Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Friday, 23 December 2011

Gelakkan diri sendiri

Salam


Saya selalu berangan ingin menulis perihal anak-anak di dalam sebuah buku dan dihiasi dengan gambar-gambar mereka sejak bayi hingga terkini. Matlamatnya cuma satu, itulah harta memori yang akan berkekalan hingga ke anak cucu. Mungkin cucu juga akan mengenali nenek ini menerusi nukilan dan gambar yang terdapat di dalam buku tersebut. Paling tidak, sekarang saya mulakan usaha dengan menulis di sini.


Nukilan kali ini bermula dengan peel anak daraku nan seorang ini. Entah kenapa, berbeza benar berbanding si abang, dia tidak boleh diajak bergurau, tidak boleh digelakkan, tidak boleh dipermainkan walaupun hanya untuk suka-suka. Kesannya kami selalu naik angin dengan kelakuannya. Asal kami bergurau, dia tidak akan melepaskan peluang mengenakan si abang, si abah ataupun saya, si umi. Masalahnya, jika giliran kami mengenakan dia, mukanya menjadi masam mencuka dan berakhir dengan tangisan. Si abang akan memprotes tanda tidak puas hati dan kami biasanya, mengambil sikap tidak memujuk. Biarkan hingga dia pulih sendiri!
Berbeza pula dengan si abah, bak kata anak sulungku; keluarga abah memang suka memujuk orang. Hahaha!


Secara psikologi, individu yang malu dengan kekurangan diri, selalu rasa rendah diri dan tidak mampu menggelakkan diri sendiri adalah tanda-tanda dia mengalami simptom low self-esteem. Benar, orang yang mengalami simptom  sebegini tidak mampu melihat kekurangan diri secara positif, mereka tidak mampu melihat ia sebagai sumber untuk memperbaiki kelemahan diri. Ya, saya boleh terima jika anak dara saya yang berusia 6 tahun sebegitu. Bagaimana dengan individu yang sudah dewasa, tetapi masih tidak mampu mentertawakan diri sendiri di atas apa saja kelemahan dan keburukan diri? Masih malukah kita dalam usia begini untuk mengaku kita kuat makan, badan kita gempal, kepala kita sedikit lembab apabila berbicara tentang quantum physic? Cuba berlatih untuk ketawa pada perkara-perkara bodoh yang kita lakukan. Contohnya, bila tersilap mengambil besen ke meja makan. Gelak dan gelengkan kepala, pasti kita akan berasa lega! Kita akan sedar bahawa kita cuma manusia, kadangkala membuat kesilapan. Apabila kita faham, perbuatan mentertawakan diri sendiri tidak sedikit pun mencemar rasa self-worth, ia tidak lansung mengurangkan kredibiliti diri. Ia hanya satu gambaran tentang diri kita yang sepertimana juga orang lain. Orang lain bermaksud, setiap daripada kita mempunyai kelemahan dan keburukan. 


Berbalik pada kisah anak daraku itu. Perkara pertama yang harus saya ajar padanya ialah ADMIT siapa diri kita. Sudah terima barulah kita boleh ACCEPT kelemahan dan keburukan diri. Bila dua-duanya sudah difahami, mudah untuk kita bergerak lebih jauh untuk memperbaiki, IMPROVE. Kadangkala, saya tertanya-tanya kenapa anak sulung ini sudah dilengkapi dengan kecerdikan ini? Ohh...rupanya dia ada kecerdikan interpersonal ini daripada kecil, mungkin warisan daripada si abah. Berbeza dengan saya, belajar daripada scratch jadi saya sedar, kecerdikan ini sangat penting untuk pembangunan diri.

Sunday, 11 December 2011

Mengalah

Salam

Umi, "Cubalah mengalah dengan adik, abang kan dah besar."
Anak sulung membungkam tanda protes, "Asyik-asyik A saja yang kena mengalah!!"
Umi, "Mengalahkan amalan mulia, elak daripada bersengketa sesama adik-beradik."
Anak menjawab, "Kalau asyik mengalah, sampai bilalah saya takkan menang dan sampai bila-bila orang takkan tahu dia salah?"
Google image
Here we go, he got a brilliant point over there!

Kualiti mengalah ini baik jika dilihat secara kasar, bak kata-kata orang bijak, "Mengalah bukan bererti kalah", tetapi betul ke? Hehehe. Bagaimana dengan pengalaman kita mengalah hingga dipijak kepala, emak pijak kepala anak, suami pijak kepala isteri, abang pijak kepala adik, adik pijak kepala kakak? Betul, mengalah bukan bererti kalah, mengalah juga bukan bererti menang tetapi mengalah bermaksud menanggung bebanan sakit jiwa jika ia berlarutan sekian lama! Tidak berani bersuara kerana bimbang dicop sebagai laser, kurang ajar, kurang adab dan lebih teruk kurang akal. Isu ini membuat saya terfikir, mengalah yang bagaimana harus kita promosikan pada diri sendiri, mungkin juga pada anak-anak supaya kita tidak dilihat lemah kerana kualiti mengalah yang berlebih-lebihan.

Perbuatan mengalah membawa pelbagai perspektif berbeza kepada si penerima. Ada yang beranggapan kita tidak cukup sumber, bilamana masing-masing hendak menunjuk kekayaan diri sendiri. Awak tukar langsir, dia tukar langsir. Awak tukar kereta import, kita pun harus tukar kereta import. Jika kita memilih untuk mengalah daripada sudut begini, walau apapun orang beranggapan pada kita, ia adalah satu perbuatan mulia! Risaukah kita jika orang tahu kita tidak cukup sumber? Pasa saya, ia jauh daripada isu risau kerana memang benar pun, sumber kita di dunia ini terhad! Siapa berani menafikannya! Bayangkan pula situasi bilamana pekerja pejabat membentangkan kertas projek tetapi ideanya dicilok oleh staf lain dan diakui hak miliknya. Dia bukan sahaja mendapat kredit daripada usaha mencilok tetapi bonus tahunan syarikat juga menjadi rezekinya. Perlukah kita mengalah dalam situasi sebegini? Perlukah kita amalkan filosopi "mengalah bukan bererti kalah" selamanya, atau kita pasang strategi untuk mengubah keadaan.

Kualiti assertive tidak popular di dalam budaya kehidupan orang-orang melayu. Tidak terjumpa terjemahan positif yang boleh diceduk secara lansung untuk menerangkannya dalam bahasa kita, selain daripada perkataan mendesak, terburu-buru atau mungkin agresif (ia lebih bersifat neutral). Jangan terkejut jika di luar negara, kualiti ini diajar secara ilmiah dan terbuka di dalam mana-mana kursus pembangunan manusia dan banyak artikel seumpama ini terdapat di laman sesawang jika kita berminat. Walaupun begitu, janganlah pula mengamalnya di tempat-tempat tidak sesuai. Usah diajar kualiti ini pada anak-anak jika bertandang ke rumah tetamu, ada pula yang akan dihalau dengan penyapu! Hahaha.

Langkah pertama untuk mahirkan kualiti baru ini dalam kehidupan ialah dengan bercakap TIDAK pada diri sendiri. Usah bimbang dengan orang lain, latih diri untuk bercakap "tidak".  Setelah mahir boleh digunakan pada orang lain, contohnya jika orang menyuruh kita datang menggantikan dirinya dalam kursus tanpa alasan munasabah, katakan tidak! Jika suami menyuruh siisteri bangun tidur dan memasak mee kari pada jam tiga pagi, katakan tidak! Walaupun begitu, gunakanlah kewarasan yang ada, jika pilihan mengalah melebihi nilai daripada bersikap assertive, teruskan mengalah. Jika kualiti assertive melebihi nilai mengalah, jangan rasa bersalah untuk bercakap tidak!

Hampir pada penghujung tulisan ini, baru saya tersedar mengapa sesetengah daripada kita ternyata kurang nilai "common sense" yang perlu diamalkan dalam hidup seharian. Tiada proses timbal balik dalam fikiran, mengalah atau perlu berkerat rotan semata-mata hendak menunjukkan kita betul(negatif assertive), sedangkan kita tahu persepsi betul atau salah hanya sebuah label bergantung pada si pemikir. Tidak mudah untuk belajar menjadi waras, perlu ada ilmu dan pengalaman hidup yang luas supaya perbuatan kita berpasak pada nilai tambah yang betul. Sama-samalah kita berusaha ke arahnya.

Akhirkata, saya tinggalkan persoalan ini pada semua. Fikir-fikirkan!

Sekian.

Sunday, 4 December 2011

You're allergic to fun!

Hai semua

Selamat bermalam minggu disamping keluarga tersayang. Ikutkan hati ingin menyambung kerja yang belum habis tetapi kasihan pula pada anak-anak. Bapanya sibuk ke kelas dan uminya sibuk hendak siapkan kerja di malam minggu, rasa macam tidak patut pula! Selepas waktu magrib, saya membawa anak-anak keluar makan malam. 

Bila suasana tenang tanpa jadual sepertimana hari-hari sekolah, peluang untuk bersembang dengan anak-anak lebih terbuka luas. Kami berbual sambil makan dan gelak tawa anak-anak menyegarkan perasaan. Anak daraku ini suka bermain dengan "perkataan dan ayat-ayat", antaranya three words to describe me atau one sentence to describe you. Apa yang keluar daripada mulut comelnya apabila dia menggambarkan umi ini ialah, "you're allergic to fun". Walaupun dalam ketawa mendengar komentar anak itu, di dalam hati bagaikan terkesima dengan jawapannya. Betulkah saya ada alergi dan alergi pada keseronokkan? Sungguh menyayat hati!!

Agaknya benar, kekadang menjadi umi, kita bagaikan bekerja 16 jam satu hari sebagai tukang kemas, tukang masak, tukang bersih, tukang mengajar, tukang supir dan segala jenis tukang hingga kita terlupa menjadi seorang umi yang sentiasa senyum pada anak-anak. Anak-anak ajak bersembang, kita suruh dia diam! Anak ajak bermain dam, kita suruh dia masuk bilik! Anak ajak pergi berenang, kita kata hari hendak hujan(memang musim hujan pun). Pendek kata, anak-anak senantiasa cari peluang dan masa untuk bersuka-ria, dan kita senantiasa cari alasan untuk tidak berseronok dan menghargai peluang yang ada! Apa masalah kita sebenarnya? Adakah hati saya sudah kering untuk berseronok atau kepala saya terlalu penuh dengan aktiviti untuk diri sendiri tanpa melibatkan anak-anak. Padanlah, anak menggambarkan saya sedemikian rupa!

Apabila bersembang dengan anak-anak, satu per satu dimensi kehidupan akan keluar daripada mulut mereka berdasarkan perspektif yang tercorak dalam fikiran. Pertanyaan demi pertanyaan yang diungkai, membayangkan kefahaman mereka tentang dunia yang berputar. Gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk membentuk kefahaman, keperibadian dan mengukuhkan nilai-nilai kehidupan yang ada dalam diri anak-anak. Bayangkan jika di usia anak-anak begini, mereka sudah mahir tentang ilmu kehidupan seperti yang tertera di dalam buku 7 habits of highly effective people. Bayangkan pula bagaimana mereka akan memfokuskan hidup ini dengan cara paling efektif apabila usia mencecah awal kedewasaan. 

Jangan bimbang tentang kefahaman mereka pada subjek-subjek abstrak sebegini, mereka mungkin memahami 50 peratus daripada apa yang kita ceritakan. Oleh itu, kita harus mengulanginya dari masa ke masa dan memberi contoh-contoh yang sesuai dengan usia. Saya berikan contohnya di sini;
Umi, "Abang suka naik kereta ke, motor ke, basikal ke atau jalan kaki?"
Anak, "Alah...tak suka naik motor, nanti senang eksiden!"
Umi, "Kalau macam tu...naik apa pun akan eksiden, tak semestinya motor saja?"
Anak, "Ya...tapi kalau motor eksiden, terus mati..buekkk!!(menunjukkan matanya yang bulat dan lidah terkeluar cam katak mati kena langgar!)".
..................................................................................................................

Saya mengambil sebatang pensel dan menunjukkan demo di depan kedua-dua anak ini. Jika umi angkat satu hujung pensel, satu hujung lagi terangkat atau tidak? Mereka menjawab, "terangkat". Saya ubah posisi pensel berulang kali dan jawapannya tetap sama, "terangkat". Saya berkata pada mereka, setiap perkara awalan pasti ada akhiran. Awalan itu kita pilih tetapi akhiran akan menuruti awalan samada kita suka atau tidak. Kita pilih untuk jadi malas, mungkin akhirannya kita tidak akan berjaya. Berbalik pada perbualan motor di awal tadi, pilihan apa pun yang kita buat, samada motor, kereta atau basikal, akhiranya pasti ada. Jadi pilihlah apa pun dalam kehidupan ini, samada hendak jadi rajin, malas atau apa saja ...yang pasti akhirannya tetap ada dan ia berbeza mengikut pilihan. 

Tidak semena-mena adik mencelah, "Kalau macam tu, pilih jalan kaki pun tak best...nanti orang pulak langgar kita!"

Hahahaha, saya rasa anak-anak ini telah mula memahami konsep "consequences in life".

Wassalam

Friday, 25 November 2011

Uncle Steve dan anak kita

Saya malas masak hari ini, lauk semalam pun tidak selera hendak dijamah. Jadi selepas habiskan kerja petang tadi, saya mengajak anak dara tadikaku itu makan di luar. Muka dia ceria tapi ada soalan keluar daripada mulutnya, "Tempat makan tu, ada WIFI tak?". Amboi, macam salah dengar pula, dia bukan tanya makan di mana atau makan apa, tetapi ada WIFI atau tidak! Uncle Steve tentu gembira jika tahu betapa anak-anak kita sungguh sayang dan sukakan dia.

Bercerita tentang teknologi dan anak-anak, merekalah orang yang paling gembira dan paling "advance". Bercerita tentang teknologi, kita sebagai emak dan ayah mengambil kesempatan ini, mengalih tanggungjawab kita pada teknologi pintar untuk mengajar, menemani, bermain dan melayan anak-anak kita. Ia tidak salah, ia sangat menyenangkan tetapi sepertimana biasa, sifat keterlaluan bila tanpa pengawasan akan membawa kesan sampingan pada anak-anak. Ramai mak dan ayah bangga bila bercerita tentang kecerdikan anak-anak bermain dengan teknologi pintar samada iphone, ipad, ipod, galaxy tab...dan macam-macam lagi. Saya tidak menidakkan kecerdikan anak-anak ini, mereka memang lebih "natural" berbanding kita bila bermain dengan teknologi pintar tersebut. Tapi saya prihatin, adakah kepintaran ini akan membawa kebaikan atau keburukkan pada mereka kelak di masa hadapan. Pembacaan saya tentang kerakusan teknologi pintar ini "memandaikan" anak-anak kita mempunyai kesan yang negatif berpanjangan jika tidak dipantau sejak awal. Saya senaraikan kesan-kesan sampingan itu di sini;
  • Mematikan kemahiran komunikasi anak-anak; kemahiran sosial sangat penting pada anak-anak di awal usia mereka di tadika. Jika masa bermain, berseloka, bergaduh dan berebut ini digantikan dengan kehadiran teknologi, anak-anak tidak akan belajar seni berkomunikasi bersama-sama rakan sebaya.
  • Membantotkan kemahiran sosial anak-anak; ambil anak sulung saya sebagai contoh, dengan sifatnya sendiri anti-sosial, pendiam dan "reserve", bagaimana teknologi pintar ini membantu dia bersosial. Setengah daripada kita tidak rasa ia satu kekurangan, tetapi ingat anak kita akan bekerja dengan orang, berkahwin dengan orang dan mempunyai anak yang juga "orang".
  • Meningkatkan risiko kegemukan; anak-anak perlu berlari, bermain bola, bertendangan dan bergusti untuk memantapkan koordinasi tangan dan kaki. Jika masa petang mereka dipenuhi dengan aktiviti pintar ini, mereka akan mudah mendapat habit baru iaitu "berlengkar" dan bukan aktiviti mengeluarkan peluh.
  • Membunuh daya kreativiti dan common sense anak-anak; kemahiran ini perlu dipupuk daripada awal. Malang sekali anak-anak sekarang ternyata bijak tetapi common sense, amat kurang. Tidak semua mak dan ayah sedar tentang kekurangan ini, oleh itu anak-anak perlu didedahkan dengan pengalaman hidup dan perbuatan. Ia tidak tercapai dengan permainan pintar daripada Uncle Steve.
Kesannya pada otak anak-anak lebih menakutkan, ransangan-rasangan yang diterima daripada mainan ini akan membuatkan otak anak ketagih. Apabila otak ketagih, mereka tidak boleh fokus untuk jangka masa yang lama terutama pada kerja-kerja yang memerlukan konsentrasi yang tinggi. Otak yang terbiasa dengan ransangan sukar untuk tenang dan bermuhassabah, dan sukar untuk berfikir. Aktiviti penting otak seperti mengingati, mensintesis, berfikiran kritis datangnya daripada sesi bila otak berasa tenang dan dalam mod berfikir. Bagaimana agaknya, anak-anak akan berasa tenang jika setiasa terdedah pada simulasi permainan ini tanpa kawalan.

Lihat pula pada remaja sekarang, adik-adik dan anak-anak buah di kampung. Perjumpaan hari raya tidak lagi semeriah dulu, masing-masing terlalu sibuk dengan buah tangan Uncle Steve. Tiada sapaan, tiada bualan dan tiada lagi gurauan, masing-masing sibuk dengan buah hati. Pada emak saudara yang menerima kunjungan anak-anak buah yang sibuk dengan buah hati, kadangkala rasa "sakit hati". Apa tidaknya, makanan perlu disediakan, perlu dihidangkan, perlu dijemput, perlu dikemas selepasnya tetapi tetamunya sibuk melayan buah hati. Jika emak dan ayah mereka prihatin, untunglah kita tapi kalau sebaliknya, jadilah pembantu di rumah sendiri. Hahahah!

Jadi masanya sudah tiba, saya ingin keluar makan bersama anak dara ini dan tidak lupa tempat makan berWIFI.

Jumpa lagi

Tuesday, 22 November 2011

Fenomena UPSR

Salam semua

Minta maaf, lambat benar meng"up date" entry kali ini. Sibuk, sangat sibuk! Lelebih lagi dengan anak-anak di rumah.
Cuti sekolah datang lagi, peperiksaan akhir tahun juga berakhir lagi dan anak-anak mendapat keputusan UPSR lagi. Ada yang gembira, ada yang kecewa dan ada yang marah-marah sebab turun ke kelas belakang. Fenomena biasa di akhir tahun, tiap-tiap tahun tidak berubah, yang berubah cuma mereka yang mengambil peperiksaan UPSR, mereka yang mendapat keputusan baik dan mereka yang turun ke kelas belakang. Tidak perlu meremehkan perasaan anak-anak gembira kerana mendapat keputusan baik dalam UPSR, jangan "chandek" anak-anak yang kecewa jika keputusan itu tidak menyebelahi mereka. Maklumlah, masa hendak buat persiapan dulu, bukan main culas lagi tetapi bila mendapat keputusan, sedihnya tidak terkata! Dia bertawakal sebelum bersiap sedia untuk ke medan perang. Hehe! Dan jangan padankan anak-anak yang terpaksa turun kelas. Banyak pengalaman hidup di situ jika kita ingin memperkayakan kehidupan mereka.

Kita sebagai ibu, apabila anak mendapat keputusan cemerlang dalam apa jua peperiksaan, bangganya bukan main! Bukan salah kita pun, segala titik peluh menjadi supir anak bagaikan terbalas selama ini dengan ketulan-ketulan A yang diraih oleh mereka. Nak-nak lagi jika ibu seorang surirumah yang tidak mempunyai penilaian lain dalam kerjaya dia sebagai ibu, melainkan prestasi anak-anak. Kejayaan anak-anak bagaikan kejayaan dia mendapat bonus 12 bulan, senyum meleret sampai ke dapur. Tidak salah untuk merasa apa pun, hak kita! Dalam kegembiraan, kedukaan, kemasaman dengan keputusan anak-anak ini, jangan lupa, hidup anak-anak ini masih panjang. Kecewa itu boleh, tetapi jangan membantotkan daya perjuangan anak-anak. Marah pun boleh, tetapi jangan sampai melabel anak-anak dengan panggilan luar biasa. Gembira sangat pun boleh maklumlah kita supir pada mereka, tetapi jangan sampai menelefon semua orang semata-mata nak berkongsi kisah kecemerlangan anak kita. Simpan sedikit kisah gembira itu pada hari-hari duka, simpan sedikit kisah murung itu pada hari gembira dan simpan sikit marah itu pada hari-hari anak kita merangkul kejayaan luar biasa kelak, mungkin 10 tahun daripada sekarang.

Sebagai ibu, saya akui ia bukan perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Saya berpengalaman melihat ibu yang tidak habis-habis bercerita tentang kecemerlangan anak-anak hingga satu masa, kisahnya terbalik. Saya pernah melihat bagaimana ibu yang sentiasa berhati-hati ingin bercerita kerana bimbang ibu lain terguris, anak-anak dia berjaya bukan setakat UPSR, malah PMR dan SPM tetapi hingga ke BTU dan ATU. Jadi, solusi saya dalam isu-isu begini, bukan tidak boleh bercerita tetapi berceritalah pada mereka, yang kita kenal hati budi mereka. Orang yang sanggup berkongsi suka duka kisah anak kita, boleh mengucap tahniah pada kelebihan orang lain. Jika kita tidak pernah mengambil tahu, tidak pernah berkongsi cerita, tiba-tiba bil telefon kita melambung apabila anak mendapat 5A dalam UPSR. Fikir sendirilah bagaimana perasaan orang-orang yang menerima panggilan kita. Tidak perlu menjadi saintis roket untuk mengetahuinya.

Pada saya yang masih belum ada anak-anak yang mengambil UPSR, saya lebih suka mengambil sikap "mendengar" daripada bertanya. Jika ada yang sudi berkongsi, saya ucapkan tahniah, tidak kisahlah berapa ketul A yang dirangkul. Pada anak-anak buah, maksudnya dalam likungan ahli keluarga, saya sendiri akan bersembang dengan mereka dan biasanya, tanpa segan mereka akan berkongsi. Pada kawan-kawan yang tidak mahu berkongsi, saya tidak bertanya dan jika jawapan mereka "ada...lah", jangan didesak. Berilah ruang pada mereka sebagaimana kita memerlukan ruang apabila mendapat D dalam subjek statistik. Muahahahah.

Sunday, 13 November 2011

Yuna....kenapa Yuna?

Salam

Malam minggu yang tenang. Baru selesai menonton AIM, lagu kesukaan saya memang trofi! Dalam ramai-ramai penyanyi baru dalam persada seni, saya tertarik dengan kemunculan Yuna. Seorang gadis manis bertudung, ada personaliti, ada keunikkan tersendiri dan ramai juga peminatnya. Seikhlasnya, saya bukan peminat Yuna, saya tidak serasi dengan muzik yang dibawa olehnya,dan saya tidak pernah mendengar lagu di dalam album yang dimenanginya malam ini. Saya baru tahu, tajuk album yang beliau menang malam ini ialah PENAKUT. Dan paling penting dia MENANG! Anak sulung saya seperti biasa akan bertanya soalan, "Kenapa Yuna?"

Kenapa Yuna, kenapa Siti Nurhaliza, kenapa Shiela Majid, kenapa arwah Tan Sri P. Ramlee? Jawapan saya pada anak itu,"Sebab Yuna unik,... sebab P.Ramlee unik!" Dunia dan manusia mengagungkan mereka yang unik. "Unik yang bagaimana?", tanyanya lagi."Unik sebagaimana kita diciptakan oleh Allah maha esa". Entah faham atau tidak anak itu, tapi yang pasti soalan ini akan ada sambungannya kelak.

Kita semua unik, sedarkah kita? Kita selalu impikan diri ini menjadi orang lain, seronoknya kalau dapat menjadi seperti Yuna, Paris Hilton atau Anwar Zain. Sedarkah kita kenapa Anwar Zain unik, lagu-lagunya pun unik? Jawapannya kerana dia tidak cuba meniru menjadi M.Nasir, sebab dia kenal dirinya dan kekuatan vokal yang dianugerahkan padanya. Bila seseorang individu tidak melawan fitrah kejadiannya, harmoni itu akan datang dengan sendiri. Ia mengambil masa untuk orang-orang keliling mengiktirafkan keunikkan tersebut, tapi yang pasti dialah THE ONE and ONLY.

Lihat pada anak-anak kita, mereka juga unik dengan cara mereka tersendiri. Tugas kita berat untuk mencukil keunikkan tersebut dan ia mengambil masa yang lama dalam pelaburan jangka panjang, sebelum kita boleh menuai hasil. Sabarkah kita untuk meneroka keunikkan itu? Sabarkah kita untuk melabur masa dan tenaga pada mereka, supaya keunikkan itu terserlah? Jawapannya, kadang-kadang sabar dan kadang-kadang, kita hendak mereka menjadi sepertimana anak-anak lain. Kita membandingkan mereka tanpa sedar, kenapa dia tidak macam itu, tidak macam ini seperti anak-anak lain di keliling. Tanpa sedar kita bunuh keunikkan anak-anak ini sebagaimana kita bunuh angan-angan mereka. Kejamkah kita?

Kita suruh anak-anak berjaya di sekolah, berminat dengan mata pelajaran sains dan matematik. Kita seksa mereka hingga habis SPM, hahahaha! Alih-alih anak baru menemukan keunikkan mereka di bengkel kereta dan litar Sepang, ingin menjadi pemandu Formula One, atau penunggang GP Superbike. Sedangkan anak-anak dari negara lain sudah mula naik tangga podium di awal usia 18  tahun. Bagaimanakah agaknya, untuk kekalkan keunikkan anak-anak ini hingga dia berjaya ke podium? 

Saya tidak ada jawapan pada persoalan ini, yang pasti Yuna memang unik. Disebabkan keunikkan itulah, dia berjaya sepertimana individu-individu lain yang juga unik. SyabasYuna!!

Soalan terakhir daripada mulut seksi anak itu, "Kenapa ada orang unik masa kecil dan ada, bila dah tua?". Jawapan saya, "Itu namanya LATE BLOSSOM".  Kita akan bersambung di lain masa, kenapa ada orang dikenali sebagai late blossom.

Selamat malam.

Thursday, 10 November 2011

Seumur hidup di situ....

Image google
Salam

"...sebab itulah dia jadi maid!!", pernah atau tidak kita mendengar komen seperti ini? "Padanlah dia menjadi pak guard yang membuka palang pagar, kalaulah dia boleh berfikir macam awak, sudah tentu dia menjadi CEO, mnc."

Ada orang kata, pekerja asing yang datang ke negara kita ada pelbagai peringkat dan peringkat yang paling bawah adalah mereka yang bekerja di stesyen pam minyak kerana mereka tidak ada keupayaan untuk berinteraksi mahupun memberi maklumbalas kecuali pada dua perkataan mudah iaitu "kuning" atau "hijau". Pertama kali mendengar komentar begini, rasa kelakar tapi jika tidak percaya, cubalah! Dalam masam kelat terpaksa juga ditelan realiti ini. Paling tidak, mereka adalah rakyat asing yang kurang serba serbi  berbanding kita di sini, maklumlah bahasa dan budaya berbeza tetapi jika rakyat kita sendiri pun sedemikian rupa. Apa masalah, sebenarnya?

Hampir setengah jam menunggu untuk menghantar surat, hanya satu kaunter berbuka. Jika seorang pekerja dan satu kaunter berbuka, boleh juga diterima akal tetapi jika tiga orang kerani tetapi satu kaunter berbuka, apa masalahnya? Tiga orang pekerja, satu kaunter berbuka masih boleh diterima akal ,sekiranya dua orang lagi sibuk membuat kerja-kerja lain. Jika seorang pekerja dengan muka selamba tanpa rasa bersalah melihat pelanggan semakin ramai beratur,  tetapi masih tidak mengambil inisiatif lebih daripada biasa, hanya melihat dan duduk diam di situ sambil menunggu komputernya dibaiki( mungkin), apa yang tidak kena?

Saya bertanyakan soalan ini pada anak? Dia menjawab, "Takpelah...dia menunggu komputernya dibaiki!" Tidak salah jawapan anak ini, cuma saya rasa kalau kerani itu boleh pergi "extra mile", ambil inisiatif untuk menjadi lebih daripada kerani biasa-biasa,  pasti bukan di situ tempat dia, selamanya! Suka atau tidak, hanya orang-orang yang suka mengambil "extra mile" saja yang akan berjaya di dunia mahupun di akhirat. Kejayaan kita berbayar dengan titik peluh dan kerja kuat, sedikit bonus jika disertai dengan akal fikiran yang sihat dan bijak.

Anak berusia 10 tahun mungkin tidak akan faham tetapi pada orang bekerja, perkara ini bukan isu baru. Kerani menjaga kaunter adalah pekerjaan tetapi keprihatinan dan timbang rasa membezakan kita daripada menjadi kerani biasa-biasa. Susah benarkah hendak bertanya pada pelanggan yang berbaris panjang? Sesiapa yang hendak membeli setem, tidak perlu berbaris kerana tiada keperluan berkaitan komputer. Memilih untuk menjadi kerana biasa-biasa, kita hanya akan menunggu hingga komputer selesai dibaiki tetapi memilih menjadi kerani yang mempunyai akal timbang rasa dan "cerdik" sedikit akan membawa kita jauh dalam kerjaya, walaupun kerjaya kita hanya biasa-biasa. Benar, bagai kata anak ini, menjadi luar biasa itu susah kerana perlu mengambil inisiatif dan menyusahkan badan. Benar juga jawapan bapa ini pada anaknya, "Ingat syurga itu tidak ada harga yang perlu dibayar, siapa kata mudah untuk dapat syurga?"

Cuba fikir balik, kenapa dia menjadi pembantu rumah? Ramai majikan tidak faham dan sering mengadu perihal pembantu rumah yang tidak boleh berfikir walaupun isu-isu sampah. Jawapan saya, sebab dia pembantu rumah! Keupayaan dan tahap pemikiran dia melayakkan dia menjadi pembantu rumah. Jika dia boleh berfikir seperti kita atau Robert Kiyoski, adakah dia akan menjadi pembantu rumah? Jawab sendirilah.

Berbalik pada isu yang membuat hati ini membara, apalah salahnya jika seorang kerani mampu berfikir lebih daripada biasa, ambil inisiatif untuk membantu pelanggan yang datang ke kaunter. Saya menunggu setengah jam hanya untuk harga setem seringgit, ia sangat tidak berbaloi. Dia tidak bertanya, sesiapa yang hendak membeli setem tetapi saya yang pergi kepadanya dan bertanya, perlukah saya beratur jika bukan untuk membayar bil? Tanpa jawapan, tanpa senyum, dia memberi setem seringgit kepada saya. Dalam hati tetap berkata, sampai bila-bilalah dia akan menjadi kerani kaunter. Bukan niat saya, memperkecilkan pekerjaan kerani tetapi pembawakan diri yang akan menentukan destinasi kita kelak. Tiada beza dengan mereka yang berjawatan hebat di luar sana, bak kata-kata orang cerdik pandai ...  
 "Your attitude can determine your altitude." - Zig Ziglar

Pengalaman hidup di negara maju, Switzerland. Saya mengambil masa 5 minit, tidak lebih jika memasuki pejabat pos mereka. Lima minit, tidak lebih dan bas akan tiba di depan pejabat pos, tidak pernah sekalipun saya ditinggal oleh bas. Jika ada orang bertanya, apa perbezaan ketara antara negara maju dan negara kurang maju? Jawapan saya ialah "orang-orangnya".
Soalan saya pada seseorang, "Bolehkah negara China menjadi Amerika dalam masa 20 tahun akan datang?", jawapannya "Tidak, kerana orang-orang China bukan seperti orang-orang Amerika." 

Hahaha, jawapannya tetap pada "orang".





Tuesday, 8 November 2011

Que sera sera atau carpe diam



Salam semua

Baru balik bercuti, terlupa hendak mengucapkan selamat hari raya aidiladha. 
Selamat hari raya korban pada semua pembaca blog ini. Semoga perayaan ini mengukuhkan tali persaudaraan kita sekeluarga.
Balik ke kampung dan berjumpa dengan sanak saudara, berbagai-bagai kisah keluar, warna-warni bagaikan pelangi menghiasi kehidupan ini. Disampaikan oleh ibu mertua, cucunya yang seorang itu masih tidak mahu bekerja walaupun ada tawaran di depan mata. "Suka duduk di rumah," kata anak itu tanpa sebab-sebab lain yang sedikit munasabah.  Maklumbalas itu mengundang rasa kecewa pada kedua ibubapanya dan marah dengan sikap anak dewasa tersebut.

Marah bukan lagi satu pilihan di waktu ini, rasanya! Bila disusuri kehidupan anak itu, tiada sedetik di sepanjang perjalanan hidupnya , dia digesa atau dituntut untuk membuat sesuatu. Que sera sera , kata orang putih berketayap putih.

Filosopi hidup que sera sera ada di mana-mana saja jika diperhatikan. Saya pun sukakan filosopi ini, senang bukan? Tidak perlu sesakkan fikiran, tidak perlu susah payah, apalah sangat nak dikejar dalam kehidupan ini, ada ada , tidak ada, tidak ada lah...tak perlu sakit kepala! Kepala tidak beruban, dahi pun tidak berlapis empat. Senyum meleret sebab hati senang, cukup makan, cukup tidur...apa lagi kita minta?
Bayangkan saja jika seumur hidup begini kita melayari kehidupan, tiba-tiba digesa suruh bekerja, tiba-tiba hendak dikerah tenaga anak supaya "seize the day". Apa jawapan mereka pada kita kelak? "Alaaa...tak kerja sekalipun, saya cukup makan dan cukup pakai, jadi kenapa susah payah nak suruh saya kerja?" 

Menakutkan jika memikirkan kemungkinan-kemungkinan sebegini.

Berlawanan dengan filosopi que sera sera ialah carpe diam atau seize the day. Orang sebegini hidup bagaikan tidak cukup 24 jam dalam sehari, berkejar, berlari, ber...,ber..., ber...Mereka melakukan sesuatu bagaikan tiada hari esok, mereka letak sasaran tinggi dalam hidup, tanpa henti mereka mengejar impian ,mereka mengejar peluang, mereka berhenti bila nafas terhenti.

Antara kedua-dua filosopi ini, di manakah kita? Apakah filosopi yang kita cuba serapkan dalam fikiran anak-anak? Tiada salah atau benar dalam pilihan yang kita lakukan, cuma kesudahan itu tentunya berbeza. Apa pun pilihan tetap di tangan kita, jadi kita semua ada peluang yang sama.

Pada saya, pendekatan mana pun yang kita pilih banyak berkait dengan cara kita dibesarkan dan karektor empunya diri. Ada anak yang tidak perlu disuruh, dia tahu apa yang dicari dalam hidup ini tetapi hendak pukul rata semua anak tahu apa yang diimpikan, tidaklah benar sama sekali. Jadi sebagai ibubapa kita perlu tunjukkan cara dan dedahkan kedua-dua filosopi ini pada mereka. Ada masanya, anak-anak perlu digesa supaya melakukan sesuatu dan  biarkan mereka rasa nikmat mendapat sesuatu, hasil daripada keringat dan susah payah mereka sendiri. Ada masanya, anak perlu diajar untuk menghargai apa saja yang mereka ada di depan mata, tanpa syarat yang berjela. Bak kata saya dalam entri terdahulu, bahagia sebenarnya adalah tanpa syarat. Lagi banyak syarat yang kita letak di dalam senarai untuk mencapai kebahagian, lagi lambatlah kita bahagia dan di sinilah hidup berfilosopikan que sera sera adalah paling ideal.

Bagaimana kesudahan kisah anak dewasa yang enggan bekerja itu? Jawapan saya, nasib baik dia seorang perempuan, tunggu saja dipinang orang. Hehehe.

Saturday, 29 October 2011

Semua anak genius.

Salam semua.

Google Image
Malam minggu yang hening, baru balik membawa anak-anak menonton Hugh Jackman dan Dakota Goya. Sebuah cerita sempoi tetapi menarik, perihal hubungan ayah dan anak, berlatar belakangkan kisah robot. Garapannya menarik terutama bila saat-saat "bermakna"  antara seorang ayah dan anak, ia menyentuh hati! Anak-anak pula macam hilang fokus, tatkala ummi sedang melayan perasaan. Ada soalan menerjah masuk ke telinga, "Kenapa dia menangis, umi?". Alahai, potong stim betul bawa budak-budak ini!

Ada orang kata, jika hendak mengenal anak-anak genius, lihat pada soalan-soalan yang ditanya oleh mereka. Jika itulah ukuran genius, anak sulung ini sudah melepasi kriteria tersebut. Di usianya 6 tahun, dia bertanya pada ummi "Bagaimana tuhan boleh pilih dia untuk menjadi anak ummi? Di Papua New Guanea tu, ada guanea pig ke? Kenapa dalam bacaan tahhiyat akhir solat, kita cuma perlu sebut nama nabi Muhammad saw dan nabi Ibrahim sahaja?" Sekarang pula, soalan-soalannya banyak berkisar pada orang-orang terkenal di dunia seperti Nelson Mandela, Mother Teresa dan ramai lagi. Dia berminat dengan fakta-fakta sejarah negara seperti sebab-sebab penubuhan Malaysia, kenapa Singapura keluar daripada gagasan Malaysia dan seperti biasa, soalan-soalannya tidak pernah habis. Dia sekarang berusia 10 tahun.

Jika diimbas kembali zaman anak sulung masih kecil, saya sering "perasan" anak ini ada ciri-ciri genius(jangan gelak). Masa berubah, anak semakin membesar dan lama kelamaan, perkataan genius itu bagaikan tiada makna dan fungsinya lagi. Banyak cara orang melabelkan anak-anak bijak ini, panggilannya pun pelbagai seperti gelaran gifted, genius, indigo, HSP(hyper sensitive personality) kononnya ciri-ciri asas mereka ini berkisar pada  isu "kecerdikan". Agaknya, jika anak kita tidak termasuk dalam label ini maka kurang cerdiklah mereka...tidak mengapa! Berbalik pada kisah anak sulung ini, benar dia bijak tetapi kecerdasan dia tidak boleh dimanipulasikan sebagaimana anak-anak lain yang bijak matematik, bijak bercakap, bijak bercerita, bijak menari, bijak segalanya sebagaimana yang dipertontonkan di dalam rancangan TV, Tom-tom Bak dan Bersama Aznil.

Kisahnya, menjadi ummi pada seorang anak bijak, tiada beza dengan yang kurang bijak kerana hari-hari meleter perkara yang sama. Apalah makna bijak pada anak, jika setiap kali masuk waktu solat, harus diingatkan berkali-kali hingga berbuih mulut. Apa maknanya bijak anak kita, setiap pagi ummi terpaksa mengingatkan supaya tuala yang digunakan perlu disidai sebelum pergi ke sekolah. Apa maknanya bijak anak ini, jika setiap kali selepas makan, pinggan sendiri pun tidak boleh dibawa ke sinki walaupun tidak perlu dibasuh. Itu sebab saya katakan tadi, apabila anak semakin membesar dan kita semakin banyak makan garam, isu bijak bukan lagi isu utama dalam sasaran pendidikan informal di rumah. Bijak otak saja tidak membantu anak-anak untuk berkelakuan baik, bijak matematik  saja tidak cukup untuk memastikan anak kita solat pada waktunya. Oleh itu, genius bukan jawapan pada semua persoalan dalam mendidik anak-anak.

Secara peribadi, saya adalah pengikut setia pensyarah Univerisiti Harvard, Horward Gardner, seorang psikologis yang mendalami ilmu kecerdikan manusia menerusi kajian beliau, Multiple Intelligence(MI). Walaupun banyak kritikan demi kritikan didengari berkaitan isu ini, tapi paling tidak, ia seakan-akan memberi kefahaman luas dalam isu kecerdikan manusia yang selama ini hanya dipegang oleh mereka yang bijak matematik dan sains sahaja. Malangnya, saya sendiri kurang cerdik dan tidak berminat dalam subjek matematik dan sains, itu saja sebabnya kenapa saya sukakan MI! 

Pada ibubapa yang masih taksub dengan kecerdikan otak anak-anak, jangan terlalu tertekan dan menekan. Percayalah, semua anak-anak kita genius dengan cara tersendiri sebagaimana yang telah dianugerahkan oleh Allah. Cabarannya terletak di atas bahu kita untuk meneroka, mencari, memanipulasi segala kurniaan itu untuk kepentingan diri anak-anak dan juga ummah.

Akhir kata, saya sepenuh hati percaya anak-anak ini adalah GENIUS.

Thursday, 27 October 2011

Wisdom....bijaksana

Salam

Agak sibuk kebelakangan ini tetapi masih sempat berfikir semasa mandi sebentar tadi. Saya selalu bertanyakan kawan-kawan tentang makna WISDOM. Ramai menjawabnya BIJAKSANA. Adakah jawapan lain selain daripada perkataan bijaksana? Adakah wisdom itu asalnya daripada perkataan akar WISE? Sebagaimana asal perkataan bijaksana bermula daripada perkataan BIJAK? Saya bukan seorang pakar bahasa... jadi saya pun tidak tahu jawapannya yang tepat.

Saya terfikir pula, kenapa BIJAK....SANA bukan SINI? Sudah tentu bunyinya pelik jika kita sebut bijaksini kerana telah terbiasa dengan istilah bijaksana. Jadi berbalik pada soalan saya, kenapa di ...sana? Perkataan sana itu sendiri menunjukkan jauh....kenapa jauh untuk menjadi bijak? Hanya duduk di sini, kurang bijakkah kita? Teringat pula peribahasa, jauh perjalanan luas pandangan. Betul agaknya kata orang tua-tua, kerana jauhnya kita berjalan melihat dunia, pandangan kita turut berubah tentang sesuatu perkara. Jadi berbalik pada isu bijaksana, agaknya...kena berjalan ke "sana", barulah kita menjadi bijak? Logik bukan! Adakah itu jawapannya? Adakah pra syarat menjadi bijak harus berjalan ke sana-sini? Kayalah AA selepas ini kalau betul, itulah syaratnya.

Ikhlasnya, saya sendiri tidak ada jawapan pada soalan itu tadi. Apa yang saya faham, mereka yang bijaksana atau mempunyai wisdom selalu bercakap idea-idea yang melampaui batas yang mengongkong manusia. Idea-idea mereka tidak terhalang oleh darjat, keturunan, kekayaan, status, simbol, politik, sosio-budaya dan ia sentiasa sealiran dengan fitrah kejadian manusia. Saya setuju bila ada yang mengatakan syarat untuk mencapai wisdom ialah melalui pengalaman dan usia, oleh itu sesiapa sahaja boleh mencapai tahap wisdom ini dalam kehidupan. Betulkah semua orang tua ada wisdom kalau betullah mereka lebih berpengalaman dan makan garam terdahulu daripada kita? Mungkin ya...mungkin tidak. Ntah!

Petikan kata-kata wisdom daripada ayahanda:
Hidup ini ibarat kayuh sampan...sesiapa nak sampai cepat, kayuhlah laju-laju.
Siapa penat, berehat sekejap...tiada siapa yang akan marah.

By three methods we may learn wisdom: First, by reflection, which is noblest;
Second, by imitation, which is easiest; and third by experience, which is the bitterest.
Confucius

Common sense in an uncommon degree is what the world calls wisdom.
Samuel Taylor Coleridge


Sunday, 23 October 2011

Manipulasi...OTAK

Siapa kenal saya?
Salam
Berapa ramai antara kita percaya adanya hantu? Berapa ramai antara kita , benar-benar berpeluang melihat hantu? Rasanya, ramai yang lebih mempercayai kewujudan hantu tanpa melihatnya sendiri dan lebih ramai takutkan kemunculannya,walaupun seumur hidup tidak pernah berpeluang melihat hantu. Antara orang-orang itu adalah saya sendiri. Walaupun saya mempunyai pengalaman-pengalaman unik dalam kehidupan ini tetapi melihat hantu, bukan kelebihan yang saya nanti-nantikan. Berilah peluang itu pada orang lain, saya tidak berkecil hati.

Kelakar bukan, kita sering takut pada benda-benda yang bukan bersifat fizikal atau boleh dilihat pada mata kasar. Kita takut pada kekalahan, kita risau pada kritikan, kita bimbang pada maklumbalas, kita syak pada apa-apa saja yang tidak diketahui. Walaupun ketakutan itu bersifat terlalu peribadi seperti kita risau orang tahu apa yang sedang berada di dalam otak ini, kita bimbang orang tahu kita sebenarnya penakut sangat pada hantu walaupun realitinya, macam berani. Berkuasa sungguh otak kita bukan, memanipulasi setiap maklumbalas dan simulasi dari luar bagi memantapkan kepercayaan kita  yang sedia tertanam di dalam akar otak.

Contohnya, kita sering beranggapan bahawa orang-orang india dan cina di dalam negara ini lebih menguasai bahasa inggeris. Benar, mereka dengan rasa yakin boleh berkomunikasi dalam bahasa asing itu dengan mudah. Tidak perlu dikira samada slangnya manglish, cinalish atau indialish tetapi yang pasti mereka tetap berbahasa inggeris. Ada tarik "maaa...." pada setiap perkataan akhiran dan ada juga "terteleng-teleng" kepala bila berbicara tapi yang pasti mereka tetap berkeyakinan tinggi. Kita orang melayu, masih takut-takut, bimbang pada kesalahan, bimbang dikritik, bimbang pada segala jenis semut, burung dan lalat-lalat yang mungkin gelakkan kita bila berbahasa inggeris. Berkuasa sungguh otak kita memanipulasi ketakutan yang tidak wujud dan jika wujud sekalipun kata-kata sumbang daripada orang keliling, kita terlalu takut untuk menghadapinya. Tidak mati pun jika dikritik dan badan kita tetap basah jika mandi, jadi kenapa begitu takut?

Bila saya berfikir tentang fenomena ini, teringat pula pengalaman-pengalaman kehidupan yang mendewasakan kita. Jika kita bertanya pada kaum ibu tentang keberkesanan pil perancang. Jangan terkejut jika kita dapati maklumbalas negatif selalunya datang daripada mereka yang tidak pernah mengambilnya. Sempena musim haji , ramai yang bercerita tentang kerumitan, kebimbangan dan keresahan menjalankan ibadah ini, kebanyakan daripada mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki di sana. Mereka mungkin hanya mendengar cerita daripada rakan, saudara atau membacanya daripada bahan bacaan majalah. Pada mereka yang pernah sampai, pengalaman mereka adalah lebih menyeronokkan dan membuat hati kita tertarik untuk ke sana. InsyaAllah.

Secara kasar, kita sering takut pada perkara yang kita tidak mempunyai ilmu mengenainya dan tidak lansung berpengalaman. 

Sama saja dengan awalan artikel ini tadi, kita sangat takut pada hantu sebab kita tidak pernah melihatnya. Cuba tanya semula pada diri, apa perkara yang paling kita takut untuk terus bergerak ke hadapan? Jawapannya adalah pelbagai dan saya sendiri sedang mempelajari cara-cara untuk mengurangkan kekuasan manipulasi otak ini. Bagaimanakah caranya? Belajar untuk mempraktikkan pemikiran positif, membaca buku-buku  kejayaan orang lain , berkawan dengan mereka yang bermotivasi tinggi dan berterusan berdoa. Di samping itu, seperti biasa saya masih di bawah naungan dacing kehidupan. Saya masih percaya bersederhana adalah resipi kejayaan.

Wassalam.

Sunday, 16 October 2011

Perspektif....(2)

Image Google
Salam semua

Ada ke yang menunggu sambungan kisah perspektif ini?..Hehehe
Jika ada, maafkan aku. Sibuk dengan pameran buku BBW, sibuk menciluk-ciluk membaca buku baru.

Berbalik pada kisah aku di Perth. Pertama kali aku berpeluang mendirikan solat jumaat berjemaah di masjid Al-Majid. Pertama kali juga aku mendengar khutbah jumaat secara lansung daripada imam masjid. Agaknya sebab pertama kali, aku begitu menghayati butir-butir perkataan yang keluar daripada mulut imam tersebut.

Aku cuba mengolah kata-katanya dalam bentuk mudah difahami. Isinya, jika orang berlainan diminta memberi pandangan tentang musim-musim yang berbeza dari sudut pandangan mata mereka. Pasti ada yang memuji keindahan musim bunga, pasti ada yang seronok mengambarkan keriangan anak-anak pada musim panas, pasti ada yang suram bercerita tentang musim gugur dan sudah tentu ada yang menggigil kesejukkan bila berbicara tentang musim salji. Jika kita sendiri pernah merasi kelainan antara kesemua musim itu, adakah orang yang memberi pandangan itu salah? Mereka tidak salah kerana perspektif  itu berdasarkan sudut pandangan ( dalam konteks ini, musim) yang berbeza. Benar, keempat-empat musim itu membawa cerita, aura, bauan, sentuhan dan emosi yang berbeza. Masalahnya sering timbul, sekiranya kita tidak merasainya sendiri tetapi menyalahkan perspektif orang lain yang berkemungkinan berbeza daripada kita.
Persoalannya pula, jika semua perspektif tidak salah mengikut tuan punya badan. Kenapa anak-anak kita perlu diajar dengan nilai betul dan salah? Mengambil barang orang itu tidak salah, pada sudut pandangan seorang  haji bakhil. Padanya, daripada terbuang tidak dimakan lebih baik diambil saja dan dimanfaatkan walaupun ternyata ia bukan hak milik sendiri. Siapa hendak jawab?.....

Nampaknya, aku terpaksa menunggu peluang solat jumaat kedua selepas ini. Mungkin di  masjid Scotland.

Tuesday, 11 October 2011

Perspektif...di mana salah

Salam

Terkena demam drama korea, Snow Queen. Komen; terlalu melankolik kisah cintanya bagaikan dibuat-buat. Sarat dengan air mata, flash back dan irama tema yang tidak habis-habis...sangat menyeksa diri untuk dihabiskan. Dua hari suntuk aku melayan diri dengan remote fast mode ditangan...hahahaha. Semuanya aku speed sebab nak habiskan dengan segera. Hah...potong stim btol! Agaknya, masa aku berkhayal dengan kisah cinta ini dah lepas...get real, bebeh!!

Jadi siapa hendak kata aku kurang emosi, kurang sensitif...katalah, cuma aku tak suka dan tak rela melihat adegan cinta meleret-leret begitu. Penat nak layan...macam tersejat darah aku tengok heronya nangis tak henti-henti. Alahai!.. peminat drama korea, jangan marah ehh...jangan marah. Ini perspektif cuma.

Mari kita berbicara tentang perspektif. Beberapa tahun lepas aku pernah membaca sebuah buku motivasi. Masih jelas kisah yang di bawa oleh penulis di dalam buku itu. Antara isinya; seorang tua terjumpa seorang pemuda sedang berjalan keluar dari sebuah kampung. Orang tua itu bertanya, "Bagaimanakah keadaan orang-orang di dalam kampung itu?" Pemuda itu menjawab sambil tersenyum, "Ohh...mereka sangat baik hati dan berbudi bahasa". Orang tua itu membalas, "Kamu akan berjumpa dengan ramai lagi orang baik di kampung sebelah sana". Situasi kedua, orang tua yang sama terjumpa seorang pemuda lain, juga berjalan keluar dari sebuah kampung yang sama. Dia bertanya, "Bagaimana dengan orang-orang di kampung itu?" Pemuda itu menjawab dengan suara suram, "Hati-hati wahai orang tua...orang kampung itu tidak mesra dan sombong." Mendengar jawapan pemuda itu, orang tua lantas menjawab, "Kamu juga perlu lebih berhati-hati...orang-orang di kampung sebelah itu juga tidak baik dan sombong". Kisah orang tua dan permuda berakhir di situ tanpa ulasan lanjut. Apa yang terlintas di fikiran kita pada ketika ini? Pasti yang terlintas di benak ,jika orang baik...pasti akan bertemu orang baik juga. Realiti yang sampai pada kita adalah bayangan yang berpunca dari dalam kepala kita juga. Maksudnya secara lebih komtemporari...LOA; adalah apa yang cuba disampaikan oleh orang tua tersebut. Jangan-jangan dia adalah pakcik Rhonda, penulis buku The Secret.

Sekian lama kisah ini terpahat diminda, hampir 4-5 tahun lamanya. Aku masih tidak putus-putus memikirkan tentang jawapan pada persoalan kisah orang tua ini. Entah-entah, benar pemuda pertama berjumpa orang yang baik-baik belaka. Entah-entah benar juga, pemuda kedua berjumpa dengan orang yang tidak berapa baik. Tidakkah dalam hidup ini, kita akan berjumpa dengan orang yang tidak baik, baik sikit atau sangat-sangat baik. Itu semua pengalaman yang mengayakan kehidupan kita. Adalah tidak patut, jika seseorang menceritakan pengalaman buruk mereka...kita menganggap mereka tidak baik. Baik sangat ke orang tua itu tadi? Seperti biasa, fikiran aku tidak akan tenang dengan jawapan-jawapan stereotype sebegini.

Jawapan pada persoalan ini aku  temui ketika bercuti di Perth, tempohari. Aku rasa itulah jawapan yang paling sederhana sifatnya dan sangat molek analoginya.

Tunggu....akan bersambung, anak dara ku ingin tidur.

Tuesday, 4 October 2011

Menang tetapi kalah

Salam semua

Image Google
Tajuk yang sangat ringan untuk renungan pada hari ini. Menang dalam kalah.

Pernah tak rasa dalam situasi di mana kita menang secara logik tetapi kalah secara emosi. Kita menang bila gunakan bukti saintifik tetapi kalah jika ubah pada perspektif kemanusiaan. Kita mungkin menang dari segi perbandingan akal tetapi kalah dari segi "wisdom" dan "common sense". Contoh begini bersilih ganti, tenggelam timbul dalam kehidupan harian kita. Masa menang kita berasa puas tetapi ada rasa kelat di sebalik kemenangan itu. Kita rasa kita betul pada perspektif sendiri bertunggakkan logik tetapi kita kalah dalam konteks yang lebih besar iaitu kewarasan. Pada yang masih belum faham, saya akan cuba terangkan melalui contoh.

Contoh A:
Seorang pekerja di hantar berkhidmat di luar negara, terpilih daripada ribuan pekerja lain. Rezeki yang melimpah ruah maklumlah semuanya dibayar double, triple...beribu-ribu lemon. Bila bos besar datang mengadap dia dikehendaki menghantar dan mengambil bos itu dari lapangan terbang. Bukan selalu datang pun, 3-4 bulan hanya sekali lawatan. Bila hantar borang claim pada bos yang sama, duit minyak untuk menghantar bos itu juga di claim dengan alasan "itu hak saya". Berbanding dengan gaji bos, gaji dia lebih banyak dan menang lagi dari sudut matawang, apalah sangat kos minyak menghantar bos ke lapangan terbang. Menang benar dari sudut logik, pekerja itu menjalankan tugas dia dan membuat claim berdasarkan apa yang dia tahu dan berhak. Dia menang di situ dengan score A. Perspektif yang berbeza, terutamanya dari sudut kewarasan dan kemanusiaan, kos minyak berbanding dengan beribu-ribu lemon yang diterima setiap bulan daripada kompeninya bekerja. dia bukan pemenang tetapi dia dilihat sebagai orang yang kalah dalam permainan yang lebih besar dan melibatkan potensi yang lebih jauh. Menang kerana dapat claim tetapi kalah dalam percaturan kemahiran kemanusiaan. Kekalahan ini akan melibatkan kerugian yang lebih besar berbanding dengan kos minyak yang di claim. Biasanya orang tidak sedar pada kekalahan ini, yang dia cuma nampak claim minyak. Kemenangan jangka pendek. Kekalahan itu akan makan sikit demi sikit repotasi diri dan akan bergema di dalam organisasi. 

Dalam kehidupan seharian, samada dengan adik beradik, rakan-rakan, kawan sekerja atau sedara- mara, kita tidak akan terlepas daripada pengalaman seumpama ini. Benar, kita ada hak...benar, ini aku punya; tetapi dalam situasi tertentu kita terpaksa bertindak bukan atas paksi "hak" tetapi atas dasar keperhatinan dan kewarasan. Bak kata papa dalam cerita Smurf; bila ditanya oleh papa manusia.."Bilakah kita tahu, kita bersedia menjadi papa?" Jawabnya, " Bila kita gunakan hati dan bukan kepala(logik) bila melakukan sesuatu"
Benar, ibu ada hak ke atas anak-anaknya tetapi adakah hak itu digunakan atas paksi logik/matematik/sains/perkiraan/keuntungan atau berpaksikan pada hati dan kemanusiaan. Kita mungkin menang sebab mendapat hak kita tetapi kita kalah, jika semua orang yang kita sayang akan menjauhkan diri daripada kita. Menang tetap menang tapi di jauh di sudut hati, kita mengaku kita kalah. Bilakah kita sedar? Bila kita keseorangan dan ia telah terlalu lewat.

Tuesday, 27 September 2011

Hujan emas di negara orang


Salam semua

Sudah 2 hari pulang ke negara hujan batu ini, terasa bahang yang menyinga...mengada! Hahahaha

Perth cantik, sangat bersih dan mahal taraf hidupnya. Bayangkan sebotol minuman air mineral berharga AUD3.00 dengan matawang berkadaran 3.2 dengan RM, ia sangat mahal. Jika dibeli di Perth Airport, harganya mencecah AUD4.20 sebotol. Huhuhu.

Berada di Perth, aku seperti kemaruk makan kebab..hari-hari aku mengadap kebab. Rindu rupanya hendak makan daging kebab seperti berada di UK tapi masih jauh berbeza dengan kebab Turkish di Swiss...lagi sedapzzz! Harganya tidaklah murah, seketul AUD9 atau AUD9.50 bergantung pada lokasi. Huh, makan kebab saja sampai dekat RM30 seketul. Huhuhu.

Apa yang menarik tentang Perth? Walaupun rata-rata orang mengatakan Perth seperti "dead city" tapi secara peribadi aku sukakan tempat ini. Sejuk, luas dan banyak aktiviti luar rumah yang boleh dinikmati sepanjang hari. Cuma sediakan ongkosnya sahaja! Kawasan perumahan di sana tersusun indah, kebanyakkan rumah-rumah rakyat biasa seperti kita ialah banglo satu tingkat. Setiap kawasan perumahan dilengkapi dengan sebuah sekolah rendah dalam suasana persekitarannya yang selamat.

Apakata, kita menjamu mata melihat keindahan Perth dalam entry ini:...

Taman-taman di kawasan persekitaran Perth amat terjaga dengan rapi. Cuma hati-hati jika kita ke kawasan taman perumahan kerana terdapat banyak najis-najis haiwan kesayangan mereka di sini, iaitu anjing.

King's Park

Sorrento Quay




King's Park antara taman dalam bandar yang terbesar di dunia. Ia sangat cantik dan dijaga rapi. Kita juga berpeluang melihat bunga-bunga liar di kawasan ini. Sangat cantik!





Wild Flower

Sorrento Quay

Thursday, 15 September 2011

Who's ur REAL ....




A simple friend thinks the friendship over when you have an argument. A real friend knows that it's not a friendship until after you've had a fight.
-- Author Unknown




It's so so so so true......:))

Tuesday, 13 September 2011

Mengawal anak makan

Salam

Google Image

Tercari-cari entri baru yang hendak ditulis, bagaikan hilang idea dan ilham bila sibuk dengan tugas-tugas yang tiada kaitan dengan menaip. Ok, dalam perjalanan pulang dari sekolah agama mengambil anak bujangku ini. Kami berdiskusi panjang tentang topik makan. Secara kasar tentang latar belakang anak bujangku ini, dia seorang yang sangat adventure bila masuk soal makan. Maksudnya, dia boleh makan apa saja tolak kayu dan batu dan benda-benda yang boleh trigger alergi di dalam sistem badannya. Selain tu, dia sapu habis dari gulai ikan masin hingga ke tacos hingga ke linguini prawn hingga bruchetta hingga dim sum hingga ...ke roti cicah minyak, semua dia bedal. Alhamdullilah, senang sungguh terbuka seleranya pada makanan.

Malangnya anak bujangku ini, badan dia pun agak sihat, sedap, tegap dan montel jika tidak dikawal pemakanannya. Jadi dalam perjalanan pulang tadi, aku berkata "malam ini kita makan roti john". Ada dengusan pada suaranya walaupun perlahan. "Umi malas masaklah malam ini, lagipun tenghari tadi kita dah makan nasi..cukuplah", tambah aku sambil menunggu reaksinya. Dia masih tidak berpuas hati lantas menjawab "Memanglah makan roti john tapi selalu rasa lapar lagi bila nak tidur". "Kalau masih terasa lapar nanti minum susu dan makan sekeping roti", aku lansung membidas kata-katanya. Mulut muncung hingga boleh disangkut baju dengan mata terkulat-kulat dia menggumam. Melihat pada keadaan mukanya yang seperti jigsaw puzzle tak siap, aku bertanya " Boleh tak, jika makan...awak tahu bila nak berhenti? I can see your adik is doing it when she's full but not you. Can you promise me to stop eating when you're full?" Dia jawab, "bagaimana nak tahu?". "Hai perut sendiri pun tak tahu ke?" aku membedik. Dia tersengih membariskan giginya yang tersusun cantik. 

Ok, aku mencari analogi untuk disuntik dalam minda anak ini bila masuk bab-bab makan. Aku memberitahu dia, kesedaran tentang makanan yang diambil oleh badan kita harus datang dari dalam diri. Diri sendiri kena tahu bila perlu berhenti makanan, bukan umi jadi polis yang tunggu bagi kad merah supaya dia berhenti makan. Ini bagaikan main polis-polis, dia ambil selagi muat di dalam pinggan dan tunggu sampai aku kata BERHENTI, barulah dia berhenti. Jika situasi itu berlaku di rumah, boleh tahan lagi. Cuba bayangkan jika ia berlaku di rumah tokwan, tok , nenek , saudara-mara atau rumah open house di hari raya. Tidak tahu mana nak disorokkan muka QC ini. Tapi apa kisahkan, anak aku...rule aku lah tapi itu bukan penyelesaian pada masalah yang berlarutan sekian lama ini. 

Setelah berfikir sejenak, aku berkata padanya " Dulu semasa abang belum pegang duit sendiri, ada rasa sayang pada duit tak? Setiap kali nak membeli barang , abang cuma minta, minta dan minta tetapi sekarang bila dah ada buku cashflow sendiri...abang jadi prihatin bila hendak berbelanja. Ada rasa, alamak...dah banyak sangat belanja minggu ini. Nak simpanlah duit ni! Begitu juga kesedaran yang patut ada atau timbul dalam diri abang bila makan." Dia diam saja tanpa sebarang tanda samada faham atau tidak. Aku sambung lagi, " Belajar untuk rasa kenyang dari dalam dan berhenti sebelum makanan tu penuh sampai ke dada, teruk lagi sampai rasa nak termuntah sebab terlalu penuh. InsyaAllah, bila dah timbul kesedaran tu..setiapkali makan, abang akan dapat rasa atau paling tidak otak tu akan hantar signal...berhenti..berhenti...berhenti sepertimana signal suruh simpan duit!" 

Itu sajalah bebelan aku di sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Aku pun tidak tahu samada pendekatan itu betul atau salah. Pada aku, awareness dalam diri harus dibentuk daripada awal samada ia berkaitan dengan isu pemakanan, berbelanja, berseronok atau apa saja. Moga kesedaran itu akan jadi invisible alignment dalam sistem pemikiran dan badan supaya perlakuan kita terarah. Bukan tidak boleh makan selagi boleh tetapi hendak jentik kesedaran  untuk berhenti sebelum kenyang itu memerlukan latihan demi latihan. Begitu juga dengan isu-isu lain seperti bermain, berseronok mahupun berbelanja. Ada orang makan sikit sebab bini QC ini sentiasa memerhati. Persoalannya sampai bila bini ini nak mengikut dengan membawa sepanduk QC, penat weh! Hahahahaha.

Sebelum mengakhiri entri ini, aku senaraikan fakta-fakta yang pernah dibaca mahupun didengari berkaitan dengan pemakanan seperti berikut:
  • Dengar apa signal otak berikan bila hendak makan. Jika signalnya tomyam, carilah tomyam supaya bila kita makan kepuasan itu akan sampai pada tahap maksima dan otak akan terus berhenti menghantar signal tomyam.
  • Kajian yang dilakukan ke atas tiga kelompok tikus; A-sebanyak makanan daripada pelbagai jenis. B-separuh daripada makanan A tapi hanya mengandungi protein. C-separuh daripada makanan A. Hasil kajian selepas beberapa bulan menunjukkan, tikus dalam kumpulan C yang paling banyak hidup berbanding dengan kumpulan B ataupun A. Secara lansung memberitahu, tikus yang survive dalam kajian ini bukan sebab banyak makan tapi adalah sebaliknya.
  • Makan dalam kuantiti yang sedikit tapi berterusan supaya paras metabolisma badan ini tidak terhenti dan terpaksa catch-up bila perut penuh kelak. Proses kelaparan berpanjangan dan makan dalam kuantiti yang banyak sekali gus ini akan mengkucar-kacirkan tahap metabolisma badan, seterusnya menyebabkan tahap pembakaran makanan jadi semakin lembab.
Itu saja untuk kali ini. Hingga berjumpa lagi:))

Tuesday, 6 September 2011

ADAB bertandang

Salam dan selamat hari raya pada semua rakan taulan

Google Image
 Sempena bulan mulia syawal ini, tidak sah jika kita tidak berkunjung ke rumah sedara mara dan rakan taulan.
Ada yang masuk rumah baru, ada beli kusyen baru, ada tukar langsir baru dan tidak kurang juga yang mendukung ahli keluarga baru. Dalam suasana kunjung mengunjung ini, kadang-kadang kita terlepas pandang perkara asas seperti adab bertandang ke rumah-rumah. Apakata kita refresh kembali adab-adab bertandang yang diajar oleh orang-orang tua kita. Mungkin ada yang terlupa atau tidak perasan teguran yang tidak seberapa itu mungkin mengundang rasa tidak senang pada tuan rumah yang kita kunjungi. Adab ini bukan hanya terbatas pada kunjungan hari raya sahaja tetapi juga pada hari-hari kebiasaan.

Waktu bertandang.
Berkahwin dengan keluarga jawa, saya dapati adap ini tidak terlalu dititik beratkan oleh mereka. Bila melihat keakraban ahli keluarga besar seumpama ini, kita akan faham kenapa ia berlaku sedemikian. Jadi waktu kunjungan dalam keluarga jawa pada hari raya sedikit berbeza daripada keluarga melayu. Keluarga jawa berkunjungan di hari raya hingga ke lewat malam, ada yang singgah ke rumah pada jam 11 malam kerana esoknya, mereka harus bertawaf ke kawasan lain. Jadi sebagai tuan rumah, kita faham dan menerima kedatangan mereka dengan senang hati. Sebagai menantu pada keluarga jawa, saya agak pelik pada awalnya tapi lama kelamaan, saya memahaminya. Jika pada hari kebiasaannya, seperti sedia maklum elakkan waktu tengahari kecuali jika ada jemputan khusus. Elakkan juga waktu-waktu senja atau jauh lewat malam khususnya jika tuan rumah mempunyai bayi yang masih merah.

Mudahkan tuan rumah.
Bila berkunjung ke rumah sesiapa pun, baik saudara atau rakan taulan, sematkan dalam kepala ini rumah orang. Tolonglah jangan meminta benda-benda yang tidak munasabah seperti mengorder rebina kononnya anak bujang ini tidak  minum air lain. Paling mudah jika hendak berdiet bagai, minta sajalah air bujang atau air kosong. Ia lebih memudahkan daripada meminta minuman klorofil pada tuan rumah yang rata-rata minum air kopi cap kapal layar. Kasihan bila melihat mata hening tuan rumah jika anak-anak kita tidak sudi meneguk air yang dihidang. Paling tidak, berkongsi gelas atau cawan jika ternyata airnya sangat manis hingga terasa ke telinga(pengalaman peribadi).Hahahaha.

Elak soalan-soalan cupemas.
Sesetengah orang bertandang bagaikan mencari peluang untuk bertanyakan soalan-soalan cupemas pada tuan rumah. Usah ditanya soalan-soalan yang boleh mengundang rasa terkilan atau sedih pada hati tuan rumah, padahal kedatangan kita pun hanya atas kunjungan siratulrahim. Berbeza jika kita berkawan baik dengan mereka. Jadi jika sekadar kunjungan setahun sekali, simpan soalan-soalan cupemas itu baik-baik di dalam kocek atau di dalam tas tangan. Ini tidak, ada yang berani menegur "slim nyer kau....makan hati dengan suami ka?", mak aiii!! Ada juga soalan lain seperti ini "aiii...anak baru dua orang?....rugi tau beranak sikit...bla..bla..bla"(terkulat mencari jawapan). Hahahhahah.

Berdiam atau kata-kata yang menyenangkan.
Seringkali pengalaman bila berkunjung ke rumah kediaman baru teman-teman, hati ini terusik hati dengan komen-komen daripada tetamu yang datang. Rumah besar atau kecil, deco cantik atau tidak, warna bilik terang atau pudar bukan sesuatu yang perlu dikomenkan bila berkunjung ke rumah baru kawan atau saudara. Benar ia seperti tidak membawa apa-apa makna tetapi cuba bayangkan jika orang lain memberi komen yang sama pada rumah baru kita. Penat lelah mendekokan rumah, memilih perabot, memilih warna cat tiba-tiba dikomen bagaikan kita tidak ada citarasa. Mungkin ada yang mengatakan aku yang terlebih emosi. Tentu sekali jawapannya "ya" jika aku orang yang bertungkus lumus memilih cat, memikir konsep rumah ini setelah sekian lama dan itu belum masuk kos yang ditanggung. Apa tidak logik aku emosi jika ada orang senang-senang komen warna langsir aku bagaikan kain buruk. Jadi simpan saja komen-komen tak ilmiah seumpama itu, gosipkan saja di dalam kereta dalam perjalanan pulang nanti. Ini tidak, depan tuan rumah sengaja dikomen..."Tingginya tangga...kalau saya, pasti tak beli rumah ini!" Terkesima si tuan rumah mendengar ayat-ayat sakti ini. Kesian tuan rumah.

Hanya kisah basa-basi.
Khususnya bila berkunjung di hari raya, simpan kisah-kisah masam, pahit dan kelat pada hari lain. Seringkali kita berjumpa saudara atau rakan taulan yang telah lama tidak dihubungi atau ketemu, jadi ambil peluang ini untuk menjalinkan kemesraan hubungan. Walaupun masih ada perkara yang berbuku di hati, perjumpaan selama setengah jam itu lebih bermakna jika dihiasi dengan cerita-cerita manis, gelak tawa dan berbasa-basi di mana perlu. Bukan bermakna kita menjadi hopikrit, cuma ruang masa itu tidak sesuai untuk meluahkan gumpalan perasaan kerana ramai tetamu yang hadir.  Pastinya, kita tentu tidak mahu semua orang tahu tentang kentang busuk yang masih tersimpan di dalam laci dapur rumah kita. Kentang dah hampir lunyai tapi baunya menusuk di mana-mana.

Ringan-ringankan tulang.
Ini khusus untuk tetamu jauh yang bertandang ke rumah saudara di hari raya. Seringkali mereka dihidangkan jamuan makan tenghari atau makanan berat selain daripada kuih raya. Jadi sebagai tetamu beragak-agaklah, jika tuan rumah kekurangan tenaga buruh yang membantu, sudilah kiranya kita meringankan tulang temulang yang ada untuk meringankan beban tuan rumah dalam melayan batalion yang datang menyerang ke rumah mereka. Apatah lagi jika acara ini menjadi acara tahunan pada kita. Apakata sekali sekala, dibawa juga buah tangan yang setimpal seperti buah-buahan ataupun kuih raya pada mereka. Paling tidak, selain daripada datang berkunjung di hari raya, kita juga boleh meriahkan hubungan ini dengan buah tangan dan meringan-ringankan tulang yang ada. Ia bukan saja membuahkan perasaan gembira tuan rumah tapi kita juga tidak rasa segan untuk berkunjung lagi dan lagi dan lagi dan lagi.......Hahahah.

Itu saja setakat ini, artikel sempena hari raya. Peringatan ini juga untuk diri saya.
InsyaAllah.

Wednesday, 24 August 2011

Siri: Aku seorang SURI2

Salam

Rasanya, ini coretan terakhir aku sebelum kita semua bergembira bersama keluarga di hari raya. Selamat hari raya aidilfitri pada semua yang mengenali ataupun tidak. Semoga keberkatan aidil fitri kali ini akan menyatukan dan mengukuhkan siratulrahim sesama kita. Amin.

Baiklah, sebagai topik terakhir sebelum bercuti panjang kali ini, aku akan berkongsi pengalaman-pengalaman getir menjadi seorang suri(seperti yang dijanjikan). Pengalaman yang aku kongsikan di sini bukan eksklusif datangnya daripada aku tetapi juga daripada rakan dan kenalan selama ini. Pengalaman-pengalaman manis mahupun pahit tetap mengajar kita tentang erti kehidupan. Jadi, selamat membaca dan ambillah panduan di mana perlu.

Bagi memudahkan pemahaman kita semua, aku letakkan subtopik pada setiap isu yang dibincangkan. Ia kelihatan lebih teratur supaya idea aku juga tidak kacau bilau. Antara isu-isu yang membelenggu kehidupan seorang suri adalah seperti berikut;...jeng..jeng..jeng...

Melawan arus 

Google Image
"Anak awak yang dah habis belajar tu, kerja apa Melah?" Soal seorang jiran pada si Melah. Melah dengan rasa sedikit segan dan terkilan menjawab "Ala...dia duduk rumah saja jaga anak-anak". "Alahai...kesiannya kat awak Melah, dah berhabis duit bagi dia belajar tiba-tiba dia cuma mengangkang di rumah, awak tak marah ke?" Si ibu Melah terdiam, tiada jawapan. Rasa calar masih berbekas di hati setiapkali orang bertanyakan soalan itu padanya. Kesian si ibu Melah.

Memilih menjadi seorang suri secara paksa mahupun sukarela, adalah pilihan berlawanan arus. Bila kita sedar ia berlawan arus, usaha untuk mendapat pengesahan dan rasa hormat orang keliling adalah satu perkara yang agak sukar. Pengesahan yang dimaksudkan di sini ialah daripada orang awam, khususnya mak dan ayah, suami dan anak-anak, adik-beradik,  jiran tetangga dan rakan taulan yang mengiktiraf kewujudan dan kepentingan suri. 

Pengesahan adalah keperluan asasi yang diperlukan oleh setiap individu hatta pada diri seorang anak kecil. Ia adalah satu keperluan semula jadi pada setiap orang bergelar manusia dan bertindak sebagai pendorong motivasi di atas segala perbuatan baik yang dilakukan oleh seseorang individu. Malangnya kerjaya suri tidak memberi peluang untuk kita mengecapinya dengan mudah berbanding dengan mereka yang bekerjaya hebat di luar sana sepertimana cikgu, jururawat, kerani atau lain-lain. Tiada bonus pencapaian, elaun lebih masa atau sijil penghargaan menanti suri di akhir tahun sepertimana mereka yang bekerjaya . Tanpa pengesahan sewajarnya, terutama daripada ahli keluarga terdekat , ia akan mengundang rasa lemah jati diri dan kekeringan emosi di kalangan suri-suri. Rentetan daripada kelemahan dan kekurangan ini, aura negatif itu kelak terpancar dengan jelas  daripada diri suri apabila mereka berinteraksi dengan orang luar. Tanggapan negatif seperti suri low self-esteem, kurang berkeyakinan, malu tidak bertempat dan kurang pandai menyesuaikan diri dalam masyarakat sering saja lekat pada tag nama seorang suri. Paling malang, setiap kelakuan buruk seperti mengumpat, mengangkang, menonton telenovela, bergayut dan membeli-belah seakan-akan cara terbaik apabila orang awam mendeskripsi kerjaya seorang suri. Kasihan!

Dalam masyarakat kita di sini, kredibiliti dan kehormatan seorang individu diberi darjah tinggi sekiranya dia mempunyai gelaran dipangkal nama atau mempunyai kelebihan material  atau berposisi tinggi di pejabat.  Memilih menjadi seorang suri bermakna, kita tidak mempunyai semua kelebihan-kelebihan tersebut kecuali sekadar menumpang kelebihan atau kemewahan si suami atau menumpang harta keluarga. Oleh itu, apabila memilih kerjaya suri, ia ternyata berlawanan arus dari tuntutan-tuntutan tipikal masyarakat setempat.

Seorang wanita yang berpendidikan seharusnya berada di ofis dan bukan bergelumang dengan anak-anak. Seorang wanita berpendidikan harus mempunyai kerjaya baik demi menjana ekonomi keluarga. Maklumlah dunia sekarang memerlukan duit melebihi keperluan-keperluan emosi lain. Seorang wanita berpendidikan, bekerjaya hebat pula seharusnya membawa tanggapan hebat masyarakat pada kedua ibubapa yang berjaya mendidiknya dan keberuntungan si suami kerana berjaya memperisterikannya. Tidak lupa juga pada anak-anak, mereka tetap berbangga siapa ibunya tetapi naluri bersih mereka tidak memilih berdasarkan  pangkat dan duit semata-mata. 

Sebaliknya pula, kerjaya seorang suri dilihat seperti tidak memberi pulangan modal kepada  kedua ibubapa yang membesarkannya selama ini. Tidak juga meringankan beban mencari nafkah yang tertanggung di atas bahu seorang suami. Cuma, anak-anak saja bersorak gembira kerana ibunya seorang suri. Maklumlah, ada orang yang sentiasa membontoti dan menyediakan keperluan mereka. 

Jadi tidak mudah bukan untuk menongkah arus kerana dalam usaha menongkah itu , kita akan terus berhadapan dengan konflik self-esteem yang kronik. Soalan-soalan selfish seperti: berbaloi ke aku cuma menyokong suami di belakang takbir, bagaimana jika suami aku lebih tertarik dengan wanita bekerjaya maklumlah, they got beauty, brain and "ber-wang", adakah anak-anak akan melihat aku sebagai ibu yang hebat sepertimana ibu kawan-kawannya. Siri-siri soalan negatif ini sentiasa bermain dan bersarang di kepala suri dan boleh membuat jati diri mereka makin lemah dan rasa makin tidak berbaloi. Sekiranya diri sendiri pun sukar menghargai, bagaimana mereka hendak dihargai oleh orang lain.

Err...dah panjang sudah, rasanya subtopik seterusnya akan disambung pada coretan lain. 
Tunggu..............

SELAMAT HARI RAYA SEMUA :))