gushing
The wind whispers

Loneliness is when you are connected
24 hours, everywhere and anywhere
12 months, in and out.
365 days, wifi.

Tuesday, 8 December 2015

Dilema 40an

Salam

Masuk usia 40an kebanyakan daripada kita sudah matang, merdeka dan stabil emosi. Jika bekerjaya, posisi dalam syarikat dan gaji kita sudah lumayan dan boleh dibanggakan. Orang mula mengenali siapa kita di ofis, pangkat dan repo boleh berdiri sendiri dengan gah dan bangga. Pendek kata, masuk sahaja usia 40an, 'Our goodwill speaks on it's own'.

Kita dihormati dan diiktiraf berjaya dalam kerjaya dan kehidupan peribadi. Rumah besar, kereta mewah dan mempunyai kehidupan selesa. Anak-anak pula sibuk di sekolah, menunggu masa untuk ke asrama penuh atau universiti. Ini kehidupan normal yang kita boleh lihat pada mana-mana pasangan suami isteri yang masuk alam kedewasaan 40an. Masa inilah mereka menuai hasil penat lelah selama bekerja. Meraikan hasil dusun berkat kerjasama suami isteri melabur, menabung dan menyimpan selama ini. Dalam kelompok masyarakat, mereka diangkat sebagai keluarga yang berjaya dan patut dicontohi.

Saya pula sebaliknya. Di usia begini baru terhegeh-hegeh mengutip sisa hobi yang tertinggal di belakang. Malangnya kepakaran diri yang masih belum boleh dibanggakan tetapi sikap 'tak kesah' kian menebal dalam jiwa. Jauh sekali ingin mengambil hati orang keliling, menjadikan perjalanan ini semakin beronak dan berduri. Sudahlah tidak ada kepakaran, pengalaman pula seciput tetapi berlagak diva. Itulah kata-kata tepat mengambarkan diri saya.

Srjujurnya saya tidak berlagak diva dan tidak kisah orang memanggil saya sebegitu. Cuma bukan dalam usia saya mahu ketagih, taksub dan kagum sesama manusia. Sudah puas melalui pengalaman itu, sudah puas disepak dan diketuk dalam usaha diterima oleh kelompok manusia yang dinamakan masyarakat. Sudah puas senyum sumbing dan kambing apabila disisih kerana kurang layak bersama orang itu dan ini. Sudah berusia untuk kisah dan ambil perasan sama ada orang suka atau benci. Makin kurang tenaga nak melayan standard dan pertandingan antara jiran dan masyarakat keliling.

Sebenar-benarnya saya sudah melepasi fasa itu, saya sudah kekeringan bateri untuk mengilai artis pujaan dan kawtow sesiapa pun demi perjuangan sebuah hobi. Saya tidak kisah sama ada diterima atau tidak, disukai atau dibenci, diterima atau diketepikan.

Bagaimana mahu kumpul fan?

Sudahnya, di sinilah saya. Masih menulis untuk kepuasan diri.

Thursday, 26 November 2015

Lesen Kereta

Salam

"You can drive my dear, but no...you can't have your license today. You need to learn more..OK sweetie."

Mat Salleh tua yang ramah berbahasa melayu memberi respon selesai saya menjalani ujian pemanduan di sini.

Saya ingatkan dengan ramahnya bercerita tentang Malaysia; masakan melayu terutamanya rendang daging dan ayam, dia akan berlembut hati meluluskan saya dalam ujian ini. Jangan harap, kerja tetap kerja, amanah tetap amanah.

Saya tidak simpan di hati, mestilah sedih tapi saya sendiri tidak rasa saya patut lulus. Ntah mengapa banyak perkara saya terlupa, gugup agaknya kerana ada orang memerhati tingkah-laku kita membawa kereta. Padahal saya pegang lesen Malaysia lebih 15 tahun, dan memandu kereta di UK dan balik semula ke Malaysia lebih 10 tahun. Memandu hari-hari tidak kenal siang dan malam, tetapi masih gagal cemerlang.

"Susah ke nak lulus?" Soal kawan-kawan yang tahu saya gagal tiga kali.

"Tak susah, instructor cakap, 40% kemahiran memandu, 40% keadaan jalan sama ada sibuk atau tak, dan 20% sama ada rezeki atau tak."

"Tiga kali gagal, belum rezeki saya nak lulus." Saya jawab malas.

Tapi kegagalan saya pada kali yang kedua dan ketiga mengundang rasa panas jiwa dan raga. Kali kedua gagal, saya terlalu stress dan pemeriksa perempuan gemuk itu memang tidak berpuas hati kerana emosi saya agak tegang. Pemandu harus positif, relaks dan bersahaja tanpa keras berfikir. Dia mencari alasan untuk saya gagal, dan 'bom' saya gagal. Saya menangis dalam perjalanan balik ke rumah, puas dipujuk instructor minah salleh.

Kegagalan kali ketiga lebih meracun emosi, instructor menuduh saya tidak bawa dokumen pengenalan diri. "Hello, I was here two times before OK...I have this, I have that."

"Nope, I need your passport as primary document."

"Can we at least do the test first, my husband will bring my passport in no time."

"Nope, sorry I can't accept that."

Menangis lagi, kali ini berjalan balik sendiri dalam hujan. Setibanya di rumah, saya mengamuk pukul suami kerana membiarkan saya melalui pengalaman kelat sebegini di usia 40an.

Ia bukan sekadar gagal, masalah berikutnya adalah untuk mendapatkan slot ujian seterusnya. Adakalanya lebih tiga bulan untuk dapatkan slot baharu, dan duit berterusan keluar untuk pastikan saya tidak terlupa akan peraturan dos and dont's sebelum menduduki ujian amali.

Itu belum lagi dikira bebanan emosi setiapkali kali tarikh ujian menghampiri. Makan tak kenyang, tidur tak lena, madia masih basah tetapi tekanan yang melampau-lampau hingga boleh jadi murung. Tiba masanya, fizikal dan emosi saya bertukar keras dan kaku. Itulah agaknya ada orang terpaksa melalui ujian amali hingga ke-20 kali. Aduh...

Ujian kali keempat, saya dinasihatkan supaya bertukar tempat ujian kerana menurut kawan-kawan dan instructor, tempat sebelum ini agak kritikal untuk lulus. Dalam bulan puasa tahun ini, sebelum pulang beraya, instructor berjaya mendapatkan slot baharu untuk saya. Jika diikutkan slot ujian di tempat lama, saya harus menunggu hingga bulan September. Tarikh keramat 25 Jun, saya dibawa ke tempat ujian sejauh satu jam jarak perjalanan dari rumah.

Doa tidak henti-henti saya panjatkan pada Allah swt supaya memudahkan urusan saya kali ini. Saya minta suami dan anak-anak turut berdoa untuk kuatkan semangat saya melalui ujian getir ini. Anak menguruskan diri sendiri untuk ke sekolah dan seawal jam lima pagi saya sudah bertolak ke tempat ujian.

Saya orang pertama dalam senarai pemandu yang diuji pagi itu, hati masih tidak tenang membayangkan jika saya gagal lagi pada kali ini. Sudahlah jauh, bandar baharu, tidak biasa dengan jalan-jalan di sini dan trafik pagi yang agak sibuk kerana orang sudah mula keluar untuk pergi kerja.

Ya Allah...hati bagai terhenti, saya menutup muka dengan tapak tangan sambil merehatkan kepala atas stereng kereta. Dalam kepala ligat memainkan memori kesalahan demi kesalahan yang saya lakukan sepanjang ujian tadi.

"Ok...this time you passed!" Pemeriksa mengira markah kertas periksa dan menandatangan di atasnya.

"Allahukhbar...alhamdullilah. Thank you sir..." Senyum selebar yang boleh.

Melihat kertas peperiksaan amali, saya cuma lebih satu mata sebelum gagal untuk kali yang keempat. Saya tidak akui kejayaan ini adalah milik peribadi atau kemahiran diri dalam memandu tetapi berkat doa saya, suami dan anak-anak dalam bulan puasa penuh barakah.

Itulah namanya rezeki, tuhan permudahkan urusan saya. Berbekalkan lesen kereta ini, saya diberi kepercayaan untuk memandu kereta di mana-mana jalan di dunia.

Berapa banyak pelaburan untuk mendapatkan lesen kereta ini?

Lebih lapan ribu ringgit, mengambil masa setahun setengah dan empat kali ujian. Bayangkan mereka yang terpaksa lalui 20 kali ujian amali.

Pengsan!

Monday, 23 November 2015

Life begins at 40

Salam

Selepas usia 40an, kita mula malas melibatkan diri dengan manusia keliling. Kita sudah bijak memilih kawan sehati dan sejiwa. Tidak kisah jika orang tidak suka atau pergi meninggalkan kita, atas apa pun alasan. Makin pudar semangat dan tenaga untuk mengembirakan hati orang lain, tidak ada lagi istilah 'pleasing people'.

Era 'pleasing people' disemai dalam usia anak-anak, masuk ke alam remaja, melangkah ke dunia berpasangan hinggalah ke dunia awal pekerjaan. Kita belajar untuk mengembirakan hati mak ayah, mengambil hati adik-beradik, memenangi hati pasangan dan kawan-kawan. Kita merendah diri memasuki dunia pekerjaan dengan hasrat diberi tunjuk ajak sewajarnya supaya tidak tersesat. Kita kagum dan iktiraf kelebihan kawan-kawan, berusaha masuk dalam kelompok mereka supaya diterima dan mempunyai rasa 'sense of belonging'.

Empat puluh tahun dibesarkan dalam suasana dan persekitaran yang meminta kita patuh, taat dan mengembirakan orang keliling, terasa letihnya. Mencecah usia 40an mengubah segalanya, life begins at 40.

Mengapa kita 'hidup' selepas usia 40an?

Di usia ini, kehidupan kita adalah hak peribadi yang tidak perlu dikongsi. Kita bebas berfikir tanpa tertakluk pada pendapat mak ayah. Kita mampu membina kehidupan sendiri tanpa bergantung pada sesiapa pun. Kita merdeka daripada persepsi orang pejabat dan komuniti, kita berjaya berada di mana kita berada sekarang. Kita tidak lagi terikat dengan rutin harian anak kecil, mereka sudah mampu mengurus diri. Pendapat, perspektif dan idea orang lain tentang kehidupan tidak sedikit pun menganggu fikiran kita. Itu ceritera kehidupan mereka, kita layari kehidupan sendiri. Perahu kita berlainan, siapa laju, lajulah.

Setelah melepasi usia merdeka dalam angka 40an, kita diminta ulang semula aktiviti 'kawtow' orang keliling atas alasan mengumpul peminat dalam usaha menjadi seorang penulis, saya tersandar keletihan. Saya baru mengecapi keindahan hidup tanpa peduli kata-kata prejudis orang keliling. Saya baru menikmati sebuah kehidupan yang berpaksikan pada keunikkan diri. Saya baru ada kekuatan menunjukkan pintu besar yang ada perkataan 'exit' jika orang tidak menyukai. Saya baru belajar bercakap NO kepada orang yang berterusan menyakiti. Tetapi sekarang, saya harus balik pada fasa 'pleasing people' untuk melunaskan sebuah cita-cita yang dinamakan seorang penulis.

Saya terbayang tembok-tembok tinggi, besar dan kukuh mengelilingi saya.

Sunday, 16 August 2015

Promosi Suri

Salam

'We have to be proud of who and what we are'. Benar, saya suka dan bangga menjadi diri sendiri dan bergelar suri rumah. Tetapi saya tidak termasuk dalam kelompok taksub mendakwa suri adalah sebaik-baik kerjaya untuk seluruh kaum wanita. Saya tidak percaya semua wanita harus meletak jawatan mereka dan memilih menjadi seorang suri. Saya juga tidak mengatakan setiap wanita harus mempunyai angan-angan menjadi pengurus domestik dan menindakkan impian sendiri. Saya tidak bersetuju jika ada berpendapat hati wanita adalah di rumah disamping suami dan anak-anak terchenta.
Image Google

Kerjaya suri mungkin sesuai untuk saya tetapi tidak untuk semua wanita di luar sana. Persekitaran kita berbeza, keperluan kita tidak mungkin sama dan sokongan yang kita perolehi juga berlainan warna. Tidak mungkin saya menyatakan dengan sepenuh hati bahawa kerjaya ini adalah yang terbaik untuk semua wanita tanpa memperhalusi persekitaran, keperluan dan sokongan yang diterima.

Wanita tidak jauh beza daripada seorang lelaki yang mempunyai citarasa dan impian berbeza. Jika lelaki boleh diberi kebebasan memilih dan berangan-angan, mengapa kita perlu menidakkan naluri seorang wanita. Sesetengah wanita memilih tidak meletakkan hatinya di rumah bukanlah satu kesalahan dan kemampuan mereka tidak langsung berkurang berbanding kita yang memilih menjadi suri. Antara suri dan mereka adalah prioriti dan kita harus meraikan perbezaan tersebut.

Saya kagum melihat wanita yang berusaha mengimbangi antara tugasan di luar dan dalam rumah. Ia ternyata tidak mudah. Saya sendiri tidak terbawa tugas di dalam rumah apatah lagi jika dibebankan dengan tugasan luar rumah. Saya angkat tangan mengaku kalah. Jadi pada wanita yang berada dalam situasi begini sama ada pilihan atau terpaksa, mereka sebenar-benarnya adalah seorang pejuang. Raikan kekuatan, keunikkan dan kelebihan mereka, yang pada saya sangat luar biasa.

Wanita kerjaya tidak perlu memandang rendah pada diri sendiri lantaran banyak masa dihabiskan di luar rumah dan bukannya bersama anak dan suami. Masa bukan dieja dalam bentuk kuantiti tetapi kualiti. Kami mungkin berlebihan dari segi kuantiti tetapi jika gagal diawasi ia tidak mendatangkan manfaat pada anak suami mahupun diri sendiri.

Kelemahan manusia terutamanya suri, kita fikir masa adalah milik kita tetapi hakikatnya masa adalah pedang yang menyembelih sesiapa sahaja kecuali pada mereka yang bijak mengambil manfaat daripadanya. Suri ataupun mereka yang bekerjaya.


Friday, 12 June 2015

Terancam

Salam

Dua ekor singa jantan tidak boleh berada dalam satu kawasan, pasti berkelahi. Ia akan berjuang menakluki kawasan yang sama hingga salah satu daripadanya menang, yang kalah akan terusir keluar. Singa-singa betina dan anak tetap berada dalam kawasan sama walaupun singa jantan sudah bertukar daerah. Itu sifat binatang. Jika terancam, ia pasti bergaduh dan berebut.
image google

Bagaimana sifat manusia apabila terancam? Tidak banyak beza, kita juga akan mengangkat senjata dan berperang demi mempertahankan apa sahaja 'milik' kita. Jika singa berperang berebut kawasan, manusia juga berperang mempertahan dan memperluaskan daerah yang dimiliki atau mahu dimiliki. Benar, kita tidak banyak beza berbanding singa iaitu seekor haiwan.

Bagaimana pula jika manusia berada dalam kawasan yang sama? Apakah kita tidak rasa terancam? Apakah bentuk ancaman yang dirasai sesama manusia?

Saya selalu terfikir, mengapa sesama pensyarah seringkali wujud rasa bersaing dalam mencari ilmu. Sesama adik-beradik berkelahi merebut perhatian mak ayah. Sesama artis, bertikam lidah menunjuk kelebihan diri. Sesama orang kaya bersaing menukar kereta, siapa lebih hebat dan ternama. Kita tidak akan berkelakuan begini jika tidak terancam. Kita tidak akan menjadi singa jika daerah kita tidak dicerobohi sesuka hati.

Apa punca ancaman kita pada orang atau orang lain pada kita, sedangkan kita tidak berebut daerah jajahan seperti mana seekor singa.

Ancaman boleh jadi dalam bentuk perhatian seperti persaingan adik-beradik. Boleh jadi dalam bentuk pengiktirafan siapa lebih kaya, ternama dan berpengaruh. Manusia sanggup buat apa sahaja untuk kelihatan mewah dan bergaya, glamor dan mempunyai pengikut. Ini antara faktor tanpa sedar mengapa kita menjadi ancaman pada orang lain dan orang lain terhadap diri kita. Jujur sungguh naluri manusia, tidak ada beza seperti haiwan.

Pensyarah bermasam muka sesama sendiri kerana tidak mendapat pengiktirafan dekan fakulti. Anak-anak bergaduh tidak berhenti demi menjadi 'buah hati' pada ibu ayah. Kawan sekerja tidak habis bertelagah mahu memungut 'pujian' daripada bos besar. Suami isteri berperang dingin apabila pasangan membuat keputusan tanpa dirujuk terlebih dahulu. Jiran tetangga pantang bersua muka, marahkan rumput panjang di kawasan sebelah.

Jika kita mengambil masa berfikir, ancaman yang dirasai oleh kita semua baik sebagai anak, suami, pekerja atau bos hanyalah kerana ketidakprihatinan tentang sempadan antara diri kita dan orang lain. Kuasa autonomi yang kita pegang dan iktiraf diganggu-gugat oleh orang luar tanpa kebenaran. Kita rasa terancam apabila orang lain memperkotak-katikkan kewujudan diri. Tidak pelik jika saya katakan, ego tercalar oleh sikap tidak endah orang lain terhadap kita. Puncanya, kita terancam dek kerana EGO.

Kadangkala, saya tertanya-tanya mengapa kita berkelakuan asing terhadap orang yang mempunyai taraf pendidikan dan keupayaan material berbeza daripada kita. Saya selalu memberi komen menarik pada suami; orang kaya itu baik dengan saya walaupun kita tidak sekaya mereka. Orang bertokoh itu mesra dengan saya walaupun saya tidak 'bernama' seperti mereka. Terasa diri dihargai dan dihormati walaupun pada dasarnya kemampuan kami bagaikan langit dan bumi.

Jawapan suami mengejutkan, " You are no threat to them."

Adakah ego kita tersimpan dan terselamat selagi tidak bertemu buku dan ruas?

Mungkin juga.




Konflik Suri Berpendidikan

Salam

"Suri yang tidak berpendidikan lebih tenang dan redha menjalani hidup dalam alam rumah tangga berbanding suri berpendidikan tinggi.Mereka lebih komited mengurus rumah tangga dan tidak pentingkan diri sepertimana suri berpelajaran. Mereka lebih redha dan mudah berpuas hati dengan kejayaan suami dan anak-anak  atau apa yang ada di hadapan mata."

Komen ini datangnya daripada seorang kawan yang punya ijazah. Dan saya akui kata-katanya adalah benar belaka.

Konflik ini nyata wujud pada kebanyakan suri berpendidikan tinggi. Ia mampu meracuni minda dan ketenangan diri berbanding mereka yang tidak berpendidikan. Seolah-olah, ketenangan hati bukan milik suri yang mempunyai cita-cita selain tanggungjawab di rumah. Mereka terus mencari sesuatu yang memberi kepuasan, selain bergelumang dengan suami dan anak-anak. Salahkah kami mempunyai harapan lain di luar rumah? Berdosakah kami menggantung identiti pada perkara lain, selain suami dan anak-anak?

Saya akui, kehidupan saya sebagai suri selama ini tidak ada cacat cela. Saya antara suri bertuah; tidak perlu keluar bekerja demi mencukupkan keperluan. Saya bebas meneroka dunia baharu dalam pelbagai bidang, punya masa terluang untuk berhobi dan punya dana untuk melayan diri ke pusat kecantikkan. Tetapi kepuasan itu berlainan sifatnya.

Saya mampu mempunyai hobi tetapi tidak berdaya menjadikannya serius hingga mampu memberi kepuasan maksima. Kepuasan maksima bermaksud memberi pulangan dalam bentuk kewangan ataupun pengiktirafan yang sewajarnya. Hobi hanya berfungsi untuk mempercepatkan waktu; dari pagi ke petang dan siang ke malam, tanpa kepuasan nyata.

Saya pernah melibatkan diri dalam kerja-kerja penulisan, tetapi ia bukan sekadar hobi. Komitmen pada kerjaya ini bukan calang-calang, ia bersifat dorongan dalaman dan memerlukan momentum kuat secara berterusan. Di sini lemahnya saya, kekuatan itu tidak berpanjangan apabila terpaksa bersaing dengan keperluan anak dan suami. Urusan rumah tidak lagi teratur, dapur dan bilik tunggang-langgang akibat ketidakcukupan masa mengurus. Anak dan suami bersajikan makanan dari kedai mamak apabila 'dateline' menghampiri.

Lantas saya menyoal diri, sekali lagi. Apa sebenarnya yang saya cari? Adakah kepuasan harus bersifat kendiri tanpa melibatkan ahli keluarga yang lain? Sanggupkah melihat rumah seperti sarang tikus; tidak bersapu, berlap dan bercuci kerana sesungguhnya saya tidak punya masa jika tidak ada yang membantu. Dalam diri, konflik melanda sekali lagi.

Soalan apa yang saya cari, sering menerjah diri hingga ke hari ini.

Wednesday, 29 April 2015

Hati Besar

Salam semua

Sebelum tidur anak sering bercerita tentang kisah cikgu dan rakan-rakan di sekolah. Kata anak pada saya, " Cikgu kata, apabila melihat kawan gembira, kita harus rasa gembira untuk mereka."

Tambahnya lagi, jika kawan menang dalam perlawanan, kita harus ucap tahniah pada mereka. Kita cuba beri kata-kata manis buat mereka, " Awak bermain dengan baik hari ini."

Jika kawan kalah dalam permainan sekalipun, kita harus cakap manis juga pada mereka sebab dalam perlawanan ada kalah dan menang.

Adakala kawan-kawan berkongsi keseronokkan mereka, termalu sendiri kerana tidak ada sambutan daripada orang keliling. Tidak ada kata-kata manis, jauh sekali ucap tahniah. Menjadikan mereka yang berkongsi kegembiraan rasa tersisih dan menyoal diri, "Mengapa mereka tidak boleh bergembira untuk saya?"

Kita yang terkesan oleh reaksi hambar itu pula berhajat melakukan perkara yang sama pada orang lain, "Biar mereka rasa apa yang aku rasa sebelum ini." Begitulah pusingan permainan ini, aku buat pada engkau kerana engkau buat pada aku.

Kawan lama di Switzerland menyampaikan berita gembiranya pada kami, kawan sekelas tentang berita pertunangan beliau dengan si buah hati. Tanpa sekilas fikir, saya mengucapkan tahniah kepadanya. Beliau memeluk saya dengan erat dan menjemput saya dan suami ke majlis perkahwinan yang berlangsung tidak lama selepas itu. Katanya pada saya, " Keluarga saya jauh dan kamu adalah kawan pertama yang mengucap tahniah pada saya."

Saya akui mempunyai ramai kawan dari golongan ada-ada dan saya gembira setiap kali mendengar kisah unik mereka. Kehidupan mereka jauh lebih mewah dan sempurna daripada saya. Pengalaman mereka jauh lebih bermakna dan berprofail tinggi berbanding saya. Saya gembira mendengarnya dan jika perlu saya memuji mereka kerana mereka berhak menerimanya.

Saya mungkin seorang hipokrit atau bersuka beraksi 'sweet' sepertimana kebanyakan orang melabel. Pada saya pula, mengapa harus disakitkan hati orang yang tengah berkongsi saat gembira mereka. Mengapa harus diremehkan pencapaian mereka dalam sesuatu bidang yang kita sendiri tidak mahir. Mengapa tidak tunjukkan rasa seronok pada mereka sedangkan kita juga ada kisah seronok tentang diri sendiri.

Semakin berusia, saya sedar pendekatan ini tidak selalunya membawa kebaikan pada diri. Sungguh mudah orang berkongsi kegemilangan keluarga dan anak-anak tetapi mereka tidak ada rasa yang sama apabila kita berkongsi keseronokkan diri. Kita boleh mendidik hati supaya lunak dan raikan kelebihan orang, tetapi orang mungkin tidak mampu melakukan perkara yang sama pada kita.

Apa harus kita buat, soal anak pada saya. Jika memilih menjadi jujur itu membuka peluang untuk orang lain menipu kita. Teruskan menjadi jujur kerana itulah kita. Begitu juga dengan hati, pilihlah bergembira untuk orang lain kerana ia melunakkan hati kita sendiri.

Thursday, 19 March 2015

Bangunkan karektor anak

Salam

Terkesan hati membaca sebuah kisah yang dikongsi oleh seorang rakan wastap.

Seorang pemuda ditemuduga oleh bakal bos di sebuah tempat kerja. Selepas sesi perkenalan dan soal jawab tentang latar belakang, beliau diminta pulang oleh si bos yang memintanya melakukan beberapa perkara.

Pemuda itu kembali ke bilik temuduga dan berkongsi pengalaman sedih bersama penemuduga.

Dipendekkan cerita, pengajaran terbaik daripada bos lama yang sudah lama makan garam.

"Kami mencari seorang pengurus yang faham masalah orang lain dan sama-sama berusaha menyelesaikan masalah demi mencapai target dalam organisasi. Bukan seorang pengurus yang leka dengan kepandaian sendiri dan tidak mampu merendah diri belajar daripada pekerja bawahan."
~google image~

...............................................................................................................

Suami sering menceritakan kisah yang sama di tempat kerja. Ramai anak muda kini berkebolehan menjadi pengurus, ternyata bijak dan cekap tetapi kurang rasa empati pada teman sekerja mahupun staf bawahan. Mereka tidak berkongsi rasa 'bersama' dalam mengejar kejayaan dalam dunia kerjaya. Seolah-olah kecerdikkan dan kebolehan mereka adalah hasil kerja buat diri sendiri. Tidak sedikit pun melibatkan keringat orang lain, apa ntah lagi staf bawahan. Apabila masa meraih anugerah dan pengiktirafan, mereka seperti merak di kayangan mengaku kejayaan itu atas usaha sendiri tanpa pertolongan orang keliling.

Pendek kata, tidak ada istilah 'kita' dalam kejayaan yang dicapai. Hanya perkataan 'saya, saya dan saya'.

Pahit tetapi itulah realiti. Generasi sekarang adalah kelompok individu yang sibuk fokus pada diri sendiri. Sebagai ibu ayah, kita tidak mahu anak hidup dalam realiti kerana bimbang mereka tidak cukup masa untuk belajar, membuat kerja rumah serta maju dalam akademik. Segala keperluan hidup kita hadapkan tanpa sedikit pun melibatkan usaha mereka. Anak tidak membantu kita memasak ataupun mengemas. Kononnya mereka perlu buat kerja sekolah atau belajar, maklumlah peperiksaan tidak pernah selesai.

Sama ada sengaja atau tidak, mereka terhindar daripada membantu kita membuat kerja rumah. Masa lengang yang ada, kita gesakan mereka ke pusat tuisyen atau aktiviti tambahan lain seperti kelas piano atau taekwando. Keperluan sekolah atau rumah dihadapkan pada mereka tanpa lelah mendapatkannya. Cukup masa makanan terhidang, baju sekolah berbasuh dan bergosok, bilik berkemas dan keselesaan dijamin.

Pendek kata, kehidupan anak kita hanya berkisarkan tentang diri mereka semata-mata tanpa mengambil tahu susah payah orang lain menyediakan keperluan itu. Keadaan menjadi semakin parah jika keluarga mempunyai pembantu rumah. Segala jenis pekerjaan dihumbankan ke atas bahu pembantu, anak dan ibu ayah umpama majikan yang berkongsi staf, sama-sama mengarah dan sama-sama melepaskan tanggungjawab diri.

Bahagian terakhir dalam artikel itu mengajak semua ibu ayah melibatkan anak-anak dalam tugasan di rumah. Mereka perlu membantu ibu memasak di dapur sama ada anak lelaki atau perempuan. Bergilir membasuh pinggan mangkuk atau mengemas meja makan. Bersama membersihkan kawasan rumah seperti menyapu, membasuh dan mengemas. Hanya melalui didikan seperti ini anak-anak memahami realiti dalam kehidupan iaitu kerjasama dalam menyelesaikan sebuah tugasan. Mengarah dan menunggu, bukan aktiviti dalam berkeluarga. Anak mendapat gambaran yang salah jika budaya ini kita praktikan di rumah.

...............................................................................................................

Pemuda itu pulang ke rumah dan melakukan seperti apa yang dipinta. Beliau memegang dan merenung kedua-dua tangan ibu ayah uzur, walaupun aksinya tidak difahami oleh orang tuanya. Tanpa sedar air matanya mengalir apabila melihat kesan kerja keras pada tangan-tangan itu hingga ada yang meninggalkan parut. Buat pertama kalinya, mereka anak-beranak berbual tentang kesusahan ibu ayah membesarkan anak-anak.

Ramai ibu ayah gagal mendidik anak-anak hidup dalam realiti, sama ada dengan niat ataupun tidak. Kegagalan ini memberi kesan negatif pada anak kita kelak. Mereka kurang faham akan kesusahan orang lain, apa lagi menghargai keringat mereka. Inilah generasi bos muda yang membanjiri organisasi dewasa ini.

Generasi ini kuat berusaha, cerdik dan berkebolehan tetapi malangnya tidak ada istilah 'kita' dalam kamus kejayaan mereka.

Sedangkan perpatah mengatakan, " Mahu laju, jalanlah seorang diri. Mahu jauh, jalanlah bersama."

Monday, 2 March 2015

Pilihan

Salam

Saya ada seorang kenalan berjawatan peguam. Katanya pada saya, "100 kes menang di mahkamah dalam nisbah satu kes kalah. Kes kalah akan diungkit berkali-kali manakala yang menang tidak langsung diberi ucap tahniah."

Wow, saya terpaku mendengar rungutan beliau.
-google image-

Sketsa ini boleh diterjemahkan dalam kefahaman yang berbeza. Kita boleh rasa dunia bertindak kejam pada mereka yang gagal. Kita boleh pilih untuk berkecil hati dan kekal dalam zon selamat buat selamanya. Kita boleh menjadi ibu ayah yang melindungi anak daripada sebuah kegagalan. Kita juga boleh memperkasakan jati diri supaya sentiasa bangun dan terus berjalan.

Semua pilihan tersedia dan kita hanya memilih mana yang sesuai.

Mendidik anak-anak adalah sebuah pilihan. Kita boleh memilih menjadi ibu ayah yang disayangi dan dihormati, begitu juga sebaliknya. Adakala pilihan tidak memberi pulangan lumayan pada anak, tetapi pada diri sendiri. Kita punya lebih masa untuk membaca, bersembang atau menontoh drama kesukaan. Kita boleh melarikan diri daripada terperangkap bersama anak atau mengajar mereka membaca surah Al-Fatihah. Kita juga boleh mengalih fokus dengan memberi gadget, games atau dvd manakala kita menikmati 'me time' di dalam bilik sambil melayan lagu di radio. Ini semua pilihan.

Malangnya kita selalu lupa, pilihan datang bersama pakej akhiran yang berbeza. Kita boleh kekal dalam zon selamat, tetapi kita tidak akan belajar perkara baharu dalam hidup. Kita boleh mengawal anak 24 jam sehari semalam, bimbang jika mereka tercedera jatuh ke dalam longkang. Bagaimanapun kita terpaksa akui sekiranya mereka kurang akal, kurang daya saing dan lemah untuk bangun berkali-kali selepas gagal.

Kita ada pilihan untuk bersenang-lenang dahulu, dan berakit-rakit kemudian. Tetapi kita tidak mampu mengelak hukum alam yang terikat bersamanya. Berakit-rakit di usia tua membawa seribu satu macam masalah kesihatan kerana fizikal yang tua dan lemah. Kita berkebolehan menjadi ibu ayah disayangi dan dirindui lantaran ketekunan kita mengatur selia keperluan dan kemahuan anak. Tetapi kita tidak boleh melepaskan tanggungjawab ini pada guru, majikan, menantu dan orang keliling, semata-mata menyenangkan hidup mereka.

Benar, pilihan terletak di tangan kita. Tetapi akhiran pada sebuah pilihan tidak mampu kita pilih. Masakan kepala ikan akan berakhir dengan ekor singa. Ia tidak akan terjadi kecuali hukum alam mengatakan sebaiknya atau diterjah unsur magik.

Wednesday, 25 February 2015

Positif vs Berburuk Sangka

Salam

Menuduh orang jahil, tidak menjadikan kita berilmu. Mengata orang jahat, tidak menjadikan kita baik. Menghukum orang berdosa, tidak melayakkan kita masuk syurga.

Atas prinsip yang sama, saya melihat guru-guru positif  dalam masyarakat suka menegatifkan orang lain yang tidak sependapat. Mungkin dengan harapan mereka dipandang positif. Sejujurnya, jauh panggang dari api. Saya berpendapat mereka seperti burung kakak tua yang cuma tahu sebut positif, positif dan positif. Tanpa memahami hikmah tidak berburuk sangka.

Apa maksud positif? Fikiran cetek saya, tidak berburuk sangka.

Ia tidak mudah, hampir mustahil untuk tidak berburuk sangka. Bagaimanapun, berusahalah untuk tidak menghukum orang lain. Kita tidak tahu apa yang mereka lalui. Kita tidak rasa onak duri yang menyeksa batin dan fizikal mereka. Kita tidak berada dalam kasut ketat dan busuk mereka sepanjang hari, minggu, bulan dan tahun.

Semua tahu Rasullulah saw adalah contoh terbaik buat kita. Baginda tidak berburuk sangka pada musuh-musuhnya tanpa ilham daripada Allah swt. Baginda tidak menuduh isteri tercinta sayditina Aisyah bermukah tanpa petunjuk dari Allah. Baginda mendamaikan perbezaan dengan kefahaman dan kasih sayang. Tetapi kita dengan menggelar orang kafir dan negatif.

Carl Yung seorang psikologis yahudi mendera mental bertahun lamanya membuat kajian tentang manusia. Beliau mengenalpasti manusia tergolong dalam enam belas jenis karektor berbeza. Pelbagai ragam dan cara fikir. Dr. Hartman membicarakan tentang manusia melalui kod warna. Dilondeh satu persatu ciri kod warna yang ada. Beliau yakin komplikasi wujud dalam diri jika kod karektor itu bertindih. Mr. Pink dalam bukunya Drive, membuka rahsia dorongan dalam individu tanpa melabel sepatah perkataan negatif pada mereka yang tidak sealiran.

Kita bukan Carl Yung, Dr Hartman atau Mr. Pink, tetapi memiliki kepakaran luar biasa berbanding mereka yang ternama. Mudah sungguh kita menegatifkan orang lain kerana tidak sepandapat dan sealiran. Seronok menghukum mereka yang memilih jalan darat berbanding air. Berburuk sangka sesama sendiri tanpa cuba memahami.

Teringat akan sebuah kisah yang diceritakan oleh adik, tentang seorang anak muda di zaman Rasullulah saw. Seringkali terserempak dengannya di masjid, baginda Rasullulah saw mengatakan pemuda ini bakal penghuni syurga. Tidak berpuas hati dengan pengakuan baginda, seorang sahabat mencari jalan untuk menghampiri pemuda istimewa itu bagi mencungkil rahsia amalan hingga melayakkannya ke syurga. Berbekalkan tipu helah dia berjaya menetap selama tiga malam bersama pemuda itu. Sahabat memerhatikan tingkahlaku pemuda tanpa henti. Habis tempoh masa tiga hari, beliau tidak berpuas hati dengan hasil pemerhatian sendiri. Dalam hatinya berkata, mana mungkin Rasulullah tersilap. Pemuda ini tidak punya amalan istimewa, solatnya pun biasa-biasa. Tahajudnya juga lompang tidak sempurna.

Dalam keadaan tidak berpuas hati, beliau menguatkan diri menghampiri dan bertanyakan rahsia amalan pemuda itu. Diberitahu tujuan asal beliau ke mari walaupun terpaksa membuat helah. Tetapi beliau tidak mendapat apa yang dicari lalu memohon pemuda itu berkongsi rahsia dengannya. Dalam keadaan terpinga-pinga tidak percaya bahawa dirinya bakal penghuni syurga seperti yang dijanjikan oleh baginda Rasulullah saw, pemuda itu pun berkongsi keadaan pelik dalam dirinya.

"Saya tidak pernah berburuk sangka sesama manusia. Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya cuba bersangka baik dengan semua orang."

MasyaALLAH, bergetar hati saya tatkala mendengar kisah ini.

Saya masih dalam perangkap berburuk sangka, ya ALLAH bantulah kami membebaskan diri.


Sakit itu MENGAJAR

Salam

Menulis adalah terapi diri. Ada orang pilih berlumba di jalanan. Ada yang meluahkan rasa atas canvas lukisan. Ada melalui meditasi berpanjangan. Ada melalui makanan dan minuman.

Puncanya cuma satu, meluahkan apa yang berbuku dalam hati dan fikiran.
-image google-

Saya percaya, sakit itu mengajar kita yang ego, bongkak dan lupa diri. Saya terima sakit dengan rasa terbuka kerana ia menyuci dosa dalam diri. Tanda tuhan masih menyayangi.

Saya mahu menyenaraikan rasa sakit yang bergelumang dalam hati selama ini. Mencari remedi dan pengajaran disebalik apa yang terjadi. Saya tidak sempurna, saya lemah dan pincang segala segi tetapi kesakitan ini membawa seribu rahmat untuk direnungi dan diperbaiki jangkaan diri.

Antara kesakitan yang dirasai adalah seperti berikut;

* Apabila sedar diri tidak seideologi orang lain dalam kelompok. Tidak wujud sense of belonging, lantaran cara fikir yang berbeza.

* Saya berfikiran, lembu dipegang pada tali dan manusia pada kata dan janji. Saya menunggu seperti bulan gerhana jatuh ke riba. Akhirnya saya sedar jangkaan melampaui seperti duduk di syurga.

* Jika pengemis berkata benar, saya akan menyokong pengemis. Jika sahabat berkata sesuatu tidak masuk akal, walaupun dia seorang guru yang mempunyai beribu penyokong, saya tetap menyokong pengemis.

* Saya andaikan kita semua ada bar code of social conduct. Bermaksud kita semua tahu set tanggungjawab sebagai seorang hamba, ibu, anak, isteri dan masyarakat. Saya tidak minta banyak; jika guru berkelakuanlah seperti guru, suami seperti suami, isteri seperti isteri dan anak seperti anak. Jika guru berkelakuan seperti hakim, menjatuh hukuman pada semua anak murid. Usah jadi guru.

* Saya fikir manusia rela hati berkongsi rasa dan ilmu, kerana itu tali pengikat antara pelajar dan guru. Apabila ilmu dijadikan darjat antara engkau dan aku, ia pasti akan mati di situ.

* Sesetengah orang result-oriented, saya lebih kepada pratical-oriented. Keputusan tepat tetapi tidak praktikal untuk diamalkan, ia hanya membuang masa.

* Bergelumang dalam isu yang sama; berhari, berminggu, berbulan dan bertahun tidak membawa kita ke mana-mana. Face the issue once and for all.

* Ditegur salah, didiamkan berterusan. Diberi solusi, dikatanya memandai. Tidak dipeduli, katanya tuli dan bisu. Apa pilihan yang kita ada?

* Emak kata, membuat kebaikan di akhir zaman seperti mencurah air dalam tanah gurun yang gersang. Sedikit pun tidak berbekas kerana hilang ditelan pasir. Kebaikan itu untuk mendapat redha Allah swt bagi memudahkan perjalanan kita. Jika tidak, ia pasti terhenti kerana tidak bersambut.


Less expectation, will heal the broken heart. People create headache through expectation in life,

Monday, 23 February 2015

Dilema Suri

Salam

Lebih lima belas tahun menjawat jawatan suri, masih tidak lekang dengan masalah jati diri. Buruk sangatkah menjadi suri? Walaupun 1001 nikmat sudah dirasai tetapi masih diri kekurangan berbanding mereka yang bekerjaya. Saya tidak rasa kurang menjadi suri hingga berjumpa dengan manusia yang sering memandang rendah pada kami.
-image google-

Dilema suri apabila terlalu lama di rumah, bergaul dengan anak-anak dan mempunyai majikan si suami yang boleh diarah begitu dan begini, kita menjadi sedikit kalis pada dunia luar. Di rumah boleh dikerah itu dan ini, boleh dirajuk jika tidak mengikuti dan boleh mengamuk sesuka hati. Tetapi di luar rumah, banyak mata-mata yang memerhati.

Saya seakan-akan tidak memahami cara orang luar bekerja, katanya sungguh profesional. Katanya mereka penuh nilai dedikasi, menepati janji dan tidak main-main bila bersendiri. Saya pula yang terkesima melihat perlakuan mereka, maklumlah kami hanya suri di rumah. Tidak layak bergelar profesional, apatah lagi mahu diangkat sedarjat dengan mereka yang berkasut tinggi, bertas tangan mahal dan bertudung Ariani.

Lima belas tahun menjawat jawatan tidak glemer seorang suri menjadikan saya mempunyai disiplin diri yang tinggi walaupun tidak ada yang memerhati. Saya tidak punya punch card , tetapi seluruh kehidupan sekolah dan kerjaya suami bermula daripada seorang suri. Kami tidak boleh lewat bangun pagi, menyiapkan sarapan ke sekolah bersama tugasan harian. Kami tidak boleh leka berseloka, bersarapan lebih masa dan mengular waktu ofis untuk bershopping online. Masa kami penuh dengan aktiviti masak, basuh, kemas, hantar dan ambil anak, membeli barang keperluan dan sekali-sekala berjumpa teman minum kopi. Kesemua tugas ini dilakukan tanpa bos mengikuti, tanpa ada bonus menanti dan tanpa cuti yang boleh diganti. Kami tetap lakukan ia dengan sepenuh hati.

Keadaan menjadi asing pada saya apabila mula menjinakkan diri bekerja. Saya masih memandang tinggi pada mereka yang bekerjaya. Jangkaan juga melebihi yang sepatutnya, maklumlah mereka semua bergelar profesional belaka. Malangnya, apabila bersama mereka saya mula melihat lompangnya cara mereka bekerja berbanding suri yang lekeh dipandangan mata.

Sungguh kami tidak berkasut tinggi, bertas tangan mewah dan bertudung Ariani. Tetapi kerjaya kami cukup memegang tinggi disiplin diri. Menyiapkan kerja sedaya mampu tanpa berdolak-dalik. Boleh juga ditunda-tunda sesuka hati, tetapi kami juga yang harus menghadapi. Tidak boleh di tolak ke sana dan ke mari, maklumlah anak dan suami semuanya ke sekolah dan ofis. Siapa lagi yang ada untuk mengganti diri yang membolos ke FB. Pandai-pandailah bawa diri. Cukup jam dan detik anak-anak dan suami akan balik, makanan tersedia menanti, baju siap bergosok, lantai bersih bersapu dan halaman bercuci.

Dalam diri ini cuba memahami, sama ada saya yang cerewet atau dunia kerjaya sememangnya begini. Susahnya, kerana tidak boleh mengarah mereka sepertimana anak-anak. Tidak boleh ditolak, diasak dan dikerah kerana mereka semuanya bukan anak sendiri. Mahu diturut cara mereka, kerja tidak bergerak malah tidak langsung beranjak. Akhirnya, saya pasrah.

Mahu mengubah dunia, harus bermula dengan diri sendiri. Saya ubah diri dengan menjadi seperti mereka, que sera-sera.

Sunday, 22 February 2015

Kita dan Hobi

Salam

" Saya tidak ada hobi." Terpancul kata-kata itu dari mulut adik.

"Apa, tidak ada hobi? Jadi apa awak buat jika bosan dengan kerja yang sedia ada?" Duga saya ingin tahu.

" Entah, jalan-jalan dan bawa anak keluarga makan-makan. Tidak sempat berhobi, mungkin." Adik terus menjawab tanpa berfikir.
-image google-

Betul juga kata adik, pra-syarat berhobi adalah masa lapang. Jika tidak punya masa, masakan boleh berhobi. Jadi pada mereka yang mempunyai hobi, maksudnya mereka juga mempunyai masa terluang. Bayangkan orang yang bekerja siang ke malam, pagi ke petang, minggu ke minggu, masa yang ada hanya cukup untuk istirehat dan bersama keluarga. Tidak wujud istilah my time dalam kehidupan harian.

Saya membelek jadual harian sendiri, banyak masa terluang. Padanlah saya punya hobi menulis, membaca dan sekarang, bercucuk tanam. Saya punya masa kerana tidak bekerja membanting tulang seperti orang lain demi mencukupkan keperluan. Beruntungnya saya.

Tetapi benarkah orang tidak punya hobi itu tidak punya masa? Contohnya abang saya, hobinya adalah membaca. Buku-bukunya bagaikan di sebuah perpustakaan usang, berhabuk dan bertimbun banyaknya. Dia bekerja seperti juga orang lain, tetapi masih aktif meneroka ilmu dalam ruang masa sempit yang dimiliki.

Suami saya juga begitu, masih sempat menghadam buku  Doctor in the House, mantan Perdana Menteri Malaysia. Tebalnya bukan main, saya sendiri naik mual membelek belum lagi membacanya. Benarkah orang mengaku tidak ada masa untuk berhobi? Mungkin mereka berhobi tetapi tidak sedar akan dirinya mempunyai hobi.

Adik perempuan saya yang seorang lagi, kecenderungan beliau adalah menonton drama korea. Ia juga boleh dikategorikan sebagai hobi kerana terisi dalam aktiviti masa lapang. Dalam kesibukkan menghantar dan mengambil anak dari sekolah, memasak, membasuh dan mengurus urusan lain dalam rumahtangga, beliau masih sempat menonton drama korea. Maksudnya, walaupun tidak punya banyak masa tetapi ia boleh diselit dalam jadual seharian, itupun juga hobi.

Hobi terbahagi dalam dua atau tiga versi. Ada hobi selit-selit seperti hobi membaca atau menonton. Ada hobi memerlukan belanja, masa, ruang dan melibatkan orang lain seperti berkumpulan. Ada hobi eksklusif sifatnya, bukan sahaja belanja, masa dan ruang, tetapi melibatkan perkakasan dan musim yang spesifik sahaja.

Seorang teman yang sudah berkeluarga, mempunyai hobi mahal dalam sukan bermotor. Masa minggunya dihabiskan dengan aktiviti permotoran sama ada di dalam negara atau negara jiran. Berkonvoi sini dan ke sana dalam kumpulan yang besar. Tidak semua orang mampu mempunyai hobi begini kerana ia melibatkan belanja dan masa yang banyak. Malah, kesanggupan ahli keluarga dalam melayan hobi kita juga harus diambil kira.

Persoalan saya sebenarnya bukan pada jenis hobi, tetapi mengapa kita mempunyai hobi. Apa manfaat dalam berhobi. Adakah ia membuang masa, belanja dan tenaga?

Hobi memberi kita kelebihan dan peluang 'escapism'. Ruang melarikan dan menyembunyikan diri dari dunia realiti. Memberi kita kelebihan bereksplorasi tanpa dihukum gerak-geri. Tanpa ada yang mengawal dan mengekori, meminta result yang diingini. Dalam ruang ini, kita bebas menjadi diri sendiri. Melupakan sementara kesesakan dalam dunia dihuni dan akan kembali dengan semangat yang diperbaharui. Ia satu keperluan bagi setiap orang. Walaupun sekadar hobi membaca atau menonton drama korea.

Mendiang Nelson Mandela seorang pemimpin berkulit hitam bertaraf dunia. Terakam pengalaman di mana beliau mempunyai sebuah kebun sayur di atas bumbung bangunan penjara yang merupakan tempat kediamannya. Di situlah beliau melarikan diri dari dunia realiti dalam penjara yang menyesakkan akal dan fikiran. Di kebun sayur itu beliau membuat terapi diri dan memperbaharui semangat bagi menempuh hari-hari baru. Melalui kebun sayur itulah, beliau membalas dan menabur budi pada ahli dan pekerja penjara dengan mengagih-agihkan hasil sayuran yang dituai. Hobi ini mampu mengekalkan kewarasan Mandela yang berpuluh tahun terpenjara jasad. Tetapi mindanya bebas ke alam lain.

Itulah kebaikan berhobi, ESCAPISM. Ia memberi nafas segar dalam alam lain, bebas dan kosong.



Thursday, 19 February 2015

Positif?

Salam


" Alhamdulillah hidup akak diberkati Allah swt, mungkin kerana akak selalu positif."

" Macam manalah nak baik sakit, asyik fikir negatif sahaja."

" Kita kena positif, baharulah benda baik menghampiri."

-image google-
Tunggu si positif ditimpa dugaan, dihadap cabaran hidup tidak putus-putus atau diseksa orang tidak henti-henti. Kita lihat sejauh manakah si positif boleh kekal positif.

Selepas didera emosi dan fizikal, diduga bertubi-tubi tetapi gigih bangun berkali-kali. Itu baru positif namanya.

Jika hidup selurus lebuh raya utara selatan; keperluan disediakan, kemahuan ditimang-timang, tidak perlulah mengnegatifkan orang lain. Belum tentu kita akan kekal positif apabila dibebani cabaran sepertimana mereka yang digelarkan itu.

Contoh terdekat ibu saya, beliau diduga dengan penyakit makhluk halus bersilih ganti. Dari usia lewat remaja hingga meniti senja, tidak putus-putus dan tidak tahu ke mana penghujungnya. Apabila ada makhluk istimewa mengatakan ibu saya negatif, seperti mahu simbah asid ke muka mereka.

Batu besar tepi di laut pun boleh terhakis dek geseran angin dan air. Bertahun-tahun lamanya digesel tanpa ada penamat. Akhirnya tetap berlekuk dan berkeluk dek angin yang menganggu. Bayangkan keadaan ibu, lebih empat puluh tahun usia kehidupannya dibuli oleh kehadiran jin-jin. Tidakkah terkesan emosi dan jasad ibu dek gangguan makhluk halus itu? Jangankan ibu, orang kalis peluru pun boleh gantung diri jika tidak kuat emosi bergantung pada Allah swt.

Sejujurnya saya tidak kagum pada mereka yang biadap mengnegatifkan orang lain. Hanya kerana hidup kita lancar tidak beronak bukan bermaksud kita mengamalkan pemikiran positif. Ia bermaksud, kita belum diuji tuhan. Jadi bercakaplah dengan alasa yang sepadan. Kita yang belum diuji belum tentu sekuat yang sudah atau sedang diuji.

Kita yang belum faham maksud ujian, belum tentu boleh bangun dan membawa sepanduk positif berbanding mereka yang gigih bangun berkali-kali selepas diasak bertubi-tubi. Kita belum tentu mampu mengangkat muka dan tersenyum sepertimana ibu yang berusaha menyelesaikan tuntutan hidupnya sebagai seorang hamba. Dan tidurnya bertemankan jin pada setiap malam. Kata ibu pada saya, jika tidak mampu mengasihani cukupkan berdiam diri tanpa menyakiti orang lain.

Kesempatan bersahabat dengan orang positif selama ini. Hidupnya lurus, rezekinya murah, anak-anak berjaya dan suaminya contoh suami mithali. Tidak ada yang kurang. Beliau mentafsirkan hidupnya anugerah tuhan yang memberkati. Tertanya-tanya pada saya, adakah nasib mereka ditimpa musibah akibat perbuatan diri atau ujian mendekatkan diri pada tuhan. Di manakah kita berbanding mereka itu? Adakah tuhan tidak menyayangi atau kesenangan ini juga berupa ujian yang kita tidak sedar?

Telahan kami tepat, kita belum diuji. Kita belum tahu, bila tuhan akan menguji. Di uji dalam kesenangan, kita rasa bangga dan yakin positif diri. Ketika diuji dalam kesakitan dan kesusahan, kita kembali merangkak kembali pada Nya. Kali ini bunyi 'positif' berlainan sama sekali, mungkin kerana kita lebih memahami.

Masanya akan tiba, kita semua akan diuji. Sebelum waktunya tiba, berusahalah untuk tidak mengnegatifkan orang lain. Kita tidak lalui jalan simpang-siur mereka. Kita belum ditusuk duri, digores dan ditoreh sembilu. Saya yakin bunyi alunan positif akan lebih sedap didengari apabila kita sudah melalui dan memahaminya.

Kekal dan yakin positif. Masanya akan tiba.

Thursday, 5 February 2015

Karektor...mengapa penting?

Salam

Saya mulakan subjek ini dengan kata-kata sakti di bawah.

The measure of a man's character is what he would do if he knew he would never be found out. Thomas Babington Macaulay

Ambil masa beberapa ketika, ulang tayang perlakuan diri dalam keadaan diperhatikan ataupun tidak diperhatikan. Di manakah kita berada?

Adakah kita masih mampu mengawal diri, berhenti di hadapan lampu merah ketika tidak dikawal polis. Masih boleh kekal harga jualan pada kos lama tanpa perlu diawasi. Masih tetap dengan gaya hidup terdahulu walaupun 'peluang' menari-nari.. Tahniah, itulah karektor!

Dunia moden hari ini, manusia perlukan medium lain untuk memastikan mereka berkelakuan baik. Kamera tersembunyi merata-rata. Polis sibuk mengawasi tidak kira masa. Agensi rasuah menerima laporan tidak henti-henti. Cikgu di sekolah pantang bercuti, anak-anak pula berdansa menari.

Tidak cukup agama untuk menjadi pembenteng diri. Tidak beradab dan berakhlak jika tidak diperhati. Di manakah anak-anak kita nanti?